Anda di halaman 1dari 2

TEKS PERTANDINGAN BERCERITA TAHAP 2 TAJUK:

NELAYAN YANG JUJUR

Terima kasih pengerusi majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan jam

randiknya, guru-guru dan hadirin sekalian. Selamat Sejahtera. Kejujuran itu penting dalam hidup ini. Oleh itu,

besarlah harapan saya agar semua yang ada di sini pasang telinga dan mengambil iktibar daripada cerita ini.

Begini ceritanya….. Tersebutlah pada zaman dahulu, ada seorang nelayan yang miskin pergi keluar menjala

di tengah lautan. Gelombang besar tidak menakutkannya kerana dia sedar betapa dia mencari rezeki yang

halal untuk keluarganya. Dia yakin Tuhan akan memberkati rezekinya yang dicari dengan titik peluhnya

sendiri. Setelah beberapa lama dia menebarkan jala, dia tidak mendapat apa-apa tangkapan pun. Dia

berhenti seketika sambil mengesat peluh di dahi. Kemudian, dia menadah tangan ke langit seraya berdoa

bersungguh-sungguh kepada Tuhan agar diberikan rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya. Dengan

penuh harapan, dia menebarkan jalanya sekali lagi.

Sewaktu nelayan itu menarik jalanya kali ini, dia mendapat seekor ikan yang sangat luar biasa. Sisik ikan itu

berkilau-kilauan seperti emas. Matanya pula kelihatan seperti intan yang bergemerlapan.Nelayan itu amat

bersyukur dengan rezeki yang tidak diduganya itu.Dia belum pernah melihat ikan yang secantik dan seganjil

itu. Setelah dia mengalihkan ikan itu ke dalam sebuah bekas yang mengandungi air laut, dia duduk berfikir

seketika. Dia bimbang tidak ada sesiapa yang mahu membeli ikan itu dengan harga yang tinggi. Kepada

siapa dia hendak menjual ikan ini? Setelah puas berfikir, dia mengambil keputusan untuk membawa ikan itu

kepada raja di negerinya. Raja di negerinya itu terkenal sebagai seorang raja yang adil lagi pemurah. Akan

tetapi, permaisuri baginda pula terkenal dengan sikap kikir dan tamak. Namun, nelayan itu, bertekad untuk

mempersembahkan ikan yang dia dapat itu kepada rajanya. Sebaik sahaja raja melihat ikan itu, baginda

berasa sangat kagum akan keajaiban ikan tersebut.

Lantas baginda bertanyakan di manakah nelayan itu mendapat ikan ajaib itu. “Patik dapat menangkap ikan ini

dengan menjalanya di sebuah teluk di lautan selatan negeri ini,”sembah nelayan. “Bukankah pada masa ini

laut bergelombang besar dan amat bahaya?” tanya raja dengan curiga. “Dengan izin Tuhan juga, sesuatu

yang susah dapat dilaksanakan,” sembah nelayan dengan penuh takzim. Raja berasa kagum akan

keberanian nelayan itu lalu menghadiahinya seribu dinar wang emas. Nelayan itu amat bersyukur dan

mengucapkan terima kasih. Dia tidak pernah memegang wang sebanyak itu.

Permaisuri memandang nelayan dengan perasaan jengkel. Setelah nelayan itu pulang, permaisuri

menyatakan perasaan tidak puas hatinya kepada raja. Baginya, wang yang diberikan kepada nelayan itu

sangat besar jumlahnya. “Seribu dinar terlalu mahal bagi harga seekor ikan,” bentak permaisuri. Permaisuri

memujuk raja agar dipanggil semula nelayan itu. Jika nelayan itu berjaya menjawab soalan yang diberikan,

wang itu kekal menjadi miliknya. Tetapi jika jawapan nelayan itu salah, wang itu hendaklah dikembalikan.
“Baiklah….tapi…apakah soalannya?” kata Raja. Permaisuri pun menyuruh raja bertanyakan kepada nelayan,

sama ada ikan ajaib itu jantan atau betina. “Jika dia menjawab jantan, kanda katakan betina..jika dia jawab

betina… kanda katakan jantan,” kata permaisuri sambil tersenyum. (Oooohhhh…. Senyum ada makna

tuuu….permaisuri hendak mengenakan nelayan itu rupanya). Keesokan harinya, nelayan itu pun dipanggil

mengadap Raja

Permaisuri Raja pun bertanyakan soalan sama ada ikan yang dibawanya semalam jantan atau betina.

Setelah berfikir sejenak, dia pun bersuara. “Ampun tuanku, sebenarnya ikan itu bukan ikan jantan atau ikan

betina. Ikan itu……” jawapnya sambil tersenyum simpul.Raja yang mendengar jawapan nelayan itu ketawa

terbahak-bahak. Baginda amat geli hati mendengar jawapan nelayan itu. Baginda lalu menghadiahi nelayan

itu seribu dinar wang emas lagi.

Selepas itu, nelayan pun pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira. Dengan wang pemberian raja itu,

dia membaiki sampan dan jalanya. Selebihnya disimpan untuk kegunaan pada masa depan.

Kawan-kawan, Begitulah ceritanya…. Contohilah sikap nelayan itu yang sentiasa bersyukur, jujur dalam

perbuatannya dan yakin bahawa Tuhan akan memberi rezeki kepada manusia yang berusaha. Sekian.

Semoga kita berjumpa lagi….

Anda mungkin juga menyukai