Anda di halaman 1dari 2

RENCANA

Rakyat Malaysia kini 30 juta orang


2014/03/06 - 02:48:06 AM Johan JaafarCetakEmel Kawan

Sewaktu rencana ini mula ditulis pada jam 10.55 malam, 2 Mac 2014, penduduk Malaysia
berjumlah 30,075,276 orang. Itu kiraan yang dibuat oleh website Population Clock. Sebanyak
1,192 orang lagi bertambah hari itu. Dalam masa 61 hari tahun 2014, Malaysia mencatatkan
pertambahan 101,599 orang dengan 23,761 kematian. Ini bermakna secara purata 1,600 rakyat
Malaysia lahir dan 389 mati setiap hari.

Pada hari bersejarah Tunku Abdul Rahman Putera mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos
1957, rakyat Malaya hanya 6.3 juta orang. Sepuluh tahun kemudian (Sabah dan Sarawak sudah
menjadi sebahagian daripada Malaysia) jumlah penduduk menjadi 10.1 juta. Angka itu menjadi
12.7 juta orang pada tahun 1977 dan 16.7 juta pada tahun 1987. Sepuluh tahun selepas itu,
angkanya mencecah 21.8 juta (1987). Pada tahun 2007, jumlahnya ialah 26.8 juta orang.

Tidak banyak yang menyedari bahawa pada 27 Februari 2014, rakyat Malaysia yang ke-30 juta
telah lahir ke dunia. Dalam masa tujuh tahun terakhir ini berlaku peningkatan 3.2 juta penduduk,
jumlah yang kecil jikalau dibandingkan dengan banyak negara lain. Dalam masa tujuh tahun kita
hanya mampu menambah penduduk yang seramai rakyat Singapura.

Kita perlukan jumlah, tetapi bukan mudah menangani bilangan yang besar. Ekonomi yang
dirancang dengan baik akan mendapat suntikan daripada bilangan rakyat. Banyak negara ramai
penduduk, tetapi sarat dengan masalah seperti makanan, tempat tinggal, pengangguran dan
lain-lain

65 juta orang pada 2100

Dijangka penduduk Malaysia akan mencecah 30.6 juta pada tahun 2040 dan 65 juta pada tahun
2100. Pada tahun 2040 jumlah orang Melayu dijangka 20.9 juta orang atau 54 peratus jumlah
penduduk. Kaum Cina diramalkan akan menjadi 7.1 juta orang atau 18 peratus penduduk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggemparkan negara apabila
menyebut dasar 70 juta penduduk pada tahun 1984. Pada masa itu beliau baru saja empat
tahun memegang tampuk pemerintahan. Penduduk Malaysia masih 15.3 juta orang. Tidak
banyak orang yang percaya Malaysia boleh mencapai sasaran 70 juta penduduk menjelang
2100. Berdasarkan ramalan, mungkin kita terkurang lima juta orang sahaja daripada sasaran
Tun Mahathir itu.

Lagi pula daripada segi kepadatan penduduk, kita masih selesa dengan 89 orang bagi setiap
kilometer persegi. Kadar pertambahan penduduk kita adalah di sekitar 2.4 peratus setahun,
relatif kecil berbanding banyak negara lain.
Apakah makna pertambahan penduduk bagi sesebuah negara? Sudah tentulah keperluan lebih
banyak pada pelbagai sumber daripada makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.
Bilangan penduduk yang banyak juga bermakna pasaran domestik lebih besar. Kebangkitan
China sebagai kuasa baru ekonomi ada kaitan dengan jumlah penduduknya. Memang benar
China pernah memenjara dirinya daripada luar. Tetapi, apabila ia membuka dirinya pada tahun
1979, kesannya cukup luar biasa.

China takluk ekonomi dunia

China hari ini mempunyai penduduk melebihi 1.3 bilion orang. Ia bukan sahaja memberi peluang
niaga yang lebih besar pada rakyatnya tetapi juga keupayaan menakluk dunia dengan kuasa
ekonomi.

India yang kini mempunyai 1.2 bilion penduduk dipercayai akan mengalahkan China dalam
waktu terdekat daripada segi jumlah penduduk. Tetapi ekonomi India tidak ditadbir dengan baik
berbanding China. Indonesia kini mempunyai 250 juta penduduk. Sekiranya negara itu
mengamalkan dasar yang betul, ia akan menjadi kuasa ekonomi yang penting di rantau ini.

Jumlah kelas menengah di China, India dan Indonesia cukup luar biasa. Bagi Indonesia sahaja,
sekiranya hanya satu peratus rakyatnya tergolong dalam kategori terkaya jumlah itu ialah 2.5
juta orang. Bayangkan jikalau 20 peratus rakyat India dikategorikan sebagai kelas menengah.
Jumlahnya ialah 240 juta orang, hampir sama dengan seluruh rakyat Indonesia atau lapan kali
jumlah penduduk kita.

Kita perlukan jumlah, tetapi bukan mudah untuk menangani bilangan yang besar. Ekonomi yang
dirancang dengan baik akan mendapat suntikan daripada bilangan rakyat yang besar. Banyak
negara ramai penduduk, tetapi sarat dengan masalah seperti makanan, tempat tinggal,
pengangguran dan lain-lain.

Pada abad yang ke-18, seorang ahli ekonomi Inggeris bernama Thomas Robert Malthus menulis
eseinya tentang prinsip kependudukan.

Beliau meramalkan bahawa dunia tidak dapat menampung pertumbuhan penduduk kerana
sumber makanan yang terjejas dan penyakit. Teori Malthus tidak sepenuhnya benar. Ternyata
dunia masih boleh menampung tujuh bilion manusia. Apa yang penting ialah kualiti hidup
manusia itu sendiri.

Dalam konteks kita, jumlah penduduk pada akhirnya tidak penting sekiranya negara ditadbir
dengan baik dan sistem ekonomi dapat menampung keperluan rakyat. Dalam masa 57 tahun
semenjak merdeka telah berlaku peningkatan 23.7 juta penduduk. InsyaAllah, negara ini pasti
boleh menampung 70 juta orang satu hari nanti.

Anda mungkin juga menyukai