Anda di halaman 1dari 5

TEKS PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 2

TAJUK: NELAYAN YANG JUJUR

Terima kasih pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, dan hadirin sekalian.

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Salam perkenalan daripada saya.

Kisah seorang nelayan yang jujur menjadi tajuk cerita saya pada pagi yang indah ini.

Kejujuran itu penting dalam hidup ini kan… Begini ceritanya…..

Tersebutlah pada zaman dahulu, ada seorang nelayan yang miskin pergi keluar

menjala di tengah lautan. Gelombang besar tidak menakutkannya kerana dia sedar betapa

pentingnya dia mencari rezeki yang halal buat keluarganya dengan titik peluhnya sendiri.

Setelah beberapa lama dia menebarkan jala, dia tidak mendapat apa-apa tangkapan

pun. Dia berhenti seketika sambil mengesat peluh di dahi. Dengan penuh harapan dan

kesungguhan, dia menebarkan jalanya sekali lagi. Sewaktu nelayan itu menarik jalanya,

alangkah terkejutnya dia apabila melihat seekor ikan yang sangat luar biasa. Sisik ikan itu

berkilau-kilauan seperti emas. Matanya pula kelihatan seperti intan yang bergemerlapan.

Nelayan itu amat bersyukur dengan rezeki yang tidak diduganya itu. Dia belum pernah

melihat ikan yang secantik dan seganjil itu.

Setelah puas berfikir, dia mengambil keputusan untuk membawa ikan itu kepada raja

di negerinya. Raja di negerinya itu terkenal sebagai seorang raja yang adil lagi pemurah.

Akan tetapi, permaisuri baginda pula terkenal dengan sikap kedekut dan tamak. Namun,

nelayan itu, bertekad untuk mempersembahkan ikan yang dia dapat itu kepada rajanya.
Sebaik sahaja raja melihat ikan itu, baginda berasa sangat kagum akan keajaiban ikan

tersebut. Lantas baginda bertanyakan di manakah nelayan itu mendapat ikan ajaib itu.

“Patik dapat menangkap ikan ini dengan menjalanya di sebuah teluk di lautan negeri

ini,”sembah nelayan.

“Bukankah pada masa ini laut bergelombang besar dan amat bahaya?” tanya raja dengan

curiga.

“Patik berdoa bersungguh-sungguh semasa menjala ikan” sembah nelayan dengan penuh

takzim.

Raja berasa kagum akan keberanian nelayan itu lalu menghadiahinya seribu dinar

wang emas. Nelayan itu amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih.

Dia tidak pernah memegang wang sebanyak itu. Permaisuri memandang nelayan

dengan perasaan jengkel.

Setelah nelayan itu pulang, permaisuri menyatakan perasaan tidak puas hatinya

kepada raja. Baginya, wang yang diberikan kepada nelayan itu sangat besar jumlahnya

Permaisuri memujuk raja agar dipanggil semula nelayan itu. Jika nelayan itu berjaya

menjawab soalan yang diberikan, wang itu kekal menjadi miliknya. Tetapi jika jawapan

nelayan itu salah, wang itu hendaklah dikembalikan.

“Baiklah….tapi…apakah soalannya?” kata Raja. Permaisuri pun menyuruh raja

bertanyakan kepada nelayan, sama ada ikan ajaib itu jantan atau betina.
“Jika dia menjawab jantan, kanda katakan betina..jika dia jawab betina… kanda

katakan jantan,” kata permaisuri sambil tersenyum.

(permaisuri hendak mengenakan nelayan itu rupanya).

Keesokan harinya, nelayan itu pun dipanggil mengadap Raja. Permaisuri tidak sabar-

sabar untuk mendapatkan wangnya semula. Raja pun bertanyakan soalan sama ada ikan yang

dibawanya semalam jantan atau betina.

Setelah berfikir sejenak, dia pun bersuara. “Ampun tuanku, sebenarnya ikan itu bukan

ikan jantan atau ikan betina. Ikan itu……” jawapnya sambil tersenyum simpul.

Raja yang mendengar jawapan nelayan itu ketawa terbahak-bahak. Baginda amat geli

hati mendengar jawapan nelayan itu. Baginda lalu menghadiahi nelayan itu seribu dinar

wang emas lagi.

Melihat tindakan baginda, permaisuri menarik muka masam kerana rancangannya

tidak menjadi.

Semasa nelayan itu memasukkan wang ke dalam uncang, sekeping wang emas jatuh

ke lantai. Nelayan itu segera memungutnya.

“Lihat tu kanda, kedekut sungguh nelayan itu. Sekeping pun dipungutnya,” hasut permaisuri.
Raja pun memarahi nelayan dan menuduhnya kedekut dan tamak. “Kamu sudah ada

hampir 2 ribu wang emas, tapi sekeping yang jatuh pun kamu pungut!”

Dengan rasa rendah diri, nelayan itu menjelaskan bahawa dia mengambil wang itu

bukanlah disebabkan dia tamak atau kedekut. Dia tidak rela wang emas yang ditempa dengan

gambar raja jatuh ke lantai dan dipijak-pijak orang.

Mendengar jawapan itu, raja berasa amat terharu. Baginda berasa bangga mempunyai

rakyat yang setia dan taat seperti nelayan.Permaisuri menjadi semakin murka.

Selepas itu, nelayan pun pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira. Dengan

wang pemberian raja itu, dia membaiki sampan dan jalanya. Selebihnya disimpan untuk

kegunaan pada masa depan.

Hadirin sekalian,

Begitulah ceritanya…. Contohilah sikap nelayan itu yang sentiasa bersyukur dan jujur

dalam perbuatannya.Yakinlah bahawa kita akan diberikan rezeki dan kesenangan jika rajin

berusaha.

Sekian. terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai