Anda di halaman 1dari 2

PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 1

SEKOLAH : SK STOH
TAJUK CERITA : Mengapa Musang Makan Ayam?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kawan-kawan. Pada hari ini saya nak
ajak kawan-kawan semua dengar cerita saya. Seronok! Tapi sebelum tu, saya nak
tanya, kawan-kawan tahu mengapa musang gemar makan ayam? Hurm, begini
ceritanya.

Kalau kawan-kawan nak tahu, pada zaman dahulu, ayam dan musang
berkawan baik. Ke mana-mana sahaja mereka pergi, pasti berdua. Ibarat isi dengan
kuku. Mereka juga mempunyai selera yang sama. Kawan-kawan nak tahu apa?

Jagung! Ya, Mereka suka makan jagung. Mereka menanam jagung bersama-sama.
Hasil tanaman jagung itu akan dibahagikan sama rata.

Pada suatu hari, musang berkata.

"Isteri aku hamil di hutan. Aku terpaksa balik menjaganya hingga anak kami lahir.
Oleh itu aku berharap kau dapat menjaga pokok jagung kita baik-baik. Apabila
berbuah, tolong simpankan bahagian aku," kata musang bersungguh-sungguh.”

“Baiklah Musang. Janganlah kau risau. Aku akan jaga pokok jagung ini baik-baik,”
jawab Ayam dengan penuh yakin.

Selepas itu musang pun balik ke hutan. Dia hendak menjaga isterinya. Tidak lama
kemudian, pokok jagung itu pun berbuah. Ayam berasa sangat teruja. Hatinya
berbunga-bunga! Tiba-tiba timbul perasaan tamak dalam hatinya.

" Hurm, musang tidak ada. Semua jagung ini aku yang punya. Kalau dia datang
nanti, pandai-pandailah aku memberi alasan," kata ayam sendirian sambal
tersenyum jahat.

Kemudian, ayam pun memanggil rakan-rakannya. Mereka makan jagung itu


sehingga habis, termasuklah jagung milik musang.

Tidak berapa lama kemudian, musang pun keluar dari hutan. Dia pergi menemui
ayam.

" Aku datang untuk mengambil jagung bahagian aku," kata musang kepada ayam.

" Pokok-pokok jagung yang kita tanam itu tidak berbuah. Aku pun tidak dapat
makan walau sebiji," kata ayam cuba menipu.

" Kau bohong!!! Kalau tidak berbuah, bagaimana tongkol-tongkol jagung ini ada di
sini?" soal musang dengan marahnya.

Ayam terdiam. Dia mula berasa takut.


" Kau sahabat yang tidak setia! Kau mungkir janji.”

“A…am..ampunkan aku Musang. Ampunkan aku!”


“ Baiklah, aku beri engkau tempoh tiga hari. Kalau engkau tidak dapat ganti jagung
bahagian aku, aku akan makan engkau," kata musang.

Namun begitu, tiga hari telah berlalu. Ayam tidak dapat mencari jagung untuk
musang sebagai ganti. Dia pun memberitahu kaum kerabatnya.

" Mulai hari ini, berhati-hatilah kamu semua. Musang sudah menjadi musuh kita,”
pesan ayam kepada rakan-rakannya.

Musang tahu ayam tidak dapat menggantikan bahagian jagungnya.

Dia pun bersumpah. " Mulai hari ini, aku akan menangkap ayam sebagai
makanan. Aku akan menangkapnya pada waktu malam kerana pada waktu malam
matanya rabun!"

Ha, kawan-kawan. Faham? Pengajaran daripada cerita ini ialah, kita tidak boleh
tamak. Berdosa! Tuhan marah.

Segak putera memakai tanjak,


Datang dari tanah seberang,
Janganlah kita menjadi tamak,
Kelak nanti dibenci orang.

Sekian, terima kasih! Jumpa lagi!

Anda mungkin juga menyukai