Anda di halaman 1dari 4

TEKS BERCERITA : MAAFKAN CIKGU

Terima kasih peneraju acara. Yang dihormati, saf kehakiman teguh saksama, guru-

guru, rakan-rakan seperjuangan seterusnya hadirin yang dikasihi.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar kawan-kawan? Harap-harap

semuanya sihat ya. Pada hari ini, ada sebuah kisah yang ingin saya kongsikan

kepada kawan-kawan.Tajuknya berbunyi, ‘Maafkan Cikgu’. Eh, kenapa cikgu

pula yang minta maaf ya? Kalau kawan-kawan ingin tahu, mari dengarkan.

Kisahnya adalah tentang seorang anak yatim yang bernama Safawi, ayahnya telah

meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi. Untuk menyara kehidupan mereka,

ibunya telah mengambil upah menebas di kebun dan menjual kuih. Namun, Safawi

tidak pernah mengeluh, malah dia turut membantu ibunya dengan menghantar

suratkhabar sebelum ke sekolah. Baik sungguh Safawi, kan kawan-kawan? Seperti

biasa pada setiap pagi, dia mengayuh basikalnya dengan laju ke sekolah.

Berpeluh-peluh badannya. Dia bimbang akan bertembung dengan Cikgu Faizal,

guru disiplinnya di sekolah. Ah, mendengar namanya sahaja sudah cukup

membuatkan murid-murid kecut perut apatah lagi bersemuka dengannya. Ingat ya

kawan-kawan, datang lambat ke sekolah bukanlah amalan yang baik.

Ketika sampai di sekolah, jam tangan Safawi menunjukkan pada jam 8.00 pagi.

Dengan langkah yang tergesa-gesa, Safawi menuju ke kelasnya.Tiba-tiba, nama

Safawi dipanggil. Panggilan itu mematikan langkahnya.Degup jantung Safawi

bertambah kencang.Terlihat wajah Cikgu Faizal yang serius. Dengan suara

lantang, Safawi dimarahi kerana datang lewat lagi. Safawi hanya membisu.

Memberi alasan pada saat itu bukanlah tindakan yang bijak. Walaupun dia pernah
memberikan penjelasan, tetapi Cikgu Faizal enggan mendengarnya, malah dia

dituduh cuba menegakkan benang yang basah.

Kawan-kawan, apakah yang berlaku selepas itu? Apalagi, Safawi pun dibawa ke

bilik guru disiplin. Dia telah diberi surat amaran untuk disampaikan kepada ibunya.

Safawi berasa sangat sedih. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang

memikul. Dia juga kecewa kerana dituduh sebagai murid yang bermasalah.

Padahal dia bukanlah seperti yang disangkakan.

Kawan-kawan,

Kisah ini mengingatkan kita kepada satu kisah dahulu kala. Seorang wanita

berbadan dua, Dang Anum namanya dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud hanya

kerana mengidamkan nangka milik Sultan. Tanpa usul periksa, Sultan terus

menjatuhkan hukuman hingga menimbulkan suatu peristiwa berdarah dan tragis

dan di akhirnya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Benarlah rakan-rakan, menuduh tanpa bukti hanya akan mendatangkan mudarat

di kemudian hari.

Hadirin sekalian,

Kasihan Safawi. Rakan-rakannya juga sering mencercanya kerana selalu didenda

atas kelewatannya sampai ke sekolah. Ingat ya, sebagai kawan yang baik, kita

sepatutnya memberikan sokongan dan bersikap prihatin terhadap kawan kita yang

mempunyai masalah.

Setelah tamat persekolahan pada hari itu, Safawi pun terus pulang ke rumah.

Selepas selesai menunaikan solat Zohor, dia terus ke dapur kerana perutnya

sudah ‘berkeroncong’. Apabila dia hendak menjamah makanan, dia teringat


kembali peristiwa yang berlaku di sekolah tadi. Seleranya terus hilang. Dia

membuat keputusan untuk ke kebun Pak Rusli untuk berjumpa dengan ibunya. Dia

ingin menceritakan tentang peristiwa yang berlaku di sekolahnya tadi. Sebaik

sahaja terpandang raut wajah ibunya, dia berasa tidak sampai hati untuk

bercerita, malah dia membantu ibunya menyelesaikan kerja. Baginya, ibulah

segala-galanya.‘Hanya dirimu pujaan hatiku, hanya padamu ku serah cintaku, kau

segalanya, bagi kuterindah, hingga ke akhirnya nafas ini. ’Ingat ya kawan-kawan,

syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Sayangilah ibu setiap masa.

Kawan-kawan, pada malam itu, Safawi nekad menyatakan hasratnya untuk

berhenti kerja.Dia pun menyerahkan surat yang diterima daripada Cikgu Faizal

kepada ibunya. Dia melihat wajah ibunya menahan kesedihan setelah membaca

surat itu. Bagi ibunya,dia masih mampu menyara keluarga seorang diri. Harapan

ibunya hanya ingin melihat anaknya, Safawi Berjaya dalam pelajaran dan

memperoleh pekerjaan yang bagus apabila dewasa nanti.

Sebagai murid Tahun 6, Safawi mampu berfikir secara matang. Dia berazam untuk

dating awal ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh kerana UPSR tinggal

beberapa bulan sahaja lagi. Justeru, keesokan harinya, awal pagi lagi Safawi telah

sampai di kedai Pak Cik Jumat, tempat dia mengambil suratkhabar. Dia

menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja.

Selepas itu, Safawi mengayuh basikalnya lebih laju daripada kebiasaan. Dia tidak

ingin terlewat lagi. Dia sudah serik dengan ‘amukan’ guru disiplinnya. Apabila tiba
di simpang jalan, tanpa melihat kiri dan kanan, Safawi terus melintas. Malang tidak

berbau, sebuah kereta Ford Ranger putih telah melanggarnya. Safawi tercampak

ke seberang jalan lalu pengsan. Orang yang melanggar Safawi itu terus

membawanya ke klinik yang berdekatan. Mujurlah Safawi tidak apa-apa. Dia Cuma

mengalami kecederaan ringan sahaja. Ingat ya kawan-kawan, kita mestilah

berhati-hati semasa berada di jalan raya. Pandu cermat, jiwa selamat.

Tidak lama kemudian, Safawi tersedar lalu terkejut melihat Cikgu Faizal berada di

sisinya. Dengan wajah yang ikhlas dan mesra, Cikgu Faizal meminta maaf atas

kecuaiannya. Rupa-rupanya, Cikgu Faizal yang telah melanggar Safawi. “Maafkan

cikgu, Safawi. Cikgu tidak sengaja. Sekarang, cikgu sudah tahu mengapa kamu

sering lewat dating ke sekolah. Ibukamu telah menceritakan semuanya kepada

cikgu. ”Safawi juga mengakui yang dia bersalah kerana tidak berhati-hati semasa

melintas jalan.

Begitulah kawan-kawan, niat di hati untuk membantu keluarga adalah satu sifat

yang mulia. Namun, kita mestilah mengutamakan masa depan dan keselamatan

diri juga. Sekiranya kawan-kawan telah melakukan kesalahan, segeralah meminta

maaf kerana orang yang mengakui kesalahannya akan dipandang mulia. Sampai

di sini sahaja cerita bertajuk, “Maafkan Cikgu”.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai