Anda di halaman 1dari 4

PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 1

TAJUK CERITA : NELAYAN DAN IKAN AJAIB

Meredah hutan, mengharung paya,

Menikmati indahnya, sarang tempua,

Akhirnya tibalah masa,

Menyampaikan cerita, menghiburkan semua.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera diucapkan kepada barisan hakim yang arif

lagi bijaksana serta guru-guru yang dikasihi sekalian.

Hai kawan-kawan!

Pada hari ini, saya akan menyampaikan sebuah cerita, yang bertajuk Nelayan dan

Ikan Ajaib.

Pada zaman dahulu, nun jauh di hujung kampong tinggallah seorang nelayan

bersama isterinya. Mereka tinggal di sebuah pondok buruk berhampiran dengan

laut. Si nelayan akan turun ke laut setiap hari untuk menangkap ikan. Walaupun

miskin, mereka hidup dengan gembira.

Pada suatu hari, seperti biasa nelayan itu pergi menangkap ikan. Sampai di tengah

lautan, nelayan itu pun menghulurkan pancingnya ke dalam laut. Tidak lama
kemudian, pancingnya bergerak-gerak. Kawan-kawan tahu apa yang terjadi?

Nelayan itu telah mendapat seekor ikan besar yang boleh berkata-kata. Ikan besar

itu merayu agar melepaskan.

“Wahai nelayan, tolonglah lepaskan aku….”

Ikan itu berkata, “saya akan menunaikan apa sahaja permintaan kamu itu”. Si

nelayan berasa sangat kasihan lalu melepaskan ikan itu semula ke laut. Sampai di

rumah, si nelayan itu menceritakan kepada isterinya perkara yang terjadi. Isterinya

meminta sebuah rumah yang besar dan cantik.

Pada keesokkan paginya, si nelayan pun turun ke laut. Dia pergi ke tempat ikan

besar itu dilepaskan. Si nelayan itu menyatakan hajat isterinya, ikan besar itu

melompat tiga kali ke udara. Apabila nelayan itu balik, pondoknya telah bertukar

menjadi sebuah rumah yang besar dan cantik. Isteri nelayan berasa sangat gembira.

Dia menyuruh nelayan itu meminta pakaian yang cantik dan barang kemas pula.

Si nelayan menurut sahaja permintaan isterinya. Setiap kali dia meminta,

permintaannya akan ditunaikan oleh ikan besar itu. Ikan besar itu bertanya

mengapakah nelayan itu tidak meminta untuk dirinya sendiri. Nelayan itu berkata ia

tidak memerlukan apa-apa, yang penting hatinya gembira dan badannya sihat.

Pada suatu hari, isteri nelayan meminta supaya dia dijadikan permaisuri. Apabila

nelayan itu kembali, isterinya telah menjadi seorang permaisuri dan rumahnya
menjadi sebuah istana. Namun begitu kawan-kawan…………..isteri nelayan yang

tamak itu masih tidak berpuas hati. Beberapa hari kemudian, isteri nelayan itu

berkata dia tidak mahu menjadi permaisuri dan meminta menjadi Tuhan pula.

Si nelayan itu pun pergi ke tempat dia bertemu ikan besar itu dan menyampaikan

hajat isterinya. Kawan-kawan tahu apa yang terjadi……………Ya, kawan-kawan

ikan besar itu sangat marah dan tidak menunaikan permintaan isteri nelayan yang

tamak itu. Nelayan itu pun pulang dengan hati yang sedih.

Sampai di rumah, dilihatnya semua benda bertukar menjadi seperti asalnya.

Pondoknya usang dan pakaian isterinya compang-camping. Nelayan itu memarahi

isterinya kerana bersikap terlalu tamak. Mereka kembali menjadi semula.

Sekian sahaja cerita saya kawan-kawan. Pengajarannya daripada cerita ini ialah kita

tidak boleh bersikap tamak dan mestilah sentiasa bersyukur dengan segala yang

kita miliki. Saya akhiri cerita saya dengan serangkap pantun…….

Ucapkan salam dan selamat pagi,

Kepada guru yang kita sayang,

Orang tamak selalu rugi,

Seperti anjing dengan baying-bayang.


Sekianlah sahaja, cerita saya pada kali ini dan saya sudahi dengan

Assalamualaikum…………..

Anda mungkin juga menyukai