Anda di halaman 1dari 8

TEKANAN DAN KEPUASAN KERJA GURU YANG

BERJAUHAN DENGAN KELUARGA: KAJIAN KES


LAWAS
Lim Yek Chin, Norzaini Azman

Faculty of Education, The National University of Malaysia

ABSTRAK

Guru Malaysia ditempatkan berdasarkan permintaan opsyen yang menyebabkan mereka berkemungkinan
berjauhan dengan keluarga. Namun begitu, setakat ini belum ada kajian spesifik tentang isu ini. Artikel
ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap tekanan dan kepuasan kerja guru sekolah menengah Lawas yang
berjauhan dengan keluarga serta hubungan antara dua pembolehubah ini. Ia juga bertujuan untuk
mengenal pasti perbezaan tahap tekanan dan kepuasan kerja antara guru tempatan dengan guru yang
berjauhan dengan keluarga. Kerangka teoritikal kajian ini dibentuk berdasarkan teori berorientasikan
interaktif atau organisasi. Soal selidik telah ditadbirkan secara rawak berdasarkan persampelan kelompok
kepada 150 orang sampel guru dari 3 buah sekolah menengah di Lawas, Sarawak. Data dianalisis dengan
analisis deskriptif, ujian-t dan analisis korelasi Pearson. Secara keseluruhan, dapatan menunjukkan guru
sekolah menengah Lawas yang berjauhan dengan keluarga lebih tertekan dan kurang berpuas hati dengan
pekerjaan berbanding dengan guru tempatan. Namun begitu, tidak terdapat hubungan yang signifikan
antara tahap tekanan kerja dengan tahap kepuasan kerja bagi guru yang berjauhan dengan keluarga.
Cadangan kajian lanjutan disertakan bersama dengan limitasi bagi kajian kini.

Kata kunci: guru, tekanan kerja, kepuasan kerja, berjauhan dengan keluarga, sekolah menengah

ABSTRACT

Malaysian government teachers are posted to their workplace based on option requirement which
potentially relocating them away from family. To date, there is no specific research on this issue. This
article aims to determine work stress and job satisfaction level of teachers living apart from family and
the relationship between these two variables. It also explores the difference of job stress and satisfaction
level between local teachers and those living apart from family. Theoretical framework of this study is
based on interactive or organisation oriented theory. A set of questionnaire was administered using
cluster sampling to 150 samples of teachers from 3 secondary schools in Lawas, Sarawak. Data was
analysed with descriptive analysis, t-test and Pearson’s correlation analysis. Overall, findings revealed
that Lawas teachers living apart from family experienced higher stress and lower job satisfaction
compared with local teachers. However, there is no significant relationship between job stress level and
job satisfaction level among teachers living apart from family. Further research suggestions are included
along with the limitations of the current study.

Keywords: teacher, job stress, job satisfaction, living apart from family, secondary school

266
PENGENALAN

Dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan persaingan ini, pelbagai arus transformasi secara tidak
langsung telah meningkatkan tekanan kerja guru dan menjejas kepuasan kerja mereka. Di Malaysia, guru
kerajaan ditempatkan dan dipindahkan berdasarkan permintaan opsyen. Oleh demikian, guru-guru ini
berkemungkinan ditempatkan ke tempat asal sendiri ataupun ke tempat yang berjauhan dengan keluarga
mereka. Walaupun sesetengah penyelidik tempatan telah memberi perhatian terhadap tekanan dan
kepuasan kerja guru di Malaysia, sedikit yang diketahui tentang tahap tekanan dan kepuasan kerja bagi
guru yang berjauhan dengan keluarga. Tambahan pula, tekanan dan kepuasan kerja guru boleh dijejas
oleh pelbagai faktor dan salah satu daripadanya adalah faktor konflik kerja-keluarga (Liu & Cheung
2015). Justeru, tahap tekanan dan kepuasan kerja guru yang ditempatkan berjauhan dengan keluarga
mungkin berbeza dengan guru tempatan yang berdekatan dengan keluarga mereka.

Kebanyakan kajian lepas yang mengkaji tentang konflik kerja-keluarga adalah lebih kepada masa yang
diluangkan bersama dengan keluarga. Namun begitu, masa yang diluangkan bersama keluarga adalah
berbeza dengan keadaan pekerja berjauhan dengan keluarga. Masa yang diluangkan bersama keluarga
hanya merangkumi sebahagian daripada masalah yang timbul akibat seseorang berjauhan dengan
keluarganya. Menurut Duxbury, Lyons dan Higgins (2008), konflik kerja-keluarga boleh juga timbul
disebabkan keadaan pekerja berjauhan dengan keluarga. Bagaimanapun, kajian lepas tempatan dan luar
negara yang mengkaji tentang guru yang berjauhan dengan keluarga adalah amat terhad. Oleh itu, kita
mempunyai gambaran yang tidak lengkap tentang tekanan dan kepuasan kerja yang dialami oleh guru
apabila mereka berjauhan dengan keluarga. Dengan latar belakang ini, tujuan kajian ini adalah untuk
menjawab persoalan kajian berikut:

1. Apakah tahap tekanan kerja guru tempatan dan guru yang berjauhan dengan keluarga?
2. Apakah tahap kepuasan kerja guru tempatan dan guru yang berjauhan dengan keluarga?
3. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap tekanan kerja dan kepuasan kerja antara
guru tempatan dan guru yang berjauhan dengan keluarga?
4. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dengan kepuasan kerja bagi
guru yang berjauhan dengan keluarga?

Secara khususnya, kajian ini mempunyai 5 objektif berikut:

1. Mengenal pasti tahap tekanan kerja dan tahap kepuasan kerja guru tempatan.
2. Mengenal pasti tahap tekanan kerja dan tahap kepuasan kerja guru yang berjauhan dengan
keluarga.
3. Membanding beza tahap tekanan kerja dan tahap kepuasan kerja guru tempatan dengan guru
yang berjauhan dengan keluarga.
4. Mengenal pasti hubungan antara tekanan kerja dan kepuasan kerja bagi guru tempatan.
5. Mengenal pasti hubungan antara tekanan kerja dan kepuasan kerja bagi guru yang berjauhan
dengan keluarga.

GURU BERJAUHAN DENGAN KELUARGA

Berlainan dengan guru dari sektor swasta dan guru luar negara, guru kerajaan Malaysia tidak ditempatkan
berdasarkan pilihan sendiri. Guru Malaysia ditempatkan dan dipindahkan berdasarkan permintaan opsyen
di suatu tempat (Kementerian Pendidikan Malaysia 2015). Penempatan guru dalam kajian ini merujuk
kepada tempat kerja guru yang telah ditempatkan samada berdekatan dengan keluarga atau berjauhan
dengan keluarga. Guru yang berjauhan dengan keluarga dalam kajian ini merujuk kepada guru yang
berjauhan dengan keluarga seada, keluarga semenda atau kedua-dua jenis keluarga ini.

267
TEKANAN KERJA GURU

Laporan daripada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan bahawa
23.4% guru lelaki dan 23.7% guru perempuan mengalami tekanan pada tahap tinggi (Abdul Rasab &
Normazwin 2007). Menurut Zafir dan Fazilah (2006), tekanan kerja terhasil apabila keperluan kerja yang
dibekalkan tidak sepadan dengan kehendak pekerja. Oleh demikian, tekanan kerja berkemungkinan
terjejas sekiranya guru ditempatkan di tempat yang tidak sepadan dengan kehendak mereka. Kajian
tempatan dan kajian luar negara kebanyakannya mengkaji isu tekanan kerja guru berdasarkan faktor
seperti beban tugas, kekangan masa, tingkah laku murid dan keberkesanan guru (Fun 2008; Abdul Said &
Muhamad Hisyam 2010; Kokkinos 2007 dan Klassen & Chiu 2010). Kajian mengenai tekanan kerja guru
yang dipengaruhi oleh faktor konflik kerja-keluarga adalah amat jarang.

KEPUASAN KERJA GURU

Menurut dapatan kajian Bouckenooghe, Raja dan Butt (2013), kepuasan kerja mempunyai hubungan
yang signifikan dengan pertukaran pekerja dan prestasi kerja di sesebuah organisasi. Kajian tempatan dan
kajian luar negara telah menunjukkan tahap kepuasan kerja guru secara keseluruhan adalah sederhana
(Al- Mahdy, Al-Harthi & Salah 2016 dan Fatimah 2014). Namun begitu, tahap kepuasan kerja ini
semakin menurun pada kebelakangan ini. Laporan yang dikeluarkan oleh MetLife Survey pada tahun
2013 telah menunjukkan tahap kepuasan kerja guru menurun sebanyak 23% sejak tahun 2008 (The
Washington Post, Februari 21, 2013). Kebanyakan kajian lepas sama ada kajian tempatan atau luar
negara adalah berfokus kepada tahap dan aspek kepuasan kerja guru. Kajian yang fokus terhadap konflik
kerja-keluarga dalam mempengaruhi kepuasan kerja guru adalah amat kurang.

TEORI BERORIENTASIKAN INTERAKTIF ATAU ORGANISASI

Teori beorientasikan interaktif atau organisasi yang juga dikenali sebagai Model Transaksi telah
diperkenalkan oleh Lazarus (1966). Teori ini menekankan bahawa seseorang individu adalah punca dan
tindak balas daripada persekitaran. Menurut teori ini, dengan adanya sumber yang berpotensi memberi
tekanan daripada persekitaran, seseorang individu akan bertindak untuk mengatasi tekanan tersebut
supaya masalah yang dihadapi boleh diselesaikan. Namun begitu, apabila tekanan tersebut tidak berjaya
diatasi, simpton tekanan atau ketidakseimbangan akan terbentuk. Berpandukan Model Transaksi ini,
kerangka teoritikal bagi kajian ini telah dibentuk seperti dalam Rajah 1.

Rajah 1 Kerangka teoritikal kajian

268
Dalam konteks kajian ini, persekitaran merupakan tempat kerja guru, iaitu sekolah dan sumber yang
berpontensi menjadi tekanan adalah penempatan mereka yang berjauhan dengan keluarga. Bagi bahagian
individu pula, kemampuan sebenar merujuk kepada persepsi guru terhadap kerja mereka dan kemampuan
melaksanakan tugas sebagai guru dalam keadaan berjauhan dengan keluarga. Respons guru terhadap
masalah berjauhan dengan keluarga akan menimbulkan ketidakseimbangan, iaitu tekanan apabila
persepsi dan penilaian mereka adalah ke arah negatif. Tekanan tersebut yang dikaji dalam kajian ini, iaitu
kemampuan guru yang berjauhan dengan keluarga mengatasi masalah mereka di tempat kerja.

METODOLOGI

Populasi kajian ini terdiri daripada guru sekolah menengah kerajaan yang mengajar di daerah Lawas,
Sarawak. Populasi ini dipilih kerana statistik pertukaran guru antara negeri bagi sekolah menegah sesi Jun
2016 yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah menunjukkan Sarawak mempunyai
bilangan guru yang kedua ramai memohon keluar dari negeri tersebut. Oleh itu, guru dari Sarawak yang
menjadi pilihan populasi kajian. Daerah Lawas pula dijadikan pilihan kerana tekanan kerja guru di
pedalaman dan luar bandar adalah lebih tinggi berbanding dengan guru di bandar (Jeyaraj 2013). Guru
sekolah menengah dikaji kerana kajian Kokkinos (2007) menunjukkan tekanan kerja guru sekolah
menengah adalah tinggi. Hal ini demikian kerana beban tugas guru sekolah menengah adalah banyak.
Kajian ini hanya melibatkan guru yang mengajar di sekolah menengah kerajaan sahaja dan tidak
termasuk pengetua atau kakitangan bukan guru di sekolah.

Persampelan kelompok telah digunakan dalam kajian ini. Berpandukan maklumat yang diberikan oleh
pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Lawas mempunyai 227 orang guru dari 4 buah sekolah
menengah. 3 buah sekolah telah dipilih secara rawak bagi mewakili populasi tanpa mengira umur, jantina
dan bangsa. Sebanyak 200 set borang soal selidik telah diedarkan melalui pihak sekolah selepas
mendapat kebenaran menjalankan kajian oleh dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Seramai 150
orang sampel dari 3 buah sekolah telah mengembalikan borang soal selidik yang telah lengkap diisi.
Bilangan ini adalah mencukupi berpandukan Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan (1970).

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan kerana ia boleh memenuhi objektif kajian ini. Ia juga sesuai
digunakan untuk mengumpul maklumat bagi keadaan semasa. Isu guru duka lara merupakan isu yang
berlaku pada masa kini dalam dunia perguruan di negara kita. Menurut Chua (2013), kaedah tinjauan
bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang boleh menjelaskan suatu fenomena semasa dengan
menyoal individu tentang persepsi, sikap, tingkah laku atau penilaian mereka.

Kajian rintis tidak dilaksanakan kerana instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik
yang telah diadaptasi dari kajian lepas, iaitu soal selidik DASS 21 dan Teacher Satisfaction Scale. DASS
21 yang diperkenalkan oleh Lovibond dan Lovibond (1995) mempunyai nilai kebolehpercayaan di antara
0.81 hingga 0.97 (McDowell, 2006). DASS 21 juga telah digunakan di Malaysia dengan nilai
kebolehpercayaan antara 0.74 hingga 0.84 (Ramli, Mohd Ariff dan Zaini 2007; Ramli, Salmiah & Nurul
An 2010). Nilai kebolehpercayaan bagi Teacher Satisfaction Scale yang diperkenalkan oleh Ho dan Au
(2006) pula adalah 0.77 manakala nilai kebolehpercayaan selepas 2 minggu yang diuji semula adalah
0.76.

Soal selidik yang dijadikan sebagai instrumen kajian ini terdiri daripada 3 bahagian, iaitu bahagian
demografi, bahagian tahap tekanan yang diadaptasikan dari soal selidik Depression Anxiety and Stress
(DASS) 21 dan bahagian skala kepuasan bekerja guru yang diadaptasikan dari soal selidik Teacher Job
Satisfaction Scale. Soal selidik ini disediakan dalam dwibahasa bagi meningkatkan pemahaman sampel

269
yang menjawab soal selidik ini. Bahagian demografi terdiri daripada 4 item yang digunakan untuk
mendapatkan maklumat asas guru dan mengenal pasti guru yang berjauhan dengan keluarga.

DASS 21 yang dibina oleh Lovibond dan Lovibond (1995) terdiri daripada 21 item dan merupakan versi
pendek dari DASS 42. Ia digunakan untuk mengkaji tahap tekanan kerja guru dengan menggabungkan
konstruk depression, anxiety dan stress. Setiap konstruk dalam bahagian ini mengandungi 7 item dan skor
dari 0 hingga 3 berbentuk kekerapan telah digunakan.

Soal selidik Teacher Satisfaction Scale yang dibina oleh Ho dan Au (2006) pula terdiri daripada 5 item.
Kelima-lima item ini mengkaji tahap kepuasan kerja guru tanpa dibahagikan mengikut konstruk.
Bahagian ini menggunakan skala likert skor 1 hingga 5 berbentuk persetujuan.

KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN

Tahap Tekanan Kerja Guru

Dapatan kajian menunjukkan guru sekolah menengah Lawas yang berjauhan dengan keluarga mengalami
tahap tekanan kerja yang lebih tinggi berbanding dengan guru tempatan dan perbezaan ini adalah
signifikan. dapatan kajian ini boleh dihubungkaitkan dengan dapatan kajian Duxbury, Lyons dan Higgins
(2008), kajian Liu dan Cheung (2015) dan kajian Noor dan Zainuddin (2011). Duxbury, Lyons dan
Higgins telah mendapati pekerja yang berjauhan dengan keluarga demi pekerjaan merupakan salah satu
faktor timbulnya konflik kerja-keluarga manakala Liu dan Cheung serta Noor dan Zainuddin telah
mendapati konflik kerja-keluarga merupakan pengantara tekanan kerja bagi guru perempuan. Justeru,
dapatan kajian ini menunjukkan keadaan guru yang berjauhan dengan keluarga telah menimbulkan
konflik kerja-keluarga yang menjadi pengantara kepada tekanan kerja mereka sehingga tahap tekanan
kerja mereka lebih tinggi berbanding dengan guru yang tidak berjauhan dengan keluarga.

Tahap Kepuasan Kerja Guru

Dapatan kajian turut menunjukkan guru sekolah menengah Lawas yang berjauhan dengan keluarga
mempunyai tahap kepuasan kerja yang lebih rendah berbanding dengan guru tempatan dan perbezaan ini
adalah signifikan. dapatan kajian ini masih boleh dikaitkan dengan dapatan kajian Triana (2010) yang
mendapati konflik kerja-keluarga mempengaruhi kepuasan kerja seseorang pekerja. Menurut beliau, masa
yang digunakan oleh seseorang dalam pekerjaan akan menyebabkan ketegangan peranannya dalam
keluarga lalu kesulitan peranan ini berlaku dan mengakibatkan perasaan dan sikap negatif terhadap
pekerjaan berlaku. Dapatan kajian ini menunjukkan keadaan guru yang berjauhan dengan keluarga telah
menimbulkan konflik kerja-keluarga yang berpotensi menjadi pengantara kepada kepuasan kerja mereka
sehingga tahap kepuasan kerja mereka lebih rendah berbanding dengan guru yang tidak berjauhan dengan
keluarga.

Hubungan antara Tahap Tekanan Kerja dengan Kepuasan Kerja Guru

Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap tekanan kerja dengan
kepuasan kerja guru sekolah menengah di Lawas. Keputusan ini boleh dijelaskan oleh dapatan kajian
Klassen dan Chiu (2010) yang mendapati hubungan antara tekanan kerja dan kepuasan kerja tidak
semestinya negatif dan tidak semestinya bersignifikan berdasarkan budaya dan tempat yang berlainan.
Kenney (2013) juga menjelaskan bahawa hubungan tekanan dan kepuasan kerja adalah bergantung
kepada perbezaan peranan yang ada pada individu. Berpandukan teori berorientasikan interaksi atau

270
organisasi Lazarus (1966), ketidakseimbangan merupakan respons daripada penilaian dan tingkah laku
seseorang individu. dapatan kajian ini boleh dijelaskan bahawa guru yang berjauhan dengan keluarga
berpersepsi mereka tertekan dengan kerja apabila mereka berjauhan dengan keluarga tetapi berpendapat
mereka masih puas hati dengan pekerjaan ini. Hal ini demikian mungkin disebabkan terdapat unsur dalam
profesion ini yang menyebabkan mereka berasa tertekan tetapi masih terdapat unsur yang menyebabkan
mereka berpuas hati dengan profesion ini.

IMPLIKASI KAJIAN

Kajian ini menyediakan sokongan yang kukuh untuk menunjukkan penempatan guru yang berjauhan
dengan keluarga telah mempengaruhi tekanan kerja dan kepuasan kerja guru khususnya guru sekolah
menengah yang mengajar di daerah Lawas, Sarawak. Dapatan kajian ini seharusnya dijadikan rujukan
kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam penempatan guru yang baru serta pertukaran guru yang
berjauhan dengan keluarga. Menurut teori beorientasikan interaktif atau organisasi, persekitaran
mempengaruhi seseorang individu dalam membuat penilaian dan persepsi lalu mempengaruhi tekanan
dan kepuasan kerja mereka. Keadaan guru yang berjauhan dengan keluarga akan mempengaruhi
penilaian dan persepsi guru terhadap profesion keguruan yang seterusnya menjejas tekanan dan kepuasan
kerja mereka. Justeru, isu penempatan dan penempatan semula guru ke tempat asal mereka seharusnya
dipandang serius agar mampu membangunkan negara yang produktif dan berpendidikan.

LIMITASI

Kajian ini hanya dijalankan ke atas guru sekolah menengah di daerah Lawas, Sarawak. Ia tidak
semestinya sesuai untuk guru pada peringkat lain dan guru di daerah lain. Oleh itu, dapatan kajian ini
tidak digenaralisasikan kepada seluruh guru di Malaysia. Bagi kajian lanjutan, dicadangkan pengkaji
menjalankan kajian ini di sekolah, daerah mahupun negeri yang lain di seluruh Malaysia.

Pengkaji tidak mampu mengawal pengalaman sampel yang lepas yang mungkin akan mempengaruhi
respon yang diberikan oleh mereka. Kesahihan kajian ini bergantung sepenuhnya kepada kerelaan dan
keikhlasan sampel menjawab soal selidik kajian ini dengan jujur. Soal selidik kajian ini diedarkan kepada
sampel melalui pihak sekolah atas sebab terdapat sekolah yang jauh dari bandar. Keadaan ini
menyebabkan sampel berkemungkinan tidak menjawab dengan jujur kerana khuatir respon mereka
dipantau oleh pihak atasan dan seterusnya menjejas prestasi mereka di sekolah. Bagi cadangan kajian
lanjutan, pengkaji boleh mentadbir soal selidik tersebut sendiri di sekolah dan menyakinkan sampel
bahawa maklumat yang diberikan adalah sulit.

KESIMPULAN

Kajian ini merupakan satu tinjauan yang berfokus terhadap guru sekolah menengah daerah Lawas,
Sarawak yang berjauhan dengan keluarga. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap tekanan dan
kepuasan kerja guru sekolah menengah Lawas yang berjauhan dengan keluarga. Dapatan kajian telah
memberi gambaran mengenai tahap tekanan dan kepuasan kerja berkenaan guru sekolah menengah di
Lawas terutamanya guru yang berjauhan dengan keluarga serta hubungan antara tahap tekanan kerja
dengan kepuasan kerja mereka. Maklumat terkumpul ini adalah penting untuk dijadikan asas rujukan
pihak yang menguruskan penempatan guru dan untuk mempromosikan pemahaman dan kesedaran
pelbagai pihak kepentingan seseorang guru berada bersama dengan keluarga mereka ketika bekerja.
Kerangka teoritikal kajian yang dibina berdasarkan teori berorientasikan interaktif atau organisasi
Lazarus diharapkan dapat dirujuk oleh pelbagai pihak berkepentingan. Dapatan kajian menunjukkan guru

271
yang berjauhan dengan keluarga mengalami tekanan kerja yang lebih tinggi dan kepuasan kerja yang
lebih rendah berbanding dengan guru yang lain. Usaha peningkatan sistem pendidikan negara dapat
dilakukan dengan lebih berkesan sekiranya tekanan kerja semua guru dapat dikurangkan dan kepuasan
kerja mereka boleh ditingkatkan.

RUJUKAN

Abdul Rasab, M. & Normazwin, Y. (2007). Sexual Harassment Behavior Experience among Teachers
and Staff at A Work Place. Jogjakarta Traumatic.

Abdul Said Ambotang & Muhamad Hisyam Mohd Hashim. (2010). Hubungan iklim kerja dan stres
dalam pengurusan bilik darjah dalam kalangan guru prasekolah. Journal of Techno-Social 2(2): 69-81.

Al-Mahdy Yasser, F.H., Al-Harthi Aisha, S. & Salah El-Din Nesren, S. (2016). Perceptions of school
principals’ servant leadership and their teachers’ job satisfaction in Oman. Leadership & Policy in
Schools 15(4): 543-566.

Bouckenooghe, D., Raja, U. & Butt, A.N. (2013). Combined effects of positive and negative affectivity
and job satisfaction on job performance and turnover intentions. The Journal of Psychology:
Interdisciplinary and Applied 147(2): 105-123.


Chua, Y.P. (2013). Kaedah dan Statistik Penyelidikan Buku 3. Shah Alam: McGraw- Hill Education.

Duxbury, L., Lyons, S. & Higgins, C. (2008). Too much to do, and not enough time: an examination of
role overload. Dlm. Korabik, K., Lero, D.S. dan Whitehead, D.L. (pnyt.) Handbook of Work-family
Integration Research, Theory, and Best Practices. Amsterdam: Elsevier.

Fatimah, A. (2014). Tahap kepuasan kerja dan komitmen organisasi dalam kalangan guru kolej
vokasional: pendekatan structural equation model. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Fun, W.S (2008). Faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja (stres) di kalangan guru-guru SJK(C):
satu kajian di tiga buah sekolah di Wilayah Persekutuan. Kajian Ilmiah Universiti Teknologi Malaysia.


Ho Chung Lim & Au Wing Tung. (2006). Teaching satisfaction scale: measuring job satisfaction of
teachers. Educational and Psychological Measurement 66: 172-185.

Jeyaraj, S.S. (2013). Occupational stress among the teachers of the higher secondary schools in Madurai
District, Tamil Nadu. IOSR Journal of Business and Management 7(5): 63-76.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015). Semakan penempatan guru baharu lepasan program ijazah
sarjana muda perguruan (PISMP) Bil.1/2015.

Kenney, A. (2013). Stress and job satisfaction among Irish primary school teacher: the role of
personality. Dublin Business School. Republic of Ireland.

Klassen R.M. & Chiu, M.M. (2010). Effects on teachers’ self- efficacy and job satisfaction: Teacher
gender, years of experience and job stress. Journal of Educational Psychology 102(3): 741-756.

Kokkinos, C.M. (2007). Job stressors, personality and burnout in primary school teachers. British Journal
of Educational Psychology 77: 229-243.

272
Krejcie, R.V. & Morgan, D.W. (1970). Determining sample size for research activities. Educational and
Psychological Measurement 30: 607-610.

Lazarus, R.S. (1966). Psychological Stress and The Coping Process. NewYork: McGraw- Hill.

Liu, Huimin & Cheung, F.M. (2015). The role of work-family role integration in a job demands-
resources model among chinese secondary school teachers. Asian Journal of Social Psychology 18(4):
288-298.

Lovibond P.F. & Lovibond S.H. (1995). Manual for the depression, anxiety and stress scales. Sydney:
Psychology Foundation.

McDowell, I. (2006). Measuring Health: A Guide to Rating Scales and Questionnaires 3rd Ed. New
York: Oxford University Press.

Noor Noraini, M. & Zainuddin Masyitah. (2011). Emotional labor and burnout among female teachers:
work-family conflict as mediator. Asian Journal of Social Psychology 14(4): 283-293.

Ramli Musa, Mohd Ariff Fadil & Zaini Zain. (2007). Translation, validation and psychometric properties
of Bahasa Malaysia Version of The Depression Anxiety and Stress Scales (DASS). ASEAN Journal of
Psychiatry 8(2): 82-89.

Ramli, M., Salmiah, M.A. & Nurul Ain, M. (2010). Validation and psychometric properties of Bahasa
Malaysia Version of The Depression Anxiety And Stress Scales (Dass) among diabetic patients.
Malaysian Journal of Psychiatry 18(2): 1-6.

Triana, N.E.D. Soeharto. (2010). Konflik pekerjaan-keluarga dengan kepuasan kerja: metanalisis. Jurnal
Psikologi 37(1): 189-194.

The Washington Post. Februari 21, 2013. U.S. teacher’s job satisfaction craters – report.
https://www.washingtonpost.com/news/answer-sheet/wp/2013/02/21/u-s-teachers-job-satisfaction-
craters-report/ [20 Julai 2016].

Zafir Khan Mohamed Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun. (2006). Stres di tempat kerja dan kesannya
terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Malaysian Journal of Community Health 6(12): 37-46.

273

Anda mungkin juga menyukai