Anda di halaman 1dari 2

Catatan Kehidupan

26 Rejab 1438H
Ahad
00:17
Selesai membaca Ajaibul Hind 3 hari yang lepas.
Kisah-kisah yang mungkin tidak masuk akal seperti seekor ular yang besar
menjadikan gajah sebagai makanannya, burung yang besar memakan manusia
dan bulu burung dijadikan bekas simpanan air (tangki) tetapi saya tidak menolak
bahawa kemungkinan kisah-kisah yang diceritakan ada kebenarannya. Mithalnya
kisah semut yang dikatakan sebesar seekor kucing. Pada awal mulanya, saya
terkena juga penyakit yang ditakuti oleh penuntut ilmu yakni penyakit was-was.
Tetapi setelah membaca historical fact and fiction, ajaibul hind, sulalatus salatin
dan beberapa kitab-kitab lain yang berkaitan dengan sejarah, yakinlah saya
bahawa sebenarnya binatang yakni semut sebesar seekor kucing pernah wujud
suatu ketika dahulu sebelum ia pupus (penemuan fosil-fosil serangga yang lebih
besar saiznya berbanding serangga yang wujud sekarang, saya pernah melihat
seekor lipan sebesar lengan) seperti binatang-binatang yang kita ketahui sudah
pupus seperti burung dodo dan serigala tasmania.
Tidaklah ada benda lain yang terlintas dalam akal fikiran saya melainkan
kepupusan itu adalah disebabkan kerja manusia juga yakni diri kita sendiri.
Sepertimana kerosakan alam yang dilakukan oleh manusia, sudah tentu ianya
membawa kesan kepada kehidupan makhluk-makhluk lain yakni pencerobohan
dan kemusnahan aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala kerana setiap ciptaa Nya sudahpun berada pada tempatnya yang wajar
sebelum adanya manusia lagi di dunia.
Saya berpendapat bahawa kepupusan makhluk-makhluk yang mungkin
dikatakan sebagai mitos tersebut adalah disebabkan sifat tamak dan tidak waras
manusia mendepani makhluk-makhluk yang sebenarnya memerlukan keadilan
dan kepimpinan dari khalifah (baca: manusia) dalam pentadbiran kehidupan
makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini. Akal fikri yang tidak berjaya
mengawal hawa nafsu menjadikan seseorang itu berada pada satu keadaan di
mana tabiatnya yang tidak lain juga seperti tabiat dan kehidupan seekor
binatang malah lebih rendah sifatnya dari seekor binatang.
Teringat satu kisah di dalam al-Quran di mana soal jawab para malaikat dengan
Allah Azzawajalla berlaku apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala hendak mencipta
satu makhluk yang akan diperintahkan untuk menjadi Khalifah di muka bumi.
Maka, ditanya oleh para malaikat kenapa diciptakan makhluk tersebut
sedangkan pada akhirnya akan membuat kerosakkan di muka bumi? Dijawab
oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa Dialah yang Maha Mengetahui apa yang
tidak diketahui.
Peranan manusia tiadalah lain melainkan menjadi pemimpin bukan sahaja
terbatas terhadap kepimpinan manusia sahaja tetapi juga terhadap makhluk-
makhluk dan kehidupan lain yang ada di muka bumi (haiwan dan tumbuh-
tumbuhan). Itulah sifat yang dapat digambarkan dan ditunjukkan melalui
keperibadian junjungan besar Nabi kita Rasulullah s.a.w.. Baginda sangat adil
bukan sahaja terhadap manusia bahkan makhluk-makhluk Allah Subhanahu wa
Ta'ala yang lain.
Saya tersangatlah yakin dan pasti bahawa makhluk-makhluk sewaktu ketika
dahulu seperti naga, ular-ular yang besar, burung garuda, manusia gergasi,
semut-semut besar dan beberapa makhluk yang lain pernah wujud dan telahpun
pupus sebelum wujudnya teknologi-teknologi yang boleh merakam
kewujudannya. Bahkan masih ada antara makhluk-makhluk yang diceritakan
masih kita yakin akan kewujudnya hari ini seperti ikan paus (yang suka bermain
di sisi-sisi kapal) dan buaya (yang masih menjadikan manusia sebagai
mangsanya). Sehingga ke hari ini, tulisan-tulisan para ilmuwan dan sejarawan
tulen terdahululah yang menjadi saksi akan kewujudan makhluk-makhluk ini.
Oleh itu, penting bagi seorang insan yakni manusia mempelajari adab kerana
pada adab itulah letaknya sesuatu yang memandu manusia ke arah aturan-
aturan yang tersusun dalam satu ketertiban dan kelakuan kehidupan di mana
tiap-tiap sesuatu sudahpun berada pada tempatnya dengan wajar serta
sempurna. Alam Semesta yang dicipta menyimpan 1001 rahsia yang semestinya
tiadalah lain melainkan meyakini bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala jua yang
Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan makhluk
yang mendapat keizinan Nya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak
menjadikan sesuatu itu melainkan semua ciptaan Nya beribadah dan sujud
hanya kepada Nya sahaja. Wajar bagi seorang insan terus menerus menuntut
ilmu agar sampai kepadanya kebolehan mengenali dan memahami sesuatu
sebaiknya agar sampai kepadanya ma'rifah Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Wallahua'lam bisshawab
*hanya sekadar pendapat penulis sebagai catatan peribadi*

Anda mungkin juga menyukai