Anda di halaman 1dari 3

MAJALAH MASKULIN

Lelaki Idaman Wanita


Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
drasmadi@maptraining.com.my
Satu hari ketika turun bermain badminton saya sempat bertanya kepada rakan
sepermainan kenapa hingga ke hari ini dia belum punya teman wanita. Sedangkan
usianya sudah masuk tiga puluh tahun dan juga sudah ada kerja tetap. Jawabnya,
Susah Dr., perempuan sekarang terlalu memilih. Kalau ada yang lawa pula, sudah
disapu oleh mereka yang lebih berusia.. Agak tersentak juga dengan jawapan yang
diberikan oleh rakan sepermainan itu. Kata-katanya itu juga mengingatkan saya
kepada satu program radio yang saya dengar tidak lama dahulu bagaimana seorang
lelaki yang putus tunang meminta DJ itu menghubungi bekas tunangnya agar dia
kembali semula ke pangkuannya. Namun apa yang berlaku lelaki itu disembur secara
langsung dan dikatakan sebagai tidak gentleman kerana menggunakan orang ketiga,
tiada wawasan dan perancangan masa depan, cakap tidak serupa bikin, tidak mahu
mendengar pandangannya dan banyak lagi. Lelaki itu cuba merayu dengan berkata
yang dia sangat cintakan bekas tunangnya itu. Apa jawab perempuan tersebut, Eh,
come on la.. you ingat I boleh hidup dengan cinta sahaja ker? I tak mahu merempat
la.. I perlukan seseorang yang boleh jaga I, you faham tak? Sudah I malas nak layan
you lagi. Lain kali pergi mengadu pada nenek you pulak. Bye..
Aduh, apa sudah jadi? Memanglah ada rasa simpati pada lelaki itu tetapi apabila
dihalusi kata-kata perempuan itu, maka banyak kebenarannya juga. Jadi, lelaki
bagaimanakah yang menjadi idaman setiap wanita? Kenapa ada yang berusia mampu
memikat hati yang muda? Kenapa ada yang tidak hensem mendapat isteri cantik
jelita? Kenapa orang biasa-biasa mendapat tempat di hati wanita yang popular. Pasti
ada sesuatu yang paling dicari oleh seorang wanita dan telah ditemui pada lelakilelaki ini.
Wanita mahukan lelaki yang dapat menjamin masa depannya. Orang perempuan
sekarang sudah pandai merancang dan mengukur. Kalau ada orang perempuan yang
masih hanyut dibuai oleh perasaan cinta dan ayat-ayat power maka mereka itu
adalah dari golongan yang kurang cerdik dalam menilai lelaki. Orang perempuan
sedar dalam kehidupan yang serba moden, canggih dan pantas ini semuanya perlu
duit. Sewa rumah, kenderaan, bil air, bil telefon, bil elektrik, duit minyak, belanja
dapur, beli pakaian, susu anak, lampin bayi, dan macam-macam lagi semuanya
menuntut perbelanjaan yang tinggi. Persoalannya buat kita orang lelaki, adakah kita
sudah bersedia dengan semua perbelanjaan itu sebelum bersedia memikat perempuan
untuk dijadikan isteri? Kalau belum apa perancangan dan tindakan kita? Kalau sudah
apakah pekerjaan yang kita lakukan sekarang ini terjamin dan cukup untuk satu
keluarga? Bukan senang jadi lelaki. Kalau hidup sendiri belum terurus maka usah
fikirkan untuk uruskan hidup orang. Betulkan dulu diri itu barulah boleh bercakap
tentang hasrat mendirikan rumahtangga.
Wanita mahukan lelaki yang setia padanya. Cuba kata ayat ini pada perempuan yang
kita jatuh hati, Saya amat sayang dan cintakan awak dan mahu mengambil awak
sebagai isteri. Namun jujur saya katakan, awak bukanlah satu-satunya isteri yang
saya ada nanti. Sebab saya memang ada hasrat untuk berpoligami. Percayalah,

sembilan puluh sembilan peratus (99%) wanita pasti menolak cinta lelaki ini. Tiada
seorang pun perempuan yang sanggup dirinya diduakan. Yang kedua pun malah tidak
mahu ditigakan. Sebab itulah kebanyakan lelaki yang berpoligami pada awal
perkahwinannya tidak pernah merancang atau berhasrat akan lalui kehidupan
sebegitu. Tetapi keadaan, persekitaran, takdir dan pilihan telah menentukan hidupnya
jadi sebegitu. Siapakah kita lelaki mampu menolak ketetapan ilahi. Oleh itu,
berusahalah untuk setia pada yang satu. Apa yang terjadi kemudian, itu soal
kemudian yang tidak perlu difikirkan. Yang penting apa yang ada sekarang ini
cubalah setia dan membahagiakannya.
Wanita mahukan lelaki yang penyabar dan romantik. Kenapa ramai perempuan hari
ini suka pada lelaki yang jauh lebih matang darinya? Sebab kedudukan eknominya
lebih stabil? Ada benarnya tetapi ada lagi perkara lain yang juga penting iaitu sifat
sabar dan romantiknya. Orang muda biasanya agak baran dan cepat hilang kawalan
diri. Orang perempuan tidak boleh terima lelaki yang selalu memarahinya. Mereka
fikir lelaki seperti ini hanya pentingkan dirinya sendiri dan tidak mahu mendengar
pandangannya. Orang muda juga gelojoh dalam banyak perkara. Buat dulu baru
fikir. Kadang-kadang tidak sabar malah dalam melakukan hubungan intim pun tidak
sabar-sabar dan mementingkan kepuasan diri sendiri sahaja. Ini yang orang
perempuan tidak boleh terima.
Wanita mahukan lelaki yang penyayang. Apa maknanya penyayang? Penyayang
atau bahasa Inggerisnya caring maknanya prihatin, peduli, ambil tahu dan ambil
berat. Bagi orang perempuan lelaki idamannya ialah lelaki yang selalu menelefonnya
dan bertanya khabar, menghantar SMS yang mengandungi nasihat dan ayat-ayat
cinta, bertanyakan keadaan dirinya, membantunya diwaktu dia memerlukan bantuan,
mendengar luahan hatinya ketika dia bermasalah, mengingati hari-hari pentingnya,
memberikannya kejutan dengan memberikannya hadiah dan bunga, dan yang berada
di sisinya ketika dia kesepian. Oh, tinggi benar permintaan dan harapan seorang
wanita terhadap lelaki. Betul, tetapi sebenarnya begitulah juga tingginya harapan kita
apabila mencari calon isteri. Semua orang mahukan yang terbaik buat dirinya.
Wanita mahukan lelaki yang beriman. Kekadang saya senyum sendiri apabila artisartis berpakaian seksi kita ditanya tentang lelaki idaman mereka. Jawapan yang
sering diberikan ialah mereka mahukan lelaki yang beriman, yang boleh bimbing
mereka. Tidak salah pun jawapan itu cuma kalau diri tidak sehebat Fatimah manakan
mungkin dapat jodoh semulia Ali. Tetapi itulah kenyataannya. Orang perempuan,
walau pun jahil agama, tetap mahukan lelaki yang beriman, baik, boleh jadi ketua
keluarga dan mampu mengharungi konflik rumahtangga dengan tabah. Sedangkan
lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Pasti dalam mengharungi hidup berumah
tangga, dalam proses mengenal hati budi masing-masing, dalam usaha menyesuaikan
diri antara satu sama lain maka banyak masalah. Hanya lelaki yang tabah sahaja
mampu mempertahankan mahligai perkahwinannya. Lelaki yang tidak tabah akan
mudah melafazkan kata cerai sedangkan lafaz itu adalah amanah Allah baginya.
Lihatlah bagaimana masyarakat digembarkan dengan kes kahwin singkat. Baru
berkahwin beberapa minggu terus bercerai. Satu-satunya panggilan yang orang
perempuan cuba elakkan ialah janda. Sebab panggilan itu mempunyai konotasi
negatif dalam masyarakat kita.

Wanita mahukan lelaki yang bijaksana. Orang perempuan senang dan rasa bangga
apabila di sisinya ada seorang lelaki yang bijaksana. Bijaksana bermakna mampu
membuat keputusan dan penilaian yang baik serta menangani sesuatu masalah dengan
cara berhemah dan pendekatan berhikmah. Kebijaksanaan lahir dari pengalaman,
pergaulan dan tahap pendidikan seseorang itu. Lelaki berusia umumnya lebih
bijaksana berbanding lelaki muda. Mereka yang ramai kenalan dan kawan biasanya
faham pelbagai telatah dan perangai manusia. Lelaki berpelajaran tinggi pula
lazimnya lebih bijaksana berbanding mereka yang lulus setakat sekolah sahaja.
Bukan tiada yang sebaliknya, ada, cuma lazimnya begitu. Oleh itu lelaki mesti
berusaha meningkatkan tahap kebijaksanaannya. Bijaksana tiada kena mengena
dengan tahap IQ yang tinggi.
Wanita mahukan lelaki yang tahu menghormatinya. Akhir sekali, orang perempuan
mahukan lelaki yang tahu menghormatinya sebagai seorang wanita. Mereka mahu
dilayan sebagai seorang wanita. Dipenuhi hak-haknya dan dilindungi dirinya. Dia
mungkin seorang surirumah sepenuh masa tetapi usah pandang kerjanya itu umpama
seorang pembantu rumah. Allah letakkan nilai dan harga diri seorang wanita itu di
tempat yang tinggi oleh itu usah sama sekali direndahkan pula. Wanita mempunya
naluri yang dalam dan jiwa yang halus. Mereka mudah mengesan sesuatu yang
tersirat melalui gerak hatinya. Oleh itu orang perempuan dapat rasakan sama ada
lelaki itu ikhlas atau tidak dalam perhubungan. Mereka mahukan lelaki yang hormati
pengorbanan dan keputusannya apabila memilih seseorang itu sebagai teman
hidupnya.

Anda mungkin juga menyukai