Anda di halaman 1dari 4

MASALAH DALAM MEMBACA

Membaca merupakan suatu proses yang bukan sahaja dilalui oleh pelajar malah ia turut dilalui
oleh pembaca dewasa. Lazimnya, membaca merupakan proses yang paling banyak dilalui oleh
pelajar semasa mereka menuntut di institusi pengajian tinggi. Mereka membaca untuk mencari
tugasan, menganalisis teks untuk mendapatkan maklumat, membaca jurnal, laporan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, mereka juga mengalami kesukaran dalam proses membaca terutamanya yang
melibatkan usaha untuk memahami isi kandungan teks. Menurut Carrell (1992), beliau menyatakan
keupayaan untuk memahami isi kandungan teks banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang
dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Malahan, dapatan kajian
yang dilakukan oleh Kid dan Greene (2002) menunjukkan pembaca dewasa juga menghadapi
masalah dalam membaca seperti masalah kesedaran fonemik, analisis perkataan, kelancaran,
perbendaharaan kata dan pemahaman. Memandangkan penguasaan membaca dianggap penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka kita perlu menilai aspek yang mempengaruhi
permasalahan dalam membaca untuk memastikan pembelajaran tersebut berkesan. (Yahya Othman,
2003 : 9)

Antara masalah yang mempengaruhi proses membaca adalah seperti membaca secara
pasif, strategi yang tidak jelas, kurangnya pengetahuan lalu, kurang mengintegrasi maklumat, sikap
sambil lewa, kesedaran meta kognitif serta kesedaran dan pemantauan proses membaca.

a) Membaca secara pasif

Membaca secara pasif merupakan salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada masalah
membaca. Keadaan ini wujud apabila pembaca tidak mementingkan pembinaan makna dan strategi
membaca. Hal ini kerana strategi membaca dan penguasaan perbendaharaan kata mempengaruhi
kebolehan membaca. Secara signifikannya, terdapat perbezaan dari segi penggunaan strategi
membaca dalam kalangan pembaca dewasa. Contohnya, terdapat pembaca yang menggunakan
strategi pengulangan ayat dan sesetengah mereka tidak terikat dengan mana-mana strategi yang
khusus. Hal ini menunjukkan pembaca dewasa berupaya menganalisis, merumus dan mensintesiskan
maklumat teks serta melakukan inferens jika strategi yang digunakan adalah sesuai.

b) Strategi yang tidak jelas

Menurut kajian oleh Pressley et.al (1995), beliau menunjukkan pelajar tidak mempunyai strategi
terancang apabila mempelajari teks untuk tujuan peperiksaan. Mereka gagal dalam mencari
maklumat dalam teks, tidak memantau dama ada mengetahui idea utama petikan dan tidak
menghuraikan fakta yang terdapat di dalam teks. Pelajar juga dikatakan menggunakan strategi yang
tidak sofistikated dan tidak efektif jika dilihat dalam perspektif pemprosesan maklumat. Pelajar tidak
dapat memahami teks yang mempunyai pembinaan makna apabila melibatkan konteks yang lebih
mencabar. Akibatnya, mereka kurang menguasai teks dengan baik dan keadaan ini mempengaruhi
pemahaman.

c) Kurangnya pengetahuan lalu

Pengetahuan lalu berkaitan tajuk yang dibaca juga mempengaruhi kebolehbacaan membaca dan
pemahaman. Pengalaman hidup pembaca berkaitan kandungan teks yang dibaca memberikan
peluang kepada mereka menyesuaikan pengalaman tersebut dengan maklumat teks. Walau
bagaimanapun, masalah wujud kerana pembaca kurang memiliki pengetahuan lalu yang mungkin
disebabkan oleh kurangnya pendedahan atau peluang untuk menguasainya adalah terhad.
d) Kurang mengintegrasikan maklumat

Dalam proses membaca, pembaca bukan sahaja menumpukan perhatiannya dengan kandungan
teks yang dibaca, malah mereka perlu mampu mengintegrasikan maklumat yang dibaca agar selaras
dengan tugasan membaca yang diberikan kepada mereka. Contohnya, sesetengah pembaca mampu
mendapatkan maklumat yang diminta tetapi gagal untuk menyesuaikannya dengan keperluan
tugasan. Secara tidak langsung, keadaan ini menunjukkan mereka sukar untuk memanfaatkan
kandungan teks untuk tujuan pemahaman. Maka, pembaca memerlukan proses seimbang dengan
pendekatan berbentuk lingkaran (spiral) yang menggabungkan pengajaran secara responsif dengan
pembinaan pengetahuan, makna dan mengenal pasti perkataan.

e) Sikap yang tidak mengambil berat

Sikap yang tidak mengambil berat terhadap kelangsungan proses membaca telah dibincangkan
oleh Slater dan Horstman (2002). Mereka berpendapat aspek afektif dalam proses membaca
memberi kesan terhadap kemajuan penguasaan membaca. Faktor sikap yang tidak mengambil berat
ini juga turut disokong oleh Koda (2005) yang mengatakan bahawa pembaca sering tidak
mementingkan proses pemahaman membaca yang perlu dikuasai oleh pembaca. Pembaca
seharusnya melihat perspektif membaca dari segi konstruktif yang memerlukan penguasaan skema
yang mendasari pemahaman. Manakala, pembaca yang matang akan menguasai proses membaca
dengan memiliki kesedaran meta kognitif untuk memahami teks tersebut. (Margaret Ann Richek
et.al, 2002 : 6)

f) Kesedaran meta kognitif

Selain itu juga, kesedaran meta kognitif dianggap mempengaruhi kebolehan membaca.
Tambahan pula, pada masa kini kajian dalam bidang membaca telah mula memberi fokus terhadap
peranan meta kognitif. Kajian-kajian yang dilakukan ke atas pelajar adalah lebih matang dan
menunjukkan wujudnya keperluan terhadap kesedaran meta kognitif bagi meningkatkan kebolehan
memahami teks dengan lebih berkesan.

g) Kesedaran dan pemantauan

Pengetahuan atau kesedaran metakognitif adalah pengetahuan yang dimiliki. Tugasan yang
dihadapi dan strategi yang digunakan oleh pembaca. Aspek kesedaran dan pemantauan dalam
proses membaca juga dianggap penting dalam mempengaruhi kebolehan membaca. Menurut
Mokhtari dan Carla (2002), kedua-dua aspek tersebut banyak mempengaruhi kebolehan membaca
seseorang. Berdasarkan kajian yang mereka menunjukkan bahawa pelajar juga perlu didedahkan
dengan strategi metakognitif yang didapati dapat membantu mereka memahami teks dengan lebih
berkesan.

Selain itu juga, masalah membaca ini turut dipengaruhi oleh beberapa faktor yang
menyumbang kepada kebolehan membaca.Contohnya, faktor pembaca sendiri, faktor psikologi dan
faktor persekitaran. (Yahya Othman, 2004 : 18)

a) Faktor pembaca sendiri

Kecerdasan dan kebolehan membaca saling berkait antara satu sama lain. Pelajar yang
mempunyai kecerdasan yang tinggi lazimnya berpeluang memahami bahan yang dibacanya
berbanding pelajar yang lemah. Kecerdasan ini dapat membantu pelajar untuk menumpukan
perhatian dan mengingat perkara yang dibacanya. Pertalian antara kecerdasan dengan tahap
pemahaman sememangnya wujud. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas mempunyai
tahap pemahaman yang lebih baik berbanding pelajar yang lain. Terdapat juga hubungan antara
kebolehan berbahasa dengan kejayaan dalam membaca. Contohnya, penguasaan perbendaharaan
kata yang luas dapat membantu pelajar memahami teks yang dibacanya tanpa gangguan mencari
maksud perkataan yang sukar. Faktor individu dalam mempelajari kaedah membaca melibatkan
aspek self-esteem, kawalan diri, mengambil risiko, kebimbangan dan motivasi. Sekiranya, pelajar
tidak mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi, ia akan menyebabkan berlakunya masalah
membaca dan mengurangkan tahap pemahaman pelajar.

b) Faktor psikologi

Minat dan motivasi berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang
mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya.
Dorongan dan pemupukan minat juga memerlukan kerjasama guru dalam mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif bagi menangani masalah membaca dalam kalangan pelajar seperti :

i. Menunjukkan kepentingan membaca dalam aktiviti harian.

ii. Menyediakan bahan bacaan yang banyak dan pelbagai pilihan dalam kelas.

iii. Menggalakkan aktiviti bercerita dan berkongsi pengalaman daripada bahan bacaan.’

iv. Menentukan pemilihan bahan bacaan, alatan, kaedah dan teknik pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai.

v. Memberikan ganjaran yang sesuai dalam pengajaran.

c) Faktor fizikal

Faktor fizikal melibatkan deria pendengaran dan penglihatan. Ketidakupayaan pelajar


mendengar dengan baik dan jelas akan menggagalkannya membuat diskriminasi bunyi kata dan teks
keseluruhannya. Ia juga memerlukan daya penglihatan yang jelas bagi mengenal pasti makna
daripada teks. Sekiranya pendengaran dan penglihatan tidak berfungsi dengan baik, ia bukan sahaja
menyebabkan pelajar mendiskriminasikan huruf malah ia menyumbang kepada masalah
membaca. Antara masalah dalam faktor fizikal ialah seperti :

i. Permintaan yang kerap supaya sesuatu penerangan diulang.

ii. Ucapan atau sebutan yang tidak jelas.

iii. Kebolehan mengeja lemah.

iv. Tidak dapat memberikan perhatian.

d) Faktor persekitaran
Persekitaran di rumah juga banyak memainkan peranan dalam menentukan kebolehan
membaca termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosiobudaya, pendapatan, kestabilan
emosi, corak interaksi dan komunikasi serta sikap ke atas pembelajaran. Ahli keluarga khususnya ibu
bapa adalah model dalam tingkah laku, tabiat dan suka membaca. Peranan keluarga mewujudkan
suasana membaca yang merangsang dan penyediaan bahan juga mempengaruhi membaca. Pelajar
juga melihat sebab keluarganya membaca. Antara sebabnya ialah untuk mendapatkan maklumat,
dunia atau peristiwa komuniti, mencari hobi atau minat yang baru. Sekiranya, keluarga itu sendiri
tidak memupuk minat dalam diri pelajar, hal ini akan menyebabkan wujudnya masalah membaca
dalam kalangan membaca sehingga membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Persekitaran sekolah juga mempengaruhi kebolehan membaca pelajar. Sekiranya sekolah


tidak menyediakan persekitaran yang sesuai bagi membaca, ia boleh mewujudkan masalah
membaca dan memberikan kesan psikologi kepada pelajar untuk tidak mempunyai minat membaca.
Maka, tingkah laku guru dalam mengendalikan bilik darjah amat mempengaruhi kebolehan
membaca. Contohnya, guru perlu menyediakan bahan bacaan yang sesuai, jenis soalan yang baik
dan memberi dorongan serta pengukuhan kepada pelajar. Apabila bahan bacaan yang dibaca oleh
pelajar adalah menarik minat mereka, mereka akan memberikan respon yang positif dan mudah bagi
mereka untuk bertindak balas berdasarkan pengajaran guru. Maka, masalah membaca dalam
kalangan pelajar juga dapat diatasi dengan baik.

Masalah membaca dalam kalangan pelajar juga dipengaruhi oleh persekitaran komuniti.
Pembaca menggabungkan pengetahuan dan nilai yang ada dalam komuniti dengan perspektifnya
sendiri bagi membezakan tahap pembacaan. Contohnya, pengalaman berkerja di ladang, hidup di
kawasan setinggan ataupun di bandar kecil mempunyai perbezaannya tersendiri. Lebih banyak
pengalaman dalam komuniti serta lebih banyak penglibatan dalam aktiviti, maka semakin kaya
pengetahuan latar pembaca yang diperoleh semasa membaca. Begitulah sebaliknya.

Anda mungkin juga menyukai