Anda di halaman 1dari 7

Kaunseling Remaja: Ingin berubah selepas gugur kandungan

Soalan

SAYA seorang gadis berumur 16 tahun. Ketika berusia 14 tahun, saya berkawan dengan
beberapa 8 lelaki yang lebih tua dari saya. Saya mudah terpengaruh dengan pujuk rayu mereka.

Beberapa kali saya melarikan diri dari rumah. Saya tinggal di rumah sewa salah seorang teman
lelaki saya. Kali kedua saya lari dari rumah ketika di tingkatan 3. Kali ini, saya tidak pulang ke
rumah lebih dari sebulan.

Saya berhenti sekolah kerana sukar menumpukan perhatian dalam pelajaran. Keluarga sangat
marah, apabila pulang sebulan kemudian, saya dikurung dan tidak dibenarkan keluar rumah
beberapa minggu.

Sesuatu yang sangat buruk berlaku kepada saya selepas itu. Saya mendapati diri saya
mengandung. Tanpa diketahui ibu bapa, saya mengugurkan kandungan itu dengan bantuan
teman lelaki saya.

Kini, saya menyesal apa yang berlaku. Saya merasa amat berdosa dan ingin menjadi gadis yang
baik.

Milah
Muar, Johor

Jawapan

ZAMAN remaja penuh cabaran. Tahap perkembangan remaja memang penuh dengan konflik.
Tuntutan untuk kebebasan dan emansipasi tinggi. Pada peringkat umur ini, adik mudah
terpengaruh dengan tingkah laku yang me nyenangkan dan menyeronokan.

Jika tahap ini tidak dilalui dengan baik, remaja boleh terbabit dengan perbuatan negatif seperti
apa yang adik ceritakan.

Syukur, adik sedar kesilapan lalu. Justeru, mulakan ke hidupan adik dengan melakukan perkara-
perkara berfaedah. Didik diri adik dengan banyakkan membaca buku-buku motivasi dan agama.
Teruskan belajar.

Cari kawan-kawan yang boleh membimbing adik ke jalan diredai Allah. Dengan usaha dan
keazaman itu, adik mampu berubah menjadi gadis yang baik.

Keluarga adalah tempat terbaik adik untuk meminta ban tuan dan bimbingan. Dampingilah
keluarga adik kerana mereka mampu memberi kasih sayang.

Khalifah Umar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum
kamu dihitung oleh Allah. Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudian membuat
perubahan positif ke atas diri sendiri, merekalah orang yang akan berjaya.”
Kaunseling Remaja: Bosan sikap ibu terlalu mendesak

Soalan

SAYA remaja perempuan berusia 15 tahun dan kini di tingkatan tiga. Saya anak kedua dalam
keluarga empat orang. Pelajaran saya okay sja. Jika markah peperiksaan teruk, ibu pasti marah.

Saya menghadapi masalah dengan keluarga terutama ibu. Dulu, saya rapat dengan ibu tetapi, kini
ibu seolah-olah musuh ketat saya. Apa yang saya lakukan, ibu pasti tidak setuju.

Contohnya, saya ingin tidur di rumah kawan beberapa hari, ibu melarang. Saya bukan nak buat
kerja tidak baik apabila, cuma ingin berkawan.

Ibu juga tidak suka cara saya berpakaian dan kawan saya. Pendek kata, apa yang saya buat tidak
kena di mata ibu.

Saya benar-benar tidak faham sikap ibu. Apa yang saya tahu, ibu hanya meminta saya belajar
dan belajar. Adakala saya bosan sikap ibu yang terlalu mendesak.

Jawapan

DR memahami perasaan adik yang masih remaja. Konflik antara remaja dengan ibu bapa wujud
apabila dua generasi memandang kehidupan daripada sudut berbeza. Perkara yang penting bagi
remaja tidak lagi dianggap penting ibu bapa.

Contohnya, adik merasakan tidur di rumah kawan adik satu perkara penting tetapi ibu adik
menganggap sebaliknya.

Apabila berlaku konflik, wujud ketegangan emosi. Ibu menyalurkan ketegangan emosi itu
dengan mengawal ketat adik walaupun bukan niatnya mahu mengongkong adik.

Ahli psikologi mendapati peringkat awal remaja adalah waktu konflik antara remaja dengan ibu
bapa mulai tegang.

Banyak faktor menyebabkan perkara ini, antaranya ibu bapa kurang memahami perkembangan
anak khususnya pemi kiran dan kematangan golongan remaja.

Ibu bapa juga ada yang menganggap mereka berpengalaman berbanding anak remaja. Mereka
juga sukar menerima buah fikiran anak remaja.

Dr faham mengapa ibu asyik menyuruh adik belajar. Ramai ibu bapa mengharapkan anak
mereka berjaya dalam pe lajaran.

Justeru, bagi memastikan kejayaan anak, mereka menge nakan peraturan tertentu bagi mengelak
pengaruh per sekitaran mengganggu ke arah matlamat itu.

Remaja peringkat ini merasakan mereka perlu bebas da ripada kawalan ibu bapa. Remaja
cenderung berpisah da ripada struktur keluarga apabila mereka meningkat usia. Kini, adik mulai
menjadi individu bersifat kritikal dan melihat ibu adik tidak sebaik dulu.
Konflik antara adik dan ibu boleh dikurangkan dengan berbincang dan memenuhi kehendak
masing-masing. Adik juga perlu memahami ibu adik, begitulah sebaliknya.

Luangkan lebih masa bersama ibu. Masa bersama ini boleh adik gunakan meluahkan perasaan
dan perasaan tidak puas hati. Perbincangan boleh dilakukan dengan lebih terbuka dan dalam
suasana penuh kemesraan dan harmonis.

Adik dan ibu perlu hormat menghormati kerana itu akan menyatukan keluarga adik.

Kaunseling Remaja: ‘Budak suruhan’ rakan baik

Soalan

SAYA mempunyai seorang rakan baik. Dia selalu belanja saya makan. Bagaimanapun, saya
tidak suka dengan sikapnya yang mudah mengalah selain mengambil kesempatan ke atas diri
saya.

Saya selalu disuruh membuat kerja sekolahnya. Saya tidak membantah walaupun tidak suka.
Kesannya, saya marahkan diri sendiri kerana membenarkan menjadi ”budak suruhan”. Saya
tidak mahu terus mengalah dan bersifat pasif.

Jawapan

BENAR, jika adik terus membenarkan kawan baik adik mengambil kesempatan, lama kelamaan
dia tidak akan menghormati adik lagi. Kesan jangka panjang, adik mungkin sukar menjadi ibu
bapa, majikan atau pemimpin yang baik.

Ada beberapa cara adik boleh mengubah sikap adik itu, antaranya latihan asertif.

Latihan asertif teknik yang boleh mengajar pelanggan menambahkan keyakinan diri apabila
berhadapan dengan orang yang dianggap ancaman padanya.

Mulakan tingkah laku yang adik inginkan iaitu tidak mengalah dan enggan bersifat pasif.

Adik boleh laksanakan latihan asertif melalui role-play atau lakonan peranan.

Adik boleh melakonkan keadaan adik bertindak seperti watak yang adik inginkan. Adik boleh
mengulangi latihan role-play beberapa kali.

Adik juga boleh melaksanakan tingkah laku asertif yang diingini iaitu tidak bersifat mengalah.

Dengan cara di atas, adik bukan saja dapat membentuk tingkah laku yang adik inginkan tetapi
mengelak daripada menjadi budak suruhan.
Kaunseling Remaja: Gadis cantik mencintai suami orang

Soalan

SAYA bertemu kekasih melalui Internet secara tidak sengaja. Sikapnya yang selalu mengambil
berat menyebabkan saya memilih dia menjadi teman istimewa saya.

Secara jujur, ramai lelaki ingin menjadikan saya teman istimewa kerana saya dikategorikan gadis
yang cantik. Bukanlah saya nak memuji diri sendiri cuma, ramai yang berkata saya cantik.

Walaupun ramai lelaki meminati saya, kekasih saya satu-satunya lelaki yang memikat hati saya.

Kekasih saya tua lebih 5 tahun daripada saya. Saya berusia 23 tahun. Saat-saat indah bercinta
saya diganggu oleh pengakuan dirinya yang mengatakan dia seorang suami dan bapa kepada dua
anak. Ini menyebabkan saya amat sedih.

Masalahnya, saya amat sukar melupakannya walaupun tahu kekasih saya itu suami orang.
Apatah lagi dia mengatakan keinginannya memperisterikan saya. Bolehlah saya katakan, dia
telah melamar saya beberapa kali.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menganggu kebahagiaan rumah tangga wanita lain. Ibu saya
adalah isteri pertama bapa saya.

Bapa mempunyai seorang isteri lain dan bapa lebih menyayangi isteri keduanya itu daripada ibu
saya. Saya rasakan ini amat tidak adil.

Walaupun ibu cuba menyembunyikan perasaannya, saya tahu peritnya perasaan ibu. Ini kerana
saya selalu juga melihat ibu menangis bersendirian.

Pengalaman pahit ibu itu membuatkan saya bertekad untuk tidak berkawan apatah lagi
mengambil suami orang.

Malangnya Dr, saya terperangkap dengan keadaan yang saya tidak ingini ini. Saya memohon Dr
membantu saya.

Mahani
Kodiang, Kedah

Jawapan

JATUH cinta dan mencintai adalah fitrah dalam kehidupan setiap insan. Begitu juga fitrah untuk
hidup secara berpasangan. Apatah lagi apabila menemui orang yang dirasakan dapat
membahagiakan diri.

Cinta yang berputik dari ruang siber juga menjadi semakin lumrah kerana proses kesejagatan
teknologi maklumat berlaku. Kini amat mudah bagi kita untuk mengenali insan lain melalui alam
siber seperti Internet dan blog.

Bagi diri adik, cinta yang berputik dari dunia siber kini menjadi cinta yang menuntut adik untuk
membuat keputusan penting dalam hidup adik. Ia mewujudkan konflik yang ingin adik leraikan.
Dr amat memahami konflik adik. Tetapi bak kata orang “berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul”. Adik kini terperangkap di antara perasaan sayangkan kekasih tetapi pada waktu
yang sama tidak mahu menganggu kebahagiaan wanita lain. Pengalaman ibu adik bermadu
menyebabkan adik merasa lebih tertekan dengan masalah adik ini.

Niat suci kekasih adik untuk menjadikan adik isteri keduanya menunjukkan kekasih adik itu
memang sayangkan adik. Jelasnya, kekasih adik itu tidak mempermainkan-mainkan perasaan
dan diri adik.

Adik, Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak
manusia dalam kehidupan berpasangan.

Berasaskan kepada keadaan inilah, Islam membenarkan poligami bagi mengelak manusia
melakukan perkara dilarang seperti berzina.

Namun, poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab.
Ukuran tanggungjawab digariskan dengan terang melalui amalan keadilan.

Adil menyentuh soal seperti giliran, pemberian nafkah zahir dan batin, makan, minum, pakaian,
jaminan, keselamatan dan tempat tinggal antara lainnya.

Masalah yang timbul pada perkahwinan ibu bapa adik ialah kegagalan bapa adik untuk
berpoligami dengan penuh tanggungjawab.

Berbalik kepada masalah diri adik, adik perlu ikhlas untuk mendengar suara hati dan kemampuan
diri adik sendiri. Adakah suara hati adik betul-betul bersedia untuk bermadu?

Benarkan adik sudah benar-benar mampu untuk mengharungi rumah tangga dengan berkongsi
suami dari aspek emosi, rohani, fizikal dan minda untuk berkongsi suami?

Jawapannya di tangan adik. Adiklah yang akan membuat keputusan akhirnya.

Isu poligami boleh menjadi isu yang sangat sensitif kepada kaum wanita khususnya isteri
pertama yang merasakan suami adalah hak mutlak mereka.

Bolehkah adik menghormati isteri pertama suami adik nanti? Bolehkah adik berkompromi,
berbaik sangka, berterus terang dan jujur terhadap diri sendiri atau kepada suami dan madu adik?
Jika adik belum bersedia, adik mungkin mengalami apa yang ibu adik alami.

Jika perkahwinan antara kekasih adik dengan adik berlaku, kekasih adik perlu memainkan
peranan yang amat penting dalam menentukan kebahagiaan perkahwinan.

Suami penting dalam mencorakkan kehidupan dua atau tiga rumah tangga yang dibina. Isteri-
isteri yang berkongsi suami pula harus bersedia menerima perkongsian itu dengan berkompromi.

Jika adik mengambil keputusan tidak menerima lamaran kekasih adik itu, adik perlu belajar
secara perlahan-lahan untuk melupainya.

Ia memang sukar tetapi lambat laun adik akan belajar untuk melupai dia. Ini adalah untuk
kebaikan diri adik, kekasih adik dan keluarganya.
Masa akan banyak membantu adik nanti untuk perlahan-lahan belajar melupai kekasih adik.

Lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan adik belajar melupai kekasih adik itu. Dalam
kehidupan ni adik, banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan.

Selain itu, berdoalah kepada Allah SWT supaya adik dapat menemui kebahagiaan dalam hidup.
Doa memberi kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya
dan memberikan keberanian kepada orang yang ketakutan.

Apapun sahaja keputusan yang adik ambil, Dr doakan kebahagiaan diri adik.

Mutiara Kata: "Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya
racun. Tetapi ada kalanya lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus.

Kaunseling Remaja: Pelajar pendiam tiada keyakinan diri

Soalan

SAYA seorang pelajar yang pendiam dan pemalu selain kurang yakin dengan diri sendiri.

Rasa rendah diri ini membuat saya susah hendak menegur orang terutama mereka yang tidak
dikenali. Saya juga sensitif apabila mendapat tahu orang bercerita mengenai saya. Tetapi apabila
saya memulakan perbualan, saya boleh bercakap dengan baik.

Amin
Bangi, Selangor

Jawapan

MASALAH adik dialami ramai remaja lain. Adik mempunyai masalah rendah keyakinan diri
berkaitan dengan nilai diri adik. Antara punca rendah keyakinan diri ialah apabila seseorang itu
berasa dirinya kurang upaya berbanding orang lain.

Adik mempunyai masalah sukar memulakan perbualan dengan orang lain. Dr akui bukannya
mudah untuk mendekati orang yang belum kita kenali apatah lagi jika kita kurang keyakinan diri.

Dr cadangkan adik membuat latihan dan belajar bertegur sapa dengan beberapa orang. Bermula
dengan jumlah yang kecil, seorang atau dua, kemudian naikkan jumlah orang yang perlu ditegur.
Beri pujian kepada diri adik setiap kali adik melakukannya.

Sekiranya adik betul-betul takut, cuba adik bertanya kepada diri adik sendiri soalan ‘apakah
perkara yang paling buruk yang akan berlaku jika teguran adik itu tidak disahut’.

Mungkin paling buruk ialah orang itu akan memalingkan mukanya, melarikan diri ataupun
marahkan adik. Tentunya adik boleh menerima keadaan itu.

Bagaimanapun, banyak perkara baik yang boleh berlaku apabila adik cuba memulakan perbualan
dengan orang lain. Apatah lagi, masyarakat kita terkenal dengan amalan budi bahasanya yang
tinggi.

Adik boleh mulakan perbualan adik dengan tajuk yang mudah atau dengan sebuah senyuman.
Cara ini mungkin membantu untuk meningkatkan keyakinan dan membina kemahiran bersosial
adik dengan orang yang adik tidak kenal.

Dalam membina keyakinan diri, adik perlu percaya yang adik seorang pengubah dalam hidup
adik. Orang yang pertama kita harus ubah ialah diri kita sendiri.

Perubahan besar tidak akan berlaku dalam sehari, tetapi ia satu gegaran kecil yang
menggerakkan diri kita. Dan ia akhirnya berlaku.

Kita hanya perlu bersabar dan bersungguh-sungguh mahu menjalani hidup dengan cara yang kita
fikir terbaik untuk kita, tanpa mengendahkan kata-kata yang boleh memperkecil-kecilkan diri
kita.

Selamat berjaya adik. Dr sentiasa doakan adik akan menjadi orang yang yakin dengan diri
sendiri.

Anda mungkin juga menyukai