Anda di halaman 1dari 2

Pada hari ini, saya ada satu kisah yang hendak dikongsi dengan kawan-kawan.

Tajuk cerita saya ialah


‘Akukah Yang Bersalah?’.

Eh kawan-kawan, siapa yang bersalah ni? Haaaa, kalau kawan-kawan nak tahu, marilah, marilah
duduk dekat dengan saya dan pasang telinga. Kawan-kawan yang saya hormati. Kisahnya adalah
tentang seorang anak yatim. Namanya Alif. Ayah Alif telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Dia
tinggal bersama ibunya. Untuk menyara hidup mereka, ibunya telah mengambil upah menebas
rumput dan menjual kuih. Namun, Alif tidak pernah mengeluh dan dia reda dengan hidupnya. Malah
Alif juga mengambil upah menjual kuih dan surat khabar. Haa kawan-kawan, baiknya hati Alif ni ya?
Setiap pukul 6.00 pagi, Alif akan membantu ibunya menjual kuih dan surat khabar. Alif mengayuh
basikalnya dari rumah ke rumah. Ibunya pula menjual kuih di tepi jalan. Selepas menjual kuih, Alif
baru ke sekolah. Seperti biasa, Alif mengayuh basikal laju-laju berpeluh-peluh badannya. Alif bimbang
akan bertemu guru disiplin sekolah. Cikgu Hanif, jika bertembung lagi pasti Cikgu Hanif memarahi
Alif. Ini bukan kali pertama Alif lewat ke sekolah. Ahhhhh, mendengar nama Cikgu Hanif, semua
murid kecut perut apa lagi bersua muka dengannya. Eeeee seramnya. Ingatlah, ya kawan-kawan.
Datang lambat ke sekolah bukanlah sikap yang baik.

Sampai sahaja di sekolah, jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Dengan tergesa-gesa, Alif terus ke
kelasnya. Tiba-tiba, “Alif!” jerit Cikgu Hanif. “Aduhai, bertemu lagi. Habislah aku,”bisik Alif. Panggilan
itu mematikan langkahnya. Degupan jantungnya bertambah kencang apabila melihat kepada Cikgu
Hanif yang sangat bengis. Dengan suara yang lantang, Alif dimarahi kerana datang lewat ke sekolah.
Alif hanya membisu. Memberi alasan pada saat itu bukanlah sesuatu yang bijak. Walaupun Alif
menjelaskan, tetapi Cikgu Hanif enggan mendengar alasannya. Malah, Alif tetap dituduh
menegakkan benang yang basah. Kawan-kawan tahu apa yang terjadi pada Alif? Dia dibawa ke bilik
guru disiplin. Dia dirotan di telapak tangan. “Aduh, aduh, sakitnya!” Alif menahan kesakitan. Alif
menangis sambil keluar dari bilik guru disiplin. Bukan itu saja kawan-kawan, Alif telah diberi surat
amaran untuk disampaikan kepada ibunya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hati
Alif bertambah pilu mengenangkan perasaan ibunya nanti. Alif kecewa kerana dituduh sebagai
pelajar yang pemalas. Padahal, dia bukan seperti itu. Dia terlambat kerana membantu ibunya
menyara keluarga. Haaaaa, mulia sungguh hati Alif itu ya, kawan-kawan?

Kawan-kawan nak tahu apa terjadi seterusnya? Setelah sesi persekolahan tamat pada hari itu, Alif
terus pulang ke rumahnya. Selepas selesai menukar pakaian, Alif terus ke dapur kerana perutnya
terasa sangat lapar. Apabila ingin menyuap nasi, terasa telapak tangannya sakit. Ibu Alif memerhati
dari dapur. “Kenapa, nak? Kenapa dengan tanganmu itu?” tanya ibu Alif. Alif terkejut disapa ibunya.
“Alif, Alif dipukul cikgu mak. Sakit tangan Alif mak.”

Ibu Alif segera mendapatkan Alif dan melihat kesan di telapak tangannya. Alif segera memberitahu
ibunya apa yang telah terjadi dan memberikan surat amaran kepada ibunya. Ibu Alif sangat sedih
mengenangkan nasib mereka sekeluarga. Apa yang diharap oleh ibu Alif adalah untuk melihat Alif
berjaya dalam pelajarannya. Ibu Alif tidak mahu lagi Alif lewat ke sekolah. Pada ibu Alif, dia mampu
menyara kehidupan mereka sekeluarga. Kawan-kawan tahu, keesokan harinya Alif bangun awal dan
bersiap-siap pergi ke sekolah. Pada hari ini, Alif mendapat semangat baharu. Dia tidak lagi mahu
lewat ke sekolah. Alif mengayuh basikalnya laju-laju agar cepat sampai ke sekolah. Kawan-kawan
tahu apa yang terjadi pada Alif? Sampai saja di pertengahan jalan tanpa melihat kiri dan kanan, Alif
terus melintas. Malangnya, sebuah kereta telah melanggar Alif. Alif tercampak di tepi jalan lalu
pengsan. Orang yang melanggar Arif itu segera membawa Alif ke klinik berdekatan. Haa kawan-
kawan, mujurlah Alif tidak apa-apa. Dia hanya mengalami luka-luka kecil sahaja. Itulah kawan-kawan,
kita mesti berhati-hati semasa berada di jalan raya. Jangan tergopoh-gapah nanti bahaya yang
menanti. Tidak lama kemudian, Alif tersedar. Dia terkejut melihat Cikgu Hanif berada di sisinya.
Dengan wajah yang ikhlas dan sedih, Cikgu Hanif meminta maaf kerana kecuaiannya yang
menyebabkan Alif tercedera. Rupa-rupanya, kereta yang dipandu Cikgu Hanif yang melanggarnya.
“Maafkan cikgu, Alif. Cikgu benar-benar tak sangka. Nasib baik kamu tidak apa-apa,”kata Cikgu Hanif.
Cikgu Hanif juga telah mengetahui cerita sebenar daripada ibu Alif, mengapa sebelum ini Alif sering
lewat ke sekolah. Dengan senang hati Alif memberitahu dialah yang bersalah dan tidak berhati-hati.
Begitulah kawan-kawan, niat di hati untuk membantu keluarga adalah satu sikap yang mulia. Namun,
kita mestilah memikirkan pelajaran dan juga keselamatan diri. Sekiranya telah melakukan kesilapan
janganlah malu meminta maaf kerana orang yang mengakui kesalahannya akan dipandang mulia.
Kawan-kawan, sampai di sini saja cerita saya. Moga berjumpa lagi. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai