Anda di halaman 1dari 4

Tema: Sayangi Keluarga

Tajuk: Nasihat Ibu dan Ayah

Ibu...Ibu...Engkaulah ratu hatiku. (Nyanyian)

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada barisan juri yang

bijaksana serta rakan-rakan yang dihormati sekalian.

Rakan-rakan,

Ayah dan ibu adalah insan yang paling penting dalam hidup kita
kerana adanya ayah dan ibulah kita wujud di dunia ini.
Mari dengar cerita saya hari ini yang bertajuk ‘Pesan Ibu dan Ayah’.
.
Cuaca tengah hari itu terik sekali. Matahari betul-betul tegak di atas kepala.
Bahangnya terasa seolah-olah membakar kulit. Pokok-pokok langsung tidak bergoyang
menandakan tidak ada angin.

Di sebuah lorong kecil, terletak di antara rumah-rumah setinggan di perkampungan itu,


kelihatan tiga orang kanak-kanak lelaki sedang berjalan pulang dari sekolah. Masing-
masing menggalas beg yang sarat dengan buku. Wajah ketiga-tiga mereka nampak letih
dan dibasahi peluh. Tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba, si adik yang paling kecil dengan wajah berkerut mengadu kepada abangnya
bahawa dia merasa amat dahaga. Kebetulan mereka lalu di hadapan kedai runcit.
Kelihatan beberapa orang kanak-kanak yang lain sedang enak makan aiskrim di situ.
Faizul menelan air liur. Tubuhnya terus dibasahi peluh. Ketika itu juga, si adik merengek-
rengek kerana dahaga. Si abang, iaitu Faizal cuba memujuk Faizul kerana rumah mereka
sudah hampir. Tetapi apakan daya Faizal tidak mempunyai wang untuk membeli air,
apatah lagi aiskrim untuk adiknya itu. Dia merasa amat kasihan akan adiknya itu.
Hari ini ibu mereka tidak memberikan mereka wang belanja ke sekolah. Mereka hanya
membawa bekal jemput-jemput pisang sahaja dan sebotol air masak untuk mengalas
perut ketika waktu rehat. Bukan hari itu sahaja mereka tidak membawa wang belanja ke
sekolah. Sudah banyak kali mereka ke sekolah dengan membawa air dan biskut atau roti
sahaja. Kehidupan mereka tidak semewah seperti kanak-kanak yang lain.
Mereka makan ala kadar sahaja kerana ibu bapa mereka terpaksa menjimatkan duit bagi
menyara persekolahan mereka. Disebabkan kekurangan wang jugalah mereka terpaksa
berjalan kaki pergi dan balik sekolah yang terletak 2 kilometer dari rumah mereka.

Rakan-rakan, bagi Faizal dan Fairus, mereka sudah biasa dengan keadaan itu. Tetapi
mereka kasihan terhadap Faizul yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu. Tentu dia
tidak faham mengapa mereka semua terpaksa berjalan kaki pergi dan balik sekolah.
Tidak naik bas atau dihantar oleh ibu bapa seperti kanak-kanak yang lain. Hampir setiap
hari dia merungut letih dan penat kerana asyik berjalan kaki ke sekolah. Faizal, Fairus
dan Faizul sampai ke rumah dengan peluh membasahi baju sekolah mereka. Lega benar
perasaan mereka dapat sampai ke rumah setelah setengah jam berjalan kaki di tengah
panas terik begitu. Ibu segera menghidangkan nasi di atas meja dapur.

Selepas menyalin pakaian sekolah, Fairus dan Faizul segera menerpa ke dapur kerana
perut mereka memang sangat lapar. Tetapi tiba-tiba, Faizul memberontak sambil
merengek-rengek kerana setiap hari berlaukkan telur dan nasi. Ibunya dengan sayu
memujuk Faizul supaya makan makanan yang telah dihidangkan. Faizul terus
membentak nak makan makanan yang sedap-sedap seperti ayam, daging, yang tidak
mampu disediakan oleh ibunya. Namun, Faizul memarahi ibunya kerana dia tidak faham
mengapa ayah dan ibunya sering memberikan alasan tidak ada duit. Ibu memujuk Faizul
dengan lembut sambil mengusap-ngusap kepala anaknya. Ibu menerangkan kesusahan
dan kepayahan ayahnya mencari rezeki demi membesarkan anak-anaknya dengan baik.
Faizul akhirnya diam. Walaupun sebentar tadi dia memberontak tidak mahu makan, tetapi
setelah dipujuk oleh ibunya, dia makan juga dengan lahap. Si ibu tersenyum melihat
gelagat anaknya. Faizal yang berada tidak jauh dari situ, mendengar segala perbualan
antara ibu dan adik-adiknya. Perbualan begitu dan juga ibunya bukanlah asing lagi di
telinganya. Dia telah mendengar beratus-ratus kali kata-kata yang sama dituturkan
ibunya setiap kali adik-adiknya merajuk dan menangis. Kasihan adik-adiknya. Tetapi dia
lebih kasihan kepada ibu dan ayahnya.

Pada suatu hari, Faizal pergi ke kedai kerana disuruh ibunya membeli beberapa barang
keperluan. Dia terserempak dengan beberapa anak jirannya yang sedang duduk-duduk
di bawah pokok ceri. Kawan-kawannya mengajak Faizal untuk singgah berbual dengan
mereka. Tiba-tiba, perbualan mereka bertukar kepada sesuatu yang tidak disangka-
sangka oleh Faizal. Rupa-rupanya, mereka bertiga merancang untuk mencuri beberapa
buah kedai runcit di kampung itu.

Hati Faizal mula berdebar-debar dan cemas. Mereka telah mengajak Faizal untuk turut
serta dalam rancangan mereka. Tetapi Faizal terus menggelengkan kepalanya
menandakan tidak setuju. Seumur hayatnya belum pernah pun dia berniat untuk mencuri.
Sejak kecil, ayah dan ibunya selalu berpesan jangan mencuri. Berdosa. Kerana tidak
mahu mengikuti rancangan budak-budak itu, Faizal diminta untuk merahsiakan
rancangan mereka. Faizal mengangguk, tetapi perasaannya hanya Tuhan yang tahu.
Sedikit pun dia tidak percaya yang mereka bertiga melakukan kerja yang tidak bermoral.
Lalu dengan segera, Faizal pergi ke kedai untuk membeli barang yang dipesan ibunya.
Faizal begitu serba salah memandang wajah Pak Amin yang tenang dan baik itu. Dia
teringat rancangan jahat budak-budak itu. Perasaannya berkecamuk sehingga terlupa
membeli barang yang dipesan ibunya. Dia terus pulang ke rumah. Ibunya berasa hairan
melihat keadaan Faizal kegelisahan. Faizal memandang wajah ibunya. Faizal tunduk
memandang tanah. Dia tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada ibunya. Faizal
berasa serba salah. Tiba-tiba terpacul dari lidahnya menceritakan apa yang berlaku.
Faizal menceritakan dengan jujur kepada ibunya. Setelah mendengar penerangan
Faizal, ibu menasihatkan anaknya agar memberitu hal yang sebenar kepada Pak Amin.
Setelah dinasihati ibunya, Faizal berasa lebih bersemangat dan kepada Pak Amin yang
telah banyak membantu keluarganya. Faizal berasa amat lega kerana dapat membantu
Pak Amin sebelum sesuatu yang buruk berlaku terhadapnya.

Wahai rakan-rakan sekalian, tanpa ayah dan ibu tiadalah kita. Siapalah kita tanpa ayah
dan ibu yang telah berkorban apa sahaja untuk kita semua. Jadilah kita semua anak yang
baik dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa, masyarakat, negara dan agama. Kasih
ibu tiada tandingan. Kasih ayah tiada terbalas. Walau siapapun ibu dan ayah kita, miskin
atau kaya, mereka tetap ibu dan ayah yang melahirkan kita. Sekian cerita saya hari ini.
Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai