Anda di halaman 1dari 17

SEMESTER 2 SESI 2015/2016

KPF3012
PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA:
FALSAFAH DAN DASAR

TUGASAN ESEI ILMIAH

TAJUK :

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG) : PEMIKIRAN DAN


AMALAN DALAM PROFESION KEGURUAN

DISEDIAKAN OLEH :

NAMA NO. MATRIK SUB TAJUK


Pembentukan dan Kandungan Falsafah
Pendidikan Guru (FPG).

KUMPULAN KULIAH:

PENSYARAH :
Tarikh Serah :
ISI KANDUNGAN

ABSTRAK 2

1.0 Pengenalan 2

2.0 Sorotan Penulisan: Latar Belakang Pembentukan dan 3


Kandungan Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

3.0 Pernyataan Masalah 3

4.0 Objektif dan Persoalan 4

5.0 Metodologi 5

6.0 Analisis Dapatan dan Perbincangan. 6


6.1 Pembentukan Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia.
6.2 Matlamat pembentukan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia.
6.3 Kerangka konseptual Falsafah Pendidikan Guru Malaysia.
6.4 Kandungan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia.

7.0 Penutup 15

Bibliografi 15

1
Pembentukan dan Kandungan Falsafah Pendidikan Guru (FPG).

ABSTRAK

Esei ilmiah ini bertujuan untuk mengenalpasti pembentukan dan


kandungan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) Malaysia. Kajian
perpustakaan dilakukan menerusi analisis dokumen seperti buku,
artikel jurnal, dokumen rasmi dan laman web rasmi. Semua dokumen
tersebut dianalisis menggunakan kaedah kualitatif dan dibincangkan
dalam bentuk deskriptif dan naratif. Dapatan menunjukkan FPG telah
dibentuk pada tahun 1982 susulan dari syor Laporan Jawatan Kuasa
Kabinet 1979. Matlamatnya adalah untuk melahirkan guru yang
berkualiti dan profesional dalam amalan keguruan. FPG digubal
berdasarkan Model Konseptual Pendidikan Guru melibatkan 3 dimensi
utama iaitu, Ketuhanan, Kendiri dan Kemasyrakatan. Sub-konseptual
pula terdiri daripada intelek, rohani, emosi dan jasmani. Di samping
itu, terdapat pula unsur pengetahuan, nilai dan kemahiran. Kandungan
FPG menggabungkan kriteria kualiti guru seperti berpekerti mulia,
berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi
negara, menyanjung warisan kebudayaan negara, menjalin
perkembangan individu, memelihara suatu masyarakat yang bersatu
padu, memelihara suatu masyarakat yang demokratik, memelihara
suatu masyarakat yang progresif dan memelihara suatu masyarakat
yang berdisiplin.

1.0 Pengenalan
Pepatah ada menyatakan "Bagaimana acuan, begitulah rupa kuihnya" dan "Guru
adalah arkitek bangsa". Dalam konteks pendidikan terdapat dua pihak yang terlibat
iaitu pendidik dan orang yang dididik. Untuk kemenjadian orang yang terdidik adalah
bergantung kepada pengaruh pendidik. Selaku agen perubahan, pendidik perlu
memastikan perlaksanaan peranannya berjalan lancar mengikut matlamat dan aspirasi
negara sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Guru
merupakan tunjang yang menentukan kejayaan pelaksanaan kurikulum kebangsaan
secara tersurat dan tersirat seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK), di samping pembentuk wajah pelapis kepimpinan dan pemacu
pembangunan negara (Awang Had Salleh, 1998). Oleh hal yang demikian, bagi
merealisasikan aspirasi negara ini. Kualiti pendidik atau guru menjadi pemangkin
utama kepada usaha membina modal insan yang berkualiti tinggi.

2
2.0 Latar Belakang Falsafah Pendidikan Guru (FPG)
Pendidikan mengikut pandangan umum ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan
pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia.
Pendidikan ini juga merupakan proses asas dan utama dalam pembinaan seseorang
individu yang seimbang dan boleh menjayakan hasrat serta hala tuju negara. Secara
khususnya pendidikan boleh merupakan aktiviti persekolahan. Hal ini bermakna
pendidikan merupakan aktiviti yang mempunyai objektif, rancangan, organisasi dan
sistem untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia dan menguasai kemahiran tertentu untuk mengupayakan mereka
menyesuaikan diri dalam masyarakat dan era masa depan.
Usaha tersebut tidak akan berjaya sekiranya komponen pendidikan dan latihan
guru tidak diberi tumpuan. Bagi memastikan usaha melahirkan murid dan masyarakat
yang cemerlang, para guru perlu dididik dan dilatih secara berterusan supaya kekal
menjadi seorang guru yang berwibawa dan cemerlang. Kajian-kajian ilmiah telah
menunjukkan ada korelasi yang tinggi antara pencapaian murid dengan peranan yang
disumbangkan oleh guru-guru (Abu Bakar Nordin, 1994: Awang Had Salleh, 1998;
Abdul Rashid Mohamed & Zurida Ismail, 2001; Alimuddin Mohd Dom, 2009).
Kejayaan atau kegagalan usaha untuk melahirkan guru yang cemerlang pula
bergantung kepada rupa bentuk kurikulum latihan perguruan. Sehubungan dengan itu,
Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal
Falsafah Pendidikan Guru (FPG) pada tahun 1982 sebagai satu acuan pendidikan dan
latihan guru di Malaysia. Berdasarkan hasrat FPG, guru yang hendak dihasilkan ialah
guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin
perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin.

3.0 Pernyataan Masalah


Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang dibentuk dan dokumenkan pada tahun 1982
diyakini untuk menjadi panduan dan rujukan yang mapan dalam proses melahirkan
insan yang bergelar guru. Semua institusi pendidikan guru di Malaysia seperti Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Universiti Awam (UA) dan Intitusi Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS) dimestikan melahirkan guru-guru yang dapat memenuhi

3
Standard Guru Malaysia (SGM). Selain dari itu, latihan berterusan dalam bentuk
Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) juga dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia bagi meningkatkan profesionalisme keguruan para guru di Malaysia. Walau
bagaimanapun dari 430,000 orang guru yang sedang berkhidmat di Malaysia terdapat
segelintir daripadanya telah disabitkan dengan pelbagai kesalahan dan dikenakan
tindakan tata tertib. Pada tahun 2007 (Januari hingga 15 Mei), Kementerian Pelajaran
telah menerima 200 aduan berhubung pelbagai salah laku guru di seluruh negara.
Antara kesalahan tersebut ialah tidak hadir bertugas (37 peratus), cabul dan gangguan
seksual (17 peratus), terbabit dalam rasuah dan disiasat Badan Pencegah Rasuah (15
peratus), pelanggaran tatakelakuan tidak jujur, tidak amanah dan ingkar perintah (10.5
peratus), penyalahgunaan dadah (9.5 peratus), kecurian (enam peratus), jenayah
syariah (tujuh peratus) dan keterhutangan serius (satu peratus). Berdasarkan contoh
statistik tersebut, apakah hal ini menunjukkan FPG telah semakin terhakis
penghayatannya?

Sumber: Laporan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Dewan Rakyat.

4.0 Objektif dan Persoalan Esei


4.1 Objektif
Secara umumnya penulisan esei ilmiah ini adalah untuk memahami Falsafah
Pendidikan Guru Malaysia. Manakala secara khususnya adalah untuk:

4
i. mengenalpasti latar belakang sejarah pembentukan Falsafah
Pendidikan Guru Malaysia.

ii. mengenalpasti matlamat pembentukan Falsafah Pendidikan Guru


Malaysia.

iii. mengenalpasti kerangka konseptual Falsafah Pendidikan Guru


Malaysia

iii. menganalisis kandungan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia secara


yang tersurat dan tersurat.

4.2 Persoalan
i. Bagaimanakah sejarah pembentukan Falsafah Pendidikan Guru di
Malaysia?

ii. Apakah matlamat pembentukan Falsafah Pendidikan Guru?

iii. Apakah bentuk kerangka konseptual Falsafah Pendidikan Guru


Malaysia?

iv. Apakah yang menjadi kandungan Falsafah Pendidikan Guru secara


yang tersurat dan tersirat?

5.0 Metodologi
Penyelidik telah memilih untuk mengumpul data dengan menggunakan kaedah
resensi perpustakaan. Penyelidikan dilakukan berdasarkan pencarian di perpustakaan,
pusat sumber dan laman web bagi mendapatkan data serta bahan sekunder. Bahan-
bahan terdiri daripada buku, artikel, jurnal, dokumen rasmi dan sumber internet.
Kaedah ini membantu penyelidik mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber
seterusnya menghasilkan dapatan kajian dan objektif kajian tercapai.
Kajian perpustakaan ialah sebuah penulisan yang bertujuan untuk mengulas isi
ilmu termasuklah penemuan kajian dan juga secara teori dan kaedah sumbangan
mengenai sesuatu topik. Kajian perpustakaan ialah sumber sekunder, dengan itu tidak
melaporkan apa-apa kajian baru mahupun asli. Ia selalunya dikaitkan dengan kajian
akademik. Matlamat utamanya ialah membawa pembaca kepada kajian perpustakaan

5
terbaru pada sesuatu topik dan membentuk asas untuk matlamat lain seperti kajian
seterusnya yang mungkin diperlukan dalam bidang tersebut.

6.0 Analisis Dapatan dan Perbincangan


6.1 Pembentukan Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia
Jadual 1: Analisis pembentukan Falsafah Pendidikan Guru
Tahun Laporan Keterangan
1956 Penyata Razak i. Menghasilkan guru-guru yang dapat melaksanakan
agenda perpaduan.
ii. Guru yang berkebolehan melaksanakan kurikulum
kebangsaan.
1956 Ordinan Penetapan pendidikan guru yang dapat membentuk
Pelajaran perpaduan masyarakat dan melaksanakan pendidikan
kebangsaan.
1961 Laporan i. Menghasilkan guru-guru yang terlatih dalam pelbagai
Rahman Talib jurusan.
ii. Guru yang berkebolehan mengembangkan inovasi.

1961 Akta Menghasilkan guru-guru yang dapat melaksanakan


Pendidikan tranformasi dan inovasi dalam pendidikan dan kurikulum
kebangsaan.
1979 Laporan i. Menghasilkan guru yang mempunyai kesedaran dan
Jawatan daya pemikiran untuk mengendalikan pengajaran dan
Kuasa Kabinet pembelajaran secara interaktif bagi
memperkembangkan lagi potensi pelajar.
ii. Melahirkan guru yang dapat membudayakan ilmu
dalam masyarakat.
1982 Bahagian Penggubalan dan mendokumentasikan Falsafah Pendidikan
Pendidikan Guru untuk menjadi rujukan, panduan, amalan dan
Guru, KPM wawasan kepada semua institusi yang melahirkan guru-
guru di Malaysia.

Sebelum tahun 1982, pendidikan di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah


yang nyata untuk pendidikan guru dalam bentuk dokumentasi. Pendidikan guru yang
ada bergerak selari dengan matlamat negara yang dinyatakan dalam Laporan
Pelajaran seperti Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1961) dan
Rancangan Malaysia. Pada tahun 1979, Laporan Jawatan Kuasa Kabinet telah
menetapkan halatuju pendidikan guru di Malaysia.
Sehubungan itu pada tahun 1982, Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi
Bahagian Pendidikan Guru telah menggubal dan mendokumentasikan Falsafah
Pendidikan Guru untuk menjadi rujukan, panduan, amalan dan wawasan kepada

6
semua institusi yang melahirkan guru-guru di Malaysia. Falsafah Pendidikan Guru
(FPG) yang didokentasikan adalah dengan hasrat untuk mendidik:
"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik,
bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan
kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara
suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan
berdisiplin".
(Bahagian Pendidikan Guru, KPM: 1982)

Menurut Abu Bakar Nordin (1994) dan Choong Lean Keow (2008), Falsafah
Pendidikan Guru (FPG) telah digubal bertujuan menjadi panduan bagi merealisasikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Falsafah Pendidikan Guru ini telah
menjelaskan jenis guru yang diperlukan oleh negara kita.

6.2 Matlamat pembentukan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia.


Jadual 2: Cabang Falsafah Pendidikan Guru
Cabang Falsafah Ciri-ciri FPG Analisis
Metafizik  Ketuhanan Peranan guru sebagai agen
(sifat realiti,  Negara perubahan dalam dunia
kewujudan dan  Kemasyarakatan pendidikan yang dinamik –
kebenaran)  Kendiri realiti bidang pendidikan.

Epistemologi  Berpandangan progresif dan  Ilmu sentiasa berkembang


(ilmu dan perihal saintifik. lanjut penemuan baru dan
mengetahui)  Menjamin perkembangan inovasi.
individu.  Tanggungjawab guru untuk
memperoleh ilmu baru &
terkini.
Asikologi  Berpekerti mulia & berdisiplin Guru sebagai role model dan
(Nilai: etika dan  Menunjukkan aspirasi negara teladan yang baik, bermoral,
Estetika)  Menyanjung warisan kebudayaan beretika, bersifat profesional
negara dan sebagainya.
 memelihara suatu masyarakat
yang bersatu padu
Logik Berpandangan progresif dan  Amalan penaakulan logik
(Membuat saintifik dalam menjalankan tugas
keputusan: profesional dan rutin harian
Penaakulan pengajaran dan
membezakan idea pembelajaran.
sah dan yang  Peningkatan diri secara
mengelirukan) profesional demi menjamin
mutu profesion perguruan
dan kualiti
7
Jadual 3: Matlamat Falsafah Pendidikan Guru
Kategori Kriteria Analisis
Matlamat
Matlamat  Berpekerti mulia Matlamat yang terbina dalam
Intrinsik  Berpandangan progresif diri setiap guru untuk
 Perfikiran saintifik berkebolehan melaksanakan
 Bersedia menjunjung aspirasi tanggungjawab yang
negara diamanahkan.
 Menyanjung warisan kebudayaan
negara

Matlamat  menjamin perkembangan individu Matlamat yang berkaitan


Ekstrinsik  memelihara suatu masyarakat yang dengan kebolehan setiap guru
bersatu padu, demokratik, progresif membina, membentuk dan
dan berdisiplin melahirkan individu,
masyarakat & warganegara.

Matlamat falsafah pendidikan guru adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari
segi peribadi, profesional, sosial, menguasai ilmu dan kemahiran serta amalan
keguruan. Seseorang guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri dalaman iaitu peribadi
yang seimbang terlebih dahulu. Ianya sangat penting kerana seseorang guru perlulah
mempunyai emosi yang stabil untuk membolehkan mereka membentuk generasi yang
positif pula. Guru juga akan menjadi ikon dan contoh yang boleh diteladani oleh
murid-murid.
Seterusnya, guru perlulah profesional dalam kerjaya mereka. Menurut
Shulman (1986), guru yang profesional mestilah berkebolehan menguasai 7
komponen pengetahuan yang berkaitan dengan tanggungjawab dan peranannya.
Seseorang bakal guru perlulah berusaha sehabis mungkin untuk mendalami ilmu
berkaitan keguruan ketika masih dalam tempoh latihan agar mereka tidak kekok
ketika bertugas di kemudian hari. Di samping itu, falsafah pendidikan guru juga
adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah
mempunyai bijak bergaul dengan semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam
kawasan sekolah mahupun dengan masyarakat luar. Ini kerana, ke mana sahaja
seseorang guru itu pergi dia akan membawa imej seorang guru. Guru juga perlu
mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu
bukan hanya perlu memberikan didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan
nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian.

8
6.3. Kerangka konseptual Falsafah Pendidikan Guru Malaysia.
Rajah 2 berikut menunjukkan Model Konseptual Pendidikan Guru Malaysia.

Rajah 2: Model konseptual pendidikan guru

Berdasarkan model tersebut, karakter seorang guru berkait rapat dengan tiga dimensi
utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri.
Jadual 4: Dimensi dan kriteria Model Konseptual Pendidikan Guru.
Dimensi Kriteria
Ketuhanan Peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berterasakan
kepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama.
Kemasyarakatan Penekanan peranan guru sebagai pendidik, pemimipin dan agen
perubahan.
Kendiri Penekanan pembinaan daya kefahaman dan patriotism,
pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan
berpekerti mulia.

Di bawah tiga dimensi utama tersebut, Model Konseptual Pendidikan Guru ini
merangkumi tiga komponen, iaitu: Pengetahuan/ilmu, Kemahiran dan Nilai.
Jadual 5: Komponen Model Konseptual Pendidikan Guru
Komponen Keterangan
Pengetahuan/ilmu Berkaitan dengan perkembangan dan kepentingan pendidikan
dalam kehidupan
Kemahiran Kemahiran ikhtisas yang merangkumi kemahiran menggunakan
bahan-bahan pengajaran yang bertujuan untuk meningkatkan
kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Nilai merujuk kepada amalan nilai-nilai murni, perlakuan guru yang
penyayang, berpekerti mulia, berdaya tahan, patriotik,
inovatif, kreatif dan patuh kepada etika profesion
keguruan.

9
Ketiga-tiga aspek ini disepadukan dan merentas semua disiplin dan program
perguruan yang dirancangkan. Guru mesti memberi contoh yang sesuai yang
melambangkan ciri-ciri kesempurnaan dari segi keintelektualan, kerohanian, emosi
dan jasmani.
Di samping itu Model Konseptual Pendidikan Guru juga menekankan
matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dan bersepadu dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Keempat-empat aspek ini juga adalah selaras
dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Aspek yang dititikberatkan
ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai
unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula melahirkan generasi seimbang dan
holistik. Aspek-aspek ini digabung jalinkan untuk membentuk satu disiplin perguruan
yang terancang.
FPG yang bersandarkan Model Konseptual tersebut bermatlamat
menghasilkan guru yang berkualiti dari segi personaliti sehinggalah kepada amalan
individu, berilmu serta mempunyai nilai keguruan dan berupaya memacu generasi
kini untuk mencapai Wawasan Pendidikan dalam abad ke-21.
Justeru, dapatlah disimpulkan disini mengikut model konseptual guru ini
bahawa seseorang guru itu perlulah mengukuhkan terlebih dahulu aspek dasar iaitu
ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Langkah seterusnya ialah memantapkan
unsur rohani, jasmani, intelek dan nilai. Selepas itu, memupuk serta mengekalkan
aspek kemahiran, pengetahuan serta nilai seorang guru. Bersatunya kesemua unsur-
unsur dalam model konseptual ini dapat memantapkan lagi unsur akauntabiliti
seorang guru.

10
6.4 Kandungan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia
Jadual 6: Elemen-elemen kandungan Falsafah Pendidikan Guru
Elemen Analisis Kriteria
Berpekerti mulia.  Sahsiah guru yang baik, berbudi bahasa, bersopan,
berdisiplin, bermoral dan sebagainya.
 Lebih mementingkan dan mendahulukan orang lain
Berpandangan  Berkembang mengikut peredaran zaman yang kini
progresif dan memberi penekanan kepada sains dan teknologi.
saintifik.  Berusaha agar tidak ketinggalan dari segi profesional.
Bersedia  Menghayati aspirasi negara yang dihasratkan.
menjunjung aspirasi  Berusaha agar dapat menyumbang secara maksimum
negara. ke arah pencapaian aspirasi negara.
Serta menyanjung  Menghayati warisan kebudayaan negara yang unik.
warisan kebudayaan  Memupuk sifat bangga terhadap kepelbagaian budaya
negara. dalam kalangan murid.
 Menyemai sifat patriotisme dan cintakan negara.
Menjamin Peranan guru yang berkebolehan untuk mengembangkan
perkembangan potensi murid secara menyeluruh, bersepadu dan
individu. seimbang (aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani).
Memelihara suatu Tanggungjawab guru yang berkebolehan untuk menyemai,
masyarakat yang memupuk dan menjaga perpaduan dan keharmonian
besatu padu. murid dan masyarakat yang majmuk.
Memelihara suatu  Bersikap demokrasi dan adil dalam melaksanakan
masyarakat yang amalan dan tindakan.
demokratik.  Sedia memberi ruang dan peluang.
 Sedia mendengar pendapat pihak lain.
Memelihara suatu  Sentiasa melaksanakan tindakan dan keputusan dengan
masyarakat yang betul dan tepat.
berdisiplin.  Sentiasa sedia membuat teguran dan ditegur.
 Mementingkan kualiti hasil.

Falsafah Pendidikan Guru dirangka untuk membentuk guru yang berkualiti selaras
dengan objektif pendidikan kebangsaan. Dalam Falsafah Pendidikan Guru, terdapat
beberapa aspek atau ciri kualiti yang ingin dibentuk dalam diri guru yang berperanan
sebagai agen perubahan kepada generasi masa hadapan. Antaranya ialah berpekerti
mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara,
menyanjung warisan kebudayaan negara, menjalin perkembangan individu,
memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, memelihara suatu masyarakat yang
demokratik, memelihara suatu masyarakat yang progresif dan memelihara suatu
masyarakat yang berdisiplin.
Elemen yang pertama iaitu berpekerti mulia. Pekerti yang mulia merujuk
kepada sahsiah seseorang guru. Guru yang bertindak sebagai agen perubahan murid

11
perlu terlebih dahulu menunjukkan sahsiah yang baik supaya murid dapat mencontohi
keperibadian guru. Antara sahsiah yang boleh ditonjolkan ialah seperti berbudi
bahasa, bersopan, berdisiplin dan bermoral. Sekiranya seorang guru tidak
menunjukkan disiplin yang mantap misalnya merokok dalam kawasan sekolah, sudah
semestinya menjadi teladan yang tidak baik untuk murid. Murid-murid yang baru
meningkat dewasa mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling.
Kebelakangan ini banyak terjadi kes-kes yang melibatkan guru, contohnya
guru mencabul murid di sekolah. Hal-hal sebegini tidak seharusnya berlaku sekiranya
guru mempunyai pekerti yang baik. Guru berperanan menjadi contoh teladan kepada
murid tetapi dalam masa yang sama telah memusnahkan kepercayaan murid itu
terhadap guru. Justeru, bagaimanakah aspirasi yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Guru mampu tercapai. Maka, elemen pekerti yang mulia dalam kalangan
guru diterapkan dalam Falasafah Pendidikan Guru supaya aspirasi negara dapat
dicapai.
Elemen kedua iaitu berpandangan progresif dan saintifik. Kamus Dewan Edisi
IV (2008) menyatakan progresif bermaksud sentiasa bergerak maju dan bertujuan
untuk mencapai kemajuan, manakala saintifik pula bermaksud suatu kaedah yang
teratur atau bersistem. Selaras dengan matlamat wawasan 2020 yang dihuraikan oleh
Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu bagi mewujudkan masyarakat saintifik yang
progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke
depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang
kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Seorang guru mestilah bergerak
maju dan bersistem atau dengan kata lain seorang guru perlu berkembang mengikut
peredaran zaman yang kini memberi penekanan kepada sains dan teknologi.
Dunia tanpa sempadan memaksa guru-guru bersifat progesif tertutama untuk
mendidik murid-murid di sekolah. Contohnya, jika zaman dahulu, murid hanya
mengharapkan bimbingan dari guru dalam pelajaran tetapi dengan kemajuan
teknologi masa kini, murid boleh belajar walaupun tidak ada guru untuk memantau.
Guru juga mudah untuk mencari maklumat dengan menggunakan teknologi.
Sebaliknya jika seorang guru itu tidak progresif selaras dengan kemajuan negara,
sudah pasti guru tersebut akan ketinggalan dari arus kemajuan profesion keguruan.
Seorang guru yang progresif dan saintifik mestilah bergerak seiring dengan kamajuan
dan berusaha agar tidak ketinggalan terutamanya dari segi profesion keguruan. Ini

12
bermakna guru perlu berusaha untuk berfikiran maju dan berani mencipta satu inovasi
dalam pendidikan.
Elemen yang ketiga iaitu bersedia menjunjung aspirasi negara yang
bermaksud keinginan atau kehendak yang kuat untuk mencapai sesuatu. Dalam
konteks menjunjung aspirasi negara, guru sebagai agen yang bertindak untuk
menjayakan aspirasi negara ini. Guru berperanan untuk mendidik generasi muda
supaya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Guru
perlulah benar-benar menghayati aspirasi negara yang dihasratkan supaya
pembentukan modal insan kelas pertama dapat dilahirkan. Sebagai pendidik, guru
perlu menerapkan kesemua aspek yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmonis.
Sekiranya modal insan yang dilahirkan tidak berkualiti, jadi aspirasi negara
sudah pasti tidak dapat dicapai. Generasi muda yang akan dilahirkan oleh para guru
inilah yang akan menjadi penggerak dan bersama-sama guru untuk menjunjung
aspirasi negara Malaysia. Tambahan pula, guru perlu berusaha agar dapat
menyumbang secara maksimum ke arah pencapaian aspirasi negara. Contohnya, guru
perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan seperti mendidik murid dengan
jujur, ikhlas dan amanah.
Elemen seterusnya ialah bersedia menyanjung warisan kebudayaan negara.
Malaysia merupakan sebuah negara unik yang kaya dengan pelbagai kebudayaan.
Sebagai guru, perlulah menghayati warisan kebudayaan negara yang unik ini. Bukan
sahaja dari segi adat resam, malah dari aspek kesenian, pakaian, peralatan tradisional,
permainan tradisional, perubatan, sastera, seni bina dan juga seni halus. Kesemua
aspek ini perlu dipelihara supaya warisan kebudayaan ini dapat dinikmati oleh
generasi akan datang. Seorang guru berperanan untuk memupuk sifat bangga terhadap
kepelbagaian budaya dalam kalangan murid. Mereka perlu menghargai keunikan
kebudayaan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.
Untuk menyemai perasaan bangga terhadap budaya yang pelbagai ini, guru
boleh mengambil inisiatif seperti membuat aktiviti atau program yang berkaitan
dengan kebudayaan. Misalnya, mewujudkan malam kebudayaan dan warisan di mana
pada malam tersebut ditonjolkan budaya bagi setiap kaum yang ada di Malaysia.
Secara tidak langsung, murid akan dapat mengetahui keunikan budaya kaum-kaum
lain. Di sini, gurulah yang bertindak sebagai agen penggerak dalam memelihara
warisan kebudayaan negara.

13
Selain itu, guru juga perlu menyemai sifat patrotisme dan cintakan negara
dalam kalangan murid. Sifat patriotisme dan cintakan negara ini penting untuk
diterapkan dalam diri murid supaya mereka sanggup berjuang mempertahankan
negara suatu masa nanti. Generasi muda yang bakal dilahirkan oleh warga pendidik
inilah yang akan berjuang untuk mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara
pada masa akan datang. Jadi, guru perlu peka dalam menerapkan unsur patriotisme
dalam diri murid. murid yang hanya pintar dari sudut intelek tetapi tidak punyai
semangat patriotisme hanya akan merosakkan negara.
Elemen yang kelima iaitu menjamin perkembangan individu. Guru
bertanggungjawab untuk melahirnya individu yang seimbang dan harmonis seperti
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Walau bagaimanapun
memiliki kecerdasan intelek semata-mata tidak menjamin kesejahteraan hidup
seseorang individu kerana ia tidak mampu untuk melahirkan insan bertakwa, matang,
tabah, berani, kuat, teguh dan rendah diri. Individu yang seimbang merangkumi empat
aspek utama iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Gurulah yang berperanan untuk membentuk perkembangan murid secara
menyeluruh dan bersepadu iaitu merangkumi kesemua aspek yang telah dinyatakan.
Bukan sahaja perkembangan murid perlu dtitik beratkan, sebaliknya guru itu sendiri
perlu mempunyai kesemua aspek tersebut. Perkara utama yang perlu diamalkan oleh
seorang guru ialah dengan sentiasa menghayati Falsafah Pendidikan Guru diikuti
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Elemen yang terakhir dalam Falsafah Pendidikan Guru ialah memelihara suatu
masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Guru
mempunyai tanggungjawab sebagai ahli masyarakat yang menyumbang kepada
pembangunan negara. Guru mestilah berusaha agar masyarakat dapat memenuhi
aspirasi dan hasrat negara yang telah ditetapkan. Untuk menjayakan Falsafah
Pendidikan Guru ini, guru perlu menjadikan diri mereka sebagai role model kepada
masyarakat kerana gurulah yang membentuk masyarakat itu. Guru yang berkualiti dan
baik akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan
berdisiplin selaras dengan hasrat dan aspirasi negara kita, Malaysia.
Falsafah Pendidikan Guru menghuraikan ciri-ciri guru yang diperlukan untuk
memenuhi aspirasi negara dan Wawasan 2020. Justeru, guru mempunyai akauntibiliti
yang tinggi terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara bagi memastikan sistem
penyampaian ilmu, kemahiran dan nilai yang berkesan. Sehubungan dengan itu, guru

14
hendaklah mempunyai sahsiah yang baik. Tingkah laku seorang guru yang baik akan
mempengaruhi tingkah laku murid yang diajar.

7.0 Penutup
Institusi pendidikan guru berperanan penting dalam melahirkan guru-guru yang
menepati hasrat Falsafah pendidikan Guru. Guru-guru yang terdidik dengan acuan
yang sempurna menjadi pemangkin kepada kejayaan pelaksanaan sistem pendidikan
yang berkualiti ke arah melahirkan warganegara Malaysia yang dihasratkan dalam
Falsafah pendidikan Kebangsaan. Apabila seseorang guru itu menjalankan tugasnya
berlandaskan ciri-ciri Falsafah Pendidikan Guru, maka pelajar yang dihasilkan akan
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Seseorang guru yang dapat
menghayati FPG dalam melaksanakan tugasnya samalah seperti arkitek atau jurutera
yang membangunkan negara tetapi guru-guru berjaya membangunkan bangsa dan
tamadun sesebuah negara.

Bibliografi

Abdul Rahman Arshad. (2007). Unity and education in Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa & Pustaka
Abdul Rahman Haji Abdullah. (2005). Wacana falsafah ilmu: analisis konsep-konsep
dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rashid Mohamed & Zurida Ismail. (2001). Pengalaman belajar-mengajar guru-
guru pelatih USM. Jurnal Pendidik dan Pendidikan. Jilid 17. 41 - 56.
Abu Bakar Nordin. (1994). Cabaran pendidikan guru: Falsafah dan strategi dalam
pembentukan guru yang unggul. Prosiding Seminar JKLKAU Ke-9. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Alimuddin Mohd Dom (2009). Budaya sekolah pengaruhi keberkesanan pengajaran.
Pendidik. http://pendidik.com.my. 28.01.2016.
Awang Had Salleh. (1998). Latihan Perguruan untuk Sekolah Berkesan. Prosiding
Seminar Kebangsaan JPPG. Pendidikan Guru untuk Sekolah Berkesan. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.

15
Choong Lean Keow (2008). Falsafah dan pendidikan di Malaysia untuk program
perguruan pendidikan rendah pengajian 4 tahun. Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (1979). Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji
pelaksanaan dasar pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Najib Abdul Razak. (2011). Menjuarai tranformasi. Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan Negara.
Noresah Baharom. (2008). Kamus Dewan Edisi IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.
Omar Mohd. Hashim. (1999). Pengisian misi pendidikan. (Edisi ke-2). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Rohaty Mohd Maj Zub dan T. Subahan Mohd Meerah. (1993). Satu tinjauan sahsiah
dan tingkah laku pendidik yang berkaitan dengan pembelajaran. Jurnal
Pendidikan. Jilid 15. 125-135.
Sufean Hussin. (2004). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, sistem dan falsafah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zinitulniza Abdul Kadir. (2011). Sudut Pandang Muhyiddin Yassin: Isu, kontrovesi,
pandangan serta harapan - sebuah wawancara. Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan Negara.

16

Anda mungkin juga menyukai