Anda di halaman 1dari 2

KOLUM BUKA MINDA, MINGGUAN MALAYSIA:

Pascanilai Tahun 2017


Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Fanpage: www.facebook.com/drasmadi
E-Mel: drasmadi@maptraining.com.my

Cepat betul masa berlalu. Pejam celik Tahun 2017 sudah pun melabuhkan tirainya dan Tahun 2018
mula membuka lembarannya. Seperti biasa, apabila masuk sahaja tahun baru, masing-masing
sudah sibuk bertanya apakah azam tahun baru kali ini? Persoalannya perlukan membuat azam baru
setiap tahun? Bagaimana pula dengan azam Tahun 2017 yang lalu? Adakah semuanya telah berjaya
dicapai dan direlisasikan atau ia sekadar tinggal azam sahaja?

Orang berjaya bukan sahaja meletakkan matlamat dan sasaran untuk dicapai tetapi mereka juga
sentiasa melakukan pascanilai atau ‘postmortem’ untuk melihat apa yang telah dilakukannya
sebelum ini dan sejauh mana keberkesanan serta pencapaiannya.

Pascanilai memerlukan kita duduk dan meluangkan masa emas seketika. Ia perlu sebelum kita
meletakkan azam baru dan membuat perancangan baru. Tanpa pascanilai kita berkemungkinan
akan mengulangi kesilapan yang sama berulangkali dan ini merugikan masa, wang dan tenaga.
Pascanilai juga mengurangkan sikap meletakkan kesalahan pada orang lain atas kegagalan kita.
Sebaliknya ia menyuntik semangat untuk bangkit setelah kita tahu apakah punca sebenar yang
membawa kepada kegagalan itu.

Dengan melakukan pascanilai kita mampu:

1) Mengenali kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Ada sebab kenapa azam tahun
2017 tidak tercapai. Mungkin sebabnya berpunca daripada diri sendiri seperti kurang fokus,
tidak mengurus masa dengan baik, kurang disiplin, tidak bersungguh-sungguh dan sebagainya.
Jadi pascanilai perlu dilakukan bagi mencari punca matlamat tidak tercapai dan senaraikan
sama ada ia sesuatu yang dalam kawalan atau di luar kawalan diri. Jika ia berpunca daripada
diri sendiri maka eloklah ditahun baru 2018 ini letakkan azam untuk mengatasi kelemahan dan
kekurangan tersebut. Rasulullah S.A.W berpesan yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang
paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal
adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya
adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

2) Menjadikannya sebagai satu pengajaran atau sempadan sebagai panduan hidup. Ada
kalanya sesuatu halangan itu tidak mampu dihalang. Walau bagaimana baik dan teliti pun
perancangan yang telah dibuat, namun matlamat tetap tidak dicapai malah mungkin tersasar.
Ada waktunya halangan itu tidak dijangka sama sekali dan kita tidak membuat persediaan untuk
berhadapan dengannya. Jika begitu, jadikanlah pengalaman itu sebagai satu pengajaran yang
penting. Orang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesilapan atau
berhadapan dengan kegagalan. Sebaliknya orang berjaya adalah mereka yang mengutip
pengalaman demi pengalaman dan dijadikannya sebagai guru dan panduan yang paling
berharga dalam hidup. Pengalaman ini sukar untuk dikongsikan. Meski pun kita mampu
menceritakan namun ia tetap tidak sama dengan kita yang telah melaluinya. Sebab itulah
sesuatu kejayaan itu dicapai kerana seseorang itu telah mebuat satu keputusan atau membuat
pilihan yang bijaksana. Kebijaksanaan itu pula datangnya melalui pengalaman sama ada baik
atau buruk.

3) Memastikan kita berada di atas landasan yang betul. Pascanilai dilakukan bagi memastikan
bahawa kita berada dilandasan yang betul mengikut perancangan jangka panjang yang telah
dibuat. Tanpa melakukan pascanilai bagaimana mungkin kita tahu di mana kita berada
sekarang? Ada orang membuat azam baru setiap tahun yang sekadar berjangka pendek dan
tidak melihat pencapaian jangka panjang yang mahu direalisasikannya. Kejayaan besar yang
mahu dicapai suatu hari nanti adalah merupakan himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang
diperolehi dari setahun ke setahun. Hidup ini umpama satu ‘jizsaw puzzle’ iaitu permainan
susun suai gambar. Pertama, bagi memudahkan kita menyusun gambar tersebut, kita hendaklah
nampak dan tahu keseluruhan gambar itu dahulu. Jika kita tidak tahu apakah gambar yang
sedang disusun maka kerja menjadi agak sukar. Kedua, kita menyusun gambar itu sebahagian
demi sebahagian sehingga lengkap keseluruhannya. Hidup juga begitu. Kita kena nampak
apakah kesudahan hidup yang kita mahukan dan terus melangkah bagi melengkapi satu demi
satu babak kehidupan itu.

4) Mengukur prestasi sebelum ini dan mencari cara bagi meningkatkannya lagi. Apabila kita
melakukan pascanilai maka tahulah kita sejauh mana matlamat yang telah ditetapkan pada awal
tahun itu tercapai. Daripada pascanilai inilah kita boleh menjelaskan sama ada prestasi pada
tahun ini cemerlang atau sebaiknya. Itulah tujuannya diletakkan matlamat atau sasaran setiap
kali masuknya tahun baru. Ia mampu dijadikan kayu ukur bagi melihat keberkesanan kita
dalam menggerakkan perancangan yang telah diatur. Hidup tidak boleh main agak-agak sahaja.
Hidup perlu ada bukti dan fakta bahawa sememangnya ada sesuatu yang telah dicapai. Barulah
dikatakan adanya kemajuan. Sebab itulah jadikan tabiat merekod setiap tindakan yang telah
diambil dan pencapaian yang telah diperolehi. Ia akan memudahkan proses pascanilai
dilakukan.

5) Sebagai panduan dalam merangka azam dan perancangan tahun baru. Dengan melakukan
pascanilai maka dapatkan dibuat perancangan tahun baru yang lebih rapi dengan mengambil
kita kekangan yang ada, keupayaan diri dan kekuatan sumber. Harapnya perancangan tahun
baru kelak akan lebih realistik. Malah, segala bentuk bantuan yang diperlukan juga mudah
dikenalpasti setelah dilakukan pascanilai ini. Jika kita dalam bidang perniagaan, kita akan
ketahui sama ada perniagaan yang dilakukan itu memang mempunyai masa depan atau
sebaliknya. Malah kita juga dapat menjangkakan keuntungan yang lebih realistik pada Tahun
2018 berdasarkan perolehan pada Tahun 2017.

Kesimpulannya, usah merungut jika apa yang telah diazamkan pada Tahun 2017 masih ada yang
belum berjaya direalisasikan. Sebaliknya lakukan pascanilai untuk melihat dari semua sudut bagi
mendapatkan gambaran yang tepat tentang apa sebenarnya berlaku lalu mula meletakkan azam yang
lebih relaistik lagi untuk Tahun 2018 ini. Insya-Allah apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan.
Selamat Menyambut Tahun Baru 2018.

Anda mungkin juga menyukai