Anda di halaman 1dari 9

Tugasan 1 : Penulisan Akademik

1.a)

Guru ataupun dikenali juga sebagai pengajar, pendidik, Mudarris dan pengasuh
merupakan tenaga pengajar dalam istitusi pendidikan seperti sekolah atau kelas bimbingan.
Dalam zaman moden ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang yang
pakar dalam sesuatu bidang misalnya management guru merujuk kepada seorang pakar dan
handal dalam bidang pengurusan. Di peringkat universiti, guru diberi gelaran tutor atau
pensyarah. Lazimnya guru mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuh pula dengan
pengetahuan dalam bidang pedagogi atau prinsip pengajaran.

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu
lagi era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya bertumpu sebagai penyampai ilmu.
Berbanding sistem pendidikan kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara
pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan
situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan
pendidik, guru harus lebih inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa
memikirkan pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak
pelajar sebagai “knowledge worker” dalam era rovolusi maklumat abad ke-21.

Seseorang guru yang profesional harus mempunyai ciri-ciri tertentu dimana ia


menggambarkan beliau sebagai seorang layak digelar seperti itu. Antara ciri-ciri yang
dimaksudkan adalah seperti, bersikap profesional, mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya
dengan ilmu, bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja dan sebagainya. Guru
profesional juga harus mempunyai sifat bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti
hasil pengajaran, prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa, berkebolehan menilai
kekuatan dan kelemahan murid-murid dan menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi
mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.

Segala perbuatan, gerak laku serta tingkah laku seorang guru akan diperhati oleh murid.
Oleh itu, seorang guru perlu mempunyai sifat peribadi yang murni agar dapat melahirkan
generasi yang berakhlak. Hanya guru yang bertatasusila akan menjalankan tugas sebagai
pendidik dengan sempurna. Ciri-ciri Guru Profesional yang harus diterapkan dalam diri
seseorang guru boleh dibahagikan kepada tiga aspek iaitu sifat peribadi, tingkah laku dan
contoh teladan serta sifat kualiti profesional. Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai
sifat peribadi yang baik. Antara sifat peribadi yang baik ialah baik hati, jenaka, sabar,
bertanggungjawab, yakin dan bertanggungjawab.
Sikap seorang guru yang baik hati dan bertimbang rasa terhadap muridnya akan
dihargai dan disukai oleh muridnya. Murid-murid akan berasa senang hati jika seseorang guru
tersebut dapat memahami mereka. Sifat jenaka seseorang guru akan membawa keriangan
dalam kelas dan akan lebih suka didekati oleh muridnya. Seseorang guru yang mempunyai sifat
ini akan selalu membawa unsur kelucuan dan akan membuatkan sesuatu pembelajaran
menjadi lebih menarik dan tidak bosan. Guru ini tidak mudah marah ataupun geram dalam apa
jua keadaan pun. Seseorang guru yang mempunyai kesabaran diri yang tinggi dapat
mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Sifat bertanggungjawab dalam diri
seorang guru akan mendorongkan guru untuk menyiapkan tugas yang diamanahkan.
Seseorang guru yang bertanggungjawab akan memastikan tugas yang diamanah dilaksanakan
dengan sempurna.

Seorang guru yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat membantu seorang
guru untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Kebanyakan masalah disiplin yang timbul di
dalam bilik darjah adalah disebabkan sifat kurang yakin guru sendiri. Guru yang mempunyai
sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu keputusan. Guru merupakan
pemimpin kepada murid. Oleh itu, seseorang guru haruslah mewarisi sifat kepimpinan supaya
murid-muridnya mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru. Dengan sifat kepimpinan ini,
segala pembelajaran akan berjalan dengan berkesan dan efektif. Tingkah laku guru adalah
contoh teladan kepada murid-murid. Oleh itu, guru haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji
yang boleh menjadi teladan kepada murid-murid untuk dicontohi. Antara tingkah laku guru yang
boleh menjadi contoh teladan muridnya ialah menepati masa, berpakaian kemas, bersopan
santun dan mempunyai sikap positif. Secara keseluruhan boleh dikatakan bahawa guru yang
profesional merupakan tunjang kepada pendidikan negara yang bakal menerajui abad ke-21
dengan penuh yakin dan komited.
Analisis isu-isu etika

Paparan mengenai isu salah laku dan etika guru sering dilaporkan dalam surat khabar
dan berita. Antara isu etika guru yang dilaporkan adalah seperti isu kesantunan guru, isu
kepedulian guru, isu penampilan guru, isu guru berniaga di sekolah, pengurusan kewangan,
pengurusan masa dan kerjaya sambilan guru. Kesemua isu ini boleh menjejaskan kelancaran
pentadbiran organisasi di sekolah. Ibu bapa amat bergantung harap sepenuhnya kepada para
guru supaya dapat membentuk dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Namun, berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman yang
dikenakan guru terhadap murid secara melampau sering kali dilaporkan. Hal ini memberikan
gambaran bahawa penerapan nilai kesantunan tingkah laku dalam diri segelintir guru semakin
terhakis. Dasar Kementerian Pelajaran menjelaskan tiada seorang pun warga pendidik yang
boleh melakukan sesuka hati mereka di sekolah. Pihak kementerian juga sudah menyediakan
garis panduan berhubung tindakan disiplin.

Memberi hukuman terhadap murid yang melakukan kesalahan tidak boleh


menyalahi etika keguruan telah ditetapkan oleh kementerian pendidikan. Pendedahan-
pendedahan salah laku guru oleh media massa sedikit sebanyak boleh mengakibatkan
kewibawaan profesion keguruan tergugat pada mata umum. Sebuah artikel daripada sumber
akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Julai 2014 bertajuk “Cikgu Naik Angin Baling Kasut” yang
dikarang oleh Nurulatiq Ahmad Bandi membuktikan bahawa seorang guru telah melakukan
perbuatan yang menyalahi etika perguruan. Berdasarkan artikel tersebut, seorang guru lelaki di
sebuah sekolah kebangsaan di Port Dickson telah didakwa kerana membaling kasut kepada
seorang murid perempuan tahun dua sehingga menyebabkan kecederaan di dahi dan
menerima tiga jahitan. Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada tindakan murid tersebut
yang bermain di belakang kelas bersama dua rakannya ketika guru terbabit sedang mengajar
mata pelajaran Pendidikan Moral.

Berdasarkan isu yang dilaporkan ini, guru tersebut jelas telah melanggar kod etika
keguruan kerana melakukan perbuatan yang mendatangkan kecederaan kepada muridnya.
Merujuk kod etika perguruan di Malaysia, guru perlu menjalankan tanggungjawabnya kepada
pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan negara. Keadaan ini jelas
menunjukkan perbuatan guru tersebut bertentangan dengan akauntabiliti keguruannya terhadap
murid. Jika diamati, kes yang dilaporkan ini termasuk dalam isu kesantunan tingkah laku guru.
Apabila melihat kepada kes yang berlaku ini, boleh dikatakan bahawa guru ini tidak
mempunyai sifat santun kepada anak muridnya. Guru seharusnya menegur perbuatan
muridnya dengan lebih berhemah. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam artikel tersebut,
guru yang berkenaan mengajar subjek Pendidikan Moral. Dimanakah letaknya nilai moral
seseorang guru jika menegur murid dengan menggunakan kekerasan? Kelas pendidikan moral
sepatutnya mengajar murid-murid tentang budi bahasa dan nilai-nilai moral, namun sebaliknya
pula yang berlaku.

Satu lagi isu utama yang sering wujud dalam kalangan guru adalah dari segi
penyalahgunaan waktu mengajar dengan aktiviti yang lain. Di Malaysia, waktu bagi satu
sesi persekolahan yang umum adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 1.20 tengahari, iaitu lebih
kurang enam jam tidak termasuk aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Sepanjang tempoh
ini, murid-murid dan guru terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul isu penyalahgunaan masa dalam
kalangan guru di sekolah mahupun rendah ataupun menengah. Memang benar isu
penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya lebih menjurus kepada hal
ehwal dalaman sekolah, tetapi adalah penting bagi kita untuk membendung isu ini daripada
terus menular. Antara contoh penyalahgunaan masa di sekolah adalah guru tidak menepati
masa memasuki kelas, guru tidak menyampaikan isi pengajaran dengan bersungguh-sungguh,
guru mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian.

Bagi mengatasi masalah-masalah sebegini dan mengembalikan integriti guru dalam


kalangan masyarakat pelbagai langkah dan tindakan harus diambil. Memberi hukuman yang
tidak terbatas dan penyalahgunaan waktu mengajar adalah kesalahan yang mengakibatkan
masyarakat hilang kepercayaan dengan profesion keguruan. Bagi mengatasi masalah ini pihak
kementerian dan juga pihak pentadbir sekolah wajib memainkan peranan mereka dengan lebih
berkesan. Ini adalah bertujuan agar integriti guru tidak terjejas dalam kalangan masyarakat dan
sentiasa ia dipandang tinggi. Pihak kementerian pendidikan perlu melaksanakan undang-
undang yang lebih ketat dan mengambil tindakan disiplin ke atas mereka yang melanggar
undang-undang tersebut. Guru juga perlu menyedari bahawa segala tindakan dan tingkah laku
mereka sentiasa diawasi dan diperhatikan oleh masyarakat. Oleh sebab yang demikian, mereka
perlu bijaksana dan bersikap professional ketika menjalankan tugas dan tidak memberi peluang
kepada emosi untuk menguasai diri mereka.
1.b) Guru pakar merupakan bintang yang meyerlah dalam bidangnya. Guru pakar
menggunakan pengalamannya seperti mana pada peringkat mahir tetapi secara holistic. Hal ini
bermakna beliau boleh memahami dan menangani maklumat yang banyak dan pelbagai serta
masih dapat mempamerkan gaya pengajaran yang lancar. Hal yang sedemikian belum lagi
ditunjukkan oleh guru walaupun di peringkat cekap. Apa jua yang dilakukan oleh seorang guru
pakar sentiasa Berjaya berbanding dengan guru mahir yang kadang-kadang masih melakukan
kesilapan. Guru pakar boleh dianggap sebagai jurucakap atau orang yang berauturiti dalam
profesionnya. Seringkali, idea dan kemahiran yang ada pada guru pakar boleh mempengaruhi
polisi-polisi berkaitan dengan pengendalian pengajaran di bilik darjah.

Guru permulaan ataupun dikenali sebagai guru novis adalah peringkat pertama untuk
mencapai penguasaan dalam bidang yang diceburi iaitu pendidikan. Pada peringkat ini, novis
berusaha mempelajari fakta-fakta yang spesifik secara objektif serta menguasai konsep asa
dan peraturan asas untuk bertindak. Guru novis sedang belajar dan berusaha untuk
membentuk suatu pandangan menyeluruh untuk memahami pengertian ‘menjadi seorang guru’.
Mereka mulai memperoleh beberapa kemahiran asas, menguasai peristilahan-peristilahan yang
berkaitan dengan profesionnya serta menghimpunkan idea-idea awalan tentang tugas-tugas
mengajar.

Guru pakar perlu menjadi sumber rujukan utama kepada guru novis kerana pengalaman
dan kepakarannya yang dimiliki dari segi kurikulum dan juga kokurikulum akan membantu
perkembangan guru permulaan. Guru pakar adalah orang yang mempunyai autoriti dalam
sistem pengurusan di sekolah dan beliau mampu untuk memberi tunjuk ajar kepada guru novis.
Kurikulum merupakan aspek utama dalam pendidikan di sekolah dan segala kepakaran yang
dimiliki oleh guru pakar dapat diajar kepada guru novis agar mereka dapat input yang berguna
pada masa akan datang. Perkara yang sama berlaku dalam semua aktiviti kokurikulum dari segi
penyimpanan data, sistem fail, pengurusan sukan dan sebagainya. Guru pakar adalah sumber
rujukan yang tiada tandingan pada peringkat sekolah dan juga jabatan kepada semua rakan
sejawat yang lain. Kerjasama serta sikap berganding bahu yang wujud antara guru pakar dan
guru novis akan dapat menghasilkan satu hasil yang menakjubkan serta berkualiti.

Secara kesimpulannya, guru pakar adalah orang yang memberikan tunjuk ajar yang
berguna kepada guru novis dalam menceburi bidang pendidikan dengan penuh yakin. Mereka
adalah golongan yang profesional dan mampu untuk mengubah dan mempertingkatkan sistem
pendidikan negara bagi menghasilkan golongan kognitif yang berintelektual tinggi.
Tugasan 2 : Ulasan Kritis

Pada pandangan saya, punca utama menyebabkan guru tersebut melakukan tingkah

laku mencabul ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan

tidak akan tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri. Guru

tersebut yang melakukan perkara demikian telah melanggar kod etika guru yang telah

digariskan. Hal ini menunjukkan bahawa guru tersebut tidak memahami apa yang terkandung

dalam kod etika guru. Etika dan kod etika ini merupakan peraturan dan landasan yang perlu

dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional. Badan profesional tertentu mempunyai kod

etika tertentu, termasuklah profesion perguruan. Setiap profesion akan menetapkan nilai-nilai

asas yang perlu ditaati oleh semua insan yang menjalankan pekerjaan tersebut yang

dinyatakan sebagai Kod Etika. Oleh itu, etika profesional ialah nilai-nilai atau tingkah laku murni

yang harus dihayati oleh individu-individu mengikut profesional masing-masing. Berdasarkan

kod etika profesion perguruan, guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan

tidak boleh dilakukan.

Masalah rumah tangga merupakan punca berlakunya tingkah laku negatif dalam

kalangan guru. Guru yang mengalami masalah keluarga akan mengalami tekanan emosi yang

tidak stabil. Mereka tiada tempat untuk mengadu dan meluahkan perasaan kasih sayang. Hal

ini menyebabkan, guru tersebut mengambil jalan mudah dengan melakukan gangguan seksual

kepada anak muridnya sendiri bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh kemahuan,

kehendak dan kuasa seksualiti.

Tekanan kerja yang dihadapi oleh guru juga menyebabkan guru mengalami stress yang

tinggi. Perubahan yang sentiasa berlaku menyebabkan tugas guru semakin banyak dan

harapan masyarakat terhadap guru. Oleh itu, guru berasa tertekan kerana tidak mampu

menangani tugas dan harapan yang sentiasa berterusan mengalami perubahan. Perasaan

tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas dan tidak dapat menumpukan

perhatian kepada kerja dan gagal berasa puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal ini akan
menghalang seseorang mewujudkan sifat peribadi yang positif dan seterusnya mencari jalan

lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Encik Rodi menganggap gangguan seksual

yang dilakukan ini boleh mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi namun kesan dari perkara

itu lebih teruk dari apa yang dijangkakan. Pengurusan tekanan yang tidak sistematik

menyebabkan Encik Rodi menggunakan murid sebagai alat untuk melepaskan tekanan.

Selain itu, pengaruh media massa juga antara punca yang menyebabkan tingkah laku

negatif yang dilakukan oleh guru tersebut. Perkembangan media massa seperti internet

membolehkan bahan-bahan lucah mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Hal ini,

menyebabkan guru tersebut mengaplikasikan apa yang dilihat dan dipelajari ke atas murid

dengan membuat gangguan seksual. Di samping itu, tiada kesedaran agama juga merupakan

punca berlakunya kes mencabul. Kesedaran agama yang kurang menyebabkan seseorang

guru sanggup melakukan perkara terkutuk itu demi kepuasan sendiri.

Guru yang mempunyai kesedaran agama yang kurang tidak menggunakan ilmu

pengetahuan yang dipelajarinya menyebabkannya tidak dapat membezakan yang mana betul

dan yang mana salah. Guru tersebut juga tidak menjaga pergaulan dengan anak muridnya.

Berdasarkan kepada pengetahuan etika profesionalisme, guru tidak sepatutnya terlalu

memanjakan pelajar sehingga membabitkan emosi dan perasaan pelajar terganggu, terutama

pelajar yang berlainan jantina. Keadaan ini membuatkan ada pelajar yang memendam

perasaan cinta kepada guru mereka dan disebabkan perhubungan mesra ini ada guru lelaki

yang mengambil kesempatan terhadap pelajar perempuan seperti mencabul dan merogol

pelajar. Jelaslah menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan

mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang tidak mengamalkan ajaran Islam dengan

baik. Masalah ini tidak mungkin berlaku sekiranya guru tersebut mempunyai kesedaran agama

yang tinggi.

Pada pendapat saya terdapat beberapa kesan yang akan berlaku jika masalah ini tidak

dibendung dengan baik. Akibat daripada perbuatan tingkah laku negatif guru ini bukan sahaja
akan memberi impak buruk kepada dirinya namun kesannya akan dirasai oleh mangsa

gangguan seksual. Kesan yang akan menimpa guru yang melakukan perbuatan ini ialah

menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin renggang. Murid akan merasa benci

dan takut untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran bersama guru tersebut. Akibat

daripada situasi ini, murid berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain

itu, hubungan guru dan rakan sejawatnya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi

mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan perkara yang tidak senonoh. Guru

tersebut akan mengalami tekanan emosi juga adalah kesan jangka pendek yang akan dihadapi

di mana guru tersebut mungkin mengalami konflik jiwa yang serius akibat dari perbuatannya.

Selain itu, hubungan ibu bapa dan guru menjadi renggang di mana ibu bapa tidak lagi

mempercayai guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna. Masyarakat juga

akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentabir sekolah. Hal ini

akan menjejaskan imej sekolah tersebut di mata masyarakat. Kesan jangka panjang yang

menimpa ibu bapa dan masyarakat ialah mereka menyalahkan guru sehingga guru tersebut

dibenci dan dicaci oleh masyarakat yang lain.

Ramai yang beranggapan bahawa gangguan seksual merupakan masalah kecil dan

remeh. Ianya tidak perlu difikirkan dan tidak perlu diadakan langkah-langkah pencegahan

daripada sekarang. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa “mencegah adalah lebih

baik daripada merawat”. Pencegahan memerlukan suatu tindakan holistik dan menyeluruh

daripada semua pihak. Bagi mengatasi masalah gangguan seksual, pendidikan merupakan

kaedah yang terbaik dengan cara memberi kesedaran kepada guru tentang bahaya gangguan

seksual yang dilakukan oleh mereka terhadap murid-murid. Kerajaan boleh memperkenalkan

pendidikan seks kepada semua masyarakt bagi mendedahkan pelbagai isu dalam menimbulkan

kesedaran mengenai gangguan seksual seperti hak asasi wanita, pencabulan dan sebagainya.

Pendidikan seks bukan sahaja sesuai kepada murid, guru dan masyarakat namun kepada
pesalah gangguan seksual itu sendiri. Pendidikan seks bertujuan untuk memberi maklumat

yang sebenar tentang kesalahan seksual yang dilakukan kepada murid-murid.

Secara ringkasnya, guru perlu mematuhi kod etikanya sendiri demi memartabatkan

profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana telah menyediakan garis panduan

bagaimana guru harus bertingkah laku dalam profesion perguruan. Kod etika perguruan

menyatakan dengan jelas tentang akauntabiliti guru terhadap pemegang amanah dalam bidang

pendidikan. Di samping itu, emosi seseorang guru perlu dikawal kerana jika tidak dikawal

dengan baik, maka diri akan merasa tertekan, kecenderungan untuk melakukan perkara yang

tidak diingini berlaku. Seorang guru tidak harus melanggar etika, melampui batas peraturan

atau undang-undang kerana ianya sesuatu yang perlu dihayati dan dibangunkan secara

dalaman dan bukan semata-mata takutkan tindakan tatatertib apabila melanggarnya.

Profesion perguruan merupakan profesion paling utama dalam proses penyerapan ilmu

pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi, peranan guru hendaklah

memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke tahap

yang lebih tinggi dengan menjalankan tugas berdasarkan kod etika perkhidmatan dan

melaksanakan tugas tersebut dengan penuh integriti. Tugas guru juga adalah satu tugasan

yang mencabar dan setiap daripada cabaran itu haruslah diatasi dengan sebaiknya. Guru

sentiasa menjadi sasaran perhatian segenap kelompok masyarakt kerana peranan dalam

pembentukan masyarkat. Ketidakupayaan guru menunjuk model dan teladan yang baik akan

menjadi batu penghalang ke arah pembentukan pelajar yang baik. Tidak diragukan lagi bahawa

guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri

anak didik mereka. Alat teknologi moden yang moden tidak dapat mengambil peranan guru

sebagai sumber rujukan dan manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan pematangan

sahsiah murid.

Anda mungkin juga menyukai