Anda di halaman 1dari 5

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih diucapkan


kepada tuan pengerusi majlis yang petah berbicara, barisan hakim bijak
berkarisma, guru- guru pendidik bangsa serta rakan-rakan yang dikasihi
sekalian. Izinkan saya memulakan bicara dengan membacakan serangkap
pantun,

Sayang kumbang mencari makan,


Terbang seiring di tepi kali,
Kisah Badang saya sajikan,
Semoga tersemat di sanubari.

Kawan-kawan, Yang terlena, sedar-sedarkan, yang tersedar, dengar-


dengarkan, yang terdengar, fikir-fikirkan.

Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Hamba itu


bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira Sura. Badang diberikan
tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan semak-samun di
sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.

Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di


kaki bukit berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja.
Setelah selesai sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang
makan nasi di dalam upih pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk
dicecah dengan sambal garam, nasi sebungkus itu habis dimakannya.

Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan
bermain-main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan
nasi dengan sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat
lauk. Kalau dapat banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan
aku suka kalau dapat merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain." 
Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis
perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai.

Kawan-kawan,
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula
kerja menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya.
Namun, Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di
tebing sungai berhampiran lukahnya. Dia mendapati lukahnya telah diusik
orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan sisik-sisik ikan. Dia berasa
hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama.

Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak
pergi melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada
waktu malam.
Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat
itu, Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia
terperanjat kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak.
Badang terus pergi mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada
ikan, kecuali sisik ikan sahaja yang tinggal. Badang bertambah hairan.

"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.


Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri
ikan di dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu. Kemudian, dia pergi
menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak balik. Dia terus
pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam lukah
itu. Dia menyorok di sebalik semak. Apabila larut malam, datanglah satu
lembaga. Matanya merah, bertaring panjang, berjanggut, dan berambut
panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Lembaga itu mengangkat lukah lalu
mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu rupa-rupanya!" kata Badang di
dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar Badang lagi di dalam
hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa seram. Dia
segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu. Berlakulah pergelutan.
Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya, lembaga itu mengaku
kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak melepaskan
lembaga itu dengan begitu mudah. "Kalau tuan hamba melepaskan hamba,
hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba mahukan," ujar lembaga itu
dengan bersungguh-sungguh. 
Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah
kata-kata lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu
minta. Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya.
Kalau minta isteri cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau
minta jadi gagah perkasa, tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan
hutan itu. "Baiklah! Aku mahu menjadi gagah dan perkasa," kata Badang. 
"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah
hamba," kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah!
Aku setuju. Cepat! Biar aku jadi gagah," kata Badang. Lembaga itu muntah di
atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang pun makanlah
muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan. 
"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi
memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang
pokok besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya.
Pokok itu tumbang. Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu.
Lembaga yang muka hodoh dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi
manusia biasa, lelaki itu mempunyai rambut yang putih dan berjanggut putih.
"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk
menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu.
Kemudian lelaki itu pun ghaib dan hilang daripada pandangan Badang. 
Badang bersyukur kepada Tuhan kerana memperoleh kekuatan yang luar biasa
itu. Malam itu, Badang membersihkan semua hutan sebagaimana yang
diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.
Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan
bertanya mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia
telah membersihkan hutan dan semak-samun tersebut. Orang Kaya Nira Sura
itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang. Dia pergi ke hutan untuk
melihat sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura hairan kerana hutan
dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh Badang. Orang
Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah dibersihkan.
Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula.
Orang Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik.
Maka Badang pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di
istana Raja Temasik sebagai budak suruhan. 

Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam.
Permaisuri menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak
lengah-lengah lagi. Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana
raja itu. Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa
menghulurkan tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan
tempat Badang berpijak itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas
ke batu. Batu besar di bawah pokok mempelam itu terbelah dua. Namun, kepala
Badang tidak cedera Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu. Permaisuri
lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan
sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda
sangat hairan akan peristiwa itu. Raja Temasik lalu mengangkat Badang
sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan Badang tersebar di seluruh
Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling. Maharaja Keling
datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi perkasa itu
untuk berlawan dengan Badang. Maka tibalah hari yang ditetapkan. Hari
pertandingan kekuatan di antara dua buah negara.

Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan


Gagah Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis
raja-raja dan pembesar negara masing-masing. Dengan rasa megah pahlawan
itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya. Dia lalu membawa batu
itu ke hadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling dan para
pembesar negara pun ketawa kerana gembira. Riuh rendah kedengaran.
Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang bertubuh kerdil
berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang lalu
mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga. Pahlawan Gagah
Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi kekuatan
Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang
sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu.

Pengajaran yang dapat diperoleh daripada cerita ini ialah ,


1. Badang seorang yang sangat taat kepada tuannya, walaupun dia tidak
diperhatikan semasa bekerja dia tidak pernah mencuri tulang.
2. Badang seorang yang cekal, tabah dan jujur sehingga dia terpilih untuk
mendapat anugerah dari Allah.
3. Badang tidak pernah sombong kerana kekuatan yang dimilkinya tetapi
menggunakannya untuk perkara-perkara kebaikan.

Begitulah cerita Badang, marilah kita sama-sama mengambil ikhtibar daripada


kisah ini, sehingga kita berjumpa lagi.

Anda mungkin juga menyukai