Anda di halaman 1dari 1

BERITA»Nasional

Selasa, 6 March 2018 | 4:44pm

MUET diiktiraf Cambridge English UK


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) akan diperluaskan ke negara luar selepas ia
menerima sijil pengiktirafan antarabangsa daripada Cambridge English, United Kingdom.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pengiktirafan itu membolehkan pelaksanaan penjajaran
MUET dengan Common European Framework Reference (CEFR).

"Ujian ini adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan
sebelum ini.

"Kini, dengan penjajaran kepada CEFR, MUET akan menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi satu produk
yang menjadi kebanggaan negara.

"Insya-Allah, saya difahamkan ada beberapa negara sudah menunjukkan minat untuk mengguna pakai MUET bagi
pelajar mereka, antaranya Bangladesh, India dan Sri Lanka," katanya pada sidang media selepas Majlis
Penyampaian Anugerah Sekolah Terbaik dan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 dan
MUET di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mahdzir turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan berkenaan oleh Ketua Penyelidikan dan
Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr Hanan Khalifa kepada Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia
(MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada permintaan negara tertentu, kementerian menerusi MPM akan
membuka sebuah pusat sehenti di negara berkenaan bagi mengendalikan urusan pendaftaran serta pelaksanaan
ujian.

"Kita akan tempatkan pegawai MPM di pusat ini dan sebarang urusan membabitkan ujian ini akan dikendalikan di
sana, jadi pelajar yang terbabit tidak perlu datang ke Malaysia," katanya.

Berhubung usaha memperkasa pendidikan Tingkatan Enam, Mahdzir berkata, kementerian sedang
mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan sekolah kurang murid sebagai bangunan khusus untuk
menempatkan pelajar Tingkatan Enam.

"Kaedah penyuraian murid mungkin digunakan bagi menempatkan murid-murid terbabit di sekolah yang berdekatan,
sekali gus memberi ruang bangunan sekolah itu dijadikan Pusat Tingkatan Enam.

"Langkah ini akan memberikan pelajar STPM lebih motivasi, seolah-olah berada di kolej atau matrikulasi, seiring
dengan kepentingan sijil itu sebagai landasan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sehingga kini ada 14 sekolah yang dijadikan Pusat Tingkatan Enam.

Dalam pada itu, Mahdzir berpuas hati dengan keputusan STPM 2017 yang disifatkannya menunjukkan pencapaian
memberangsangkan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional meningkat kepada 2.76 berbanding
2.71 pada 2016.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/396354/muet-diiktiraf-cambridge-english-uk

Anda mungkin juga menyukai