Anda di halaman 1dari 2

Maafkan Cikgu

Assalamualiakum dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, barisan


juri hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak pernah lari dari
waktunya, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati

.Pada pagi ini, saya akan menceritakan sebuah kisah yang bertajuk
‘Maafkan Cikgu’.Eh...... kenapa cikgu pula yang minta maaf ya? Ha..... Kalau
kawan-kawan semua nak tahu, marilah dengar cerita saya.

Kisahnya adalah tentang seorang anak yatim, namanya Amir. Ayahnya telah
meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi. Untuk menyara kehidupan mereka,
ibunya telah mengambil upah menebas kebun dan menjual kuih. Namun, Amir
tidak pernah mengeluh malah dia turut membantu ibunya dengan menghantar
surat khabar sebelum ke sekolah. Baiknya Amir tu ya, kawan-kawan.

Seperti biasa pada pagi itu, Amir mengayuh basikalnya dengan laju.
Berpeluh-peluh badannya. Amir bimbang akan bertembung dengan Cikgu Hakim
guru disiplinnya di sekolah. Ah.... mendengar namanya sahaja sudah cukup
membuatkan pelajar-pelajar kecut perut apatah lagi bersemuka dengannya.
Seramnya.

Ketika sampai di sekolah jam tangan Amir menunjukkan jam 8.30 pagi.
Dengan langkah yang tergesa-gesa, Amir pun menuju ke kelasnya. Tiba-tiba, “Amir”
nama Amir dipanggil. Panggilan itu lantas mematikan langkahnya. Degup jantung
Amir bertambah kencang. Terlihat wajah Cikgu Hakim yang sangat serius. Dengan
suara yang lantang, Amir dimarahi kerana datang lewat. Amir hanya membisu.
Memberi alasan pada saat itu bukanlah tindakan yang bijak. Walaupun Amir
pernah menjelaskan tetapi Cikgu Hakim enggan mendengarnya malah dia dituduh
menegakkan benang yang basah.

Apakah yang berlaku selepas itu? Apalagi Amir dibawa ke bilik guru disiplin.
Dia telah diberi surat amaran untuk disampaikan kepada ibunya. Amir pun
menerima dengan sedih. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Amir kecewa kerana di tuduh sebagai pelajar yang malas. Padahal dia
bukanlah seperti apa yang disangkakan. Rakan-rakan Amir juga sering
mengejeknya kerana selalu didenda atas kelewatannya sampai ke sekolah.

Setelah sesi persekolahan tamat pada hari itu, Amir pun terus pulang ke
rumah. Selepas solat, Amir pun terus ke dapur kerana perutnya terasa terlalu lapar.
Apabila dia hendak ingin menjamah makanan, dia teringat kembali peristiwa yang
berlaku disekolah tadi. Seleranya hilang. Amir membuat keputusan untuk ke kebun
Pak Megat untuk berjumpa dengan ibunya. Amir ingin menceritakan tentang
peristiwa yang berlaku di sekolahnya tadi. Sebaik sahaja terpandang wajah ibunya,
dia berasa tidak sampai hati untuk menceritakan malah dia turut membantu ibunya
menyelesaikan kerja. Baginya ibu lah segala-galanya
“Satu...
Kasih nan abadi,
Tiada tandingi...Dia yang satu...
Dua..
Kasih berpanjangan membawa ke syurga
Kasihnya ibu...”
Begitulah sayangnya Amir kepada ibunya. Dia sedar bahawa syurga itu di bawah
telapak kaki ibu.
Pada malam itu, Amir nekad menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja
lantas menyerahkan surat yang diterima daripada Cikgu Hakim. Amir melihat wajah
ibunya amat sedih setelah membaca surat itu. Bagi ibu Amir, dia masih mampu
menyara kehidupan mereka. Apa yang diharapkan oleh ibu Amir adalah dia ingin
melihat anaknya berjaya dalam pelajaran.

Sebagai pelajar tahun 6, Amir dapat berfikir dengan baik. Dia telah
membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dia berazam selepas ini, dia akan datang
awal ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh. Justeru, keesokan harinya pagi-
pagi lagi Amir telah sampai di kedai Pak Cik Muthu tempat dia mengambil surat
khabar. Dia ingin menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja. Selepas itu, Amir
mengayuh basikalnya lebih laju dari biasa. Dia tidak ingin terlambat lagi. Dia sudah
serik dengan herdikan guru disiplinnya.

Apabila tiba di persimpangan jalan, tanpa mlihat kiri dan kanan Amir terus
melintas. Malangnya, sebuah kereta telah melanggarnya. Amir tercampak ke
seberang jalan lalu pengsan. Orang yang melanggar Amir itu terus membawanya
ke klinik yang berdekatan. Mujurlah Amir tidak apa-apa. Dia Cuma mengalami luka-
luka kecil sahaja.

Tidak lama kemudian, Amir pun sedar dan dia terkejut melihat Cikgu Hakim
berada di sisinya. Dengan wajah yang ikhlas dan mesra, Cikgu Hakim meminta
maaf atas kecuaiannya Amir tercedera. “Maafkan cikgu, Amir”. Dengan senang
hatinya, Amir pun memberitahu dia lah yang bersalah kerana tidak berhati-hati.
Begitulah kawan-kawan niat dihati untuk membantu keluarga adalah satu sifat
yang mulia namun, kita mestilah memikirkan keselamatan diri.

Pengajaran dari cerita ini ialah:

1. Kita mestilah bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan jangan mengeluh jika
kita dilahirkan dalam serba kekurangan.

2. Jika kita melakukan kesilapan, janganlah malu untuk meminta maaf kerana
orang mengakui kesalahannya akan di pandang mulia.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai