Anda di halaman 1dari 14

1.

0 PENGENALAN

Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi adalah dua istilah yang sangat penting apabila
membincangkan konsep pembangunan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi merupakan prasyarat
pembangunan ekonomi dalam usaha untuk membentuk identiti sesebuah negara dari perspektif
ekonomi.

Apa yang penting di sini ialah kedua-dua istilah mempunyai matlamat untuk pembaikan
dalam taraf hidup kerana ia melibatkan keadaan-keadaan serta syarat-syarat untuk
memperbaiki perkembangan masyarakat keseluruhan dari perspektif pembangunan ekonomi.

Pembangunan ekonomi sesebuah negara tidak seharusnya disamakan dengan


peningkatan pendapatan per kapita, pengeluaran atau jumlah eksport sahaja, tetapi ia perlu
dikaitkan dengan kualiti hidup masyarakat, kemampuan penyelesaian masalah kemiskinan,
keperluan asasi manusia, keupayaan mendapat tempat perlindungan, keupayaan memperoleh
peluang pekerjaan, keupayaan menghantar anak ke sekolah, keadaan alam sekitar yang bersih
serta lain-lain petunjuk sosial bersangkutan dengan suasana kehidupan yang sempurna dan
layak dinikmati oleh manusia (Nor Aini et.al, 1996).

Pembangunan ekonomi penting bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan dan hasil
negara, serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi menampung pertambahan penduduk yang
pesat, tetapi juga memastikan mutu hidup rakyat meningkat (Rahimah, 2003). Dalam konteks
pembangunan ekonomi di Malaysia, peningkatan mutu hidup rakyat ini perlu diberi penekanan
supaya seimbang dengan peningkatan mutu hidup pelbagai kaum yang menjadi warganegara
Malaysia.
2.0 RANCANGAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN PRA MERDEKA

i. RANCANGAN MALAYA PERTAMA (1956-1960)

Rancangan Malaya Pertama merupakan rancangan pembangunan pertama yang dirangka oleh
kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). Rancangan Malaya Pertama ini dijalankan pada
tahun 1956 hingga 1960. Rancangan ini dipanggil sebagai Rancangan Malaya pada
permulaannya kerana pada ketika itu, Tanah Melayu belum lagi mambentuk sebuah gagasan
yang dikenali sebagai Malaysia.

Rancangan ini juga dikenali sebagai rancangan Fasa Sebelum Merdeka kerana pada
ketika itu juga, Tanah Melayu masih belum mencapai kemerdekaan sepenuhnya dan
masihberada di bawah penguasaan British. Rancangan ini juga memberi penekanan yang lebih
terhadap pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar dan lebih menjurus kepada aktiviti
pertanian sebagai hasil utama ekonomi Negara.

Rancangan Malaya Pertama ini dirangka bertujuan untuk memajukan sektor luar
bandar yang dikira pada ketika itu kurang maju dari segi ekonominya kerana kurangnya
kemudahan sedangkan tanah di kawasan luar bandar juga mempunyai ruang yang luas untuk
memperteguhkan ekonomi Negara berdasarkan tanahnya yang subur.

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah menjalankan pembukaan tanah baru
untuk tujuan pertanian. Ini bagi membuka peluang kepada para penduduk menjalankan aktiviti
pertanian dengan meluas dan mengusahakan perusaahaan perlombongan bijih timah. Selain
itu, kerajaan menggalakkan penanaman semula pokok-pokok getah di kebun-kebun kecil bagi
meningkatkan lagi pengeluaran perusahaan getah sekaligus meningkatkan ekonomi Negara
kerana getah pada ketika itu menjadi sumber utama ekonomi Negara.

Bagi menjayakan perangkaan Rancangan Malaya Pertama ini, dua agensi utama telah
ditubuhkan iaitu Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA). RIDA merupakan satu agensi yang bermatlamatkan prinsip
membangunkan rakyat di kawasan luar bandar. Agensi ini juga berperanan sebagai satu agensi
yang memberi pinjaman kepada para pengusaha kecil di kawasan luar bandar. Selain itu, ia
berperanan memasarkan hasil pertanian yang diperolehi dalam aktiviti pertanian yang
dijalankan oleh para petani disamping menggalakkan penyertaan orang Melayu dalam
perniagaan memandangkan perniagaan juga merupakan satu kegiatan yang memberi kesan
kepada pembangunan ekonomi Negara.
ii. RANCANGAN MALAYA KEDUA (1961-1965)

Rancangan Malaya Kedua pula merupakan rentetan daripada Rancangan Malaya Pertama.
Rancangan ini telah disediakan oleh sebuah Jawatankuasa Kerja Antara Jabatan dengan
bantuan sebuah Urusetia Ekonomi yang dibantu oleh pakar perunding Bank Dunia. Rancangan
Malaya Kedua juga telah menggunakan kedua-dua strategi perancangan dari atas ke bawah dan
dari bawah ke atas dengan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar serta
penyertaan rakyat di dalam proses perancangan dan pelaksanaan. Rancangan ini menekankan
matlamat berikut;

i. Mengurangkan jurang perbezaan taraf hidup antara kawasan.


ii. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk di luar bandar.
iii. Menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti kemudahan kesihatan pelajaran dan
perumahan untuk penduduk di luar bandar.
iv. Mempelbagaikan kegiatan pertanian dengan menekankan pengeluaran pertanian yang
lain sebagai tambahan kepada tanaman getah.

iii. RANCANGAN MALAYSIA PERTAMA (1965-1970)


Pembangunan negara telah diasaskan kepada suatu rancangan bersepdu berikutan kemasukan
Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Rancangan Malaysia Pertama ini juga
telah menentukan arah pembangunan dan matlmat-matlamat yang perlu dicapai dalm tempoh
rancangan lima tahun. Pembaharuan lain yang terdapat dalam rancangan ini termasuklah
program tenaga manusia dan penelitian yang lebih mendalam terhadap program-program ke
atas tiap-tiap sektor ekonomi. Pelaksanaan dan Pencapaian Program RMP:

Dalam tempoh masa RMP ini, beberapa agensi baru telah ditubuhkan. Di antaranya Lembaga
Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA Malaysian Industrial Development Authority,
1967) yang dulunya dikenali sebagai FIDA (Federal Investment Development Authority),
Lembaga Penasihat Tarif, MARA (Majlis Amanah Rakyat, 1966), Bank Bumiputera (1966)
dan juga PERNAS (Perbadanan Nasional Berhad, 1969). MIDA dan Lembaga Penasihat Tarif
dibentuk dengan tujuan membantu pembangunan perindustrian negara seperti yang tercatat
dalam Akta Galakan Pelaburan 1968. MARA, Bank Bumiputera dan PERNAS pula
ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang perusahaan dan
perdagangan.
3.0 RANCANGAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN SELEPAS
KEMERDEKAAN

PERANAN JABATAN PERPADUAN NEGARA

a) DASAR EKONOMI BARU (DEB)

Matlamat utama Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah untuk mencapai perpaduan negara melalui
dua strateginya yang bercorak serampang dua mata, iaitu mengurangkan dan seterusnya
membasmi kemiskinan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, dan menyusun semula struktur
masyarakat Malaysia agar mereka tidak lagi dikenali berasaskan ciri ekonomi dan tempat
tinggal.

Jurang ekonomi antara kaum telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan
rakyat. Terdapat perbezaan ekonomi yang ketara di antara masyarakat luar bandar yang
majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu yang menjalankan aktiviti ekonomi sara
diri, dengan masyarakat bandar yang terdiri daripada kaum Cina yang menjalankan aktiviti
ekonomi komersial. Perbezaan ini boleh menggugat perpaduan negara. Pelbagai usaha
membasmi kemiskinan telah dilaksanakan sepanjang perlaksanaan DEB. Antara usaha-usaha
itu ialah:

i. Membuka dan membangunkan kawasan tanah untuk golongan yang tidak memiliki
tanah oleh agensi kerajaan seperti FELDA dan FELCRA.
ii. Membina dan meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar.
iii. Memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan,
kesihatan dan sebagainya.
iv. Meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan.

Strategi penyusunan semula masyarakat diharapkan dapat menghapuskan pengenalan


kaum berdasarkan kepada kegiatan ekonomi dan tempat tinggal. Tujuan penyusunan semula
guna tenaga dilakukan adalah untuk memperlihatkan bahawa penduduk Malaysia terdiri
daripada pelbagai kaum. Penstrukturan ini juga dapat memberi peluang kepada semua kaum
untuk menikmati kekayaan negara dan mewujudkan keharmonian di kalangan semua kaum di
Malaysia. Melalui penyusunan semula masyarakat, diharapkan pemilikan saham di Malaysia
akan melambangkan komposisi kaum di negara ini. Langkah-langkah bagi mencapai strategi
menyusun semula masyarakat ialah:

i. Menyusun semula guna tenaga untuk mencerminkan komposisi kaum yang seimbang.
ii. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang
Melayu dan kaum bumiputera.
iii. Menubuhkan agensi kerajaan seperti Bank Pembangunan, Permodalan Nasional
Berhad dan lain-lain bagi membantu kaum bumiputera mendapatkan modal dan
membuat pelaburan.
iv. Memajukan negeri dengan menubuhkan agensi pembangunan wilayah seperti DARA,
KEJORA, dan lain-lain.
v. Membangunkan kawasan zon perindustrian di bandar dan menggalakkan migrasi dari
luar bandar ke bandar.
vi. Pembangunan bandar baru.

Pembangunan Ekonomi Negara Dalam Konteks Perpaduan Nasional:

i. Pembangunan dan perancangan ekonomi dirangka agar semua kumpulan etnik dapat
menyertai semua bidang dan peringkat kegiatan ekonomi untuk mencapai perpaduan
negara.
ii. Mengurangkan perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.
iii. Merapatkan jurang pendapatan antara kaum, sektor bandar dan luar bandar, pertanian
dan industri.
iv. Mengurangkan kemiskinan tanpa mengira kaum,
v. Pembangunan negara yang seimbang antara negeri-negeri di Semenanjung dengan
Sabah dan Sarawak.
vi. Penyusunan semula masyarakat di Malaysia.
vii. Kaum-kaum tidak lagi dikenali mengikut sektor/ pekerjaan DPN misalnya mempunyai
objektif yang jelas, iaitu perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhirnya
kerana masyarakat yang bersatu padu adalah penting untuk mengukuhkan kestabilan
sosial serta politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan
b) DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL

RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KEDUA (1991-2000)

DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri
Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991 - 2000
telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu
lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun
2020.

Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang
bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan
mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah
membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari
segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan
pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

Strategi Pelaksanaan

DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum
dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah
bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi
aspek aspek kritikal seperti berikut:

i. Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi


dengan pengagihan yang saksama.
ii. Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara
untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi
dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
iii. Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang
ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara
kawasan bandar dan luar bandar.
iv. Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati
kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan
kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.

c) DASAR WAWASAN NASIONAL

RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KETIGA (2001-2010)

Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) yang meliputi tempoh 2001-2005 merupakan fasa
pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010. Dasar
Wawasan Negara (DWN) yang terkandung dalam RRJP3 akan menentukan arah pembangunan
negara dalam dekad pertama abad ke-21. RMKe-8 menggabungkan strategi, program dan
projek yang dirangka bagi mencapai objektif DWN, iaitu pertumbuhan mampan dan
pengukuhan daya tahan ekonomi serta mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan
saksama.

Dasar Wawasan Negara menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas,
iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai
perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula
masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. DWN juga
berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada
Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas dengan tujuan
mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur yang dapat hidup
dalam suasana harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani cabaran yang
dihadapi oleh Negara untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri,
penekanan juga akan diberi kepada membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing
serta masyarakat yang bersatu padu dan saksama untuk memastikan perpaduan dan kestabilan
sosial. Strategi utama yang akan dilaksana dalam tempoh Rancangan bagi menangani cabaran
yang dihadapi oleh negara adalah seperti berikut:
i. Memperkukuh dan menyelaras program dan strategi pengagihan bagi memastikan
penyertaan yang seimbang di kalangan dan antara kumpulan etnik dan kumpulan
pendapatan serta wilayah;
ii. Meningkatkan lagi kualiti hidup melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan sosial
serta membangunkan aspek estatik dalam kehidupan;
iii. Mempergiatkan usaha bagi memupuk dan menyemai nilai-nilai positif dan sifat murni
di kalangan rakyat menerusi sistem pendidikan, pertubuhan sosial dan agama serta
media.

Agenda pengagihan akan terus diberi penekanan untuk mencapai matlamat membina
masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini, pelaksanaan strategi
dan program pengagihan akan diperkukuh dan diselaraskan bagi memastikan penyertaan
seimbang di kalangan dan antara kumpulan etnik, pendapatan dan wilayah. Untuk memastikan
objektif ini tercapai Kerajaan akan mengkaji semula dan memperbaiki kelemahan pelaksanaan
strategi dan program sedia ada.

Kerajaan akan terus menangani isu ketidakseimbangan pendapatan khususnya antara


kumpulan etnik, bandar dan luar bandar dan wilayah. Usaha akan dipergiat untuk mewujudkan
kumpulan berpendapatan sederhana yang lebih besar dan makmur di samping meningkatkan
pendapatan kumpulan berpendapatan rendah. Lebih banyak aktiviti yang dapat menjana
pendapatan akan diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan
kumpulan berpendapatan rendah. Antara lain, satu mekanisme akan dibentuk bagi
meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan menyediakan bantuan pada masa mereka
menghadapi keadaan yang sukar. Bagi memenuhi objektif pembangunan seimbang antara
wilayah dan negeri, Kerajaan akan mengambil langkah meningkatkan kadar pertumbuhan bagi
negeri-negeri kurang maju dengan menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi seperti
pembuatan, pelancongan dan pertanian moden.

Sistem nilai murni yang menekankan tingkah laku bermoral dan beretika yang
berasaskan agama, adat dan tradisi merupakan komponen penting dalam semua usaha
pembangunan. Sifat-sifat yang baik seperti amanah, disiplin, rajin, jujur, hormat dan toleransi
akan terus dipupuk dan dipelihara melalui sistem pendidikan, pertubuhan agama dan sosial,
badan perniagaan dan media. Tumpuan yang lebih akan diberi untuk menyemai nilai-nilai
positif ini di kalangan belia melalui pelaksanaan program Rakan Muda.
Dalam usaha menjadi sebuah negara maju sepenuhnya seperti terkandung dalam
Wawasan 2020, adalah perlu untuk memupuk semangat identiti bersama dan bangga terhadap
negara berasaskan warisan dan pencapaian yang lepas serta meningkat dan mengoptimumkan
potensi yang sedia ada. Semangat identiti bersama dan berkongsi tujuan sangat penting dalam
usaha pembangunan nusa bangsa. Pemupukan nilai positif dan kepercayaan terhadap nilai
moral dan tingkah laku beretika sebagai satu cara hidup di kalangan rakyat akan terus menjadi
asas kepada kejayaan negara.

d) DASAR TRANSFORMASI NASIONAL (GTP)

Dasar Transformasi Negara, 2011-2020, mengekalkan tumpuan berpaksikan rakyat melalui


Model Baru Ekonomi. Model ini menetapkan matlamat untuk menjadi ekonomi berpendapatan
tinggi yang inklusif serta mampan. Agenda transformasi ini disokong oleh Program
Transformasi Ekonomi yang menumpukan kepada 12 bidang ekonomi yang sangat penting
untuk pertumbuhan negara secara berterusan. Program Transformasi Kerajaan pula
memberikan penekanan kepada bidang yang menjadi keutamaan rakyat. Kerajaan juga telah
memperkenalkan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) bagi memperkukuh
pelaksanaan pembangunan. Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan akan
melaksanakan anjakan dasar pembangunan dan merangka pendekatan baharu bagi menangani
pelbagai cabaran baharu dan sedia ada. Sehubungan itu, enam teras strategik telah
diperkenalkan bagi membantu Melaysia sentiasa bersedia menghadapi cabaran dan
memanfaatkan peluang berikutan perubahan landskap global dan politik yang pantas.

i. Memperkukuh pembangunan inklusif ke arah masyarakat yang saksama

Pembangunan inklusif bukan sahaja untuk meningkatkan kesejahteraan individu dan


masyarakat, malah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kukuh bagi tempoh yang
lebih panjang. Untuk itu, kerajaan komited untuk memastikan peluang saksama
diperoleh semua segmen masyarakat, terutamanya isi rumah B40. Golongan itu bakal
mendapat akses lebih baik terhadap pendidikan dan latihan berkualiti, infrastruktur dan
kemudahan asas yang cekap, pekerjaan lebih baik dan peluang keusahawanan serta
pemilikan kekayaan. Sementara itu, kawasan laur bandar akan ditransformasikan
melalui penambahbaikan ketersambungan dan mobiliti serta pewujudan persekitaran
perniagaan yang kondusif. Semua isi rumah dijangka menikmati peningkatan
pendapatan dan isi rumah B40 akan tergolong dalam kumpulan masyarakat kelas
menengah. Tempoh RMK11 disifatkan sebagai kemuncak 30 tahun perjalanan menuju
Wawasan 2020. Lebih daripada itu, ia juga menjadi platform untuk memacu
pertumbuhan negara. Pembangunan inklusif adalah untuk mengekalkan pertumbuhan
ekonomi kukuh bagi tempoh lebih panjang.

ii. Meningkatkan kesejahteraan rakyat

Pendekatan pembangunan yang seimbang bakal dilaksanakan dengan memberi


penekanan kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat iaitu merujuk
kepada taraf serta kualiti hidup dari aspek sosioekonomi, fizikal dan psikologi.
Kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi
akan dipertingkat apabila setiap rakyat akan mempunyai akses kepada penjagaan
kesihatan dan rumah mampu milik yang berkualiti. Kawasan kejiranan dan tempat
awam yang lebih selamat akan membolehkan rakyat menikmati ketenangan fikiran dan
komuniti dapat hidup maju dan makmur. Masyarakat Malaysia akan berada dalam
kelaziman integrasi sosial dan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan serta fizikal.
Kesejahteraan rakyat akan dipertingkat apabila akses kepada penjagaan kesihatan
diperluas.

Dalam RMK-11 kerajaan telah banyak membuat perubahan dalam meningkatkan


kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. Pelbagai program kemasyarakatan telah
dilaksanakan untuk memperkukuh integrasi sosial dan semangat kesukarelawanan, memupuk
semangat toleransi dan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia. Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah melaksanakan 875,590 aktiviti
interaksi sosial melalui organisasi dan program seperti Kelab Rukun Negara, Sekretariat Rukun
Negara, Integrasi Komuniti, Jaringan Sosial, Silang Budaya, dan Persefahaman antara
Penganut Agama. Program tersebut telah dilaksanakan melalui kerjasama antara agensi
kerajaan, sektor swasta, dan NGO. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memupuk
semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia. 1Malaysia For Youth (iM4U) ditubuhkan
pada tahun 2012 sebagai sebuah NGO yang menganjurkan pelbagai program kesukarelawanan
dengan komuniti setempat seperti iM4U Flood Relief, Volunteer Malaysia, dan Reach Out
Convention and Celebration.

Sementara itu, alumni Program Latihan Khidmat Negara yang dikenali sebagai Briged
Sukarelawan Khidmat Negara juga menganjurkan program sukarelawan dalam pemuliharaan
alam sekitar, sukan dan bantuan bencana alam. Kerajaan telah menubuhkan Majlis Konsultasi
Perpaduan Negara (MKPN) pada tahun 2013 sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh
kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. MKPN telah diberikan mandat untuk menyediakan
pelan pembangunan kebangsaan bagi kesepaduan sosial dan perpaduan nasional yang dijangka
siap pada tahun 2015. Pelan pembangunan ini memberikan tumpuan kepada usaha
penyatupaduan melalui lima bidang utama, iaitu dasar dan perundangan, kebudayaan, belia,
integrasi nasional, dan pembangunan inklusif. MKPN telah mengadakan 18 sesi dialog
perpaduan di seluruh negara untuk meningkatkan persefahaman bagi mengukuhkan tolerasi
dan semangat integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Strategi yang digunakan dalam dasar ini menggalakkan integrasi sosial dan etika untuk
memupuk masyarakat yang bersatu dan bermoral. RMKe-11 akan memperkemaskan program
integrasi sosial dan perpaduan sedia ada untuk mengurangkan pertindihan dan meningkatkan
keberkesanan. Kerajaan juga akan menambah bilangan program integrasi sosial dan perpaduan
di institusi pendidikan dari sekolah hingga universiti. Sebagai contoh, sebanyak 5,000 pelajar
dari IPT akan menyertai Program Kerjaya MySilang untuk meningkatkan penerimaan dan
toleransi mereka terhadap rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang melalui
interaksi dan pendedahan bersama. RT digalakkan untuk menganjur dan melaksana program
bagi memperkukuh perpaduan dalam kawasan kejiranan masing-masing. Lebih 400 pasukan
wanita pelbagai kaum akan diwujudkan melalui program J-Nita di bawah RT. Di samping itu,
program seperti KOSPEN, pertanian bandar, dan Bomba Sukarela akan berfungsi sebagai
platform untuk menggalakkan integrasi sosial. Seni dan budaya akan dibangunkan untuk
menggalakkan perkongsian budaya dan warisan Malaysia, serta menawarkan satu lagi platform
untuk menerima kepelbagaian dan berkongsi identiti kebangsaan. Usaha untuk
mempromosikan warisan budaya seperti mak yong dan wayang kulit akan disokong bagi
membangunkan bakat individu dan masyarakat yang berminat. Penyelidikan dalam bidang seni
dan budaya akan dipergiat bagi memastikan kesahihan dan kesinambungan warisan negara
Malaysia.

Akses kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan juga akan dipertingkat dan digalakkan
melalui penglibatan masyarakat yang lebih meluas. Kebolehan dan keupayaan institusi
penyelidikan dan latihan akan dipertingkat bagi menambah baik perancangan, pemantauan,
dan pelaksanaan program perpaduan dan hubungan etnik. Institut Kajian Etnik dan Institut
Kajian dan Latihan Integrasi Nasional akan diperkukuh. Di bawah Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kerajaan telah menetapkan bahawa etika dan kerohanian
sebagai satu daripada enam keberhasilan pelajar yang dihasratkan. Kurikulum persekolahan
formal, dari prasekolah hingga ke pengajian tinggi akan dipertingkat untuk mencapai
keberhasilan yang ditetapkan. Lebih banyak kempen akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan
untuk menanam nilai pemikiran sivik dalam kalangan belia. Program tersebut juga akan
disasarkan kepada belia berisiko.

Strategi seterusnya menggiatkan penglibatan pihak berkepentingan untuk membina


rasa tanggungjawab bersama Usaha untuk memupuk persefahaman, toleransi, dan etika akan
dilaksanakan melalui penglibatan masyarakat yang meluas. Sebagai contoh, di peringkat
masyarakat, Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO untuk menerap nilai etika dan moral
melalui program dan kempen kesedaran bersasar yang khusus. Pemimpin masyarakat dan
profesional disarankan untuk menjadi contoh dan teladan bagi tingkah laku yang terpuji dan
penyayang. Institusi agama juga akan memain peranan yang lebih besar dalam memupuk nilai-
nilai murni melalui pelaksanaan program masing-masing. Selaras dengan peningkatan akses
kepada maklumat, setiap rakyat Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mengamalkan
penyebaran maklumat yang bertanggungjawab. Laporan yang bertanggungjawab dalam media
arus perdana dan dalam talian juga adalah penting untuk memastikan liputan yang adil dan
bukan bertujuan provokasi.
e) TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50)
RUJUKAN

Yusuf Ismail (2008). Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia. A.S. Noordeen : Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai