Anda di halaman 1dari 2

Tajuk : Maafkan Cikgu.

Terima kasih tuan pengerusi majlis. Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru dan para hadirin yang dihormati serta rakan-rakan yang dikasihi.
Selamat sejahtera dan salam Perak Aman Jaya. Pada hari yang berbahagia ini, saya
akan menyampaikan sebuah cerita bertajuk “Maafkan Cikgu”.

Kisahnya adalah tentang seorang anak yatim bernama Amir. Ayahnya


telah meninggal dunia sejak dia masih kecil lagi. Untuk menyara kehidupan mereka,
ibunya telah mengambil upah menebas kebun dan menjual kuih. Amir tidak pernah
mengeluh malah dia turut membantu ibunya dengan menjual surat khabar sebelum ke
sekolah.

Seperti biasa pada pagi itu, Amir mengayuh basikalnya laju-laju. Berpeluh-peluh
badannya. Amir bimbang akan bertembung dengan Cikgu Hakim, guru disiplinnya. Ah,
mendengar namanya sahaja sudah cukup membuatkan murid-murid kecut perut
apatah lagi bersemuka dengannya! Ingatlah ya kawan-kawan, datang lambat ke
sekolah bukanlah sikap yang baik.

Ketika sampai di sekolah, jam tangan Amir menunjukkan tepat 8.30 pagi.
Dengan
langkah yang tergesa-gesa, Amir pun menuju ke kelasnya. Tiba-tiba, “Amir,
Amir,” nama Amir dipanggil. Panggilan itu lantas mematikan langkahnya. Degup
jantung Amir bertambah kencang. Terlihat wajah Cikgu Hakim yang serius. Dengan
suara yang lantang, Amir dimarahi kerana datang lewat. Amir hanya membisu.
Memberi alasan pada saat itu, bukanlah tindakan yang bijak. Walaupun Amir
pernah menjelaskan tetapi Cikgu Hakim enggan mendengarnya malah dia dituduh
menegakkan benang yang basah.

Apalagi Amir dibawa ke bilik guru disiplin. Dia telah diberi surat amaran untuk
disampaikan kepada ibunya. Amir pun menerima dengan sedih. Berat mata yang
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Amir kecewa kerana dituduh sebagai murid
yang malas. Padahal dia bukanlah seperti apa yang disangkakan. Rakan-rakan Amir
juga sering mengejeknya kerana selalu didenda atas kelewatannya sampai ke
sekolah.

Setelah sesi persekolahan tamat pada hari itu, Amir pun terus pulang ke rumah.
Selepas membersihkan dirinya, Amir pun ke dapur kerana perutnya terasa terlalu lapar.
Apabila dia hendak menjamah makanan, dia teringat kembali peristiwa yang berlaku
di sekolah tadi. Seleranya hilang. Amir membuat keputusan untuk ke kebun Pak Megat
untuk berjumpa dengan ibunya. Amir ingin menceritakan tentang peristiwa yang berlaku
di sekolahnya tadi. Sebaik sahaja terpandang wajah ibunya, dia tidak sampai hati
untuk meluahkan isi hatinya. Sebaliknya, dia membantu ibunya menyelesaikan kerja.
Bagi diri Amir, ibulah segala-galanya.
Pada malam itu, Amir bertekad untuk menyatakan hasratnya untuk berhenti
kerja kepada ibunya. Dia lantas menyerahkan surat yang diterima daripada Cikgu
Hakim. Amir melihat wajah ibunya amat sedih setelah membaca surat itu. Bagi ibu Amir,
dia masih mampu menyara kehidupan mereka. Dia ingin melihat anaknya berjaya
dalam pelajaran.

Sebagai pelajar tahun 6, Amir dapat berfikir dengan baik. Dia


membuat keputusan untuk berhenti kerja. Azam baharunya ialah datang awal ke
sekolah dan belajar bersungguh-sungguh. Justeru, keesokan harinya pagi-pagi
lagi Amir telah ke kedai Pak Cik Muthu tempat dia mengambil surat khabar. Dia
menyatakan hasratnya untuk berhenti kerja. Selepas itu, Amir mengayuh basikalnya
lebih laju dari biasa. Dia tidak mahu terlambat lagi. Dia sudah serik dengan herdikan
guru disiplinnya.

Apabila tiba di persimpangan jalan, tanpa melihat ke kiri dan ke kanan Amir terus
melintas. Malangnya, sebuah kereta telah melanggarnya. Amir tercampak ke seberang
jalan lalu pengsan. Orang yang melanggar Amir itu terus membawanya ke klinik yang
berdekatan. Mujurlah Amir selamat. Dia cuma mengalami luka-luka kecil sahaja.

Tidak lama kemudian, Amir pun sedar dan dia terkejut melihat Cikgu Hakim
berada
di sisinya. Dengan wajah yang ikhlas dan mesra, Cikgu Hakim meminta
maaf atas kecuaiannya, “Maafkan cikgu, Amir”. Amir berasa serba salah. Dia pun
memberitahu bahawa dialah yang bersalah kerana tidak berhati-hati.

Begitulah kawan-kawan, niat di hati untuk membantu keluarga adalah satu


sifat yang mulia. Namun, kita mestilah memikirkan keselamatan diri dahulu.
Sekiranya kawan-kawan telah melakukan kesalahan, janganlah malu untuk
meminta maaf kerana orang yang mengakui kesalahannya akan dipandang mulia.

Izinkan saya mengakhiri cerita saya dengan serangkap pantun:

Jalan-jalan ke pasar raya


Hendak membeli buah rambutan;
Berhati-hati di jalan raya,
Jangan lupa jaga keselamatan.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai