Anda di halaman 1dari 2

Dhuha tempoh berkat mula aktiviti kehidupan

Posted by: nurjeehan in Motivasi, Muamalah

Oleh Ibrahim Abdullah

ALLAH dalam beberapa ayat al-Quran bersumpah dengan waktu Dhuha seperti firman-Nya yang bermaksud:

Demi matahari dan sinar cahayanya di pagi hari (Dhuha). (Surah as-Syams, ayat 1) Bahkan ada surah
khusus dalam al-Quran dengan nama Ad-Dhuha.

Pada pembukaan ayat, Allah berfirman yang bermaksud: Demi waktu Dhuha. Imam ar-Razzi menerangkan
bahawa Allah setiap bersumpah dengan sesuatu itu menunjukkan hal yang agung, hebat dan besar
manfaatnya.

Apabila Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, bererti waktu Dhuha adalah waktu sangat penting dan
mustahak. Antara doa Rasulullah SAW yang bermaksud: Ya Allah, berilah keberkatan kepada umatku pada
waktu pagi (Dhuha).

Ini menunjukkan orang yang aktif dan bangun di waktu pagi (waktu Subuh dan Dhuha) untuk beribadat kepada
Allah dan mencari nafkah halal, ia akan mendapatkan keberkatan. Sebaliknya, mereka yang terlena dalam
mimpi dan tidak sempat solat Subuh pada waktunya, tidak mendapat keberkatan itu.

Abu Zar meriwayatkan hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Bagi tiap-tiap anggota tubuh kamu hendaklah dikeluarkan sedekah baginya setiap pagi. Satu kali membaca
takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran
adalah sedekah. Dan semua itu dapat diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. (Hadis riwayat Muslim)

Aisyah menceritakan Rasulullah SAW selalu melaksanakan solat Dhuha empat rakaat. Dalam riwayat Ummu
Hani yang bermaksud: Kadang-kadang Rasulullah SAW melaksanakan solat Dhuha sampai lapan rakaat.
(Hadis riwayat Muslim)

Imam at-Tirmizi dan Imam at-Tabarani meriwayatkan sebuah hadis yang menjelaskan bahawa apabila
seseorang melaksanakan solat Subuh berjemaah di masjid, lalu ia berdiam di tempat solatnya sampai tiba
waktu Dhuha, kemudian ia melaksanakan solat Dhuha, ia akan mendapatkan pahala seperti naik haji dan
umrah diterima. Ulama hadis menyatakan hadis ini hasan.

Waktu Dhuha adalah waktu yang Allah sebutkan dalam al-Quran dan bersumpah dengannya. Ia tidak disebut
dan tidak pula dijadikan sumpah kecuali memiliki hikmah tersirat di sebaliknya. Dhuha mempunyai erti
permulaan siang atau awal terbitnya matahari.
Allah menjelaskan bagaimana waktu siang semestinya digunakan untuk mengerjakan aktiviti yang produktif,
seperti firman-Nya yang bermaksud:

Dan Kami jadikan waktu siang untuk mencari penghidupan (rezeki). (Surah an-Naba, ayat 11)

Nabi Muhammad SAW pernah mendoakan orang seperti itu yang bermaksud:

Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi mereka. (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Allah juga menjelaskan bagaimana waktu malam seharusnya digunakan untuk beristirehat. Allah berfirman
yang bermaksud:

Dia menyingsingkan waktu pagi dan menjadikan waktu malam untuk beristirahat. (Surah al-Anam, ayat 96)

Begitulah Allah mengarahkan manusia untuk memanfaatkan putaran waktu dengan baik dan tepat. Dalam
pada itu Allah mengingatkan manusia tidak terlena dalam aktiviti kerja mereka sepanjang siang dan beristirahat
sepanjang malam.

Pada malam hari, Allah membangunkan mereka supaya tidak cuai dalam beristirahat. Firman Allah yang
bermaksud:

Dan pada sebahagian waktu malam, kerjakanlah solat tahajud sebagai suatu ibadat tambahan bagimu.
(Surah al-Isra, ayat 79)

Kesimpulannya, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan apa pun aktiviti dikerjakan manusia sepanjang siang dan
malam, seharusnya tidak melupakan ibadat kepada Allah.

Anda mungkin juga menyukai