Anda di halaman 1dari 12

ugasan HBML1203 : Peristilahan Bahasa Melayu

PENGENALAN

Peristilahan merupakan salah satu aspek terpenting dalam pembinaan Bahasa


Melayu. Istilah serta perkataan baharu dicipta demi memperkayakan lagi kosa kata
Bahasa Melayu. Kekurangan istilah telah menjadi masalah dalam pelaksanaan
Dasar Pelajaran Kebangsaan pada peringkat awalnya. Namun, ia berubah apabila
timbul kesedaran akan keperluan dan kepentingan peristilahan. Maka, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menggubal sebanyak mungkin istilah-istilah dalam
pelbagai bidang dalam memenuhi keperluan penggunaannya pada bidang-bidang
berkaitan. Penggubalan istilah ini dilakukan melalui sistem Mesyuarat Jawatankuasa
Istilah dengan ahlinya adalah dilantik oleh DBP daripada pelbagai Institusi
Pendidikan Tinggi dan Pusat Pendidikan dengan pelbagai latar belakang pendidikan.
Secara amnya, peristilahan berkembang seiring bersama-sama perkembangan ilmu
dan teknologi, namun peristilahan Bahasa Melayu terkebelakang daripada
perkembangan ilmu dan teknologi tersebut. Situasi ini adalah disebabkan oleh
penggubalan istilah dalam Bahasa Melayu lebih merupakan penggubalan istilah
sekunder. Dalam konteks pembentukan budaya ilmu, penggubalan istilah dalam
pelbagai bidang ilmu menjadi simbol telah berlakunya proses intelektualisasi dalam
Bahasa Melayu. Istilah merupakan lambang linguistik berupa huruf, bentuk bebas
atau gabungan beberapa bentuk bebas yang gramatis dan sistematik serta
mengandungi timbunan konsep atau objek khas dalam bidang tertentu.

Usaha penggubalan istilah di Malaysia bermula selepas tertubuhnya Dewan Bahasa


dan Pustaka (DBP) pada 1956. Pada awalnya, tidak ada satu pun sistem organisasi
yang memberi panduan dan mengawal kerja-kerja peristilahan. Penubuhan
jawatankuasa istilah adalah berdasarkan permintaan individu yang berwibawa
sebagai pemimpin masyarakat atau sebagai ahli akademik. Pertumbuhan konsep
yang pesat dalam semua bidang kegiatan manusia telah menimbulkan masalah
komunikasi yang begitu serius. Konsep yang jumlahnya tidak terkira banyaknya
menyebabkan komunikasi yang taksa, sekaligus memberikan kesan yang
maksimum terhadap komunikasi antara orang dengan mesin, mesin dengan mesin
atau pun individu dengan individu. Namun begitu, walaupun istilah lazimnya dapat
dikaitkan dengan kata tetapi kata itu sendiri tidak sentiasa dapat dikaitkan dengan
istilah disebabkan oleh tidak semua kata itu adalah istilah. Perbezaan antara kata
dan istilah diperlihatkan melalui huraian tentang kata dan istilah daripada beberapa
sumber. Perbezaan antara istilah dan kata adalah melalui kekhususan sesuatu
makna kerana kata mempunyai pelbagai makna bergantung kepada konteks
penggunaannya manakala istilah pula mempunyai makna khusus yang tidak akan
berubah walau dalam konteks yang berlainan. Setiap konsep baru perlu dilambangi
dengan kata-kata yang dapat diperoleh menggunakan kaedah tertentu seperti,
pembentukan kata dengan mengubah bunyi kata yang sedia ada. Contohnya,
perkataan Lejas daripada Jelas, Legap daripada Gelap dan Jerap daripada Serap.
Pembentukan perkataan baru dengan menggabungkan bahagian kata. Contohnya,
Asbut daripada asap dank abut, Puyam daripada puyuh dan ayam, Selembu
daripada Seladang dan Lembu. Peminjaman perkataan asing, contohnya, proses,
material dan hos. Oleh itu, konsep merupakan asas dalam pembentukan kata dan
istilah serta merupakan simbol yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu
konsep.

SEJARAH PERKEMBANGAN PERISTILAHAN, PERANAN DBP DAN MABBIM SERTA


AGENSI LAIN DALAM MEMBANGUN DAN MEMPERKEMBANG PERISTILAHAN MELAYU

2.1 Sejarah

Pada peringkat awalnya tidak ada satu sistem organisasi pun yang memberi
panduan serta mengawal kerja-kerja peristilahan. Dewan Bahasa dan Pustaka
merupakan pengerak kepada pembinaan istilah Bahasa Melayu pada tahun 1957.
Jawatankuasa Istilah, jawatan dan jabatannya telah ditubuhkan untuk mencipta
nama jabatan dan jawatan kerajaan yang digunakan di seluruh Tanah Melayu.
Jawatankuasa ini telah mengadakan sesi kerjanya yang pertama bermula pada 15
Januari 1957. Jawatankuasa istilah terawal ditubuhkan ialah Jawatankuasa Istilah
Ekonomi yang dipengerusikan oleh Profesor Diraja Ungku A. Aziz. Malah beliau
merupakan Pengerusi dan Pengarah pertama DBP selain pejuang bahasa.Hasil buku
jawatankuasa ini ialah Istilah Jawatan dan Jabatan diterbitkan pada tahun 1960
dengan terciptanya 2 514 istilah baru. Kerja-kerja peristilahan secara terancang
atau sistematik bermula pada tahun 1975.

Buku berjudul Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM)


merupakan hasil kerjasama berkaitan bahasa diantara Malaysia, Brunei dan
Indonesia menerusi Majlis Bahasa Indonesia, Brunei dan Malaysia (MABBIM).
Bahagian peristilahan terus diberi mandat dalam mengumpul, membentuk,
menggubal, memperbanyakkan istilah seterusnya menerbitkan istilah Bahasa
Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Pelaksanaan mandat ini adalah menerusi
pelantikan ratusan profesional ilmuan yang rata-rata mempunyai pengalaman dan
kepakaran. Malah mereka yang dilantik itu dianggap sebagai pakar bidang yang
mewakili Institusi Pengajian Tinggi, Sektor Swasta, Sektor Awam dan Sektor
Pendidikan negara. Sehingga kini, Bahagian Peristilahan telah berjaya menerbitkan
sebanyak 207 daftar glosari istilah dengan sejumlah 1 002 438 istilah yang dibentuk
dalam pelbagai bidang. Penubuhan MABBIM pada peringkat serantau juga diberi
mandat dalam menyelaraskan sejumlah 123 885 istilah ilmu pengajian tinggi dan
profesional untuk penggunaan bahasa di ketiga-tiga negara anggota MABBIM.

2.2 Peranan DBP dan MABBIM

Pelaksanaan perancangan bahasa yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) melalui bahagian-bahagian di dalam operasinya adalah bersifat revolusi
tetapi teratur dan sitematik. Antara peranan-peranan penting DBP ialah membina
korpus dan menyebarkannya melalui buku istilah, tatabahasa dan perkamusan.
Melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa pula tugasnya ialah
memnina dan memperkembangkan istilah, mengadakan penyelidikan dan
menyebarkan hasil pemerolehan mereka selain mengawal penggunaan bahasa
dengan mengeluarkan risalah dan panduan umum kepada sektor awam dan swasta
disamping menyediakan khidmat nasihat. Pada tahun 1980, satu lagi unit telah
ditubuhkan iaitu Unit Pelaksanaan Bahasa yang bertanggungjawab menggalakkan
penggunaan Bahasa Melayu dengan mengadakan ceramah, taklimat, forum, kursus,
rancangan Dewan Bahasa di radio, menyebarkan panduan bahasa, khidmat nasihat,
mengadakan kempen Cintai Bahasa Kita serta mengawasi penggunaan Bahasa
Melayu di sektor awam mahupun swasta.

Disamping itu, antara peranan-peranan utama DBP dalam Peristilahan ini ialah,
mengumpul, membentuk, memperbanyak dan menerbitkan istilah Bahasa Melayu
dalam pelbagai bidang ilmu. DBP turut mewujudkan Pangkalan Data Peristilahan
yang bersistem serta sesuai dengan matlamat penyebaran dan pemasyarakatan
istilah. Menyelaraskan istilah dan penggunaan istilah Bahasa Melayu selain
mengadakan kerjasama dengan Indonesi dan Brunei Darussalam melalui MABBIM.
Manakala peranan MABBIM pula ialah membina dan mengembangkan bahasa rasmi
atau bahasa kebangsaan di tiga buah negara anggota tetap berkenaan. MABBIM
juga bertanggungjawab dalam mendaulat, menyebar dan mengangkat martabat
Bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban yang tinggi bukan sahaja di rantau ini
malah di persada dunia. Usaha MABBIM adalah meliputi semua bidang keilmuan
seperti Sains, Teknologi, Komunikasi Maklumat, Perubatan, Perundangan,
Perekonomian, Kesusasteraan dan sebagainya.

PRINSIP-PRINSIP PEMBENTUKAN ISTILAH

Selepas 1975, usaha-usaha dalam memajukan istilah melayu telah menjadi lebih
proaktif. Penubuhan Jawatankuasa Pedoman Umum Pembentukan Istilah oleh
kerjasama antara DBP dan MABBIM bertanggungjawab dalam menghasilkan istilah
yang seragam antara Malaysia dan Indonesia selain memperkembangkan istilah
melayu yang lebih khusus, abstrak, dan tepat serta bersesuaian dengan bidang
ilmu di Malaysia. Keutamaan terhadap asas bahasa melayu dan bahasa-bahasa
serumpun menjadi keutamaan kepada jawatankuasa ini. Diantara prinsip-prinsip
dalam pembentukan istilah itu ialah:
3.1 Istilah Kata Tunggal

Istilah kata ini merupakan kata tanpa imbuhan iaitu hanya kata dasar. Ia dipilih
antara golongan kata utama, seperti Kata Nama, Kata Kerja dan Kata Adjektif.
Contohnya,

Kata Kerja: pecut accelerate

Imbas scan reka invent

Kata Adjektif: kenyal elastic rawak random cemas anxious

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), Akronim juga tergolong sebagai Kata
Tunggal Tanpa Imbuhan kerana ianya ditulis dan dilafazkan sebagai kata.
Contohnya: cereka, cerpen, tabika, tadika, pawagam, kugiran, MARA, ADUN,
BERNAMA, PLUS, KOBENA, BERNAS.

3.2 Istilah Kata Terbitan


Kata yang terbina daripada Kata Dasar dengan Imbuhan Awalan, Akhiran, Sisipan
atau Apitan. Istilah ini malahan termasuk sebagai Kata Dasar yang menerima
Imbuhan Bahasa Sanskrit, Arab dan Jawa.

Paradigma kata dengan imbuhan ber- contohnya: belajar pelajar pelajaran bertapa
pertapa pertapaan bertani patani pertanian

Paradigma dengan penambahan me(N)- contohnya: menulis penulis penulisan


tulisan mengajar pengajar pengajaran ajaran mengamal pengamal pengamalan
amalan membesar pembesar pembesaran mengubah pengubah pengubahan
mengairi pengairan

Paradigma dengan me(N)-, ber- contohnya: memberhentikan pemberhentian


perhentian perkecualian pembelajaran pelajaran

Paradigma kata dengan me(N)-, per- contohnya: mempersatukan pemersatu


pemersatuan persatuan memperoleh pemeroleh pemerolehan perolehan
mempelajari pelajar pelajaran

Paradigma kata dengan ke an contohnya: saksi kesaksian bermakna


kebermaknaan terbuka keterbukaan penduduk kependudukan sesuai kesesuaian

Paradigma kata dengan sisipan en-, -er-, -el-, -em-, -in- contohnya: gigi gerigi susu
tenusu tapak telapak kuncup kemuncup sambung sinambung

3.3 Istilah Kata Ganda


Istilah yang terdiri daripada Kata Ganda boleh juga merupakan gandaan kepada
Kata Dasar sepenuhnya atau sebahagian sahaja dengan atau tanpa imbuhan
ataupun perubahan bunyi.

Ganda Penuh, contohnya: langit-langit kanak-kanak labi-labi paru-paru buku-buku


guru-guru

Ganda Suku Kata Awal, contohnya: tetikus rerongga cecair rerambut gegua jejari

Ganda Suku Kata Awal dengan Imbuhan, contohnya: dedaunan pepohonan jejarian

Kata Ganda Berentak, contohnya: warna-warni batu-batan serta-merta bengkang-


bengkok bolak-balik hingar-bingar dolak-dalih mundar-mandir pupu-poyang rempah-
ratus

3.4 Istilah Bentuk Gabungan (Majmuk)

Istilah boleh dibentuk hanya dengan membuat penggabungan dua kata atau lebih.
Semua unsur yang terdapat dalam gabungan ini adalah terdiri daripada yang
berbentuk bebas tanpa mengira samaada sudah ataupun belum ditambah dengan
imbuhan.

Tanpa Imbuhan, contohnya: garis lintang atas aras laut daftar masuk mesin atur
huruf mesin kira tangan segi empat tepat ganda tiga kamera laut dalam

Dengan Imbuhan pada salah satu unsurnya, contohnya: saksi pendakwa pelarasan
gaji dalam talian atas talian mengambil alih menerima pakai penerima janji
gelombang melintang
Dengan Imbuhan pada kedua-dua unsur, contohnya: jagaan perlindungan
kedudukan anggaran perjanjian meluluskan perbelanjaan terealisasi

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN ISTILAH

Secara amnya, proses pembentukan istilah itu dapat ditentukan melalui beberapa
faktor. Mari kita lihat beberapa faktor dalam pembentukan istilah ini. Antaranya
ialah, Pemilihan kata daripada Bahasa Melayu. Pembentukan Istilah merupakan
proses mengambil kata daripada perbendaharaan kata umum Bahasa Melayu
termasuklah kata dari dialek-dialek ataupun bahasa-bahasa lama.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum pemilihan
sesuatu kata itu dibuat. Antara syarat-syarat tersebut ialah, kata yang akan diambil
perlu tepat dalam memberi makna, konsep, proses, keadaan atau ciri-ciri yang
dimaksudkan, kata yang dipilih pula perlu atau merupakan kata yang paling singkat
seandainya wujud sekelompok sinonim. Contohnya: hospital dan rumah sakit, dipilih
hospital. Fisiologi dan Kaji Tugas Organ, dipilih Fisiologi. Selain itu, kata tersebut
juga perlu tidak mempunyai konotasi buruk atau sebutan yang sumbang. Faktor
seterusnya ialah Pemilihan Kata daripada Rumpun Melayu. Pembentukan Istilah
sebenarnya boleh dibentuk daripada Perbendaharaan Kata bahasa serumpun
dengan Bahasa Melayu seandainya tidak terdapat istilah yang diperlukan daripada
Bahasa Melayu. Contoh-contohnya ialah gambut (daripada bahasa Banjar) peat,
nyeri (daripada bahasa Sunda) pain dan engkabang (daripada bahasa Iban)
ellipenut.

Faktor yang seterusnya ialah, Perbendaharaan Kata Bahasa Asal. Kata-kata daripada
bahasa asal atau bahasa asing adalah dibenarkan pengambilannya sekiranya istilah
yang diperlukan itu tidak diperoleh daripada Bahasa Melayu dan bahasa serumpun
dengan Bahasa Melayu. Keutamaan terhadap ejaannya dalam bahasa sumber
adalah penting dan perlu disesuaikan dalam penulisan istilah tersebut, namun
penyebutannya pula perlu mengikut sistem bunyi Bahasa Melayu. Manakala Bahasa
Inggeris pula dianggap paling internasional bagi tujuan penyeragaman untuk tujuan
sebagai bahasa sumber melainkan konsep yang berkenaan tidak wujud istilahnya
dalam Bahasa Inggeris. Contoh-contohnya ialah television dalam Bahasa Asal
manakala televisyen dalam Bahasa Melayu, Structure dalam Bahasa Asal manakala
struktur dalam Bahasa Melayu.
Seterusnya pula ialah Penyerapan Istilah Asing. Peminjaman terhadap istilah asing
ini dibuat apabila sesuai penggunaanya dari segi makna kata itu, singkat dari segi
terjemahan bahasa melayunya dan mempermudahkan penyelarasan bagi istilah
asing yang diserap itu sekiranya istilah bahasa melayunya mempunyai banyak
sinonim. Bentuk-bentuk Serapan. Pengambilan kata daripada Bahasa Asing itu
hanya terdiri daripada bentuk akarnya atau terbitannya. Namun, ia bergantung
pada konteks situasi dan penggunaanya dalam ayat, kemudahan untuk belajar
bahasa dan dari segi kepraktisannya. Oleh itu, bentuk tunggal adalah digunakan.
Contohnya spectrum kecuali jika bentuk jamaknya merupakan lebih biasa dipakai.

Disamping itu, Istilah Asing yang sudah lazim juga adalah antara faktor-faktor
dalam Pembentukan Istilah. Penggunaannya boleh terus digunapakai walaupun
penggunaanya kadangkala tidak sesuai dengan peraturan. Walaubagaimanapun, ia
dilakukan hanya untuk mengelakan daripada berlakunya kekeliruan. Contohnya,
campaign (Istilah Asing) dan kempen (Istilah Bahasa Melayu). Pension (Istilah Asing)
dan Pencen (Istilah Bahasa Melayu). Faktor seterusnya ialah, Ejaan Istilah
(Ungkapan) Asing yang tetap. Penggunaan Istilah Asing atau ungkapan-ungkapan
tertentu yang mana sebutan dan ejaannya adalah dikekalkan dalam semua bahasa
malah turut digunapakai dalam Bahasa Melayu dengan syarat diletakkan dengan
garisan bawah ataupun dicetak miring (italic). Contohnya 9.2.2 bona fide dan 9.2.5
weltanschauung.

PEMBENTUKAN ISTILAH DALAM PELBAGAI BIDANG

Menurut Datuk Abdul Aziz Deraman, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
bahasa yang maju turut sama mencerminkan sebuah bangsa yang maju dalam
pelbagai bidang kehidupan. Malah, menurut beliau lagi, pembentukan istilah-istilah
baru akan menjadikan sesuatu bahasa itu lebih dinamik. Dalam bidang
Pembentukan Istilah pula, pelbagai istilah telah digubal dan dibentuk dalam
pelbagai bidang. Antara tujuan dan matlamat DBP dalam menggubal dan
membentuk istilah dalam pelbagai bidang ini adalah memudahkan dan membantu
seseorang dalam proses pembelajaran untuk mempelajari sesuatu bidang selain
menjadi rujukan dalam pembelajaran. Berikut adalah contoh-contoh istilah-istilah
mengikut bidang-bidang tertentu.

Istilah Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Dalam bidang ini, bukan hanya pelajar
dalam bidang ICT yang mempunyai kepentingan utama mengapa diwujudkan istilah
ini, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.
Penting dan perlu adanya atau wujudnya istilah dalam Teknologi Maklumat dan
Komunikasi kerana ia dapat membezakan penggunaan sesuatu istilah itu.
Contohnya audioconferencing (Bahasa Inggeris) manakala sidang audio (Bahasa
Melayu), connection-oriented network (Bahasa Inggeris) manakala rangkaian
berorientasikan sambungan (Bahasa Melayu) dan data scrambler (Bahasa Inggeris)
manakala pengarau data (Bahasa Melayu).

Istilah Undang-undang. Istilah ini penting kepada peguam-peguam. Mudah untuk


mereka memberi penerangan tentang sesuatu terma di dalam istilah-istilah mereka.
Manakala orang awam pula boleh mengetahui dan memahami apa yang dinyatakan
oleh peguam-peguam yang menggunakan istilah undang-undang tidak kira
samaada di dalam mahkamah ataupun bilik soal-siasat. Contohnya, administrative
order (Bahasa Inggeris) manakala perintah pentadbiran (Bahasa Melayu), fugitive
offender (Bahasa Inggeris) manakala pesalah buruan (Bahasa Melayu). Dalam
Bidang ICT atau Komputer pula, terdapat banyak penggunaan istilah-istilah Bahasa
Inggeris yang kompleks dan sekiranya tidak menggunakan istilah-istilah dalam
Bahasa Melayu, akan menyukarkan pengguna, apatah lagi, penggunaan teknologi
dalam ICT dan komputer pada era globalisasi ini semakin meluas. Antara contoh
Istilah Komputer ialah, access (Bahasa Inggeris) manakala capaian (Bahasa
Melayu), Cursor (Bahasa Inggeris) manakala Kursor (Bahasa Melayu), integrated
circuit (Bahasa Inggeris) manakala litar bersepadu (Bahasa Melayu).

Istilah Ekonomi atau Pentadbiran Perniagaan merupakan istilah-istilah yang dicipta


bagi memudahkan bahasa bidang perniagaan mahupun bidang Pentadbiran
Perniagaan. Istilah-istilah dalam bidang ini membantu memudahkan orang ramai
dan peniaga agar memahami beberapa perkara atau kata yang berkaitan dengan
ekonomi dan bidang Pentadbiran Perniagaan. Contohnya, balance sheet (Bahasa
Inggeris) manakala kunci kira-kira (Bahasa Melayu), cash flow (Bahasa Inggeris)
manakala aliran tunai (Bahasa Melayu) dan investment climate (Bahasa Inggeris)
manakala iklim pelaburan (Bahasa Melayu). Bidang Perhotelan juga tidak
ketinggalan dalam pembentukan istilahnya. Bidang Perhotelan mempunyai istilah-
istilah yang biasanya digunakan dalam surat-surat jemputan rasmi VIP atau VVIP
yang menunjukkan tempat di dalam sesebuah hotel. Antara contoh-contoh Istilah
Bidang Perhotelan ialah, ballroom (Bahasa Inggeris) manakala dewan besar (Bahasa
Melayu), deluxe room (Bahasa Inggeris) manakala bilik mewah (Bahasa Melayu),
banquet (Bahasa Inggeris) manakala bankuet (Bahasa Melayu).

Istilah Fotografi merupakan istilah-istilah yang biasanya adalah istilah lazim


dikalangan jurukamera. Dengan adanya istilah-istilah dalam fotografi, maka mudah
bagi jurukamera untuk melakukan tugasan mereka. Antara contoh-contoh istilah
bidang ini ialah abstract photography (Bahasa Inggeris) manakala fotografi abstrak
(Bahasa Melayu), camera angle (Bahasa Inggeris) manakala sudut kamera (Bahasa
Melayu) dan half-length potrait (Bahasa Inggeris) manakala potret separuh (Bahasa
Melayu). Manakala dalam Istilah Matematik dan Statistik pula, istilah-istilah yang
terdapat dalam bidang ini ialah istilah yang sangat berguna kepada pelajar-pelajar
terutama dalam pembelajaran Matematik dan Statistik. Antara contoh-contoh istilah
dalam bidang ini ialah affine geometry (Bahasa Inggeris) manakala geometri afin
(Bahasa Melayu), affine (Bahasa Inggeris) manakala afin (Bahasa Melayu) dan
aggregative index (Bahasa Inggeris) manakala indeks pengagregatan (Bahasa
Melayu).

PENUTUP

Pembentukan serta pembinaan istilah-istilah baru dalam Bahasa Melayu telah


berlangsung sejak awal 1960-an lagi. Ia mencerminkan keupayaan Bahasa Melayu
itu dalam mencorak budaya dan pemikiran bangsa Malaysia. Tugas dan
tanggungjawab yang digalas oleh jawatankuasa istilah adalah sesuatu yang sangat
mencabar. Pelbagai kritikan terutamanya dari kalangan mereka yang kurang arif
mengenai perkara ini menjadi inti dalam tugasan mereka. Pembentukan Peristilahan
merupakan perkara yang berkait rapat dengan proses pemodenan bahasa malah
penting dalam pembinaan budaya ilmu. Oleh kerana kepentingan itulah, maka
diwujudkan jawatankuasa istilah serta kerjasama serumpun antara Malaysia,
Indonesia dan Brunei Darussalam atau gabungan yang dikenali sebagai MABBIM
bagi merealisasikan kerja-kerja pembentukan istilah. Melalui kerjasama ini dapat
kita ketahui secara tersirat bahawa bidang Pembentukan Istilah merupakan suatu
perkara yang serius kerana ia merupakan antara usaha-usaha dalam
memartabatkan penggunaan serta pentingnya Bahasa Melayu. Dalam memajukan
bidang peristilahan di Malaysia, usaha pembangunannya adalah berterusan di
bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seiring dengan kemajuan teknologi
masakini. Bak kata pepatah, ibarat dayung sudah di tangan dan perahu sudah di
air, segala usaha dan prasarana telah disediakan khusus untuk dimanfaatkan oleh
pengguna bahasa dalam membantu usaha DBP dan MABBIM dalam pembentukan
istilah.

Anda mungkin juga menyukai