Anda di halaman 1dari 7

JUBLI INTAN 60 TAHUN SK KAMPONG PASIR

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengucap syukur ke hadrat Allah SWT kerana
dengan izin dan limpah kurnianya, kita dapat berhimpun bersama-sama bagi meraikan Majlis
Sambutan Jubli Intan 60 Tahun SK Kampong Pasir, Johor Bahru. Semoga melalui majlis seperti
ini, kita akan dapat saling kenal mengenali seterusnya membolehkan kita bekerjasama erat bagi
menjayakan agenda pendidikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada setiap yang
terlibat dan yang telah menyumbangkan begitu banyak idea, kepakaran dan pengalaman ke
arah menambah baik lagi dalam kemenjadian murid SK Kampong Pasir. Dengan pengalaman
selama 60 tahun, saya percaya SK Kampong Pasir boleh melahirkan generasi yang cemerlang,
sesuai dengan tema sambutan jubli intan, iaitu Sekolah dan Masayarakat Sehati Sejiwa

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

3. Tidak lama lagi, kita akan melancarkan secara rasminya pelan tindakan atau blue-
print Kementerian Pelajaran sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Pelan
tindakan ini amat penting, kerana melalui pelan tindakan ini, kita akan menyediakan asas yang
kukuh untuk reformasi pendidikan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Sepanjang dua tahun
yang lepas, kita telah merangka dasar, fokus dan hala tuju pembangunan pendidikan
Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9). Dalam perancangan kita ini, kita telah mengambil
kira wawasan, matlamat, dasar dan perancangan negara. Melalui pelan tindakan yang telah kita
rangka ini, kita berhasrat untuk mencapai tiga matlamat utama, iaitu;

• Pertama – membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia yang dicita-citakan di
dalam negara maju Malaysia pada tahun 2020;

• Kedua – menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan agar
pada tahun 2020 kelak, tiada mana-mana pihak yang tercicir dari arus kemajuan negara;

• Ketiga – terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang dicapai
oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.

4. Segala yang hendak kita laksanakan selepas ini di dalam RMK9, termasuk melalui segala
percubaan dan projek rintis, matlamatnya adalah untuk menyediakan asas-asas yang kukuh
agar menjelang tahun 2020 kita dapat melaksanakan satu rombakan atau perubahan
menyeluruh sistem pendidikan negara dengan penuh keyakinan. Ketika itu, sistem pendidikan
negara mestilah berupaya untuk melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang kita idam-
idamkan, iaitu yang mempunyai keyakinan diri dan jati diri yang teguh, berpegang kepada nilai
moral dan etika yang kukuh, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik,
liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik, mempunyai pengagihan ekonomi
yang adil, progresif dan makmur, serta menguasai sepenuhnya ekonomi yang bersaing,
dinamik, cergas dan kental.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

5. Saya sedar, hari ini sistem pendidikan negara kita telah berkembang dengan begitu pesat.
Begitu banyak kejayaan yang telah kita capai hasil dari sumbangan pelbagai pihak, baik dari
kalangan pemimpin, ahli politik, penjawat awam, pihak swasta, badan bukan kerajaan
termasuk, anggota masyarakat termasuklah individu-individu yang begitu prihatin terhadap
pendidikan anak bangsa. Sumbangan dan buah fikiran dari pelbagai pihak ini, sedikit sebanyak
telah membantu mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.

6. Walaupun terdapat sejumlah kejayaan yang kita capai, namun kita perlu mengakui hakikat
bahawa masih terdapat kelemahan-kelemahan di kawasan-kawasan tertentu atau di dalam
bidang-bidang tertentu di dalam sistem pendidikan negara hari ini. Kita wajar menerima hakikat
bahawa biarpun dari segi dasar dan perancangan makro, segala-galanya nampak mencukupi
dan memadai, namun di kawasan-kawasan tertentu atau di dalam bidang-bidang tertentu ini,
terdapat tugas-tugas kita yang masih belum selesai dan belum dapat kita sempurnakan.
Berkaitan hal ini, saya berpandangan, mungkin di kawasan tertentu dan di dalam bidang
tertentu ini, kita tidak boleh lagi melaksanakan pelan tindakan kita berdasarkan perancangan
yang dibuat secara makro. Sebaliknya kita perlu memberi perhatian yang lebih khusus terhadap
kawasan dan bidang terbabit serta mengubah suai sedikit sebanyak strategi dan pelan tindakan
yang hendak dilaksanakan.

7. Justeru dalam Pelan Tindakan RMK9 yang hendak kita umumkan tidak lama lagi, kita akan
mengambil dua bentuk pendekatan dalam melaksanakan agenda pendidikan negara sepanjang
tempoh lima tahun ini, iaitu;
i. Pertama: kita mahu menggerakkan komitmen untuk menyelesaikan tugas-tugas kita yang
masih belum selesai walaupun tugas-tugas ini ada dilaksanakan di sepanjang rancangan-
rancangan lima tahun sebelum ini, iaitu untuk memastikan akses dan menyama ratakan medan
persaingan di kalangan pelajar. Menerusi pendekatan ini, Kementerian Pelajaran komited untuk
meneruskan pertamanya, agenda untuk memperkasa Sekolah Kebangsaan dan keduanya,
agenda untuk merapatkan jurang pendidikan di kalangan rakyat.

ii. Kedua: kita mahu menggerakkan komitmen untuk mengembangkan sepenuhnya potensi
sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok kecemerlangan sehingga sekolah-sekolah ini
termasuk guru dan pelajarnya boleh mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara
di mata dunia. Pendekatan kedua ini lahir di atas kesedaran bahawa terdapat sekolah-sekolah
kita yang telah mencapai tahap cemerlang dan mungkin juga tahap terbilang, yang memerlukan
perhatian khusus agar kecemerlangannya bukan sahaja dapat terus dipertahankan malah
mampu diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi. Kita tidak mahu, jika kita sekadar memberi
perhatian yang sama dengan ribuan sekolah-sekolah lain yang berprestasi sederhana, akhirnya
sekolah-sekolah yang cemerlang ini terabai sehingga prestasinya turun ke tahap sederhana.
Menerusi pendekatan kedua ini, kementerian akan mengenal pasti sekolah-sekolah di dalam
kelompok-kelompok sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, Sekolah Berasrama
Penuh (SBP), Sekolah-sekolah Perdana (Premier), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah-sekolah 100 tahun (cetennial), Sekolah rintis
Bestari serta sekolah-sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan seterusnya
memperkenalkan pelbagai program yang dapat membantu meningkatkan lagi kelebihan,
kekuatan dan daya saing sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok ini. Di kalangan
kelompok ini juga, kita akan mengenal pasti sekolah-sekolah yang sudah bersedia untuk
diberikan sedikit autonomi agar pengurusan sekolah dapat merangka sendiri pendekatan-
pendekatan yang boleh menjadikan sekolah mereka lebih cemerlang.

8. Dua pendekatan ini sangat penting kerana kita sedar tidak semua pentadbir, guru dan
sekolah yang bersedia untuk berdepan dengan sebarang rombakan atau perubahan yang
hendak kita laksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ada sekolah-sekolah kita yang masih bergelut dengan soal infrastruktur asas dan ada ibu bapa
murid yang masih belum jelas dengan soal-soal asas berkaitan pendidikan. Mungkin tidak adil
untuk `memaksakan’ perubahan yang drastik terhadap pentadbir, guru, ibu bapa dan sekolah
yang masih belum bersedia ini. Bagaimanapun kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa
terdapat sekolah-sekolah kita yang sebenarnya telah lama bersedia. Mungkin di sekolah-
sekolah ini, sedikit autonomi boleh diberikan kepada pentadbir dan gurunya agar mereka boleh
melonjakkan pencapaian murid dan diri mereka sendiri ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

9. Kita harus bermula di suatu tempat. Benar, kita sekarang merangka perubahan dalam sistem
pendidikan negara untuk kesemua 10,000 buah sekolah Kementerian Pelajaran, sekolah-
sekolah swasta dan sekolah-sekolah agama negeri. Bagaimanapun idea ini masih perlu kita
cuba, masih perlu kita rintis di sekolah-sekolah tertentu, iaitu sekolah-sekolah yang telah
bersedia sebelum idea ini dapat kita perluaskan ke sekolah-sekolah lain.

10. Saya pernah menyebut bahawa kita akan berusaha untuk menjadikan sistem pendidikan
kita tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Walaupun nampaknya seolah-olah kita sedang
merangka perubahan untuk LPM, tetapi jika dilihat secara mendalam, bagi memastikan
kejayaan hasrat ini, selain mengubah kaedah pentaksiran, kita juga perlu mengubah
pendekatan kita dalam aspek penyediaan kurikulum dan huraian sukatan pelajaran, mengubah
kaedah pengajaran dan pembelajaran, mengubah pendekatan latihan guru dan juga mengubah
kaedah penaziran.

11. Dalam kata lain, bagi memastikan sistem pendidikan kita tidak terlalu berorientasikan
peperiksaan, perubahan juga perlu berlaku dan perlu dilaksanakan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum (PPK), Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan
Jemaah Nazir Sekolah (JNS). Semua ini juga harus bergerak serentak bagi memastikan hasrat
ini dapat direalisasikan.

12. Dalam tempoh dua tahun ini, kita telah memulakan anjakan ke arah sistem pendidikan yang
kurang berorientasikan peperiksaan melalui dua langkah, iaitu

o pertama; menggunakan pendekatan baru dalam pelaporan keputusan semua peperiksaan


awam dengan hanya melaporkan pencapaian setiap mata pelajaran dan prestasi cemerlang
para calon selain menghebahkan kecemerlangan pelajar di dalam aktiviti kokurikulum. Melalui
pendekatan ini kita berharap kita dapat mengubah perspektif para guru, ibu bapa, masyarakat
dan pihak sekolah terhadap peperiksaan serta melihat perkembangan pelajar melalui perspektif
lebih menyeluruh.
o kedua; menetapkan penglibatan pelajar dalam kokurikulum, melalui memorandum kepada
Jemaah Menteri, sebagai salah satu merit bagi kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama
Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik
(SMT), Program Matrikulasi dan Maktab Perguruan.

13. Harapan saya, dalam RMK9, LPM dan bahagian-bahagian yang berkaitan akan dapat
mencari kaedah untuk:

o mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam dan hanya menguji mata
pelajaran-mata pelajaran tertentu di peringkat sekolah

o melihat semula sistem penggal dan menggantikannya dengan sistem semester

o mengubah cara kita menilai pencapaian anak-anak kita di dalam pembelajaran sesuai dengan
perkembangan dan kehendak dunia, dengan mengubah penekanan dalam peperiksaan awam
daripada terlalu berasaskan kandungan (content based) kepada yang lebih berasaskan
kemahiran (skill based) atau daripada yang bersifat ujian pencapaian (achievement test)
kepada yang bersifat ujian kebolehan am (general ability test)

o mencari kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan karakter dalam mata
pelajaran seperti Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani

o mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan


pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan
pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga perlu dirangka

14. Kita bukan hendak menghapuskan sama sekali peperiksaan awam seperti Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). Peperiksaan-peperiksaan itu masih diperlukan kerana kepentingan pendidikan
dan sosialnya. Tetapi penekanannya yang berlebihan boleh menyebabkan sistem pendidikan
kita dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) dan zaman persekolahan akan
kehilangan nilai pendidikan serta nilai kemanusiaannya.

15. Kita sedar, sistem peperiksaan hari ni mempunyai keterbatasannya berbanding kaedah
pentaksiran formatif. Peperiksaan hanya mampu memberi maklumat tentang pencapaian murid
dalam pembelajaran setelah pengukuran dan penilaian dibuat ke atasnya, tetapi tidak menuntut
pengendalinya menterjemahkan punca pencapaian murid dan sekolah turun atau naik.
Pengendali peperiksaan juga tidak berkeupayaan mengenal pasti kelemahan dan masalah
murid dalam pembelajaran serta tidak dapat membuat keputusan untuk melakukan pemulihan
kerana murid berkenaan tidak bersama mereka.

16. Bagaimanapun kita juga sedar bahawa pentaksiran untuk pembelajaran amat sukar
atau tidak mungkin dilaksanakan melalui sistem peperiksaan berpusat. Begitu juga, bukan
mudah untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran atau subjek dalam peperiksaan awam.
Dalam peperiksaan SPM misalnya, terdapat sejumlah 104 mata pelajaran ditawarkan kepada
calon. Jadual waktu peperiksaan SPM 2005 membenarkan calon mengambil sehingga 25 mata
pelajaran, dan pada tahun 2005 ramai calon mengambil sebanyak 18 mata pelajaran. Jumlah
itu sememangnya terlalu banyak untuk mana-mana peperiksaan awam.

17. Untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam atau untuk
melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah, kita memerlukan guru-guru yang terlatih di
sekolah-sekolah. Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, semua bentuk pentaksiran yang
lebih bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan,
aktiviti jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh
dilaksanakan. Bagaimanapun dalam hal ini, guru besar dan pengetua perlu diberi pengiktirafan
dan sedikit autonomi untuk mengesahkan laporan yang dikeluarkan oleh sekolah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

18. Saya percaya tugas ini bukan suatu tugas yang mudah. Disebabkan itu sempena ulang
tahun ke-50 Lembaga Peperiksaan Malaysia, saya tidak akan memberikan sebarang hadiah,
sebaliknya memberikan lebih banyak tugas kepada mereka. Melalui tugas-tugas ini, saya
berharap LPM akan dapat meningkatkan lagi keupayaan mereka agar reformasi pendidikan
dapat disegerakan. Sempena ulang tahun ke-50 LPM ini, saya mahu LPM mencari jalan untuk;

. menghantar pegawai-pegawainya untuk menimba pengetahuan serta pengalaman dengan


badan-badan pentaksiran dan universiti di luar negara

• memberi perhatian kepada kaedah pentaksiran yang dapat menggalakkan pembelajaran


sepanjang hayat di kalangan pelajar
• mengkaji dan memperkembangkan kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan
perkembangan karekter

• menghasilkan standard prestasi kebangsaan yang boleh dijadikan kayu ukur berbanding
standard negara-negara lain, dan

• meningkatkan jalinan kerjasama dengan badan-badan pentaksiran negara maju termasuk


melalui program pertukaran pegawai, penyelidikan bersama, pengendalian peperiksaan dan
pengeluaran sijil secara bersama.

Saya percaya bahawa banyak yang perlu dilakukan oleh LPM sepanjang tempoh lima tahun ini.
Saya tidak mengharapkan agar arahan saya itu dapat dilihat hasilnya dalam tempoh singkat
tetapi usaha ke arahnya perlu dimulakan serta merta.

19. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga LPM di atas ulang tahun
ke-50, yang genap pada hari ini, 3 Mei 2006. Semoga LPM akan terus mempertingkatkan ilmu,
kemahiran dan keprofesionalannya dalam menangani cabaran yang mendatang. Dengan
harapan itu, dengan lafaz bismillah-ir rahman-ir rahim, saya dengan rasminya melancarkan
Sambutan Jubli Emas Lembaga Peperiksaan Malaysia.

WabilLahi Taufiq wal Hidayah, Assalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai