Anda di halaman 1dari 3

TEKS PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 2

TAJUK: NELAYAN YANG JUJUR

Selamat pagi dan salam sejahtera kawan-kawan. Hari ini saya ingin menyampaikan sebuah cerita yang
bertajuk “Nelayan yang Jujur”.Kejujuran itu penting dalam hidup ini. Oleh itu, besarlah harapan saya agar
semua yang ada di sini pasang telinga dan mengambil iktibar daripada cerita ini.
Begini ceritanya….. Tersebutlah pada zaman dahulu, ada seorang nelayan yang miskin pergi keluar
menjala di tengah lautan. Gelombang besar tidak menakutkannya kerana dia sedar betapa dia mencari
rezeki yang halal untuk keluarganya. Dia yakin Tuhan akan memberkati rezekinya yang dicari dengan
titik peluhnya sendiri. Setelah beberapa lama dia menebarkan jala, dia tidak mendapat apa-apa tangkapan
pun. Dia berhenti seketika sambil mengesat peluh di dahi. Kemudian, dia menadah tangan ke langit
seraya berdoa bersungguh-sungguh kepada Tuhan agar diberikan rezeki untuk menyara kehidupan
keluarganya. Dengan penuh harapan, dia menebarkan jalanya sekali lagi.

Sewaktu nelayan itu menarik jalanya kali ini, dia mendapat seekor ikan yang sangat luar biasa. Sisik
ikan itu berkilau-kilauan seperti emas. Matanya pula kelihatan seperti intan yang bergemerlapan.Nelayan
itu amat bersyukur dengan rezeki yang tidak diduganya itu.Dia belum pernah melihat ikan yang secantik dan
seganjil itu. Setelah dia mengalihkan ikan itu ke dalam sebuah bekas yang mengandungi air laut, dia duduk
berfikir  seketika. Dia bimbang tidak ada sesiapa yang mahu membeli ikan itu dengan harga yang tinggi.
Kepada siapa dia hendak menjual ikan ini ? Setelah puas berfikir, dia mengambil keputusan untuk membawa
ikan itu kepada raja di negerinya. Raja di negerinya itu terkenal sebagai seorang raja yang adil lagi
pemurah. Akan tetapi, permaisuri baginda pula terkenal dengan sikap kikir dan tamak. Namun, nelayan itu,
bertekad untuk mempersembahkan ikan yang dia dapat itu kepada rajanya. Sebaik sahaja raja melihat
ikan itu, baginda berasa sangat kagum akan keajaiban ikan tersebut.

Lantas baginda bertanyakan di manakah nelayan itu mendapat ikan ajaib itu. “Patik dapat menangkap
ikan ini dengan menjalanya di sebuah teluk di lautan selatan negeri ini,”sembah nelayan. “Bukankah
pada masa ini laut bergelombang besar dan amat bahaya?” tanya raja dengan curiga. “Dengan izin
Tuhan juga, sesuatu yang susah dapat dilaksanakan,” sembah nelayan dengan penuh takzim. Raja berasa
kagum akan keberanian nelayan itu lalu menghadiahinya seribu dinar wang emas. Nelayan itu amat bersyukur
dan mengucapkan terima kasih. Dia tidak pernah memegang wang sebanyak itu.

Permaisuri memandang nelayan dengan perasaan jengkel. Setelah nelayan itu pulang, permaisuri
menyatakan perasaan tidak puas hatinya kepada raja. Baginya, wang yang diberikan kepada nelayan itu sangat
besar jumlahnya. “Seribu dinar terlalu mahal bagi harga seekor ikan,” bentak permaisuri. Permaisuri
memujuk raja agar dipanggil semula nelayan itu. Jika nelayan itu berjaya menjawab soalan yang diberikan,
wang itu kekal menjadi miliknya. Tetapi jika jawapan nelayan itu salah, wang itu hendaklah dikembalikan.

“Baiklah….tapi…apakah soalannya?” kata Raja. Permaisuri pun menyuruh raja bertanyakan


kepada nelayan, sama ada ikan ajaib itu jantan atau betina. “Jika dia menjawab jantan, kanda katakan
betina..jika dia jawab betina… kanda katakan jantan,” kata permaisuri sambil tersenyum.
(Oooohhhh…. Senyum ada makna tuuu….permaisuri hendak mengenakan nelayan itu rupanya).
Keesokan harinya, nelayan itu pun dipanggil mengadap Raja.

Permaisuri Raja pun bertanyakan soalan sama ada ikan yang dibawanya semalam jantan atau betina.
Setelah berfikir sejenak, dia pun bersuara. “Ampun tuanku, sebenarnya ikan itu bukan ikan jantan
atau ikan betina. Ikan itu……” jawapnya sambil tersenyum simpul.Raja yang mendengar jawapan
nelayan itu ketawa terbahak-bahak. Baginda amat geli hati mendengar jawapan nelayan itu. Baginda lalu
menghadiahi nelayan itu seribu dinar wang emas lagi.

Selepas itu, nelayan pun pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira. Dengan wang pemberian
raja itu, dia membaiki sampan dan jalanya. Selebihnya disimpan untuk kegunaan pada masa depan.
Kawan-kawan, Begitulah ceritanya…. Contohilah sikap nelayan itu yang sentiasa bersyukur, jujur
dalam perbuatannya dan yakin bahawa Tuhan akan memberi rezeki kepada manusia yang berusaha.
Sekian. Semoga kita berjumpa lagi….

Anda mungkin juga menyukai