Anda di halaman 1dari 5

AL-QURAN MENJANA TRANSFORMASI UMMAH

Cahaya matahari menyilau mata,


Rasa pedih berusaha menahan,
Lafaz bismillah pembuka kata,
Gelanggang syarahan saya mulakan.

Assalamualaikum w.b.t. Terima kasih tuan pengacara, para hakim yang

cendekia, penjaga masa yang setia, seterusnya hadirin umat Muhammad

semua.Berdirinya pokok kerana akarnya,berdirinya rumah kerana tiangnya, berdirinya

saya di sini kerana hadirin sekalian yang duduk sedia menantikan syarahan saya yang

bertajuk "Al-quran Menjana Transformasi Ummah". Sebelum saya berbicara dengan

lebih lanjut dan terperinci lagi,izinkan saya untuk mendefinisikan frasa demi frasa tajuk

syarahan saya.

Frasa yang pertama ialah "al-quran".Al-quran ialah kalamullah yang diturunkan

dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantara

Jibril.Membacanya merupakan satu ibadah dan mendapat pahala.Seperti sabda

Rasulullah s.a.w : "Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-quran,maka

baginya satu kebaikan,satu kebaikan menyamai sepuluh pahala, Aku tidak bermaksud

Alif,Lam,Mim itu satu huruf,tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf"(HR

Ad-Tarmizi).Menjana pula bererti mewujudkan atau menghasilkan.Di dalam Kamus

Dewan,transformasi bermaksud perubahan bentuk sama ada dalam bentuk

sifat,rupa,keadaan dan sebagainya.Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w

di Madinah,frasa 'ummah' merujuk kepada orang Islam.Tetapi pada umumnya,ummah

bermaksud masyarakat atau umat manusia.Jadi,secara tuntasnya cogan kata 'Al-quran


Menjana Transformasi Ummah' bermaksud al-quran mampu menghasilkan perubahan

terhadap umat manusia supaya menjadi lebih baik.

Sidang hadirin paksi umat,

Meniti hujah saya yang pertama bernaung di bawah kata kunci :Konsep tamadun

dari perspektif Islam. Menurut Islam,tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah

dan rohaniah.Oleh itu,Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah.Menurut

Syed Naquib Al-Attas,tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan

kebudayaan yang luhur sesebuah masyarakat.Pandangan ini disokong oleh Richard

Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep

tamadun.Ini bermakna masyarakat hari ini masih belum mencapai tahap tamadun dari

kaca mata Syed Naquib Al-Attas,kerana masih belum mencapai tahap tatasusila yang

tinggi dan kebudayaan yang luhur.Dewasa ini,semakin ramai terutamanya golongan

muda terpengaruh dengan budaya negatif yang jauh tersimpang dari ajaran Islam.Hal

ini disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak berpegang dengan ajaran al-

quran.Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini.Kita perlu mengorak

langkah untuk berubah menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Hadirin minda kelas pertama,

Meniti hujah saya yang kedua bernaung di bawah kata kunci : Al-quran sebagai

pegangan.Sabda Rasulullah s.a.w : "Ku tinggalkan kepadamu dua pusaka

abadi,apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat,iaitu Kitab
Allah dan sunnahku".Maka dengan ini,jelaslah yang al-quran ini merupakan panduan

yang hakiki.Al-quran bukan sekadar untuk dibaca malah inti pati al-quran wajib

dilaksanakan.Jika masyarakat hari ini mengamalkan kandungan al-quran,maka akhlak

masyarakat akan mengikut akhlak Rasulullah s.a.w kerana Saidatina Aisyah pernah

berkata :"Akhlak Rasulullah itulah akhlak al-quran".Jadi, dengan hidupnya akhlak al-

quran dalam kalangan masyarakat nescaya masalah-masalah gejala sosial seperti

berzina,membuang bayi dan berjudi yang meruncing ini dapat dilenyapkan.Oleh itu,kita

mesti melangkah dengan seribu kekuatan untuk kembali kepada fitrah dengan

menjadikan al-quran sebagai pegangan hidup.

Hadirin warga dewan yang cendekia,

Meniti hujah saya yang ketiga bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah

pembeza antara yang benar dan salah.Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Bulan

Ramadhan yang padanya diturunkan al-quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian

manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskanpetunjuk dan

perbezaan antara benar dengan yang salah".Kehidupan ini tidak pernah sepi daripada

suasana yang menimbulkan pertanyaan kepada diri kita.Yang manakah benar? dan

bagaimanakah caranya untuk kita membezakan sama ada ia adalah benar atau

salah?Jawapannya mudah sahaja.Al-quranlah jawapannya.Al-quran telah diturunkan

untuk membezakan antar yang benar dan salah.Jadi mengapa kita perlu bersusah

payah untuk memilih antara yang benar dan salah?Semuanya telah terukir di dalam al-

quran.Ramai yang telah tersalah memilih jalan kehidupan kerana mereka meninggalkan
al-quran.Oleh itu,kita perlu menjadikan al-quran sebagai teman hidup supaya kita tidak

tersilap memilih yang benar dan yang salah.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Meniti hujah saya yang keempat bernaung di bawah kata kunci : Al-quran adalah

cahaya yang menerangi.Al-quran adalah petunjuk yang menerangi ke arah jalan yang

lurus dan selamat.Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 15 dan 16 yang

bermaksud : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah

dan sebuah kitab (al-quran) yang jelas nyata keterangannya.Dengan (al-quran) itu Allah

menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang

mengikut keredhaan-Nya, dan (dengan al-quran,Allah) keluarkan mereka dari gelap

gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya,dan (dengan al-

quran,Allah) menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".Kegelapan adalah suasana

kehidupan yang tidak menentu,tidak terarah dan tidak terurus.Ia umpama orang yang

berjalan tidak menentu di dalam bilik yang gelap tanpa mengetahui hala tujuannya,dan

meraba-raba itu dan ini tanpa mengetahui sama ada ia bermanfaat atau tidak untuk

dirinya.Al-quran adalah cahaya yang menerangi sehinnga orang yang menggunakan

"suluhan" al-quran sebagai petunjuk akan memiliki kehidupan yang bermatlamat,

terarah lagi terurus.


Hadirin pasca kemerdekaan,

Melalui keempat-empat hujah yang telah saya bentangkan,amat jelas kepada kita

seluruh umat manusia bahaw kehadiran al-quran dalam hidup amat bermakna.Dengan

mengamalkan inti pati al-quran,kita mampu berubah menjadi lebih baik daripada

semalam,dan esok lebih baik daripada hari ini.Pepatah melayu ada menyebut,"hendak

seribu daya,tak hendak seribu dalih".Walaupun kehadiran al-quran memberi sinar

dalam kegelapan hidup kita,jika isi kandungannya tidak diamalkan,sinar itu akan hilang

sekelip mata.Firman Allah s.w.t,mafhumnya : "Allah tidak akan mengubah nasib

sesuatu kaum itu,melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri".Konklusinya,kita

perlu membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah dan mengangkat al-quran

sebagai panduan hidup agar hidup kita sentiasa diredhai oleh Maha Berkuasa,Allah

s.w.t.Akhir kalam,saya sudahi syarahan saya dengan serangkap pantun.

Al-quran pembimbing sepanjang zaman,


DiturunkanNya kepada Rasulullah,
Diwasiatkan untuk diamalkan,
Mampu menjana transformasi ummah

Anda mungkin juga menyukai