Anda di halaman 1dari 2

KOLUM BUKA MINDA, MINGGUAN MALAYSIA:

Tip Elak Semangat Luntur


Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Fanpage: www.facebook.com/drasmadi
E-Mel: drasmadi@maptraining.com.my

Ada hari kita begitu bersemangat untuk belajar, bekerja atau berniaga. Ada harinya pula diri rasa
terlalu malas hingga semua serba tidak kena dan tidak menjadi. Semangat itu perlu untuk kita
lakukan sesuatu. Malah semangat itu boleh menjadikan kerja yang sukar menjadi mudah, yang
nampaknya mustahil menjadi kenyataan. Dengan azam dan semangat, Malaysia berjaya meraih 145
pingat emas dalam Sukan SEA yang diadakan baru-baru ini. Ia satu pencapaian yang luarbiasa dan
melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 111 pingat emas. Tanpa semangat ‘Bangkit Bersama’ pastinya
impian sukar menjadi kenyataan. Slogan ini bukan sahaja untuk sukan, tetapi ia boleh digunapakai
dalam pelbagai aspek yang lain sama ada ekonomi, pendidikan, politik, sosial dan sebagainya.

Persoalannya ialah, kenapa ada waktunya semangat menjadi luntur? Apa yang boleh dilakukan
untuk meniup kembali semangat ketika luntur. Alangkah bagusnya jika diri kita kekal bersemangat
walau dalam apa juga keadaan dan cabaran. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan
agar semangat sentiasa kekal membara.

1) Mulakan hari dengan syukur. Ada dua jenis manusia yang bangun pagi. Manusia pertama
adalah mereka yang mengeluh dengan kata-kata negatif kerana terpaksa bangun untuk ke
sekolah, ke tempat kerja atau berniaga. Mereka fikir alangkah baiknya jika mereka boleh sahaja
terus menyambung tidurnya. Manusia kedua adalah mereka yang bingkas bangun dengan pantas
lalu bersyukur pada Allah atas nikmat yang diberi. Mereka ini berpagi-pagi mencari rezeki lalu
Allah luaskan rezekinya dan memberkatinya. Kita perlu menghantar mesej positif ke otak di
awal pagi dan bergegas bersiap-siap seolah-olah ada perkara penting yang perlu dilakukan pada
hari itu.

2) Sentiasa ingat matlamat dan meletakkan sasaran untuk dicapai. Memulakan tugasan tanpa
meletakkan sasaran menyukarkan kita mengukur kemajuan diri sendiri. Sebab itulah jabatan dan
organisasi menetapkan KPI dalam bekerja. Sebab KPI inilah yang digunakan untuk mengukur
prestasi kerja seseorang. Usah biarkan orang lain yang menentukan apa yang patut kita lakukan.
Sebaliknya, tetapkanlah apa yang mahu dilakukan itu sendiri tetapi perlu tentukan dahulu apa
matlamat yang mahu dicapai. Selepas itu perlu ada kesedaran bahawa hanya kita yang mampu
merealisasikan setiap impian dan matlamat tersebut.

3) Usah hilang fokus. Kita ada dua puluh empat jam sahaja sehari dan semalam. Kita tidak
mampu untuk melakukan semua perkara dan terlibat dengan semua aktiviti. Sebab itulah perlu
selektif dalam menentukan apa yang mahu dilakukan agar tidak hilang fokus. Ramai orang
membiarkan masanya dicuri tanpa sedar dengan melakukan pekerjaan yang tidak penting dan
akhirnya tersasar daripada agenda utama. Sebab itulah penting melakukan muhasabah diri setiap
malam. Sebelum tidur, renungkan semula bagaimana masa kita dihabiskan sepanjang hari itu.
Adakah ia mendekatkan kita dengan matlamat atau sebaliknya?

4) Usah hiraukan kata-kata negatif orang lain. Satu perkara yang kita perlu sedar ialah apabila
orang mula sibuk membicarakan dan mempersoalkan urusan kita, itu maknanya kita berada di
tempat yang lebih baik daripada mereka. Mereka ini tidak akan berhenti selagi kita tidak jatuh
dan gagal. Usah hiraukan mereka yang dengki dan irihati. Apabila kita tahu yang kita sudah
berada di landasan yang betul, teruskan sahaja kerja kita dan biarkan mereka bising. Itulah saya
yang mereka tahu lakukan iaitu bising. Apabila seseorang mahu sakitkan hati kita dan kita pula
tidak mempedulikannya, akhirnya dirinya sendiri yang sakit hati. Sedangkan kita tidak buat apa-
apa pun pada dia. Terus sahaja melangkah dan tawakal pada Allah. Mereka yang berusaha pasti
berhasil.

5) Bina pasukan yang mempunyai fikrah dan misi yang sama. Salah satu rahsia untuk berjaya
ialah pastikan kita dikelilingi oleh mereka yang satu cara fikir dan mempunyai misi yang sama
seperti kita. Apabila fikrah kita sama, perancangan dan perbincangan menjadi mudah. Segala
yang diatur senang dilaksanakan dan apa yang disuruh senang dibuat. Kita bukan mahu mereka
itu jadi pak angguk, tetapi kita mahu mereka kurang membantah dan melatah. Fikrah yang sama
bukan bermakna cara dan pendekatan juga sama. Fikrah yang sama bermakna mempunyai
tujuan, cara hidup dan pegangan yang sama. Fikrah yang sama tetapi tahap ilmu dan kemahiran
mungkin berbeza-beza. Mudah untuk saling melengkapi. Apabila fikrah itu sama, maka
wujudlah suasana saling mendorong, bertolak ansur dan memahami. Kerja menjadi lebih mudah.

6) Buatkan satu jurnal kejayaan. Setiap kejayaan direkodkan dalam satu jurnal. Ketika semangat
luntur maka bukalah jurnal ini dan bacalah kisah-kisah kejayaan dan pencapaian yang telah
diperolehi sebelum ini. Ia bukti bahawa kita mempunyai nilai, kebolehan dan kemampuan untuk
mencapai sesuatu. Ada ketikanya semangat luntur disebabkan kegagalan kita mencapai sesuatu
yang telah ditetapkan. Semak semula apa yang telah dilakukan dan perbaiki setiap kekurangan.
Ada ketikanya penyebab kepada sesuatu kegagalan itu kecil sahaja.

7) Berehatlah bukannya berhenti terus. Ada ketikanya semangat luntur disebabkan kepenatan
yang melampau kerana terlalu fokus pada kerja. Jika begitu berehatlah seketika. Itulah gunanya
cuti yang diperuntukan, supaya kita dapat berehat, rehatkan minda dan badan. Pulang dari
bercuti, mulakan semula tugasan atau kerja dengan penuh azam dan semangat. Malah kerja
sendiri pun perlukan cuti. Cari masa yang sesuai untuk bercuti sehari dua. Lakukan apa yang
kita suka lakukan tanpa diganggu oleh orang lain.

8) Carilah orang berjaya yang boleh menyuntik semangat. Kalau semangat luntur, carilah
mereka yang telah berjaya untuk duduk minum kopi dan berbincang. orang berjaya biasanya
akan memberikan kita kata-kata semangat dan cerita-cerita yang penuh inspirasi. Dengan hanya
seketika bersama mereka kita sudah dapat rasakan suatu perubahan berlaku padi diri.

9) Lakukan kerja biasa-biasa dan mudah. Ketika semangat luntur maka tinggalkan seketika
tugas ditangan. Penuhi masa dengan melakukan kerja-kerja yang mudah seperti mengemas meja,
almari, menyusun fail, menyusun semula perabot dan sebagainya. Percayalah, selepas
melakukan itu semua, semangat kembali semula.

Anda mungkin juga menyukai