Anda di halaman 1dari 9

APA SALAHKU…

Nurin
“Aduh.” Alia ditolak oleh ibunya.
Begitulah nasib Alia. Saban hari dia didera oleh ibunya.
Kadang-kadang dipukul, ditolak, diherdik dan macam-
macam lagi penderitaan yang Alia alami.
“Salah kaulah suami aku mati.” Itulah ayat yang selalu
diulang-ulang oleh ibu Alia. Kadang-kadang dia rasa, dia
hanyalah seorang anak pungut yang tidak berguna.
“Ibu, maafkan lah Alia. Alia mengaku memang
kematian ayah disebabkan Alia. Alia minta maaf, ibu.”
Berulang kali jugalah Alia melafazkan ayat yang sama. Dia
terpaksa mengaku salah demi sebuah kemaafan daripada
ibunya. Tapi semuanya hanyalah sia-sia.
Alia bergegas ke biliknya. Dia perlu segera bersiap
untuk ke sekolah. Setelah menyarung uniform sekolah, dia
mengambil beg. Nampaknya, hari ini dia terpaksa pergi ke
sekolah dengan perut yang kosong lagi. Kalau ibunya
sedang marah, maka tiada makanan dan tiada juga duit
belanja.
Alia sampai di perhentian bas sudah agak lewat, namun
dia masih bernasib baik kerana masih sempat mendapatkan
bas. Sesampai di sekolah, dia bersegera untuk turun. Tiba-
tiba dia terasa belakang badannya sakit. Dia ditolak oleh
seorang budak lelaki. Maka tergoleklah dia di tepi bas.
“Cepatlah bergerak, bodoh. Orang lain nak cepat juga.
Hah, kan dah merasa.” jerit seorang budak yang berbadan
besar. Budak itu jugalah yang selalu membulinya.
Sebenarnya, ramai lagi murid-murid sekolah itu yang suka
membuli Alia.
Cikgu Syafik yang ternampak kejadian itu segera
menjerit, “Akmal, apa yang awak buat? Awak ni dah
melampau tau.”
Namun Alia segera mendapatkan Cikgu Syafik, “Tak
pe cikgu, sikit je. Saya okey je.” Alia terpaksa menenangkan
Cikgu Syafik. Dia tahu, kalau Akmal didenda, maka lebih
teruklah tindakan Akmal terhadapnya.
“Baiklah, kalau Akmal buli awak lagi, segera beri tahu
cikgu.” kata Cikgu Syafik sambil mengiringi Alia ke
kelasnya. Alia perasan yang Akmal mencebek bibir sambil
tersenyum sinis ke arahnya.
“Ya Allah, Kau kuatkan lah hatiku. Di rumah aku
didera, di sekolah aku dibuli.” itulah doa yang selalu
dipohon oleh Alia. Alia pasti Allah mendengar bisikannya.
Pulang dari sekolah, Alia terus pulang ke rumah. Dia
memberi salam, namun salamnya tidak bersambut. Itu
perkara biasa bagi Alia. Namun keadaan hari itu agak
berbeza. Keadaan rumah itu sungguh senyap. Dia cuba
mencari ibunya, namun kelibat ibunya tidak kelihatan.
“Mak Som, Mak Som. Mak Som tau ke mana ibu
saya?” Alia telah sampai ke rumah jirannya.
“Oh, Alia. Ibukau ada di hospital. Dia kena serangan
jantung.” terang Mak Som. Mak Som, dialah tempat Alia
bermanja. Dialah tempat Alia mengadu. Mak Somlah yang
selalu menenangkan hati Alia. Kata-kata Mak Somlah yang
menguatkan semangat Alia.
Selepas Alia menikmati juadah tengah hari di rumah
Mak Som, Mak Som telah membawa Alia ke hospital
dengan kereta Kancil lamanya. Sesekali Mak Som
mengeluh, brek keretanya telah lama tidak diservis.
Mungkin breknya sudah kurang cengkaman.
Tapi Alia tidak hiraukan keluhan Mak Som itu. Hati
Alia berkecamuk memikirkan nasib ibunya. Walaupun
ibunya selalu menganiayanya, namun hanya ibunya yang
Alia ada di dunia ini. Dia tidak pernah berdendam dengan
ibunya, dia sayang ibunya.
“Semoga penyakit ibu tidak teruk dan segera sembuh.”
doa Alia berulang kali dalam hatinya.
Sesampai di hospital, Alia dan Mak Som segera ke katil
ibunya. Mengalir air mata Alia apabila melihat ibunya
terbaring lesu di wad 3A.
“Ibu, bagaimana keadaan ibu.” tanya Alia sambil dia
ingin bersalaman dengan ibunya. Namun ibu Alia terus
memeluk Alia dengan erat sambil menangis tersesak-esak.
Alia tergamam. Apa yang sebenarnya berlaku. Tidak
pernah dia merasa pelukan seperti ini daripada ibunya.
“Maafkan ibu, Alia. Selama ini ibu sering memarahi
dan mengabaikan kau. Ibu meletakkan semua kesalahan
atas bahukau. Sampaikan ibu lupa takdir dan ketentuan
Allah.” kata ibu Alia panuh kesayuan. Alia menjadi semakin
tidak faham.
“Alia sayang ibu. Ibu tiada salah kepada Alia. Alia yang
bersalah kepada ibu.” balas Alia.
“Tidak sayang. Alia anak yang baik. Kematian ayah
bukan kesalahan Alia.” Alia membiarkan ibunya bercerita.
Dia mendengar setiap patah kata ibunya dengan penuh
keinsafan.
Rupa-rupanya, ayah Alia meninggal dunia ketika
menyelamatkan Alia dalam satu kebakaran. Ketika itu Alia
masih bayi. Rumah yang mereka huni telah terbakar. Ayah
Alia menyelamatkan Alia. Ketika menggendong Alia,
sebatang kayu yang terbakar telah menghempap ayah Alia.
Alia sempat dicampak untuk disambut oleh jiran mereka.
Ayah Alia meninggal dunia di situ juga.
Kini fahamlah Alia akan duduk perkara sebenar. Alia
mencium ibunya berulang kali. Dia bertekad akan
membahagiakan hidup ibunya. Dia amat mengasihi ibunya.
“Baiklah ibu, Alia balik dulu. Ibu berehat dulu ya.
Semoga ibu cepat sembuh. Nanti ibu boleh balik, kita
panggil orang kampung untuk bertahlil dan buat doa
selamat.” pujuk Alia kepada ibunya.
Alia balik bersama Mak Som. Baru sahaja mereka
meninggalkan perkarangan hospital, hujan turun dengan
lebatnya. Mak Som memandu dengan tenang. Namun,
sampai sahaja di satu selekoh yang tajam, sebuah lori yang
penuh dengan muatan pasir telah hilang kawalan lalu
merempuh kereta Mak Som. Mak Som cuba membrek,
namun kereta Kancil lamanya terus menggelunsur
menghentam kepala lori itu.
Di Wad 3A, jururawat bertugas menghampiri ibu Alia,
“Puan, kami baru menerima berita, anak puan kemalangan
jalan raya. Kereta yang dinaiki remuk teruk. Anak puan
dan seorang lagi wanita telah meninggal di tempat
kejadian.”
“Allahuakbar… Alia anak aku. Maafkan ibu Alia.
Semoga Alia tenang bersama ayah di sana.” itulah rintihan
ibu Alia.
Keesokannya, jenazah Alia dan Mak Som selamat
dikebumikan. Ibu Alia memanggil orang kampung untuk
bertahlil. Bukan kenduri kesyukuran, tetapi tahlil untuk
arwah Alia.

Anda mungkin juga menyukai