Anda di halaman 1dari 8

ANUAR terduduk lesu di tepi meja makan.

Badan ciliknya itu terasa menggigil melihat


pertengkaran antara kedua ibubapanya di hadapan matanya sendiri. Tangan abangnya Firdaus
mencapai tubuh Anuar lalu ditarik rapat ke dalam pelukan. Firdaus baru berusia 12 tahun
manakala Anuar baru menginjak ke umur 10 tahun.

“Abang, kenapa dengan mama dan abah? Kenapa dia orang gaduh-gaduh? Adik tak suka
tengok..” rintih Anuar dengan deraian air mata yang mulai turun ke pipi. Firdaus segera
menyeka air mata di pipi adiknya itu dengan sepenuh kasih sayang.

“Sabar, dik.. Mama dengan abah bukan gaduh. Dia orang tengah bincang.. Jom kita masuk
bilik, ya? Kita main Lego nak? Abang buat robot nanti untuk adik..” pujuk Firdaus lembut.
Tangan kecil adiknya ditarik memasuki bilik meninggalkan Hasiah dan Badrul bertelagah
sesama mereka. Hatinya kecewa melihat sikap ibubapanya yang selalu bergaduh tidak
mengenal tempat itu. Depan anak-anak pun nak bergaduh.

Hasiah dan Badrul selalu bergaduh kerana Badrul tidak berpuas hati dengan isterinya itu yang
selalu keluar rumah pergi membuat Direct Selling sehingga mengabaikan rumah tangga serta
anak-anak mereka. Makan minum diri sendiri dan anak-anak terpaksa dilakukan oleh Badrul.
Jika Badrul tidak benarkan Hasiah keluar pun, wanita itu akan tetap keluar dari rumah
walaupun tidak mendapat keizinan.

———————————————

“AKU ceraikan kau! Hasiah binti Idris, aku ceraikan kau dengan talak satu!” tempik Badrul
kuat. Kerana terlalu marah dan telah lama menyimpan perasaan kecewanya terhadap isterinya
itu di dalam hati, dia tega mengeluarkan lafaz cerai tersebut.

Hasiah terpempan mendengar lafaz cerai yang dikeluarkan oleh suaminya itu. Jatuh terduduk
dirinya ke atas lantai.

“Abang, maafkan Siah.. Siah bukannya apa, sebelum ni.. Siah nak cari duit, bang. Siah keluar
cari duit untuk abang dan anak-anak kita tu.. Kalau harapkan gaji abang aje, tak mampu kita
nak sekolahkan mereka tu. Nak kumpul duit lagi untuk universiti mereka bila mereka dah
besar nanti.. Abang, sanggup abang buat Siah macam ni?!” sahut Hasiah, menangis-nangis
memaut kaki Badrul.

“Abang dah lama bersabar dengan Siah.. Tahu tak hati abang ni hari-hari terluka.. Anak-anak
lagilah. Langsung tak dapat kasih sayang seorang ibu yang sepatutnya dia orang dapat! Awak
ni Siah, ada fikir ke semua tu? Kalaupun nak keluar cari duit, tolonglah bagi perhatian pada
kami anak-beranak ni! Tu, tengok Anuar tu.. Tak kesiankan dia ke hah?!” jerkah Badrul
sambil menuding jari ke arah Anuar yang berada dalam pelukan Firdaus.

“Abang, maafkanlah Siah.. Abang!” rayu Hasiah lagi.

“Dah, aku tak nak dengar lagi rayuan palsu awak tu! Dah, pergi kemaskan barang-barang
awak. Saya hantar balik ke rumah mak awak!” kata Badrul tegas sambil berjalan pergi dari
situ. Tangisan Hasiah langsung tidak diendahkan. Hatinya lebih luka kerana perbuatan
isterinya itu.

—————————————–
ANUAR sudah meningkat remaja ketika itu. Umurnya sudah masuk 14 tahun. Dia tinggal
bersama mamanya dan abangnya Firdaus yang sudah berumur 16 tahun selepas abahnya
meninggal dunia akibat terkena strok. Mamanya masih dengan perangai lama sejak bercerai
dengan arwah abahnya beberapa tahun yang lepas. Masih aktif dengan Direct Selling. Bila
tiba siang hari, Hasiah akan keluar mencari target. Hanya apabila malam melabuhkan
tirainya, barulah Hasiah pulang ke rumah.

Anuar sungguh sedih kerana tidak mendapat perhatian mamanya itu, apatah lagi untuk
merasai kasih sayang wanita itu. Apa yang mamanya pentingkan hanyalah duit. Alasan yang
diberi, kalau tiada duit tak dapatlah menyara perbelanjaan anak-anak. Dan selama ini, hanya
abangnya Firdaus sahaja yang memahami apa yang dirasai olehnya. Hanya Firdaus yang sudi
menghulurkan kasih sayang.

“Anuar, aku tengok kau ni kan.. Kesian tau.. Mesti hidup kau penuh tekanan kan? Aku ada
satu barang baik untuk buat kau lupakan semua masalah kau..” kata Ijan, salah seorang
kawan lama Anuar sejak sekolah rendah lagi.

Ijan tahu segala yang berlaku pada Anuar, segala masalahnya dengan mama kawannya itu.
Anuar mengerutkan dahi memandang Ijan yang sedikit terhoyong-hayang.

“Betul? Barang apa?” soal Anuar tidak sabar. Ijan mengeluarkan satu tin gam basikal lalu
disuakan kepada Anuar.

“Eh, kau bagi aku gam ni kenapa? Apa kaitannya dengan lupakan masalah tu?” soal Anuar
lagi, tidak yakin. Ijan tersenyum dengan mata yang kuyu.

“Kau letak separuh gam ni dalam beg plastik macam ni.. Lepas tu, kau letak kat mulut dan
buat macam aku.. Tengok ni..” Ijan membuat demonstrasi bagaimana menghisap gam
tersebut. “Nah, kau pulak yang cuba..”

“Eh, tak apalah.. Lain kali aje..” balas Anuar. Dia masih tidak yakin yang benda itu dapat
menghilangkan masalahnya.

“Kau try ajeee… Aku gerenti kau mesti lupa masalah kau lepas dah hidu gam ni..” pujuk Ijan
lagi sambil memberikan beg plastik tersebut pada Anuar.

Anuar mulai menghidu gam di dalam beg plastik tersebut. Sekali hidu, otaknya sudah terasa
khayal. Dia bagaikan berada dalam dunianya sendiri. Dunia yang penuh dengan keseronokan
dan tanpa sebarang masalah. Anuar mulai ketawa terbahak-bahak dengan mata yang kuyu
seperti mata Ijan.

“Betullah apa kau kata!” laung Anuar sambil ketawa macam orang tidak betul. Begitu juga
Ijan.

Sejak dari hari itu, Anuar selalu ke belakang belukar berhampiran rumah Ijan untuk
menghidu gam. Rasanya jika sehari dia tidak dapat menghidu gam, ketagihan akan terasa
bermaharajalela.

———————————————
“YA Allah! Kau buat apa ni, Anuar?!” tempik Hasiah kuat apabila ternampak bayang Anuar
di dalam rumahnya sedang asyik menghidu gam. Bau gam juga sudah memenuhi ruang
rumah tersebut.

Firdaus yang baru balik dari sekolah juga amat terkejut melihat adiknya itu yang sedang ligat
menghidu gam. Anuar ponteng sekolah, lepas tu hidu gam? Firdaus segera berlari ke arah
adiknya lalu menyentap plastik berisi gam tersebut. Dia segera menyembunyikan plastik gam
itu di belakangnya apabila Anuar yang sedang mabuk itu tercari-cari.

“Mana?! Mana plastik aku hah? Kalau kau orang nak, buatlah sendiri! Tahu tak betapa
susahnya aku nak jumpa penawar duka aku selama ni? Bagi balik!!” Anuar bertempik-tempik
bagai orang hilang akal.

Hasiah sudah menangis teresak-esak melihat keadaan anak bongsunya itu. Ya Allah! Apa
salah aku dalam mendidik dia? Sayu hati Hasiah berbisik. Sebak sungguh dia melihat Anuar
yang sedang menari-nari dan bernyanyi macam orang tidak betul itu. Firdaus segera
menghampiri tong sampah lalu membuang plastik gam tadi. Dengan cepat Anuar berjalan ke
arah tong sampah itu lalu menyelongkar.

“Anuar! Bawak mengucap! Jangan hisap gam lagi.. Abang ada ni.. Ni abang.. Abang adik!”
panggil Firdaus sepenuh hati. Dia juga sebak melihat keadaan adiknya itu. Dengan pantas dia
merentap tangan adiknya yang sudah memegang kembali plastik gam tadi. Plastik itu jatuh
semula ke dalam tong sampah.

“Hoi! Lepaslah! Kau orang mana tau apa yang aku rasa! Biarlah apa pun aku nak buat!”
marah Anuar.

Pangg!! Sebuah penampar hinggap ke pipi Anuar. Firdaus memandang telapak tangannya.
Inilah kali pertama dia memukul adiknya itu. Anuar menggigil seorang diri. Dia menahan
keperitan di pipinya yang berbekas merah.

Firdaus tunduk. Dadanya turun naik menahan perasaan kasihan berselang-seli dengan rasa
marahnya. Rasa kasih sayang juga begitu menebal terhadap adik kesayangannya itu.

Maafkan abang, adik.. Kata Firdaus di dalam hatinya. Matanya menyorot serta mengiringi
langkah Anuar ke dalam bilik. Tubuh Hasiah yang terhenjut-henjut menahan esakan itu
dipeluk oleh Firdaus sepenuh hatinya. Mama, maafkan Daus sebab tak berjaya membimbing
adik.. Bisik Firdaus lagi di dalam hatinya.

———————————–

HARI semakin hari, Anuar kini sudah berumur 17 tahun. Dia semakin teruk ketagihan gam.
Dan dia terpaksa diberhentikan sekolah oleh pihak sekolah kerana suka membuat masalah.
Sudah banyak pusat serenti dan juga hospital mental yang dimasukinya, semuanya
membenarkan Anuar balik selepas melihat pada perubahan baik anak muda itu. Sebenarnya,
perubahan baik itu hanyalah suatu lakonan untuk membebaskan dirinya dari dikurung di sana
kerana apabila dia tidak menghidu gam, otaknya akan berfungsi dengan baik dan waras.

Malah, dia lebih pandai bercerita dan ceritanya lebih logik dari orang yang sentiasa waras.
Sebab itulah semua orang percaya bahawa dia sudah pulih lalu menghantarnya balik ke
rumah. Namun, bila di rumah Anuar akan kembali seperti dulu. Apabila dia menghidu gam,
otaknya akan khayal dan dia akan menjadi seperti orang yang tidak waras.

Sudah penat Firdaus mencari ikhtiar bagi mengubati ketagihan adiknya itu namun gagal.
Tambahan lagi, dia selalu sibuk di tahun pertamanya di sebuah universiti awam. Sukar untuk
dia selalu pulang ke rumahnya, dia hanya boleh pulang pada masa hujung-hujung minggu
sahaja.

Mama mereka pula, masih dengan aktiviti direct selling. Kadang-kadang Firdaus agak marah
pada mamanya itu kerana dalam keadaan Anuar yang begitu memerlukan perhatian itu,
mamanya boleh lagi keluar bekerja. Namun setelah difikir-fikir, mamanya keluar bekerja
adalah untuk menyara mereka sekeluarga juga. Sebab itulah Firdaus mencuba sedaya-
upayanya untuk berjaya dalam pelajaran. Bila dia dah bekerja nanti, tidak perlu lagi
mamanya itu bersusah payah keluar bekerja. Dia akan menyara mamanya dan Anuar. Biarlah
mamanya duduk di rumah sahaja tengok-tengokkan adiknya itu.

—————————————–

“WALAU sesibuk mana pun kita, kita tetap orang perempuan. So, orang perempuan ni
banyak tugasnya kat rumah tu. Nak uruskan makan pakai suami lagi.. Anak-anak lagi.. Tak
ada alasan kita kalau buat direct selling ni, tak sempat nak buat kerja-kerja rumah dan
uruskan masa dengan anak-anak di rumah tu.. Katalah nak keluar cari target pukul 10 pagi,
bangunlah awal sikit.. Buat kerja-kerja rumah lepas tu beri masa sikit kat keluarga tu.. Ingat,
ya? Tak ada alasan kita wanita berkerjaya ni abaikan keluarga semata-mata kerana tiada
masa..” kata Ema iaitu General Manager syarikat penapis air Olym Star, syarikat direct
selling yang selama ini memberikan pendapatan kepada Hasiah.

Hasiah tertunduk. Dia sedar akan kebenaran kata-kata Ema itu. Dengan helaan nafas yang
berat, Hasiah beredar selepas mesyuarat ajen-ajen. Dia ligat memikirkan perihal Anuar dan
Firdaus yang selama ini terabai kerana sikapnya yang begitu mementingkan wang ringgit
sehinggakan tiada masa untuk diluangkan bersama keluarga. Arwah suaminya Badrul juga
menjadi mangsa kurang perhatian darinya. Ya Allah! Berdosanya aku..

————————————

KINI Anuar hampir berumur 19 tahun. Firdaus pula mencecah 21 tahun dan sudah tamat
belajar. Setahun di matrikulasi dan tiga tahun di Universiti Utara Malaysia. Tidak lama lagi,
Firdaus akan beroleh segulung ijazah selepas penat berhempas-pulas dengan pelajarannya.
Harapannya selepas ini dia akan dapat membantu keluarganya yang bermasalah sejak dulu
itu. Tak perlu lagi mamanya bekerja kerana dia yang akan menyara keluarganya itu. Biar
mamanya duduk di rumah, berikan kasih sayang seorang ibu yang didambakan oleh adiknya
sejak dulu lagi.

Walaupun mamanya sudah berubah sedikit demi sedikit dan meluangkan masa bersama
Anuar di rumah, rasanya semua itu sudah terlambat kerana Anuar sudah menjadi seorang
penagih tegar menghidu gam. Jika sehari dia tidak mendapat gam, mulalah dia bising-bising
sehingga mengganggu jiran-jiran tetangga. Sehinggakan dia sanggup mencuri duit mamanya
atau menyeluk saku orang untuk mendapatkan duit membeli gam apabila mamanya enggan
memberikannya duit.
“Budak tak guna! Hidup kat dunia ni menyusahkan orang aje.. Kenapa kau tak mati masa
kecik-kecik dulu hah?” hambur Pak long Nan dengan wajah sungguh marah. Mananya dia
tidak marah. Sudah berkali-kali Anuar mencuri duitnya, malah mencuri ayam peliharaannya
untuk dijual di pasar.

“Pak long ni nak marah-marah apahal? Bukannya saya bunuh orang pun! Setakat ayam
seekor pun nak berkira sangat? Saya ni macam anak-anak pak long jugak tau? Anggap aje
anak-anak pak long yang ambik ayam tu..” marah Anuar dengan wajah tidak puas hati. Pak
Long Nan menarik nafas dalam-dalam menahan geram. Menjawab!

“Anak-anak aku tak ada seorang pun macam kau ni! Jangan samakan anak-anak aku dengan
kau! Kau tu sampah masyarakat! Kau tu tahu nak menyusahkan mak kau dengan orang lain
ajee!” jerkah Pak Long Nan lagi dengan sesungguh hati. Nafasnya tertahan-tahan.

Hasiah berlari-lari datang apabila terdengar bunyi kecoh-kecoh dari luar rumahnya. Dia
terpaksa menebalkan mukanya lalu memohon maaf daripada Pak Long Nan. Wajah lelaki tua
itu sudah kemerahan menahan marah dan sakit hati. Kalau diikutkan hatinya, nak sahaja dia
panggil polis datang tangkap.

Tetapi, rasanya dah banyak kali juga Anuar masuk keluar lokap. Kalau masuk pun, polis akan
melepaskannya kerana Anuar mempunyai surat perakuan dari doktor mental bahawa otaknya
tidak berapa betul. Bahkan, kalau dia membunuh orang sekalipun dia takkan disabitkan
kesalahan kerana dia mempunyai surat itu. Sebab itulah semua orang di kampung ini sangat
takut dengan Anuar jika dia mengamuk.

“Kenapa kau nak bela lagi sampah masyarakat macam ni hah? Baik kau biar aje dia hidup kat
tepi-tepi jalan tu.. Mengemis!” hina Pak Long Nan lagi.

“Maafkanlah dia tu.. Dia pun ada hati dan perasaan. Lagipun, dia tu anak saya.. Baik buruk
dia tetap anak kandung saya.. Takkanlah saya sanggup biarkan dia merempat kat tepi-tepi
jalan? Saya tak sanggup buang anak kandung saya sendiri. Saya mohon maaf.. Nanti saya
bayar balik ganti rugi tu…” Hasiah bersuara lemah dalam perasaan sebak.

Semua ini salahnya kerana tidak memberikan perhatian pada anak-anak semasa mereka
masih kecil hendak meningkat remaja. Kata orang, semasa anak-anak nak meningkat
remajalah masa paling penting untuk diberikan perhatian sepenuhnya bagi mencorak masa
depan mereka. Tetapi dia? Dia lebih pentingkan kerjayanya dari anak sendiri. Mujurlah
Firdaus tidak begitu. Hasiah masuk ke dalam rumah bersama-sama Anuar yang masih
berleter tidak henti-henti kerana rasa tidak puas hatinya pada Pak Long Nan.

“Jomlah, Nuar.. Abang Daus nak balik hari ni.. Kita ambil dia kejap lagi.. Dia dah sampai kat
stesen bas kut..” pujuk Hasiah. Anuar yang mendengar nama abangnya terus terangguk-
angguk. Sudah lama juga dia tidak bertemu abangnya itu. Rindu juga rasanya.

—————————————————-

“JOM, dik.. Kita ke kedai.. Mama suruh beli barang sikit.. Temankan abang jom?” ajak
Firdaus apabila ternampak kelibat Anuar yang sedang asyik menonton televisyen di ruang
tamu rumah.
Dia malas ke kedai seorang diri. Sesekali dia nak juga peneman. Lagipun, dah lama juga dia
tidak keluar bersama dengan Anuar. Lusa hari lahir Anuar, sebab itulah mamanya suruh
membeli sedikit keperluan untuk buat makan-makan. Jamuan itu nanti juga adalah untuk
meraikan dia yang sudah tamat belajar.

“Barang apa, bang? Hmm.. Pergilah sorang.. Penatlah..” rungut Anuar dengan wajah malas.

Firdaus tersengih melihat gelagat adiknya itu. Dia duduk di sebelah Anuar buat seketika.
Kepala adik kesayangannya itu diusap lembut. Dia masih terbayangkan wajah Anuar ketika
masih kecil dulu. Perasaan sayang dan rindunya pada Anuar terasa membuak-buak kini entah
mengapa. Bagai mereka sudah lama betul tidak berjumpa dan akan berpisah lama pula
selepas ini. Kerana mereka hanya dua beradik, Firdaus begitu sayangkan Anuar. Kerana
Anuar adalah satu-satunya adik yang dia ada. Sejak dulu, kasih sayangnya pada si adik tidak
pernah berubah.

“Jomlah, temankan abang. Jomlah.. ekk?” pujuk Firdaus lagi. Anuar terangguk-angguk. Dia
bangun dari duduknya lalu berjalan mencapai baju t-shirtnya yang tergantung berhampiran.
Mereka keluar beriringan.

————————————–

“ADIK nak naik motor asing-asing? Okey! Tapi hati-hati ya? Ikut belakang abang!” ujar
Firdaus tersenyum kecil memandang wajah Anuar yang juga tersenyum.

Mereka menaiki motosikal berasingan ke kedai untuk membeli barang-barang yang disuruh
oleh mama mereka. Firdaus mendahului Anuar. Adiknya itu hanya mengikut dari belakang.
Laju juga mereka membawa motosikal ketika itu. Sedang Firdaus leka melihat cermin sisi,
mereka sudah memasuki kawasan yang gelap tanpa lampu jalan. Firdaus ingin
memperlahankan motosikalnya namun sudah terlambat..

BANNGGG!! Kedengaran bunyi kuat di hadapan Anuar. Dia yang menaiki motosikal
mengikut dari belakang agak terkejut mendengar bunyi kuat berkenaan. Suasana sangat
gelap, jadi dia tidak dapat lagi meneka apa sebenarnya yang berlaku. Bayang abangnya juga
sudah tidak kelihatan. Apa sebenarnya yang berlaku agaknya? Dia memberhentikan
motosikalnya memerhatikan apa yang berlaku.

Alangkah sedihnya dia ketika itu menyaksikan Firdaus yang sudah berlumuran darah
terbaring di atas jalan raya. Tubuh abangnya itu terperosok di bawah sebuah lori treler yang
diparkir di tepi jalan. Rupa-rupanya Firdaus terlanggar belakang lori berkenaan kerana lori
tersebut tidak memasang lampu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan tanpa lampu itu yang
sangat gelap, Firdaus tidak nampak lori berkenaan di tepi jalan. Tiada drebar di dalam lori itu
dan tiada apa-apa papan tanda diletakkan di belakang lori berkenaan. Nampaknya lori itu
ditinggalkan sejak petang tadi. Mungkin.

Anuar meraung sekuat hatinya sambil menangis teresak-esak menangisi keadaan abangnya
itu. Pantas dia menghampiri Firdaus lalu kepala abangnya itu dipangkunya.

“Abangg… Abangg…” panggil Anuar sambil teresak-esak menangis tanpa henti.


Mata Firdaus yang sedia terpejam, kini terbuka perlahan-lahan. Wajah adik kesayangannya
muncul di pandangan. Dengan sebuah senyuman yang amat payah sekali untuk diukir,
Firdaus mengangkat tangannya mengusapi kepala Anuar buat kali terakhir.

“Jaga mama..” pesanan Firdaus itu terngiang-ngiang serta bergema berkali-kali di dalam
minda Anuar. Kemudian mulut Firdaus kelihatan berkumat-kamit mengucapkan kalimah
syahadah.

Anuar meraung sekali lagi. “Abang!!!!!”

———————————————–

HASIAH mengelap air matanya. Hari ini sepatutnya hari mereka mengadakan jamuan
kesyukuran sempena Firdaus tamat belajar dan hari ini juga jamuan hari lahir Anuar. Tetapi,
jamuan kesyukuran itu telah bertukar kenduri tahlil arwah Firdaus yang sudah kembali ke
rahmatullah. Hasiah menghampiri Anuar yang sedang mengasingkan diri di suatu sudut. Dia
menyuakan sekeping kad hari lahir kepada Anuar.

“Nah, Nuar.. Arwah Abang Daus kau yang tulis ni.. Masa dia masih ada..” teresak-esak
Hasiah ketika itu. Anuar pantas mencapai kad tersebut. Hasiah bangun sambil mengelap air
matanya. Matanya sudah sembab dek kerana terlalu sedih meratapi pemergian salah seorang
anaknya. Perlahan langkahnya diatur ke arah tetamu yang baru memasuki rumah mereka.

Kepada adik yang abang sayang..

Selamat hari lahir, adik! Abang doakan semoga adik panjang umur dan dimurahkan rezeki
adik di dunia ni. Dah besar pun adik abang ni rupanya! Dah 19 tahun adik hidup kat dunia ni.
Selama 19 tahun abang tengok adik membesar depan mata abang walaupun masa abang
sambung belajar tu, abang tak ada bersama adik dan mama tapi abang selalu tau tanya pasal
adik kat mama..

Abang harap, bila umur adik dah nak masuk 20 tahun ni.. Adik berubah demi abang dan
mama kita.. Mama dah berubah kalau adik perasan. Dia dah jarang keluar kerja.. Dia duduk
rumah jaga adik..

Nanti kalau ditakdirkan abang dah tak ada, siapa nak jaga mama kalau bukan adik, kan? Jadi,
abang harap adik berubah demi abang dan mama.. Jadilah seorang anak yang taat pada
mama, okey?

Selamat hari lahir, adik! Semoga adik cepat-cepat dewasa dan dapat kerja bagus-bagus. Boleh
kahwin kan nanti? Abang teringin tengok adik kahwin..

Salam sayang dari abang..

-Firdaus-

Air mata mengalir deras ke pipi Anuar. Kad hari lahir itu terjatuh ke lantai. Dia teresak-esak
menangis sambil tidak henti-henti juga mengesat air matanya. Tidak dipedulikan lagi mata-
mata yang memandang ke arahnya.
Kenangannya sejak kecil bersama Firdaus berputar-putar semula di benaknya. Bagai telah
dirakam. Dia menangisi setiap satu kenangan yang hadir. Sejak kecil, hanya abangnya sahaja
yang memberi perhatian dan kasih sayang kepadanya. Abangnya itulah yang selalu
memanjakannya. Abangnya juga selalu mempertahankannya.

Tetapi selama ini dia telah dibutakan dengan GAM! Dia lebih suka menghidu gam daripada
mendengar kata abang dan mamanya sendiri. Walaupun abangnya itu kerap menasihati, dia
langsung tidak mahu mendengar kata. Apatah lagi kalau mamanya yang memberi nasihat.
Semuanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Wajah Firdaus terus hadir menyucuk-nyucuk mindanya yang sudah sarat dengan ingatan
terhadap abangnya itu. Abangnya itu memang tiada ganti. Satu dalam sejuta! Abangggg..!
Raung Anuar di dalam hatinya.

——————————————

ANUAR sudah berusia 33 tahun kini. Dia berjalan menghampiri pusara abangnya. Sambil
memimpin tangan anaknya yang masih kecil berumur 3 tahun itu, wajah isterinya di sebelah
turut dipandang sayu. Wajah tua mamanya yang sugul juga dipandang dengan sebuah
senyum pahit. Setiap bulan, mereka akan datang menziarahi kubur Firdaus.

“Assalamualaikum, abang.. Nuar datang lagi bawa isteri dan anak Nuar.. Abang kan cakap
teringin tengok Nuar berumah tangga. Ni, dah hampir empat tahun Nuar kahwin, bang..
Alhamdulillah, keluarga kami bahagia setakat ni dan harap kebahagiaan ni berkekalan sampai
ke akhirnya.. Mama pun ada ni, bang! Kami hadiahkan Yaasin lagi untuk abang, ya? Semoga
abang tenteram di alam sana..” ujar Anuar sambil duduk bersila di atas sebuah batu besar. Dia
membuka Surah Yaasin, begitu juga isterinya dan juga mamanya yang turut membaca
bersamanya.

Sejak kematian Firdaus dan sejak membaca kad hari lahir yang diberikan abangnya itu,
Anuar cuba berubah walaupun cukup payah. Dia ke kelas bimbingan dan juga pusat serenti
untuk memulihkan jiwanya. Dia juga banyak mengaji al-Quran dan juga bersolat jemaah di
masjid. Apabila dia terasa ketagihan gam, dia akan perbanyakkan zikir munajat kepada Allah
SWT. Dia cuba menyibukkan diri dengan kerja. Segala yang dibuatnya, semuanya kerja-kerja
berfaedah.

Dia mendapat kerja sebagai kerani akhirnya selepas bersusah-payah mencari pekerjaan.
Alhamdulillah, kini pangkatnya sudah naik ke Penolong Pengurus. Dia pun sudah berkahwin
dan mempunyai seorang anak yang sihat dan sungguh comel.

Nuar dah ada sebuah keluarga, bang. Sebuah keluarga yang bahagia namun ianya akan lebih
bahagia jika abang ada bersama… Tapi Allah lebih sayangkan abang.. Nuar redha.. Nuar
harap abang juga bahagia di sana.. Bisik hati Anuar sayu.

Anda mungkin juga menyukai