Anda di halaman 1dari 2

TEKS BERCERITA (TAHAP 2)

Tajuk : Nelayan Yang Jujur

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tangan bertaut, salam dihulur. Terima kasih buat peneraju
majlis, para hakim yang bijak berkarisma, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Pada
hari ini, saya akan menyampaikan satu cerita yang bertajuk, “Nelayan Yang Jujur”.

Pada zaman dahulu, tinggallah seorang nelayan bersama keluarganya di sebuah kampung yang
agak terpencil. Kehidupannya agak susah ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Namun, nelayan tidak pernah mengeluh atau berputus asa dengan hidupnya. Suatu hari, nelayan
itu keluar ke laut seperti biasa untuk menjala ikan. Meskipun cuaca mendung dan laut agak
bergelora, namun dia tetap meneruskan hasratnya demi mencari sesuap nasi buat keluarganya.

Malang sungguh nasib Si Nelayan pagi itu. Meskipun sudah beberapa jam menerbarkan jala,
dia masih tidak mendapat apa-apa tangkapan. Dia pun berhenti seketika sambil mengesat peluh
yang menitik di dahi. Kemudian, dia menadah tangan ke langit lalu berdoa bersungguh-sungguh
memohon agar diberi peluang dan rezeki walau beberapa ekor ikan sekalipun untuk dibawa pulang.

Setelah itu, dengan penuh pengharapan, nelayan itu pun menebarkan jalanya buat kesekian
kalinya. Sewaktu menarik jalanya, dia mendapati terdapat seekor ikan yang cukup luar biasa
bergerak-gerak di jalanya. Sisik ikan itu berkilau-kilauan seperti emas. Matanya umpama intan yang
bergemerlapan. Nelayan itu terpegun seketika lantas memanjatkan rasa syukur yang tidak
terhingga. Sungguh girang rasa hatinya ketika itu.

Dia pun mengalihkan ikan itu ke dalam bekas yang dibawanya. Dia memandang ikan itu sambil
tersenyum gembira. Namun, tiba-tiba terlintas di fikirannya, “Ikan seumpama ini perlu kujual
dengan harga yang tinggi. Siapakah yang mampu membelinya?”, bisik hati kecilnya. Dia bimbang
tidak ada sesiapa yang ingin membeli ikan itu. Setelah puas berfikir, dia pun mengambil keputusan
untuk membawa ikan itu kepada raja di negerinya. Raja negeri itu terkenal sebagai seorang yang
adil dan pemurah. Akan tetapi, permaisuri baginda pula seorang yang kikir dan tamak.

Sebaik sahaja raja melihat keajaiban ikan itu, baginda berasa amat kagum. Lantas baginda
bertanyakan di manakah dia mendapat ikan seumpama itu. “Patik dapat menangkap ikan ini dengan
menjalanya di bahagian selatan laut negeri ini, Tuanku”, sembah nelayan. “Bukankah ketika ini,
gelombang agak besar dan berbahaya?” tanya raja dengan perasaan curiga. “Semuanya dengan izin
Allah, Tuanku”, sembah nelayan dengan penuh takzim. Raja kagum akan kejujuran nelayan. Nelayan
pun dihadiahi seratus dinar wang emas. Nelayan amat gembira dan berkali-kali mengucapkan terima
kasih.
Pada masa yang sama, permaisuri memandang nelayan dengan perasaan jengkel. Setelah
nelayan pulang, dia menyatakan rasa tidak puas hati kepada raja. Baginya, wang yang diberikan itu
terlalu besar jumlahnya. Permaisuri memujuk raja agar nelayan itu dipanggil semula. Jika nelayan
dapat menjawab soalan yang diberi, wang itu kekal menjadi miliknya. Jika salah, wang tersebut
perlu dikembalikan. Raja tertanya-tanya apakah soalan yang bakal diajukan oleh permaisuri.
Baginda pun bersetuju. Dalam diam, permaisuri tersenyum sinis. Dia bertekad untuk mengenakan
nelayan itu.

Keesokan harinya, nelayan pun datang menghadap raja dan permaisuri. Permaisuri lantas
bertanyakan soalan kepadanya, “Adakah ikan yang kamu bawa semalam jantan ataupun betina?”,
tanya permaisuri. Baginda yakin nelayan tidak akan tahu jawapannya. Nelayan berasa hairan dengan
soalan itu. Dia pun berfikir sejenak, lalu menjawab “Ampun tuanku, patik seorang nelayan yang
hanya menangkap ikan dan menjualnya untuk memperoleh wang. Patik tidak pernah ambil tahu sama
ada ikan yang dijual itu jantan mahupun betina”, jawab nelayan dengan jujur. Permaisuri terdiam
mendengar jawapan nelayan. Raja pula terangguk-angguk dan mengiyakan jawapan nelayan. Baginda
lalu menghadiahi nelayan itu seratus dinar wang emas lagi. Melihat tindakan baginda, permaisuri
menarik muka masam kerana rancangannya tidak menjadi.

Semasa nelayan memasukkan wang ke dalam uncang, sekeping wang emas jatuh ke lantai.
Nelayan itu segera memungutnya. “Lihat tu kanda, tamak dan kedekut sungguh nelayan itu.
Sekeping pun dipungutnya,” hasut permaisuri. Raja memandang ke arah nelayan dengan dahi
berkerut. Dengan rasa rendah diri, nelayan menjelaskan bahawa dia mengambil wang itu bukan
disebabkan tamak atau kedekut. Dia tidak rela wang emas yang ditempa dengan gambar raja itu
jatuh ke lantai dan dipijak-pijak orang. Mendengarkan jawapan itu, raja tersenyum gembira.
Baginda bangga mempunyai rakyat yang juju, taat dan setia seperti nelayan. Baginda menambah
lagi hadiah wang buat nelayan. Nelayan yang jujur itu pun pulang ke rumahnya dengan perasaan
gembira. Dengan wang hadiah raja itu, dia membaiki sampan dan jalanya. Wang lebihan disimpan
untuk kegunaan isteri dan anak-anaknya.

Haa, begitulah ceritanya. Kawan-kawan, cerita ini membuktikan betapa sikap yang terpuji
akan sentiasa memperoleh ganjaran yang baik. Marilah kita contohi sikap nelayan yang jujur dan
sentiasa bersyukur. Jangan sesekali bersikap dengki seperti Permaisuri. Berbuat baiklah kepada
orang sekeliling agar kita dipandang tinggi. Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai