Anda di halaman 1dari 2

SKRIP BERCERITA TAHAP 2

PESERTA: MUHAMMAD LUTFI SHAHFAHMIEY BIN SHAHRIL

TAJUK : Maafkan Cikgu.

Terima kasih tuan pengerusi majlis. Yang dihormati, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, penjaga masa yang patuh dengan waktu, guru-guru pengiring, serta
rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada
pagi yang indah ini, saya MUHAMMAD LUTFI SHAHFAHMIEY BIN SHAHRIL dari SK
Ladang Mutiara akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “Maafkan
Cikgu”. Eh kenapa cikgu pula yang minta maaf ya? Ha! Kalau kawan-kawan semua
nak tahu, marilah dengar cerita saya.

Kawan-kawan yang saya hormati,

Kisah ini menceritakan tentang seorang anak yatim. Namanya Amir.


Ayahnya telah meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi. Untuk menyara
kehidupan mereka, ibunya telah mengambil upah menebas kebun dan menjual
kuih. Namun, Amir tidak pernah mengeluh, malah dia turut membantu ibunya
dengan menghantar surat khabar sebelum ke sekolah. Baiknya Amir tu ya, kawan-
kawan. Seperti kebiasaannya, setiap pagi Amir akan mengayuh basikalnya laju-laju.
Berpeluh-peluh badannya. Amir bimbang akan bertembung dengan Cikgu Hakim,
guru disiplin di sekolah. Ah, mendengar namanya sahaja sudah cukup
membuatkan pelajar-pelajar kecut perut apatah lagi bersemuka dengannya.
Seramnya! Ingatlah ya kawan-kawan, datang lambat ke sekolah bukanlah sikap
yang baik.

Ketika sampai di sekolah, jam tangan Amir menunjukkan jam 8.30 pagi.
Dengan langkah yang tergesa-gesa, Amir pun menuju ke kelasnya. Tiba-tiba,
“Amir!!”. Nama Amir dipanggil. Panggilan itu lantas mematikan langkahnya. Degup
jantung Amir bertambah kencang. Terlihat wajah Cikgu Hakim yang sangat serius.
Dengan suara yang lantang, Amir dimarahi kerana datang lewat. Amir hanya
membisu. Memberi alasan pada saat itu bukanlah tindakan yang bijak. Walaupun
Amir pernah menjelaskan tetapi Cikgu Hakim enggan mendengarnya malah dia
dituduh menegakkan benang yang basah.

Kawan-kawan sekalian,

Apakah yang berlaku selepas itu? Apalagi, Amir terus dibawa ke bilik guru
disiplin. Dia telah diberi surat amaran untuk disampaikan kepada ibunya. Amir pun
menerima dengan sedih. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Amir kecewa kerana dituduh sebagai pelajar yang malas. Padahal, dia
bukanlah seperti apa yang disangkakan. Rakan-rakan Amir juga sering
mengejeknya kerana selalu didenda atas kelewatannya sampai ke sekolah.
Setelah sesi persekolahan tamat pada hari itu, Amir pun terus pulang ke
rumah. Selepas selesai solat, Amir pun terus ke dapur kerana perutnya terasa terlalu
lapar. Apabila dia ingin menjamah makanan, dia teringat kembali peristiwa yang
berlaku di sekolah tadi. Seleranya hilang. Amir membuat keputusan untuk ke kebun
Pak Megat untuk berjumpa dengan ibunya. Amir ingin menceritakan tentang
peristiwa yang berlaku di sekolahnya tadi. Sebaik sahaja terpandang wajah ibunya,
dia berasa tidak sampai hati untuk menceritakan. Dia malah pergi membantu
ibunya menyelesaikan kerja. Baginya, ibulah segala-galanya. Kawan-kawan, syurga
itu di bawah telapak kaki ibu.

Pada malam itu, Amir nekad menyatakan hasratnya untuk menyerahkan


surat yang diterima daripada Cikgu Hakim. Amir melihat wajah ibunya amat sedih
setelah membaca surat itu. Bagi ibu Amir, dia masih mampu menyara kehidupan
mereka. Ibunya hanya ingin melihat anaknya berjaya dalam pelajaran.

Sebagai pelajar tahun 6, Amir sudah dapat berfikir dengan baik. Dia telah
membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dia berazam, dia akan datang awal ke
sekolah dan belajar bersungguh-sungguh. Justeru, keesokan harinya, pagi-pagi lagi
Amir telah sampai di kedai Pak Cik Muthu, tempat dia mengambil surat khabar. Dia
ingin menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja. Selepas itu, Amir mengayuh
basikalnya lebih laju daripada biasa. Dia tidak ingin terlambat lagi. Dia sudah serik
dengan herdikan guru disiplinnya.

Apabila tiba di persimpangan jalan, tanpa melihat kiri dan kanan, Amir terus
melintas. Malangnya, sebuah kereta telah melanggarnya. Amir tercampak ke
seberang jalan, lalu pengsan. Orang yang melanggar Amir itu terus membawanya
ke klinik yang berdekatan. Mujurlah Amir tidak apa-apa. Dia cuma mengalami luka-
luka kecil sahaja. Ingat ya kawan-kawan, kita mestilah berhati-hati semasa berada
di jalan raya.

Tidak lama kemudian, Amir pun sedar. Alangkah terkejutnya dia melihat
Cikgu Hakim berada di sisinya. Dengan wajah mesra, tidak seperti kebiasaannya,
Cikgu Hakim meminta maaf atas ketegasannya. Dia mengandaikan bahawa
dialah punca Amir kemalangan. Amir cepat-cepat menjernihkan keadaan. Dia
menyatakan rasa bersalahnya kerana tidak berhati-hati. Begitulah kawan-kawan,
niat di hati untuk membantu keluarga adalah satu sifat yang mulia. Namun, kita
mestilah memikirkan tentang masa depan dan keselamatan diri. Sekiranya kita
telah melakukan kesalahan, janganlah malu untuk meminta maaf kerana semulia-
mulia manusia ialah manusia yang sering meminta maaf dan memaafkan
kesalahan orang lain.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai