Anda di halaman 1dari 6

Draf Teks Ucapan Penutupan

YB Brig Jen Khairy Jamaluddin


Menteri Belia Dan Sukan

Karnival Kewangan 2017


PWTC, Kuala Lumpur
15 Januari 2017

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu


Malaysia

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi


kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-
Nya, maka dapat kita bersama-sama dalam majlis penutupan Karnival
Kewangan 2017 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) pada petang ini.

2. Terima kasih kepada pihak penganjur, BNM kerana sudi menjemput saya
hari ini, dan yang lebih penting, tahniah kepada BNM dan rakan-rakan
penganjur lain kerana berjaya mengadakan karnival besar sebegini buat
julung-julung kalinya. Karnival ini pastinya memberi banyak manfaat
kepada para pengunjung selama tiga hari sejak Jumaat lalu terutama dari
segi pendidikan tentang pengurusan kewangan mereka.

Saudara-saudari sekalian,

3. Saya dimaklumkan bahawa kadar kehadiran ke karnival ini adalah tinggi,


terutamanya dari kalangan remaja dan Gen Y yang telah menyemarakkan
lagi kemeriahan dan pengisian Karnival Kewangan ini. Inisiatif ini adalah
amat bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk melihat lebih ramai anak
muda yang celik tentang pengurusan kewangan, pengurusan hutang dan
pengurusan perbelanjaan masing-masing. Dengan pengetahuan yang
diperolehi melalui karnival ini, mereka diharap akan mempunyai ilmu
kewangan yang lebih baik bagi membolehkan mereka menjalani
kehidupan yang lebih terurus pada masa depan.

4. Pendidikan dan pengurusan kewangan di kalangan rakyat Malaysia,


khususnya di kalangan belia sangat penting dalam usaha untuk
menjadikan masyarakat kita masyarakat yang celik kewangan.
5. Apatah lagi, statistik menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia
yang tidak mempunyai pengetahuan mencukupi dalam hal pengurusan
kewangan. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia pada tahun 2015,
seramai 18,457 individu telah diisytihar muflis dengan 25 peratus (4,648)
daripada mereka adalah belia berusia antara 25 hingga 34 tahun. Hal ini
amat membimbangkan kerana pada usia tersebut, kebanyakan mereka
baru sahaja `memulakan hidup’ selepas tamat pengajian. Status muflis itu
pastinya menjadi penghalang kepada mereka yang ingin membuat
pinjaman perumahan, kenderaan mahupun pinjaman peribadi.

6. Keadaan ini bukan sahaja merugikan para belia yang terlibat, malahan ia
juga merugikan negara. Ini kerana potensi sebenar belia tersebut tidak
dapat ditonjolkan, atau terlindung dek kerana terbeban dengan status
muflis. Status itu seperti satu jalan mati yang menyekat sesiapa saja yang
sudah diisytihar muflis daripada meneruskan kehidupan dengan sejahtera.
Jika sudah diisytihar muflis, nak beli kereta tak boleh, nak beli rumah tak
boleh, nak buat pinjaman perniagaan tak lepas dan bagi lelaki, silap-silap
nak kahwin pun tertangguh kerana masalah kewangan. Trend ini
membimbangkan kerana kemuflisan pada usia muda memudaratkan
individu itu dan memberi impak negatif kepada masa depan mereka.

7. Menurut rekod Jabatan Insolvensi, penyebab utama kemuflisan ke atas


para peminjam individu adalah berpunca daripada pinjaman peribadi iaitu
sebanyak 5,228 kes, diikuti dengan sewa beli kenderaan (4,725 kes) dan
pinjaman perumahan (2,504 kes). Di sini kita dapat lihat bagaimana
individu-individu ini amat tertarik untuk mendapatkan produk pinjaman
peribadi yang ditawarkan oleh institusi kewangan atas pelbagai sebab,
namun tidak mempunyai perancangan yang baik bagi membayar balik
hutang berkenaan.

Hadirin dan adik-adik yang dikasihi,

8. Situasi ini dapat dielakkan jika belia mempunyai pengetahuan yang


mendalam mengenai pengurusan kewangan, memastikan gaya hidup
sejajar dengan pendapatan dan mampu membuat keputusan kewangan
yang betul dan tepat. Hidup ini sentiasa ada pilihan. Jangan terlalu ikutkan
nafsu ketika berbelanja. Jika anda baru saja mula bekerja, ukur baju di
badan sendiri.

9. Di sini, suka saya merujuk kepada laporan media tempatan tahun lalu
yang memetik kajian pakar ekonomi tempatan mendapati tahap gaji
permulaan sebanyak 2,500 ringgit sebulan yang ditawarkan kepada
graduan muda tempatan adalah mencukupi. Malahan, sebanyak 66
peratus syarikat atau majikan yang dikaji bersedia untuk menawarkan gaji
permulaan di antara 2,500 ringgit hingga 2,800 ringgit sebulan kepada
graduan-graduan muda ini.

10. Walaupun pakar ekonomi mendapati nilai 2,500 Ringgit gaji bulanan
graduan muda tempatan adalah mencukupi – namun sebanyak 60 peratus
responden mengharapkan pendapatan mereka mencecah 3,500 Ringgit
sebulan. Lebih menarik, sebanyak 30 peratus responden pula amat yakin
bahawa mereka sepatutnya menerima 6,500 Ringgit sebagai gaji bulanan
permulaan! Bukan mahu memperkecilkan kelayakan dan kelulusan
mereka. Namun saya percaya mereka perlu berbalik kepada realiti
ekonomi masa kini dan menyedari bahawa wujud persaingan dalam
pasaran kerja yang semakin mencabar dari semasa ke semasa. Jika anda
tidak sudi dengan pekerjaan itu - iaitu gaji di bawah 6,500 Ringgit –
sedarlah bahawa ramai lagi calon yang bersedia mengisi kekosongan itu.

Saudara-saudari sekalian,

11. Masalah kewangan seringkali berlaku apabila kita berbelanja bukan pada
tempatnya, ataupun kesalahan biasa adalah apabila seseorang itu
mengutamakan kemahuan (wants) dan bukannya keperluan (needs). Di
sinilah kita semua perlu berhati-hati dengan perbelanjaan dan
menggunakan kemahiran pengurusan kewangan yang baik. Kajian yang
dipetik Bank Negara menunjukkan bahawa golongan belia mengamalkan
corak perbelanjaan yang membimbangkan, dengan 21 hingga 27 peratus
daripada pendapatan mereka digunakan untuk hiburan dan bukannya
untuk simpanan.

12. Statistik oleh pakar perunding kewangan bebas itu juga mendapati
bahawa kebanyakan belia mempunyai nisbah hutang kepada pendapatan
yang sangat tinggi iaitu melebihi 100 peratus; mempunyai purata hutang
kad kredit dengan kadar bayaran balik bulanan pada kadar 120 peratus
atau 1,850 Ringgit dan 45 peratus belia pula mempunyai tabiat untuk
menangguhkan pembayaran hutang kad kredit mereka.

13. Statistik dan maklumat ini memberi gambaran bagaimana kemahiran


pengurusan kewangan yang lemah memberi impak negatif kepada belia.
Mereka sering dibebani dengan pelbagai jenis hutang termasuk hutang
pinjaman peribadi, kad kredit, pelajaran, kereta, dan rumah yang
menyumbang kepada peningkatan kadar hutang yang tinggi.

14. Ini membimbangkan kerana walaupun kita semua mempunyai akses


kepada pendidikan dan maklumat, generasi muda dilihat masih
memerlukan pendedahan lanjut berkenaan kemahiran pengurusan
kewangan. Oleh itu saya menggesa golongan belia supaya mengambil
tanggungjawab penuh ke atas hala tuju masa depan kewangan mereka
meliputi perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

Hadirin yang dirahmati,

15. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil kesempatan ini untuk
mengajak semua rakyat khususnya belia untuk memperkasakan diri
dengan pengetahuan dan maklumat yang berkaitan dengan pengurusan
kewangan. Sebagai contoh, KBS kini sedang melaksanakan
#MYindexbelia iaitu salah satu teras dalam Pelan Transformasi
Perkhidmatan Awam 2016. Unsur kesejahteraan ekonomi belia adalah
salah satu domain utama yang diberikan penekanan dalam inisiatif ini dan
begitulah bagaimana Kerajaan amat mengambil berat tentang
kesejahteraan anak muda dan masa depan mereka.

16. Saya juga difahamkan bahawa Bank Negara Malaysia sedang


bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk
mengintegrasikan elemen pendidikan kewangan ke dalam mata pelajaran
teras kurikulum baharu sekolah. Elemen itu adalah tambahan kepada
usaha sama yang sedia terjalin di antara BNM dan KPM seperti Program
Sekolah Angkat dan Kelab Kewangan Sekolah.
17. Usaha Kerajaan mewujudkan masyarakat celik kewangan turut melibatkan
peranan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang
memberikan khidmat pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan
program pengurusan hutang kepada individu-individu yang berminat
mendapatkan bantuan. Dalam tempoh 5 tahun, seramai 300,000 rakyat
Malaysia telah menerima manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan
oleh AKPK. Kepada yang ingin mendapatkan panduan tentang
pengurusan kewangan masing-masing, hubungilah AKPK bagi
mendapatkan bantuan daripada agensi itu.

18. Selain itu, ingin saya berpesan kepada anda semua terutama belia yang
celik IT supaya memanfaatkan teknologi yang ada serta informasi yang
berguna dalam menguruskan kewangan dengan berkesan. Selain
panduan daripada kementerian serta agensi Kerajaan, terdapat pelbagai
aplikasi atas talian yang boleh memberi panduan kepada kaedah
pengurusan kewangan berhemah yang patut digunakan dengan
sepenuhnya.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

19. Pendidikan kewangan seharusnya bermula seawal bangku sekolah untuk


memastikan kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran yang
diperlukan dalam memupuk budaya pengurusan kewangan yang bijak dan
berhemah.

20. Semoga semua pengunjung Karnival Kewangan 2017 ini telah


memperoleh ilmu yang bermanfaat sepanjang ia berlangsung dan bukan
sahaja berupaya menguruskan kewangan masing-masing dengan lebih
cermat dalam urusan harian, malahan boleh pula mendidik dan berkongsi
pengetahuan tersebut dengan saudara-mara dan rakan taulan.

21. Saya dengan ini sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada
Bank Negara Malaysia serta lebih 100 agensi yang turut menjayakan
Karnival Kewangan 2017 ini. Semoga usaha ini diteruskan dengan lebih
berjaya pada tahun-tahun akan datang, seterusnya membentuk
masyarakat Malaysia dengan pengetahuan pengurusan kewangan yang
baik.

Sekian, saya dengan ini dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Karnival
Kewangan 2017 anjuran Bank Negara Malaysia.
Wabillahitaufikwalhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai