Anda di halaman 1dari 2

Sang Harimau dengan Sang Kancil

Pada suatu hari, seekor harimau ternampak Sang Kancil duduk di bawah
sepohon pokok. Pada ranting pokok itu, ada sarang tebuan.
“Hah, Sang Kancil ! Puas aku cari kamu, sekarang baru bertemu,” kata
harimau.
“Apa lagi yang kamu hendak, harimau?” tanya Sang Kancil.
“Aku nak makan kamu,” kata harimau.
“Nak makan aku? Eh, sekarang tak boleh, harimau,” kata Sang Kancil .
Sang Kancil memberitahu dia sedang menjalankan perintah Raja Sulaiman.
“Aku diperintahkan menunggu benda ini,” kata Sang Kancil sambil
menunjukkan ke arah sarang tebuan.
Sang Kancil memberitahu harimau itulah gong Raja Sulaiman.
“Baginda akan mendengar bunyi gong ini apabila baginda hendak ke
hutan,” kata Sang Kancil.
“Tentu sedap bunyi gong raja,” kata harimau.
“Sudah tentulah. Siapa yang mendengarnya akan rasa gembira,” kata
Sang Kancil sambil memandang ke arah sarang tebuan itu.
Harimau meminta Sang Kancil memalu gong itu kerana ia sangat ingin
mendengarnya. Sang Kancil tidak mahu kerana katanya ia hanya
diperintahkan supaya menjaganya, dan bukan memalunya.
“Tolonglah, Sang Kancil. Palulah gong raja itu. Baginda bukan ada di sini,”
kata harimau merayu.
“Tak boleh. Kalau aku palu gong ini, bermakna aku tak jujur,” kata Sang
Kancil.
“Bagaimana kalau aku yang memalunya,”kata harimau.
Sang Kancil terdiam. Dia berfikir seketika.
“Baiklah harimau. Jika kamu ingin memalu gong raja ini, biarlah aku pergi
jauh dari sini,” kata Sang Kancil.
Sang Kancil memberikan sebatang kayu kepada harimau.
“Palulah gong itu dengan kayu ini apabila aku suruh,” kata Sang Kancil.
Sang kancil pergi dari pokok itu. Apabila sudah jauh,ia berteriak dengan
kuat,
“Harimau, palu!”
Harimau pun memalu sarang tebuan itu. Wah, apabila sarangnya dipalu,
maka keluarlah semua tebuan itu lalu menyengat harimau.
“Aummmm!” Harimau mengaum dengan kuatnya. Dia meraung kesakitan.
Semua tebuan itu menyerang seluruh badannya. Harimau lari dengan
lajunya. Akan tetapi tebuan-tebuan terus mengejarnya. Mujurlah ia
terjumpa sungai. Ia pun terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan
dirinya.

Anda mungkin juga menyukai