Anda di halaman 1dari 4

PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 2

SEKOLAH : SK STOH

NAMA : KAUTHAR BINTI KHAIRUL ANWAR BAKTI

TAJUK CERITA : KERANA SEPASANG KASUT

Assalamualaikum . Pada hari ini saya akan menyampaikan sebuah cerita

yang memberi banyak pengajaran untuk renungan kita bersama. Kerana

Sepasang Kasut. Dengar dan hayatilah cerita ini.

Kring……….. loceng sekolah berbunyi menandakan waktu

persekolahan sesi petang baru sahaja bermula. Kelihatan seorang budak

lelaki berpakaian lusuh memikul sebuah beg berlari pantas menuju ke pintu

pagar sekolah. Budak lelaki itu telah ditahan oleh guru disiplin. Guru disiplin

yang berbadan tegap dan bersuara kuat itu bernama Cikgu Azman. Setiap

murid di sekolah itu pasti gerun apabila berhadapan dengan Cikgu Azman.

“Kenapa kamu lambat lagi hari ini?” tanya Cikgu Azman. “Ma…ma…maafkan

saya, cikgu,” kata Hafiz.

Belum sempat Hafiz memberikan alasan, satu libasan rotan hinggap

dikakinya. “Aduh!” Hafiz mengerang kesakitan. “ Termasuk hari ini, sudah

sepuluh hari kamu datang lewat ke sekolah. Cikgu tidak mahu mendengar

alasan kamu lagi. Pastikan esok kamu datang lebih awal,” bentak Cikgu

Azman bagaikan halilintar itu.

Selalu lewat datang ke sekolah. Berlari laju sehingga lelah

Tiada siapa ingin membantu. Seorang diri menanggung malu


Hafiz merupakan seorang pelajar yang datang daripada sebuah

keluarga miskin yang tinggal di ceruk kampung. Dia mempunyai seorang adik

perempuan bernama Hafizah. Ibunya bekerja sendiri seperti menjual sayur-

sayuran yang ditanam untuk menyara hidup mereka. Ayahnya sudah lama

meninggal dunia. Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang

makan petang. Wang yang diperolehi hasil menjual sayur-sayuran itu cukup-

cukup digunakan untuk makan dan menghantar Hafiz dan Hafizah ke

sekolah.

Pada suatu hari, kasut yang dipakai oleh Hafizah rosak teruk dan tidak

boleh dipakai lagi. Hafiz berasa kasihan kepada adiknya tetapi dia tidak

mampu melakukan apa-apa. Hafiz mendapat idea, dia memberi cadangan

kepada adiknya. “Adik, adik gunakanlah kasut abang , biarkan abang tidak

bersekolah,” kata Hafiz. “Tidak mengapa, biarlah adik duduk di rumah, abang

pergiiah ke sekolah,” kata Hafizah pula.

Hafiz berasa serba salah lalu berkata, “baiklah, kita bergilir-gilir memakainya.

Mula-mula adik pakai dahulu, selepas adik balik dari sekolah, abang pula

yang memakainya.”

Hafizah pun bersetuju dengan cadangan itu. Semenjak hari itu, setelah

Hafizah pulang ke rumah, Hafiz pula menyarung kasut sekolahnya dan berlari

sekuat hati pergi ke sekolah. Oleh sebab itulah dia selalu lewat sampai ke

sekolah dan selalu dimarahi oleh gurunya. Pada suatu hari, sekolah Hafiz

mengadakan pertandingan marathon. Hadiah utama pertandingan itu ialah

sebuah basikal, namun Hafiz tidak teruja dengan hadiah pertama, dia teruja

dengan hadiah tempat ketiga iaitu sepasang kasut sekolah. Hafiz mengambil

keputusan untuk menyertai acara tersebut dan dia merancang untuk


mendapat tempat ketiga supaya dia menerima sepasang kasut sekolah untuk

adiknya.

Hadirin sekalian,

Sungguh mulia hati si abang yang ingin membantu adiknya. Hafiz

memasuki pertandingan berlari. Tempat ketiga ingin dimiliki. Hari

pertandingan telah tiba. Hafiz berlari sekuat hatinya meninggalkan peserta

yang lain. Hafiz mendapat tempat pertama. Hafiz menangis teresak-esak. Dia

menangis bukan kerana dia gembira tetapi kerana dia sedih tidak mendapat

apa yang diinginkannya. Apa yang diinginkannya hanyalah sepasang kasut

untuk adiknya.

Kisah Hafiz ini sampai ke pengetahuan Cikgu Azman. Cikgu Azman

menitiskan air mata. Dia menyesali perbuatannya yang telah menghukum

tanpa mengetahui kisah sebenar. Sejak hari itu, Cikgu Azman berusaha

mengutip sumbangan untuk diberikan kepada keluarga Hafiz. Hafiz berterima

kasih kepada Cikgu Azman dan pihak sekolah atas bantuan yang diberikan.

Dia sangat bersyukur kerana kini dia dan adiknya sudah memiliki sepasang

kasut sekolah yang cantik, putih dan selesa dipakai.

Hadirin sekalian,

Begitulah cerita tentang Hafiz dan Hafizah, semoga cerita ini akan

menjadi pengajaran dan teladan kepada kita semua. Hayatilah puisi ini,

Hari ini kita mendongak langit

Kita mengharapkan matahari terus menyinari bumi,

Tetapi Tuhan turunkan hujan


Kita bersedih dan tertanya-tanya

Ke manakah perginya matahari?

Rupa-rupanya Tuhan telah memberikan pelangi

Setelah hujan turun membasahi bumi.

Janganlah kita berputus asa, usaha dan terus berusaha, Pasti kejayaan

menjadi milik kita. Andai kita gagal di pertengahan, pasti ada sinar harapan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai