Anda di halaman 1dari 8

1.

0 Pengenalan

Kajian sarjana seperti Hassan (1998) dan Norizan et al (2013) menyatakan bahawa pembangunan
pendidikan dipercayai dapat menjadikan sistem sosial, politik dan ekonomi sesebuah negara teguh dan
digeruni oleh pihak lain. Maka, Pengarah Biro Pendidikan UNESCO Kawasan Asia Pasifik, Tan Sri
Shaeffer dalam Ishak & Nor Asikin (2003) menegaskan bahawa peluang pendidikan harus disediakan
seluas-luasnya kepada kanak-kanak untuk mendapat pendidikan yang berfokuskan kepada pendidikan
asas yang boleh mengatasi isu dan cabaran masa kini. Hal ini tidak terkecuali bagi masyarakat Orang
Asli. Golongan ini merupakan satu kelompok masyarakat Malaysia yang masih ketinggalan dalam
setiap aspek termasuklah ekonomi, sosial dan pendidikan berbanding dengan kumpulan etnik yang lain
(KKLW, 2007).
Justeru, didalam penulisan akademik ini, penulis akan memfokuskan mengenai isu tahap
pencapaian pendidikan bagi masyarakat Orang Asli khususnya di Kelantan. Penulis akan
membahagikan kepada subtopik kecil yang mencakupi aspek tema, isu, persoalan, implikasi, cabaran
serta langkah-langkah menanganinya. Bukan itu sahaja, penulis juga akan menjelaskan setiap aspek
dengan terperinci, hujah disokong dengan bukti yang kukuh serta pendapat dari sarjana dan kajian
empirikel yang berkaitan dengan tajuk. Diakhir penulisan ini, penulis akan membuat kesimpulan yang
tepat, jelas dan menyeluruh mengenai isu ini.

2.0 Pemilihan tema, isu dan persoalan sosiobudaya

Menyedari kepentingan pendidikan dalam kehidupan sebagaimana yang ditegaskan oleh Ross dan Wu
(1996) dalam jurnal Education, age, and the cumulative advantage in health, penulis telah memilih
tema pendidikan untuk ditinjau dan membuat analisis dalam penulisan akademik ini.

Isu mengenai tahap pencapaian pendidikan bagi anak Orang Asli di Kelantan telah dipilih dalam
penulisan ini memandangkan masyarakat Orang Asli di Malaysia masih ketinggalan dan berada di luar
lingkungan arus perdana pembangunan, walaupun Malaysia sudah mengalami kemajuan dan
pembangunan dalam semua sektor (Musstafa, 2003).

Terdapat beberapa persoalan yang wujud dalam isu ini iaitu, sejauh manakah penglibatan orang
asli di Kelantan dalam arus pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun
pengajian tinggi? Adakah terdapat faktor, kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat
Orang Asli untuk melibatkan diri dalam proses pendidikan? Apakah langkah-langkah penyelesaian
yang diimplementasikan bagi meningkatkan tahap pencapaian pendidikan Orang Asli?. Persoalan-
persoalan ini akan dihuraikan dengan lebih terperinci pada penulisan ini.
3.0 Penjelasan isu dan aspek penting yang berkaitan

Isu tahap pencapaian pendidikan masyarakat orang asli di Kelantan dilaporkan rendah berbanding
dengan masyarakat luar bandar pribumi di Kelantan. Laporan yang dicatat oleh Jabatan Hal- Ehwal
Orang Asli (JHEOA) menunjukkan bahawa pencapaian akademik Orang Asli di Kelantan masih ditahap
yang lemah. Hal ini disokong dengan hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh Shaharuddin et al
(2014) di SK Pos Pulat dan SK Pos Brooke yang terletak di Gua Musang, Kelantan. Didapati bahawa
prestasi pelajar anak−anak Orang Asli dalam keputusan UPSR amatlah lemah. Bermula tahun 2004
dan tahun 2005 tidak ada seorang pelajar yang lulus dalam UPSR di kedua−dua buah sekolah yang
dikaji.

Menurut Meiji (2008), sebelum tertubuhnya Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli (JHEOA), masyarakat
Orang Asli tidak pernah menerima pendidikan formal terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan
pedalaman. Bagi Orang Asli kecekapan dan kepandaian memburu, menangkap ikan, dan mengumpul
hasil hutan amat diutamakan. Keadaan ini amat sesuai dengan cara hidup mereka yang berlatar
belakangkan ekonomi hutan (Adliza, 2007; Abdul Razak & Zalizan, 2009).

3.1 Aspek 1: Perspektif tahap pendidikan sekolah rendah dan menengah

Kajian berkaitan sosioekonomi rakyat termiskin dan pembangunan desa sering menunjukkan tahap
pendidikan keluarga miskin adalah rendah (Fong, 1991; Chamhuri, 2001). Didapati antara 65−92
peratus ketua isi rumah termiskin hanya tamat sekolah rendah dan hanya 16 peratus tamat sekolah
menengah rendah (Chamhuri, 2001). Ahli isi rumah termiskin juga mempunyai tahap pendidikan yang
rendah iaitu antara 29−77 peratus tamat sekolah rendah. Keluarga miskin ini adalah dalam kalangan
Orang Melayu dan Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di desa dan pedalaman (Chamhuri, 2001).

Pelajar Orang Asli yang mendaftar darjah satu antara tahun 1971 sehingga 1990 ialah 47,667
tetapi hanya 18,048 orang sahaja yang belajar sehingga darjah enam (Rosmizawati, 2003). Ini bererti
sebanyak 62.14 peratus daripada pelajar yang berdaftar telah tercicir. Sejumlah 94 peratus daripada
mereka yang bersekolah gagal sampai ke tingkatan lima. Kajian Rosmizawati (2003) di sekolah Orang
Asli mendapati antara tahun 1995 hingga tahun 2001 tidak pernah ada pelajar yang memperolehi 5A
atau 4A dalam peperiksaan UPSR. Keadaan ini menunjukkan rendahnya prestasi pelajaran dan
mereka terus tercicir dalam arus pembangunan.

3.2 Aspek 2: Perspektif tahap pendidikan pengajian tinggi

Laporan yang dikeluarkan oleh JHEOA (2009) menunjukkan bahawa jumlah graduan universiti
dalam kalangan Orang Asli pula hanya berjumlah 316 untuk keseluruhan tempoh 2000-2007. Daripada
jumlah 316 orang Asli yang melibatkan diri dalam pengajian tinggi hanya 2 orang sahaja Orang Asli
daripada Kelantan yang berjaya menyambung pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIA) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
4.0 Menilai implikasi isu dan cabaran serta langkah-langkah mengatasi

4.1 Menilai implikasi isu secara menyeluruh

Meniliti kadar keciciran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli di Kelantan jelas memberi
implikasi buruk terhadap imej dan kualiti sistem pendidikan Negara. Hal ini demikian, etnik minoriti
Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di kawasan tanah tinggi atau di kawasan pedalaman
cenderung mempunyai kadar keciciran yang tinggi dalam setiap peringkat pendidikan (Norlida et al,
2012).

Dalam perlembagaan persekutuan, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia, 2010). Justeru, isu ini perlu diatasi segera bagi memastikan pencapaian prestasi dan
pembangunan pendidikan Orang Asli terus meningkat standing dengan kaum-kaum yang lain di
Malaysia disamping merealisasikan hasrat kerajaan untuk mentransformasi modal insan melalui
pendidikan.

4.2 Cabaran yang dihadapi serta langkah-langkah mengatasi

Hasil dapatan kajian yang dilakukan di beberapa sekolah Orang Asli oleh Zainal (1984),
Mohammad (1991), Siti (1999), Santha (2001), mendapati bahawa antara kekangan dan cabaran
yang wujud terbahagi kepada tiga punca utama iaitu faktor ibu bapa, murid serta persekitaran dan
budaya.

4.2.1 Cabaran 1: Sikap ibu bapa terhadap prestasi pendidikan anak-anak

Menurut Asri (1997), ibu bapa adalah individu yang paling rapat dengan anak. Jika ibu bapa tidak
menjadi rol model yang baik, maka gagal pendidikan formal anak-anak di rumah. Keadaan ini berlaku
pada masyarakat Orang Asli di Kelantan. Dalam dapatan kajian Shaharuddin et al (2014)
menunjukkan bahawa ibu bapa Orang Asli kurang memainkan peranan ke arah kejayaan pelajaran
anak-anak mereka. Ramai dalam kalangan ibu bapa Orang Asli langsung tidak mendapat pendidikan
formal manakala hanya sebahagian kecil mendapat pendidikan ditahap sekolah rendah sahaja.
Kebanyakan ibu bapa Orang Asli berkahwin muda yang menyebabkan mereka kurang dengan ilmu
kekeluargaan.

Hasil daripada temubual kajian Shaharuddin et al (2014) didapati ibu bapa tidak memarahi
anak−anak sekiranya tidak hadir ke sekolah. Sebaliknya, ibu bapa diam kerana anak yang tidak
bersekolah dapat menolong melakukan kerja rumah atau mengikut mereka ke hutan untuk mengumpul
hasil hutan. Ibu bapa menyerahkan 100 peratus pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah.
Mereka juga tidak mengambil berat tentang keputusan peperiksaan yang dihasilkan oleh anak-anak
dalam pelajaran. Ibu bapa juga tidak menyarankan atau menyuruh anak-anak belajar sewaktu berada
di rumah .Dalam keadaan sedemikian ini, maka tidak berlaku proses pendidikan atau pembelajaran di
rumah. Malah, ibu bapa tidak pernah membayangkan anak−anak mereka akan menjadi seorang yang
bekerjaya suatu hari nanti. Sebaliknya, mereka sekadar mengharapkan anak−anak mereka dapat
membaca dan memperolehi pendidikan yang lebih baik daripada diri mereka sahaja.

4.2.1.1 Langkah mengatasi 1:Program motivasi memupuk kesedaran terhadap pendidikan

Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai
sesuatu (Saedah, Zainun & Tunku Mohani, 1996). Hal ini juga disokong oleh. Suppiah Naciappan et al
(2008) menyatakan bahawa motivasi ialah suatu kuasa yang menjana dan mengarahkan sesuatu
tingkah laku. Selain itu, dapatan kajian yang dilakukan oleh Saemah & John (2006) mengenai
peratusan kejayaan program motivasi dalam bidang pendidikan secara konsisten dapat meningkatkan
kualiti prestasi pendidikan secara meningkat malah ditahap yang cemerlang.

Justeru, sebagai langkah mengatasi terhadap cabaran ibu bapa Orang Asli yang kurang cakna
terhadap pendidikan anak-anak, satu program motivasi seperti “Program Motivasi Ibu bapa Berjaya”
atau “Program Motivasi Pendorong Anak-anak” perlu dirangka terhadap ibu bapa Orang Asli supaya
mementingkan pendidikan anak mereka. Objektif program ini untuk memupuk kesedaran terhadap
pendidikan, serta mendedahkan kelebihan pendidikan dalam kehidupan. Bukan itu sahaja, program ini
dapat menghapuskan pemikiran negatif masyarakat Orang Asli terhadap pendidikan malah menjadikan
ibu bapa lebih prihatin, bersemangat dan bermotivasi tinggi sebagai peransang kepada anak-anak
untuk berjaya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan pendidikan anak-anak
dan membentuk asas-asas perkembangan diri seseorang anak. Ibu bapalah yang dapat membantu
anak-anak memperolehi pendidikan yang cemerlang dan bermutu ( Shahabuddin et al, 2003).

4.2.2 Cabaran 2: faktor diri murid


Pelajar juga merupakan faktor penting dalam menentukan pencapaian pelajaran. Menurut pandangan
Tokoh Akademik Profesor Diraja Ungku Aziz (2006), kebanyakan murid menghadapi krisis identiti yang
menyebabkan golongan ini tidak tahu membuat sesuatu keputusan. Walaupun pelbagai perubahan dan
pembaharuan telah dilaksanakan, namun kemajuan pendidikan tidak akan tercapai sekiranya pelajar
itu tidak mahu berubah untuk berjaya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Shaharuddin et al (2014) terdapat beberapa kelemahan yang
telah dikenalpasti seperti pelajar kurang motivasi dan masalah dalam pembelajaran. Menurut
pandangan guru yang ditemubual, faktor motivasi pelajar memainkan peranan penting dalam
mempengaruhi pencapaian prestasi pelajar. Mereka merasakan pelajaran kurang penting dalam
kehidupan mereka. Rata-rata mengatakan bahawa ibu bapa mereka masih dapat hidup dengan ‘baik’
walaupun tidak berpelajaran tinggi. Kemahiran tentang selok-belok hutan adalah lebih penting dalam
kehidupan mereka. Oleh kerana itu, pelajar Orang Asli tidak belajar dengan bersungguh-sungguh.

4.2.2.1 Langkah mengatasi 2: Bengkel pendedahan kepentingan pendidikan

Hasrat kerajaan dalam mentransformasikan modal insan akan tercapai dengan adanya pelaksanaan
satu bengkel pendedahan terhadap kepentingan pendidikan dalam kalangan murid khususnya murid
Orang Asli di Kelantan. Hal ini kerana, keciciran murid Orang Asli di Kelantan juga berpunca daripada
persepsi dan identiti diri murid yang lemah. Dengan pelaksanaan bengkel pendedahan, murid-murid
akan didedahkan dengan kepentingan dan kelebihan pendidikan secara berkesan, selain
meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab murid-murid terhadap tugasnya sebagai seorang pelajar.
Selain itu, bengkel ini juga dapat menggalakkan amalan positif terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran disamping melahirkan individu yang berjaya keluar dari kelompok tradisi.

Sebagai contoh, bengkel “Sekolahku, Kejayaanku” yang meliputi pelbagai aktiviti dan kursus
pendedahan tentang pendidikan. Antaranya ialah, aktiviti memupuk semangat belajar, menaikkan
motivasi intrinsik dan ekstrinsik meningkatkan penghargaan diri, menentukan matlamat dan identiti diri
serta aktiviti yang dapat mengubah persepsi murid-murid terhadap pendidikan. Murid perlu memahami
dirinya agar dapat tentukan matlamat hidup dan kesempurnaan kendiri (Azizi, 2005). Bengkel ini perlu
dikelolai oleh pakar motivasi yang berpengalaman seperti tokoh-tokoh akademik agar murid-murid
dapat menjadikan contoh teladan.

4.2.3 Cabaran 3: faktor budaya dan persekitaran


Faktor persekitaran dan budaya mempengaruhi pencapaian prestasi pelajar Orang Asli di Kelantan.
Kehidupan Orang Asli amat terikat dengan persekitaran mereka iaitu hutan yang merupakan sumber
rezeki yang utama. Antara faktor persekitaran dan budaya yang dikenalpasti termasuklah faktor
sosioekonomi, dan tiada persaingan positif . Kajian ini mendapati kegiatan ekonomi mereka masih lagi
tertumpu kepada aktiviti tradisional seperti mencari hasil hutan dan pertanian saradiri. Rentetan itu,
ramai dalam kalangan pelajar ponteng sekolah semata-mata untuk mengikut ibu bapa mereka mencari
hasil hutan menyebabkan mereka terlalu kerap tidak hadir ke sekolah dan banyak ketinggalan dalam
pembelajaran.

Kajian Shaharuddin et al (2014) daripada temubual yang dilakukan bersama pegawai PPD Gua
Musang mendapati suasana pembelajaran tidak begitu mencabar dan persaingan untuk berada di
tempat teratas adalah kurang. Kemungkinan ketiadaan kaum Melayu, Cina atau India dan lain-lain
menyebabkan tiada saingan kepada mereka untuk berlumba-lumba mencapai keputusan yang lebih
cemerlang dan menduduki tempat teratas. Bukan itu sahaja, proses pembelajaran bagi pelajar Orang
Asli hanyalah sebagai memenuhi tuntutan kehidupan yang ditetapkan oleh kerajaan dan bukanlah satu
matlamat yang penting bagi menjamin masa depan mereka. Sikap yang sedemikian inilah yang
menyebabkan anak−anak Orang Asli tidak berminat untuk bersekolah. Malahan, mereka hanya
bersekolah setakat darjah tiga atau tidak akan menamatkan alam persekolahan peringkat rendah.

4.2.3.1 Langkah mengatasi 3: Guru yang berkhidmat di kawasan komuniti Orang Asli diberi
kursus dan latihan dalam memahami adat dan budaya.

Salah satu aspek yang perlu diberi perhatian dalam meningkatkan prestasi pelajar Orang Asli ialah
aspek pemahaman adat dan budaya Orang Asli. Komuniti Orang Asli memang terkenal dengan
pegangan kepada adat dan budaya yang kuat. Oleh itu, bagi pihak yang terlibat dengan komuniti
Orang Asli tidak mencampuri dan melanggar adat dan budaya mereka bagi memastikan tidak berlaku
konflik. Perkara ini amatlah penting bagi menjamin kejayaan sesuatu program yang dilaksanakan untuk
pembangunan komuniti Orang Asli.

Sehubungan dengan ini, seharusnya guru atau pegawai yang berkhidmat di kawasan komuniti
Orang Asli diberi kursus dan latihan dalam memahami adat dan budaya mereka. Latihan dan kursus
yang diikuti oleh guru sebaik-baiknya membolehkan guru boleh berbahasa Orang Asli atau sekurang-
kurangnya tahu dan memahami adat dan budaya mereka. Pihak Kementerian Pelajaran juga boleh
menyerapkan guru terlatih daripada lepasan Institut Pendidikan Guru atau universiti yang terdiri
daripada kalangan komuniti Orang Asli itu sendiri untuk ditugaskan di sekolah berkenaan.

Bukan itu sahaja, strategi pengajaran juga perlu diperbaiki untuk mewujudkan persekitaran yang
aktif dan bersaing secara sihat dalam kalangan murid yang unik dan berlainan (Choong Lean Keow
,2009). Teknik pemberian peneguhan positif kepada murid perlulah diamalkan seperti pujian,
cenderamata, memberi hadiah selari dengan Teori Pelaziman Operan yang menekankan kepada
peranan peneguhan kepada murid dan kesannya.. Hal ini yang demikian, sememangnya setiap
individu memerlukan ganjaran untuk semua yang dilakukan dan setiap ganjaran berfungsi sebagai
pengukuhan kepada sesuatu tingkah laku (Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 2002).

5.0 Penutup

Bidang akademik merupakan satu platfom pembelajaran yang penting dalam sistem pendidikan Negara.
Tahap pencapaian pelajar dinilai melalui kecemerlangan pencapaian akademik. Namun tahap
kecemerlangan pencapaian tersebut bergantung kepada kebolehan individu

BELUM SIAP
6.0 Rujukan

Azizi Yahaya, Noordin Yahaya, Zurihanmin Zakariya. (2005). Psikologi Kognitif. UTM : Cetak
Ratu Sdn. Bhd.

Hassan Mat Nor (1998) Warga pribumi menghadapi cabaran pembangunan. In: Hassan Ishak (ed) Orang
Asli dan cabaran pembangunan masa kini: Usaha dan tindakan yang direncanakan oleh JHEOA, pp.
109-110. Penerbit UKM, Bangi.

Norizan Mt Akhir, LAr. Zulkefle Ayob, Siti Syamimi Omar (2013) Pengekalan identiti melalui
pelestarian landskap budaya Orang Asli. In: Nasir Nayan, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, Yazid
Saleh, Mohmadisa Hashim, Kamarul Ismail, Zainudin Othman, Mazdi Marzuki, Hamirdin Ithnin,
Fauziah Che Lah, Mohd Faris Dziauddin, Mohd Hairy Ibrahim, Zuriatunfadzaliah Sahdan (eds)
Prosiding Persidangan Kebangsaan Geografi dan Alam Sekitar kali ke 4. Geografi & Alam Sekitar
dalam Pembangunan dan Transformasi Negara, pp. 239244. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjong Malim. 56 Mac.

Ishak bin Sin, Nor Asikin Salleh (2003) Era globalisasi: Pendidikan dan cabaran. Jurnal Pengurusan dan
kepemimpinan 13. 1428 .

KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) (2007) Kemajuan perlaksanaan Pelan
Tindakan Pembangunan Pendidikan Masyarakat Orang Asli Kawasan Pinggir bagi tahun 2003 hingga
tahun 2006: Isu dan cadangan penambahbaikan. Kertas dibentangkan di Majlis Penasihat Kebangsaan
Pembangunan Masyarakat Orang Asli, Bil 1/2007. Putrajaya (Tidak diterbitkan).

Musstafa Omar (2003) Warga Orang Asli menghadapi cabaran pembangunan: Satu analisis demografi
daripada Rancangan Penempatan Semula Komuniti Jakun di Mukim Bekok, Segamat, Johor, dalam
Mokhtar Jaafar (ed) Prosiding Persidangan Kebangsaan, Pusat Pengajian Sosial Pembangunan dan
Persekitaran “Cabaran Pembangunan Delima Persekitaran”. Penerbit UKM, Bangi. 1213
September

Ross, C. dan Wu, C.L. (1996). Education, age, and the cumulative advantage in
health. Journal of Health and Social Behaviour, 37:104-120.

Meiji (2008) Orang Asli. [cited 02/02/2009]. Available from: http://mita85.blogspot.com.

Adliza Othman (2007) Hubungan etnik [cited 2/2/2009]. Available from:


http://www.slideshare.net/finaz_fbi/hubunganetnik.

Abdul Razaq Ahmad, Zalizan Mohd Jelas (2009) Masyarakat Orang Asli: Perspektif pendidikan dan
sosiobudaya. Penerbit UKM, Bangi. pp.4758.

Chamhuri Siwar (2001) Pembangunan mapan: Strategik menang-menang untuk pembasmi kemiskinan
dan pemulihan alam sekitar. Penerbit UKM, Bangi.

Fong Chan Onn (1991) Dinamo ekonomi baru: Struktur dan peluang pelaburan di Malaysia. Penerbit
Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Rosmizawati Saad (2003) Pencapaian akademik komuniti Jakun di rancangan Penempatan semula,
Mukim Bekok, Segamat, Johor. (Tesis Sarjana). PPSPP, FSSK, UKM, Bangi (Tidak diterbitkan).

JHEOA (Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli) (2009a) Data senarai Sekolah Orang Asli di Jajahan Gua
Musang, Kelantan. (Tidak diterbitkan ).
Suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia (2010). Laporan hak asasi pendidikan kanak-kanak orang
asli. Kuala lumpur: RDA PRESS SDN. BHD

Zainal Abidin Borhan (1984)“Pelajaran dan Mobiliti Orang Asli di Gombak” Disertasi Latihan Ilmiah (tidak
diterbitkan) Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Universiti Malaya

Siti Huwaina Bt Yaacob (1999) “Pencapaian Pendidikan di Kalangan Orang Asli di Kelantan” Disertasi Latihan Ilmiah
(tidak diterbitkan) Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Universiti Malaya

Mohamad Hanif Zakaria(1991) “Pendidikan Formal Orang Asli di Kuala Langat Selangor”. Disertasi Latihan Ilmiah (tidak
diterbitkan) Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Universiti Malaya.
Muzium Orang Asli, Gombak.

Santha Kumar a/l Payani Yanai (2001) “Masalah Keciciran Pendidikan di Kalangan Anak-anak Orang Asli di Melaka”
. Disertasi Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan) Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Universiti Malaya

Choong Lean Keow (2009). Murid dan Alam Belajar .Selangor: Kumpulan BudimanSdn. Bhd

Mohd. Asri Husain (1997). Krisis Moral dan Indentiti Remaja Malaysia. Dewan Masyarakat.
Mac.

UNGKU AZIZ (2006), Kecelaruan


Identiti Remaja Banyak Sebabnya,
Bernama, 19-01-2006

SAEMAH RAHMAN
JOHN ARUL PHILLIPS Hubungan antara Kesedaran Metakognisi, Motivasi dan Pencapaian
Akademik Pelajar Universiti JURNAL PENDIDIKAN 31 (2006)-21-39

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zahir Ahmad. 2003. Pedagogi,
Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publications
& Distributors Sdn. Bhd

Norlida Hanim Mohd Salleh Transformasi Modal Insan melalui Peningkatan Pendidikan: Kajian
Kes Komuniti Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang JILID 2 (2012) 1215 – 1224

Shaharuddin Ahmad Faktor budaya dan persekitaran dalam prestasi pendidikan anak

Orang Asli Malaysia: Kajian kes di Kelantan (107 - 122) 107

© 2014,

Anda mungkin juga menyukai