Anda di halaman 1dari 1

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT MAJMUK GABUNGAN DALAM

KALANGAN MURID TAHUN TIGA MENGGUNAKAN TEKNIK JADUAL N.K.H.K.

Oleh:
Rabiatul Adauwiyyah Binti Ab. Kadir
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini bertujuan meningkatkan kemahiran membina ayat majmuk gabungan
dalam kalangan murid tahun tiga menggunakan teknik Jadual N.K.H.K. Hasil tinjauan awal
mendapati 13 daripada 20 orang responden tahun tiga iaitu 65 peratus berjaya berada pada
tahap Baik dengan memperoleh enam (6) hingga lapan (8) markah untuk bahagian A, kertas
dua, mata pelajaran bahasa Melayu. Tujuh (7) responden yang lain iaitu 35 peratus hanya
berada pada tahap sederhana dengan memperoleh markah tiga (3) hingga lima (5). Kajian ini
menggunakan instrumen analisis dokumen, ujian membina ayat awal dan akhir, temu bual
berstruktur dan soal selidik. Data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif. Responden kajian
ini terdiri daripada 20 orang murid tahun tiga. Penyelidikan tindakan ini berpandukan kepada
Model Kurt Lewin (1946) dan Laidlaw (1992). Tumpuan perancangan tindakan kajian ini
adalah meningkatkan kefahaman responden terhadap kata hubung gabungan sambil, atau
dan lalu. Penguasaan kata hubung gabungan ini dapat membantu responden membina ayat
majmuk gabungan predikat melalui pengaplikasian teknik jadual N.K.H.K. Jadual N.K.H.K.
mempunyai empat lajur yang memisahkan antara kata nama, kata kerja, kata hubung dan kata
kerja sehingga membentuk ayat majmuk gabungan predikat yang betul. Jadual N.K.H.K.
disediakan di dalam bentuk latihan lembaran kerja. Intervensi dilaksanakan dalam tiga
peringkat dan setiap peringkat berfokus kepada satu jenis kata hubung gabungan sahaja.
Analisis data mendapati seramai 7 orang murid iaitu 35 peratus responden menunjukkan
peningkatan ketara apabila berada di tahap Cemerlang dengan markah antara sembilan (9)
hingga sepuluh (10) di dalam ujian membina ayat akhir berbanding ujian membina ayat awal.
Dapatan daripada soal selidik pula mendapati 75 peratus responden iaitu seramai 15 orang
murid menyokong bahawa teknik ini membantu responden dalam membina ayat majmuk
gabungan dengan betul. Hasil temu bual berstruktur pula mendapati 80 peratus responden iaitu
empat orang murid dapat memberi contoh ayat majmuk gabungan secara lisan dengan betul.
Implikasi kajian ini ialah guru dapat membantu murid menguasai kata hubung gabungan dan
membina ayat majmuk gabungan dengan gramatis. Untuk kajian seterusnya dicadangkan agar
jumlah kata hubung gabungan lain digunakan seperti tetapi, serta dan kemudian. Jumlah
lajur yang digunakan juga boleh dikembangkan dengan menambah lajur kata bantu, kata
sendi dan objek. Dengan menggunakan teknik yang lebih berstruktur, kreatif dan berbentuk
visual akan menjadikan pengajaran lebih menarik.

Anda mungkin juga menyukai