Anda di halaman 1dari 15

1.

0 PENGENALAN

Sebagai sebuah negara yang membangun, Malaysia telah mencapai kemajuan sosioekonomi. Kita
boleh berbangga dengan pencapaiannya di kalangan negara membangun kerana berjaya membawa
hasil pembangunan negara kepada rakyat yang merdeka. Ekonomi negara tumbuh dengan pesat
dari tahun ke tahun. Negara lain di rantau ini mengalami kadar pertumbuhan yang jauh lebih
rendah dan negara maju pula mengalami krisis ekonomi yang teruk. Sebaliknya Malaysia terus
mara dengan kemajuan sosial dan ekonominya. Dalam mengaut hasil kejayaan tersebut, banyak
faktor yang perlu dan diberikan perhatian seperti kestabilan politik, tenaga kerja yang mahir yang
baik, kekayaan sumber asli, pembangunan infrastuktur yang kukuh dan sistem perkhidmatan awam
yang kuat. Banyak negara membangun yang tidak begitu bernasib baik seperti negara kita. Perkara
utama yang dipentingkan oleh negara tersebut adalah sama dengan negara kita, yakni usaha ke
arah negara yang menghasilkan modenisasi ekonomi, sosial dan anjakan reformasi pentadbiran.
Pembangunan sesebuah tamadun dan negara dapat dilihat melalui cara pemerintahan yang telah
ditunjukkan oleh pemimpin sesebuah negara tersebut. Kredibiliti pemimpin yang unggul dapat
membuktikan bahawa keupayaan sesebuah negara mampu dipertingkatkan dengan melaksanakan
corak pentadbiran yang strategik dan sistematik. Pemimpin yang digelar sebagai Perdana Menteri
diberi mandat untuk melaksanakan segala perubahan untuk mencorakkan sesebuah negara kearah
yang lebih baik. Tahap kejayaannya, berbeza-beza. Agak nyata bahawa reformasi dan
pembaharuan lain dalam pelbagai sektor ekonomi diusahakan namun reformasi pentadbiran hanya
mendapat perhatian sampingan sahaja. Keutamaan yang tidak begitu diberikan kepada soal itu
digambarkan dengan kurangnya integrasi atau pengabungan di kebanyakan negara antara
rancangan pembangunan dari satu segi dengan aktiviti reformasi pentadbiran dari segi lain. Oleh
itu, reformasi demi reformasi perlu dilakukan dalam pentadbiran bagi memastikan negara terus
maju mencapai apa yang dihasratkan.

1
2.0 ISI DAN PERBINCANGAN

2.1 Maksud Reformasi Pentadbiran

Reformasi pentadbiran didefinisikan oleh Kamus Oxford sebagai semua


pembaikan dalam pentadbiran, pembaikpulihan keseluruhan pentadbiran dalam keadaan
kesukaran, pembaikan-pembaikan tertentu dalam perkara salah pentadbiran
(maladministration), dan sebarang cadangan yang lebih baik untuk kerajaan, (Ahmad
Atory Hussain, 1998). Bagi Maizatul Haizan Mahbob (2001) menyifatkan reformasi
pentadbiran sebagai perubahan, pemodenan, pembaikan atau pembangunan yang
membawa maksud peralihan daripada keadaan atau cara lama kepada keadaan atau cara
baru yang dikatakan lebih baik.

Gerald Caiden (1969) menakrifkan reformasi sebagai usaha yang dibuat untuk
mendorong perubahan pentadbiran yang ditentang. Beliau menegaskan bahawa usaha itu
merupakan sebahagian reformasi masyarakat dan perlu dibezakan daripada perubahaan
pentadbiran yang biasa.

Yehezkel Dror (1971) pula menyifatkan reformasi berkaitan dengan usaha yang
menyeluruh dan membawa pembaharuan dan bukannya dengan butir-butir tatacara dalam
amalan pentabiran sehari-hari.

Leemans (1976) menyifatkan reformasi pentadbiran sebagai sebarang reformasi


jentera pentadbiran pada peringkatan kerajaan negara dan lebih rendah, lantaran itu
difikirkan sebagai tindakan tindakan terarah.

Ringkasnya, reformasi pentadbiran didefinisikan sebagai suatu usaha bersepadu untuk


membawa perubahan-perubahan dalam pentadbiran awam demi untuk meningkatkan
keupayaan pentadbiran awam bagi mencapai matlamat-matlamat pembangunan nasional.
(Ahmad Atory Hussain, 1998).

2
2.2 Sejarah Reformasi Pentadbiran di Malaysia

Melihat kepada era sebelum penjajahan British, sejarah awal pemerintahan dan pentadbiran
sesetengah pendapat bermula di negeri Kedah Tua pada, tetapi struktur pentadbiran negeri
di Tanah Melayu yang lebih sistematik dan teratur dimiliki oleh Kesultanan Melayu
Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara. Sultan merupakan pemerintah tertinggi,
dibantu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Pembesar
tempatan jajahan dan daerah memainkan peranan penting sebagai agen rakyat untuk segala
urusan rakyat dan raja ketika itu termasuklah sebagai pemungut cukai dan penyampai
segala permasalahan rakyat kepada raja. Walaubagaimanapun penyelewengan dan rasuah
juga tetap berlaku pada masa ini dengan skala yang kecil. Kelemahan ini bukan berpunca
daripada karenah birokrasi masa kini tetapi disebabkan kelemahan sistem pentadbiran itu
sendiri.

Secara umumnya, perkhidmatan awam Malaysia telah distrukturkan sejak


penjajahan British lagi. Kajian Ahmad Atory Hussain (1998) menunjukkan bahawa
sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu pada lewat abad ke-18, pola pentadbiran di
negeri-negeri Melayu amat kabur dan mengelirukan iaitu sebahagian besarnya merupakan
satu kumpulan pecahan negeri-negeri yang berada di bawah kuasa pembesar-pembesar
Melayu dan Sultan. Di antara mereka saling bertelingkah dan berperang untuk merebut
kuasa dan memperoleh hasil tempatan sesuatu tempat.

Dalam situasi sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia, perkhidmatan


awam memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. Pada
zaman sebelum merdeka, kuasa penjajah telah memperkenalkan dan mengamalkan
pentadbirannya mengikut keperluannya. Pertimbangan utama bagi mengadakan kerajaan
dan pentadbiran adalah memastikan undang-undang dan ketenteraman dari satu segi dan
untuk mengeksploitasi sumber asli negara dari segi lain.

3
Apabila negara beransur maju ke arah kemerdekaan dan menentu nasib sendiri, maka
wujud dalam sesebuah negara membangun keperluan mendesak untuk mengubah orientasi
perkhidmatan awam bagi menghadapi dan mengatasi masalah pembangunan dalam semua
sektor yang menjadi penting selepas kemerdekaan. Institusi baru muncul dan tuntutan baru
dibuat oleh rakyat yang merdeka. Beban usaha pembangunan terletak pada pihak birokrasi,
oleh sebab sektor swasta secara relatifnya belum maju ketika itu. Ketika Malaysia atau
dikenali Malaya ketika itu, banyak menunjukkan dan terdapat jurang perbezaan
pentadbiran dalam usaha pembangunan negara.

Selepas kemerdekaan tidak banyak yang dilakukan terhadap perubahan pentadbiran


awam. Jika adapun ia hanya dilakukan secara ad-hoc dan hanya berkesan untuk tempoh
tertentu sahaja. Pembaharuan dalam pentadbiran amat diperlukan oleh kerajaan semasa
terlibat secara langsung dalam proses pembangunan negara. Dengan perkembangan ini,
peranan perkhidmatan awam telah berubah. Peranan perkhidmatan awam bukan sekadar
menjaga keamanan dan ketenteraman rakyat melalui penguatkuasaan, peraturan dan
undang-undang, tetapi ia juga sebagai pemangkin dan ejen pembangunan dan perubahan,
perancangan, dan pelaksana pembangunan serta peneraju dalam mencapai matlamat dan
objektif negara.

Selepas tahun 60an, kerajaan telah memperluaskan fungsi dan struktur


pentadbirannya sebaik sahaja kemerdekaan dicapai. Pembaharuan perkhidmatan Awam di
Malaysia sentiasa dilakukan dari masa ke semasa sesuai dengan kehendak dan perubahan
zaman. Antara aktiviti utama pembaharuan struktur yang di laksanakan oleh kerajaan ialah
penubuhan dan pembinaan institusi seperti Unit Pembangunan Pentadbiran (DAU),
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (ICU), Unit
Pemodenan Pentadbiran Awam Malaysia (MAMPU) dan Unit Perancangan Ekonomi
(EPU).

4
Institusi-institusi ini berperanan memantapkan dan memodenkan sistem pentadbiran awam
negara serta memperbaiki, menyalurkan prosedur dan mengurangkan kos pentadbiran.
Tanpa struktur dan sistem yang jelas, instutisi yang dibentuk tidak berjalan dengan baik
dan kurang sistematik. Misalnya, pada tahun 1960an kerajaan Malaysia telah menjemput
beberapa orang perunding daripada Amerika Syarikat untuk meningkatkan mutu
perkhidmatan awam yang dikatakan lembab, tidak bermaya dan tidak cekap. Hasilnya pada
tahun 1965, Laporan Development Administration in Malaysia telah diterbitkan yang
mencadangkan untuk menubuhkan Unit Kemajuan Pentadbiran (DAU) untuk
memodenkan pentadbiran awam dan memperbaiki program latihan kepada kakitangan
awam Malaysia. (Esman dan Montgomery, 1965)

Pada umumnya, pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintahan Malaysia dalam


pembaharuan struktur adalah untuk menyusun semula organisasi terbabit, mengurangkan
fungsi dan mengurangkan pengawalannya dan secara langsung dapat mengurangkan kos
pentadbiran. Pembaharuan struktur yang berlaku mendorong kepada pembaharuan
prosedur yang bertujuan memudahkan kerja-kerja pentadbiran. Sehubungan itu, setiap
agensi kerajaan berupaya menjalankan fungsinya secara khusus dan bekerjasama dengan
agensi lain bagi mencapai matlamat pembangunan. Keadaan tersebut memberi lebih ruang
kepada kerajaan membabitkan diri dalam pentadbiran yang mencakupi pembangunan
ekonomi dan sosial. Pembabitan kerajaan secara meluas itu menyebabkan struktur
organisasi pentadbiran berubah yakni menjadi lebih besar melalui proses pembinaan
institusi dan penubuhan pelbagai perbadanan awam.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat merapatkan jurang


perbezaan antara kaum di negara ini boleh di anggap sebagai pencetus perubahan struktur
organisasi dan pembinaan institusi pentadbiran awam di Malaysia. Penubuhan perbadanan
awam seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA),
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan, (FAMA) serta organisasi pelaksanaan seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan
Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan
Unit Perancang Ekonomi (EPU) membuktikan kerajaan telah menjadikan pembinaan

5
institusi baru sebagai langkah penting untuk membawa pembaharuan dan pemodenan
kepada negara khususnya dalam sektor pentadbiran awam.

Berdasarkan kajian Mohd Hanafiah (1989) dalam tahun 1988, Malaysia mempunyai dua
kali ganda saiz pentadbirannya dibandingkan dengan yang terdapat dalam tahun 1970.
Dalam kes penswastaan yang telah dimulakan pada tahun 1983, dikatakan telah
mengurangkan saiz birokrasi Malaysia, maka didapati jumlah pegawai awam dalam tahun
1990 (tidak termasuk pasukan polis dan angkatan bersenjata) masih lagi tinggi iaitu lebih
kurang 38.6 orang bagi setiap 1000 orang penduduk. Setakat tahun 1992, usaha-usaha
penswastaan hanya berjaya mengurangkan pegawai-pegawai kerajaan sekitar 50,000
sahaja daripada bayaran/ tanggungan awam.

Justeru, pembaharuan pentadbiran dalam suatu sistem ekonomi campuran akan


menjadi fokus yang bersesuaian ke atas peningkatan sistem perkhidmatan atau delivery
birokrasi supaya pertimbangan-pertimbangan yang saksama sebagaimana objektif-objektif
kestabilan politik, perpaduan nasional dan penghapusan sasaran golongan miskin dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Pembaharuan pentadbiran ke arah mempromosikan
produktiviti dalam prestasi birokrasi untuk pertumbuhan ekonomi perlu mencakupi
perubahan struktur, teknologi dan sikap kelakuan dalam suatu segmen yang agak besar
atau substantial dalam perkhidmatan awam Malaysia tersebut.

6
2.3 Reformasi Pentadbiran ketika pemerintahan Tun Abdullah bin Ahmad
Badawi

Tun Abdullah bin Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5
menggantikan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Pendekatan pentadbiran
negara ketika pemerintahan Tun Abdullah bin Ahmad Badawi lebih mengutamakan
pencapaian berpaksikan integriti dan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. Antara
pembaharuan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia ketika era pemerintahan Tun
Abdullah bin Ahmad Badawi ialah dengan pelaksanaan Islam Hadhari. Kerajaan Malaysia
telah memperkenalkan Islam Hadhari sebagai suatu pendekatan untuk membangun ummah
dan Negara berdasarkan perspektif ketamadunan Islam. Mesyuarat Jemaah Menteri pada
31 Mac 2004 meminta supaya agensi-agensi Kerajaan mempromosikan Pendekatan Islam
Hadhari yang progresif melalui pembaharuan dan penambahbaikan. Pada 17 Oktober 2004
Jemaah Menteri telah melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi
penyelaras bagi melaksanakan Pendekatan Islam Hadhari.

Pendekatan Islam Hadhari merupakan kesinambungan kepada Dasar Penerapan


Nilai-Nilai Islam (DPNI) yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan di bawah pemerintahan
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada tahun 1985. Pada tahun 2001 Pekeliling Am Bil. 2
Tahun 2001 Mengenai Garis Panduan Mengadakan Ceramah Penerapan Nilai-Nilai Islam
Dalam Perkhidmatan Awam telah dikeluarkan. Setelah dua dekad DPNI diperkenalkan,
banyak hasil dan manfaat yang telah dapat dilihat dan dinikmati bersama, khususnya dalam
budaya kerja, malah secara amnya telah turut diamalkan oleh sektor swasta. DPNI juga
telah dapat melahirkan sistem ekonomi berteraskan prinsip Syariah, serta kemajuan dalam
sistem pendidikan Islam di Malaysia. Pada tahun 2004 Pendekatan Islam Hadhari pula
diperkenalkan. Pendekatan ini merupakan tambahnilai kepada DPNI kerana konsep
pendekatannya yang lebih komprehensif dan menyeluruh berdasarkan peradaban.
Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan mutu
kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan modal insan dan pembangunan fizikal.

7
Melalui Prinsip Kedua dalam pendekatan Islam Hadhari iaitu Kerajaan Adil dan
Beramanah, kerajaan mereformasi pentadbiran melalui pelaksanaan konsep keadilan yang
tidak melihat kepada keturunan, warna kulit, bangsa dan kedudukan, miskin ataupun kaya,
atau perbezaan agama. Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan
kewajipan yang diberikan. Pendekatan Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus (good
governance) dan adil serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan Negara yang
cekap, adil, amanah dapat melahirkan negara yang maju dan makmur. Ciri dan nilai yang
dibangunkan ialah pentadbiran yang adil bagi semua rakyat, tadbir urus yang berkesan,
telus, amanah, ikhlas, tekun dan bertanggungjawab, kebajikan rakyat terpelihara dan
berjimat cermat mengelak pembaziran.

Seterusnya, reformasi pentadbiran yang dilakukan semasa era pemerintahan Tun


Abdullah bin Ahmad Badawi ialah meningkatkan integriti dalam pentadbiran awam
melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Menyedari tentang pentingnya integriti
di kalangan masyarakat khususnya penjawat awam, Kerajaan telah menyediakan dan
melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pelan ini dibangunkan dengan fokus
utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua
lapisan masyarakat Malaysia. Pelan seumpama ini membolehkan Kerajaan merancang
pelbagai program secara teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti
masyarakat. Sebelum ini telah terdapat pelbagai usaha yang dilakukan, tetapi didapati
usaha-usaha ini tidak konsisten dan tidak menyeluruh dan hasilnya sebilangan besar usaha-
usaha ini menemui kegagalan terutamanya dalam usaha mewujudkan sinergi semua sektor.
Skop dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan holistik dalam
memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk membudayakan integriti.

8
Institusi pentadbiran di Malaysia adalah antara yang terbaik di negara membangun. Jentera
pentadbiran bersama-sama dengan jentera politik merupakan tulang belakang kekuatan
masyarakat dan negara. Pentadbiran merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan
sesuatu dasar dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Pentadbiran sektor awam
adalah peneraju utama yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.
Sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam yang cekap dan berkualiti amat perlu bagi
memenuhi keperluan masyarakat dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Oleh yang
demikian, pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik dan
peningkatan integriti jentera pentadbiran awam adalah sangat penting. (Institut Integriti
Malaysia, 2006)

Seterusnya, antara reformasi lain yang dilakukan semasa pemerintahan Tun


Abdullah bin Ahmad Badawi ialah memperkenalkan PEMUDAH. Tujuan utama
penubuhan PEMUDAH adalah untuk bekerja sama dengan anggota sektor awam dan
swasta bagi menyumbang kearah menjadikan Malaysia satu daripada negara paling
kompetitif di dunia. Visi PEMUDAH adalah untuk perkhidmatan awam mencapai penanda
aras antara pelanggan, berinovasi dan proaktif di dalam menyokong ekonomi yang
berasaskan usahawan. Menurut Datuk Seri Ahmad Badawi (2007) dalam ucapanya ketika
diwawancara saya sangat gembira dengan pencapaian PEMUDAH, malah apa yang
dilakukan itu melepasi jangkaan saya ketika memutuskan untuk menubuhkan
jawatankuasa itu dahulu. Kejayaan seperti ini sudah tentu membantu mengurangkan
penangguhan dan akan mempercepatkan permohonan dan kelulusan lesen-lesen. Ini
bermakna ia juga akan mengurangkan rasuah

9
2.4 Reformasi Pentadbiran dalam tempoh pemerintahan Dato Seri Najib Tun
Razak (sehingga kini)

Dato Seri Najib Tun Razak pula merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 (terkini)
menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008. Pendekatan pentadbiran
negara ketika pemerintahan Dato Seri Najib Tun Razak pula lebih bersifat inovasi dan
mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat. Antara pembaharuan yang
dilakukan oleh Kerajaan Malaysia ketika era pemerintahan Dato Seri Najib Tun Razak
ialah dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Program Transformasi
Kerajaan (GTP) ialah satu program yang menekankan hasil kerja yang tinggi oleh
kakitangan awam supaya rakyat mendapat kepuasan daripada perkhidmatan yang
diberikan. (PEMANDU, 2010) Untuk meningkatkan kepuasan tersebut, transformasi
secara besar-besaran dan berperingkat telah dilakukan ke atas beberapa sektor
perkhidmatan seperti keselamatan, pendidikan, infrastruktur, dan pengangkutan awam dan
kemudian dikembangkan kepada sektor perkhidmatan yang lain. Kehebatan GTP dilihat
dari segi pelaksanaan, impak dan penerimaan. Dari segi pelaksanaan, penekanan ke atas
hasil kerja yang tinggi ke atas kakitangan awam yang diukur melalui Indeks Prestasi Utama
(KPI) telah mendorong kepada keberhasilan kerja dalam tempoh yang pantas.

Indeks Prestasi Utama atau KPI (Key Performance Index) dirangka bagi
memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius dapat disemai di kalangan anggota
pentadbiran dan perkhidmatan awam negeri. (BERNAMA, 2009). Perdana Menteri
membuat penilaiannya ke atas 28 menteri dan 40 timbalan menteri menjelang November
2009. Najib memperkenalkan KPI pada 9 April 2009. Melalui KPI, Najib akan menilai
prestasi anggota pasukannya iaitu menteri dan timbalan menteri dalam mencapai matlamat
pentadbirannya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". KPI tidak setakat slogan
retorik di kalangan mereka dalam lengkongan kerajaan. Ia kini merupakan pendekatan
sistematik bagi mengukur prestasi, memfokus bukan saja kepada aspek kuantitif dan
kualitatif tetapi juga kepuasan rakyat sebagai ukuran kemuncak.

10
Rasuah merupakan fokus utama Program Transformasi Kerajaan secara keseluruhan
kerana ia dilihat sebagai masalah utama yang dapat menghalang Malaysia menjadi negara
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Rasuah menghakis keyakinan rakyat terhadap
kebolehan kerajaan dan institusi utama yang lain untuk mengekalkan medan persaingan
yang adil bagi semua peserta. Kesannya rasuah mengurangkan pelaburan swasta, yang
dijangka menyumbang 92% daripada keperluan pelaburan negara menjelang tahun 2020.

Untuk memerangi rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam, Bidang


Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah diperkenalkan pada 11 Julai 2009. NKRA atau
National Keys Area Result adalah usaha kerajaan melalui GTP untuk memenuhi keperluan
rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12). NKRA terbahagi kepada enam bidang
iaitu mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan,
meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar
bandar dan menambahbaik pengangkutan awam. Melihat kepada integriti pentadbiran
awam yang perlu dijaga, pihak kerajaan dibawah pemerintahan Dato Seri Najib Abd
Razak merasakan perlunya pemerkasaan terhadap inisiatif untuk memerangi rasuah
khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Oleh itu, beberapa inisiatif telah diambil melalui teras kedua NKRA iaitu
memerangi rasuah seperti pemerkasaan badan pencegahan rasuah di Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali
sebagai Badan Pencegah Rasuah, Malaysia atau singkatannya BPR mula beroperasi pada
1 Oktober 1967 sebagai sebuah jabatan penuh. Akhirnya pada 1 Januari 2009, ia digubal
dan distrukturkan semula untuk menjadi SPRM. Menurut Noraini Abd. Razak (2009),
perbezaan paling ketara antara SPRM dan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) ialah kuasa
pendakwaan selain kewujudan panel-panel yang dipertanggungjawabkan untuk menangani
gejala rasuah. Hal ini dapat memanifestasikan usaha murni kerajaan untuk membanteras
rasuah dengan lebih efisien melalui reformasi badan pencegahan rasuah tersebut.

11
Selain pemerkasaan badan pencegahan rasuah seperti SPRM, NKRA membanteras rasuah
juga menubuhkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang ditubuhkan pada
tahun 2014. Penubuhan JIPS adalah untuk meningkatkan tahap integriti dan etika pegawai
polis. Tujuan penubuhan jabatan baharu ini adalah untuk memastikan pegawai polis
mematuhi tatakelakuan yang ketat dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka. Sejak
penubuhannya, JIPS telah mula mengadakan serbuan tersasar dan juga secara rawak
terhadap pegawai polis.

Antara reformasi pentadbiran lain yang dilakukan semasa era pemerintahan Dato
Seri Najib Abd Razak sehingga kini ialah mereformasi sistem saraan di Malaysia. Mulai 1
Januari 2012, Kerajaan memperkenalkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi
menggantikan Sistem Saraan Malaysia. SBPA membawa perubahan radikal melalui
kaedah pengambilan dan pemilihan calon yang lebih ketat (stringent) bagi memperoleh
dan mengekalkan bakat terbaik sejajar dengan usaha menyokong transformasi
Perkhidmatan Awam ke arah yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

Sebagai pelengkap kepada kitaran pengurusan bakat dalam Perkhidmatan Awam


dan bagi memastikan kecemerlangan penyampaian Perkhidmatan Awam, Kerajaan
memperkenalkan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi membolehkan tindakan tegas diambil
terhadap pegawai bermasalah dan berprestasi rendah di samping mempunyai tahap integriti
yang boleh mencemarkan imej serta menjejaskan penyampaian Perkhidmatan Awam.

Pelaksanaan dasar pemisah ini akan mengekalkan pegawai yang komited dan
berprestasi bagi membolehkan Perkhidmatan Awam meningkatkan lagi daya saingnya
untuk mendepani cabaran persekitaran masa kini dan akan datang selaras dengan prinsip
rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. (JPA, 2012). Pelaksanaan dasar pemisah
ini dilaksanakan melalui dua (2) kaedah iaitu penamatan demi kepentingan awam bagi
pegawai yang bermasalah dan berprestasi rendah serta persaraan demi kepentingan
perkhidmatan awam bagi pegawai yang berprestasi tetapi tiada peluang kemajuan kerjaya
dan mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan
tugas.

12
3.0 PENUTUP

Secara keseluruhan, reformasi dan pembaharuan pentadbiran yang diperkenalkan setakat ini telah
meningkatkan kecekapan dan keupayaaan Perkhidmatan Awam. Hal ini terbukti dengan hakikat
bahawa rancangan pembangunan lima tahun telah dilaksanakan dengan memuaskan dan orang
ramai pula memberikan sokongannya kepada Perkhidmatan Awam. Berbanding dengan
perkhidmatan awam yang lain di dunia sebelah sini dan berdasarkan mana-mana ukuran pun,
Perkhidmatan Awam Malaysia boleh dikatakan antara yang terbaik, kalaupun bukan yang terbaik
di rantau ini. Reformasi pentadbiran negara tidak akan terhenti disini sahaja. Perubahan
pentadbiran negara akan berubah mengikut perubahan zaman dan kemajuan teknologi. Tuntutan
dan luahan rakyat menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan. Suara rakyat merupakan kerangka
pentadbiran negara masa kini.

13
4.0 RUJUKAN

Abdullah Ahmad Badawi (2007) Wawancara PEMUDAH Kurangkan Birokrasi bertarikh


18.8.2007. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

A.F. Leemans (1976). The Management of Change in Government. The Hague: Institute of
Social Studies. hlm 8.

Ahmad Atory Hussain (1998). Sejarah reformasi pentadbiran di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors.

BERNAMA (2009). Sabah Komited Laksanakan NKRA Dan KPI Mantapkan Pentadbiran.
Kuala Lumpur: Berita Nasional.

Jabatan Perkhidmatan Awam (2012). Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) Dalam
Perkhidmatan Awam. Putrajaya: Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2011.

J.D. Montgomery, Milton J. Esman (1976) Development Administration in Malaysia Report.


Kuala Lumpur.

Gerald Caiden (1969). Administrative Reform. Chicago: Adlin Publishing Co. Hlm 65.

Institut Integriti Malaysia (2006). Pelan Integriti Nasional, Edisi Ringkas. Kuala Lumpur: Institut
Integriti Malaysia.

INTAN, (2006). Pentadbiran Dan Pengurusan Awam Malaysia hlm 418.

Maizatul Haizan Mahbob (2001). Globalisasi Dan Pembaharuan Pentadbiran Awam. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Hlm 90.

14
Mohd Hanafiah (1989). Privatization policy: issues and problem. Kuala Lumpur: Buletin
INTAN. Jilid 13, No.1/1989, hal. 28.

Noraini Abd. Razak (2009, Feb 25). Guna Kuasa Mendakwa. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.
PEMANDU (2010). Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan. Putrajaya: Unit
Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan.

Yehezkel Dror (1971). Strategies for Administrative Reform, Development and change. 22:19-35

15

Anda mungkin juga menyukai