Anda di halaman 1dari 3

Graduan Usahawan

Jika kita bertanya kepada siswa-siswi yang sedang menuntut di universiti


tentang kerjaya pilihan mereka maka jawapannya pastilah kerja yang ada
kaitan dengan bidang yang sesuai dengan pengkhususan mereka. Mungkin
ada segelintir yang terpaksa mengambil pengkhususan yang bukan minat
atau pilihan mereka, namun dalam memilih kerjaya mereka tetap mahukan
kerja yang berkaitan dengan bidang masing-masing. Oleh tidak hairanlah
apabila tamat sahaja pembelajaran dan mendapat segulung sijil, maka
berebut-rebutlah graduan-graduan kita menghantar resume dan menghadiri
temuduga bagi mendapatkan pekerjaan.
Ada yang bernasib baik tetapi ramai juga yang terpaksa menganggur
berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum mendapat kerja. Ada pula yang
tidak memilih kerja dengan merebut apa sahaja peluang yang ada hinggakan
bukan satu fenomena yang pelik lagi apabila graduan kita bekerja sebagai
jurujual, promoter, pembantu kedai makan, pembantu kedai dan sebagainya.
Dari satu segi memanglah bagus kerana sikap tidak memilih pekerjaan itu
membuktikan bahawa mereka mahu berdikari. Tetapi apabila kita fikirkan
dengan lebih jauh sedikit maka kita pasti rasa kecewa apabila seorang yang
mempunyai kelulusan yang tinggi dan mampu berfikir mensia-siakan sumber
kekuatannya ini dengan melakukan kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh
orang lain. Alangkah baiknya kalau kekuatan ini disalurkan kearah yang lebih
menguntungkan ummah dan negara? Kenapa tidak graduan ini memilih
untuk bekerja sendiri berbanding dengan hanya mengharapkan dunia makan
gaji hingga sanggup menerima tawaran yang tidak setimpal dengan
kelulusan, kemahiran dan kebolehan mereka. Sedangkan apabila mereka
memulakan perniagaan, mereka bukan sahaja mempunyai kebebasan dari
segi waktu kerja tetapi mereka juga bebas menggunakan kreativiti, daya fikir,
wawasan dan hala tuju hidup mereka. Malah jika mereka benar-benar serius
dan bersungguh-sungguh mereka satu hari nanti pasti akan mencapai tahap
kebebasan kewangan pula.
Pihak kerajaan menerusi pelbagai badan dan organisasi yang telah dilantik
menyediakan pelbagai peluang, pinjaman dan latihan bagi graduan yang
mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini. Namun begitu
peratusan mereka yang merebut peluang ini amat kecil dan peratusan
mereka yang berjaya pastilah lebih kecil lagi. Pada Tahun 2005, kajian yang
dijalankan oleh pihak UPM mendapati hanya 2.4 peratus sahaja graduan
yang menjadi usahawan. Peratusan ini sangatlah kecil kalau dibandingkan
dengan bilangan graduan yang menganggur.
Ada beberapa sebab utama yang membuatkan graduan tidak berminat
dengan dunia keusahawanan ini:
1. Tiada Jaminan. Graduan kita telah banyak melihat rakan-rakan atau
senior mereka yang mendapat pekerjaan dengan syarikat-syarikat
besar atau Perkhidmatan Awam serta menerima gaji setiap bulan.
Disamping itu mereka ini mudah membuat pinjaman untuk memiliki
kenderaan dan menikmati pelbagai insentif lain. Malah dalam
kalangan ahli keluarga juga rata-ratanya terlibat dengan dunia makan
gaji hinggakan tidak mempunyai gaji tetap itu sama seperti tidak
mempunyai pekerjaan. Maknanya, kalau graduan kita terlibat dengan
bidang perniagaan maka ramai yang beranggapan bahawa mereka
tidak punya pekerjaan.
2. Tidak Bersedia. Masalah siswa-siswi kita ketika mereka masih
berada di kolej atau universiti ialah mereka tidak mempersiapkan
dirinya dengan ilmu-ilmu keusahawanan. Malah mereka yang
mengambil jurusan perniagaan sendiri tidak memiliki ‘soft skill’ untuk
lahir sebagai usahawan yang berjaya. Mereka tidak belajar cara
untuk berdikari, berkomunikasi, penampilan diri, kepimpinan,
pergaulan dan sebagainya. Mereka juga tidak diajar cara
mempengaruhi, keyakinan diri, estim diri dan sebagainya. Sedangkan
semua kemahiran itu perlu untuk lahir sebagai usahawan ya ng
berjaya. Apabila mereka tiada ilmu maka mereka anggap bahawa
mereka tiada kebolehan. Sedangkan ilmu boleh dicari dan kebolehan
boleh dilatih.
Oleh itu, siswa-siswi perlu melihat kolej dan universiti sebagai tempat
bukan sahaja bagi memperolehi ilmu-ilmu akademik tetapi juga bagi
memupuk pelbagai kemahiran hidup yang tidak diajarkan dalam bilik
kuliah. Penglibatan secara aktif dalam aktiviti kampus, persatuan,
menggerakkan projek-projek kemanusiaan dan kebajikan akan
mengasah bakat dan kebolehan dalam ‘soft skill’ ini.
3. Takutkan Kegagalan. Tidak berapa lama dahulu seorang sahabat
saya dari MARA menceritakan bagaimana MARA telah memberikan
latihan dan seterusnya pinjaman kepada 24 orang graduan untuk lahir
sebagai usahawan ICT yang berjaya. Hasilnya, setelah 6 bulan
menjalankan perniagaan hanya 3 orang sahaja yang berjaya, yang
lain kembali semula ke dunia makan gaji dengan pendapatan
RM1,000 – RM2,000 sebelum. Disamping itu mereka juga terpaksa
membayar semula pinjaman MARA yang telah diterima dahulu.
Mendengar cerita-cerita sebegini membuatkan graduan yang lain tidak
mahu mengambil risiko dan takutkan kegagalan. Bagi mereka lebih
baik tidak menjadi usahawan daripada hidup menanggung hutang.
Inilah masalahnya, kita lebih melihat kepada mereka yang gagal dan
berkata bahawa itulah juga nasib kita nanti. Sebaliknya kita lupa
untuk lihat mereka yang berjaya dan belajar dari pengalaman dan
kejayaan mereka. Lebih teruk lagi apabila kita tidak percaya bahawa
kita boleh jadi seperti mereka. Akibatnya, kita takut kepada kegagalan
berbanding berani untuk berusaha dan mengecapi kejayaan.
4. Masalah Sikap. Sikap mahu buat kerja mudah, mahu cepat kaya,
mahu bergaya, kerja sambil lewa, malas, kurang berdisiplin dan
sebagainya adalah punca utama kegagalan seseorang usahawan
muda. Modal boleh dicari, peluang ada dimana-mana, bantuan boleh
diperolehi tetapi kalau diri sendiri tidak benar-benar bersedia bagi
memberikan komitmen seratus peratus dan sepenuh hati maka apa
juga perniagaan yang dillakukan akhirnya akan berakhir dengan
kegagalan. Aset terpenting bagi menceburi bidang perniagaan
bukannya produk yang bagus atau peluang keemasan tetapi aset
terpenting adalah diri graduan itu sendiri. Ramai usahawan yang
mensabotaj diri mereka sendiri dan mensia-siakan peluang yang
diberikan. Sebab itu, apabila keputusan telah dibuat untuk menceburi
bidang perniagaan maka ketika itu cabaran, kesusahan, kegagalan
perlu dijangkakan dan persediaan diri bagi menghadapi situasi ini
mestilah ada. Dengan sikap tidak mudah mengalah dan putus asa
graduan mampu memungkinkan apa yang dianggap mustahil oleh
ramai orang.
5. Kurangnya Pendedahan. Berapa kerat sangat siswa-siswi kita yang
terdedah kepada bidang keusahawanan sewaktu di kolej dan
universiti? Hanya segelintir. Dan segelintir ini jugalah yang akhirnya
berani memilih untuk bekerja sendiri dengan menjalankan perniagaan.
Untuk berjaya sebagai seorang usahawan para graduan perlu tahu
aspek pemasaran produk, perancangan perniagaan, pengurusan,
kewangan dan perhubungan kemanusiaan. Pendedahan awal jika
diberikan kepada siswa-siswi akan memberikan mereka keyakinan
dan kepercayaan yang mereka boleh berjaya apabila menceburkan
diri sebagai seorang usahawan. Malah siswa-siswi atas inisiatif
sendiri perlu menyertai pelbagai latihan yang disediakan oleh pihak
kerajaan atau swasta sewaktu masih belajar lagi dan inimembolehkan
mereka lebih memahami, serius dan berani menceburi bidang
perniagaan ini.

Anda mungkin juga menyukai