Anda di halaman 1dari 15

TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2016

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

TEMA:

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang

dikasihi sekalian,

1. Saban tahun, tarikh 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna

bagi warga pendidik atau lebih sinonim dengan panggilan ‘cikgu’. Pada

hari istimewa ini, para guru akan diraikan oleh anak-anak didik demi

menghargai jasa dan menyanjungi pengorbanan guru dalam mendidik

anak bangsa. Guru-guru sekalian amat bertuah kerana ia merupakan

pengiktirafan tertinggi masyarakat dan kerajaan atas sumbangan tidak

1
ternilai dalam mencorak masa hadapan anak bangsa dan

membangunkan negara. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada

tahun ini, dapat kita bersama-sama menyambut Hari Guru kali ke-45

yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.

2. Tema ini bertepatan dengan peranan guru sebagai pendidik dalam

membentuk murid yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,

memiliki jati diri yang kukuh, berdaya saing dan berpegang teguh

kepada ajaran agama serta nilai sejagat. Para guru sekalian wajar

berbangga kerana faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan

negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia ialah tuan-tuan dan puan-

puan sendiri.

3. Demi merealisasikan agenda pendidikan, gurulah yang

bertungkus-lumus memerah kudrat, berkorban masa bersengkang mata,

cekal menempuhi pelbagai cabaran. Bagi menjayakan misi murni ini,

para guru sanggup menabur bakti ke segala pelosok rantau – bandar,

desa, merentas pulau dan lautan hatta lurah dan gunung. Di sanubari

guru tersemat satu iltizam – akal budi murid mesti dibangunkan dan

ditajamkan, sahsiah murid perlu dipimpin dan diasuh, jasmani murid

harus dicergaskan dan disegarkan, emosi murid patut dibelai dan

2
disentuh, rohani murid wajar dibimbing dan dimantapkan, potensi murid

layak dimajukan dan disuburkan. Syabas guru semua!

4. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, prasyarat utama

untuk membina sebuah negara bangsa yang teguh, harmoni dan

sejahtera adalah melalui pengukuhan perpaduan, pembinaan identiti

nasional, persefahaman dan saling meraikan kepelbagaian resam

budaya dan keutuhan semangat kebangsaan bersesuaian dengan

kepesatan pembangunan negara dalam menghadapi era dunia tanpa

sempadan. Tidak mungkin kepentingan peranan guru dalam

merealisasikan aspirasi ini boleh dikesampingkan dan dipandang remeh

apatah lagi perjuangan guru telah terpahat dalam sejarah sebelum

negara mencapai kemerdekaan lagi. Berdiri teguh di barisan hadapan

pendidikan, dengan bersanggakan semangat juang yang tulus, tanpa

mengharapkan ganjaran dan balasan, para guru gigih berjuang melalui

penulisan, persatuan malah berani menentang secara terang-terangan

pihak penjajah yang menafikan hak kedaulatan negara.

5. Pengorbanan guru mana mungkin dipertikaikan lagi. Pada zaman

pasca kemerdekaan ini, peranan guru telah berubah daripada

menentang penjajah kepada menyuntik bibit-bibit perpaduan dan

pembangunan negara, memperkukuh perkongsian nilai dan

3
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang

berbilang kaum. Sekolah menjadi agen perpaduan dan medan penyubur

nilai sosial seperti semangat kekitaan, sifat toleransi, demokratik, saling

menghormati dan menerima, taat setia kepada negara dan mempunyai

keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan

bersepakat, rukun dan harmoni.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

6. Sesungguhnya tugas seorang guru dipandang tinggi dan amat

mulia. Guru merupakan penggerak kepada pembangunan pendidikan

dengan menyahut cabaran transformasi pendidikan negara melalui

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menerusi transformasi tersebut, peradaban bangsa boleh diperkukuh

apabila guru melaksanakan peranan mereka menghasilkan modal insan

yang memiliki kemahiran memimpin, adil, berdikari, hidup dalam

masyarakat demokratik, liberal, bertolak ansur, prihatin dan penyayang.

Nilai-nilai peradaban ini perlu disemai bermula pada peringkat awal

pendidikan kanak-kanak lagi. Peranan guru adalah memastikan

generasi pewaris negara diberikan pendidikan berkualiti seiring era

kemajuan terkini.

4
7. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah,

melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa,

berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi. Guru juga

berperanan membentuk murid agar berkemahiran menyelesaikan

masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya

tahan dan kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global

yang dinamik. Sehubungan dengan itu, kita selaku warga pendidik perlu

melestarikan pembangunan profesionalisme keguruan melalui nilai

tambah dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional

keguruan bagi menyokong usaha pelaksanaan transformasi pendidikan

negara.

Guru-guru pembina bangsa sekalian,

8. Untuk bersaing dengan negara maju dunia, kita perlu

menyediakan pendidikan berkualiti dan mantap yang mampu

menghasilkan murid bertaraf dunia dan mempunyai pemikiran kritikal

abad ke-21. Kurikulum pendidikan disemak semula dari semasa ke

semasa untuk membangunkan kemahiran abad ke-21 yang dapat

menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan

seimbang. Hasrat ini direalisasikan dalam Gelombang 2 PPPM (2016-

2020), iaitu melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan

5
penyemakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Selain itu, pendidikan abad ke-21 ini turut memberikan penekanan

kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan

pembangunan intelek, rohani, emosi dan fizikal, seiring dengan

pembinaan identiti nasional yang kukuh dan sejajar dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan. Pihak Kementerian Pendidikan telah mengenal

pasti kemahiran abad ke-21 yang mampu melahirkan murid yang

seimbang, berdaya tahan, bersemangat jitu, berprinsip, bermaklumat

dan patriotik, juga mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi dan

bekerja secara berpasukan seperti yang dihasratkan oleh kementerian

dalam melahirkan modal insan cemerlang dan berketerampilan.

Natijahnya, diharapkan modal insan negara pada era akan datang

memiliki keupayaan berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan

diiktiraf pengetahuan, kemahiran dan nilai etika mereka dalam kelas

tersendiri.

9. Untuk makluman para guru, kerajaan sentiasa berusaha menaik

taraf kemudahan pendidikan yang meliputi pembinaan infrastruktur

bangunan dan penyediaan bilik khas bagi mengupayakan sistem

pembelajaran ke arah pendidikan abad ke-21. Pihak Kementerian

Pendidikan dalam usaha untuk menambah baik kelengkapan makmal

komputer, makmal sains dan bengkel kemahiran agar dapat menyokong

6
pembelajaran berteraskan projek yang membolehkan murid mempunyai

akses pembelajaran kendiri. Hal ini banyak membantu menarik minat

murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Transformasi pendidikan ini

adalah selaras dengan perubahan sistem pendidikan global yang

diaplikasikan oleh kebanyakan negara maju.

10. Kementerian juga sentiasa berusaha untuk melengkapkan murid

dengan pengetahuan dan kemahiran terkini yang amat penting dalam

mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, antaranya dengan

memperkukuh inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan

Matematik atau STEM. Pendidikan sepanjang hayat ini merangkumi

pembelajaran bersepadu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik

di sekolah dan juga di luar sekolah. Pendidikan STEM akan mula

didedahkan kepada murid seawal usia empat atau lima tahun pada

peringkat prasekolah. Sekolah memainkan peranan utama dan

pemangkin untuk menyediakan sumber graduan STEM yang mencukupi

dan berkelayakan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk

memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Gagasan kerajaan dan pihak kementerian ini tidak mungkin berjaya

tanpa sokongan dan daya upaya guru.

7
11. Melalui pelaksanaan inisiatif STEM di sekolah, nilai tambah yang

dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan minat murid

dalam bidang pendidikan STEM akan diberi penekanan dan

diperluaskan manakala pendekatan strategik yang optimum untuk

pelaksanaan pendidikan STEM di sekolah akan dimantapkan dari

semasa ke semasa. Daya usaha ini merupakan titik tolak ke arah

mewujudkan masyarakat berliterasi STEM yang mampu memahami

sekurang-kurangnya konsep asas STEM dan mengaplikasikan

pengetahuan tersebut bagi memahami dunia sekeliling juga

menggunakan teknologi terkini serta prinsip matematik dan saintifik

dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam berkomunikasi,

mempermudahkan urusan dan menyelesaikan masalah.

12. Selain itu, usaha meningkatkan kualiti penyampaian pengetahuan

dan kemahiran serta memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan

vokasional (TVET) menjadi fokus pihak kementerian. Inisiatif ini

merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan yang perlu

dicapai dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan, modal

insan dan daya saing negara. Transformasi Pendidikan Vokasional

(TPV) merupakan salah satu usaha merekayasa sistem tersebut bagi

menyumbang kepada agenda transformasi negara bertujuan memenuhi

8
keperluan industri dan kehendak pasaran kerja supaya kita tidak terlalu

bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara.

13. Sekolah dan guru sekali lagi memikul amanah melahirkan modal

insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, mempunyai

kebolehkerjaan dan kebolehpasaran tinggi selaras dengan keperluan

industri negara malah bersahsiah mulia. Kerjasama dan usaha semua

pihak, termasuklah para guru, telah mula menampakkan kemajuan dan

keberhasilan positif. Antara kejayaannya; semua program yang

dilaksanakan di 15 buah Kolej Vokasional rintis telah menerima

akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan program yang ditawarkan

juga telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan

Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Peratusan pelajar yang

berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Vokasional

Malaysia telah meningkat kepada 87.9 peratus pada tahun 2015

berbanding 83.6 peratus pada tahun 2014.

14. KPM turut mengatur langkah bagi melahirkan golongan

berkemahiran melalui Transformasi Pendidikan Vokasional dengan

melaksanakan program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) melibatkan

81 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 4 buah Sekolah

Model Khas K9. Program kemahiran vokasional ini dilaksanakan seawal

9
pendidikan menengah rendah. Mulai tahun 2016, Program Vokasional

Menengah Atas (PVMA) diperkenalkan di 271 buah SMK terpilih di

seluruh negara. Murid akan menerima dua pensijilan iaitu Sijil Pelajaran

Malaysia (SPM) dan sijil kemahiran daripada badan pentauliahan

kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas menamatkan

program ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

15. Kerjaya sebagai guru memerlukan kita semua siap siaga

melakukan anjakan minda dan perubahan budaya kerja dengan

memperbaharui pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran agar

pengajaran terus relevan dan berkesan. Peliharalah akhlak dan budi

pekerti supaya guru terus dipandang tinggi dan menjadi suri teladan

kepada anak didik dan masyarakat. Sayangilah profesion keguruan

kerana bakti luhur dan jasa murni guru sesungguhnya tidak terbalas.

Tanggungjawab kita sememangnya semakin hari semakin kompleks

serta mencabar selaras dengan perkembangan yang amat pesat pada

masa kini. Ingatlah bahawa setiap gerak laku, tutur bicara dan tindakan

para guru menjadi perhatian dan dinilai oleh masyarakat, justeru, guru

hendaklah memastikan martabat profesion keguruan dipelihara,

disanjung dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

10
16. Dasar dan etika penjawat awam seperti Peraturan-peraturan

Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan Tahun 2002 perlu

dipatuhi demi menjaga imej dan kepentingan negara, juga profesion

keguruan. Guru merupakan contoh kepada murid melalui nilai integriti

yang dipamerkan dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Guru yang berintegriti menjadi pemangkin memacu sesebuah organisasi

ke arah perkhidmatan berkualiti dan cekap yang menyumbang ke arah

pembangunan negara dengan lebih berkesan. Dengan erti kata lain,

integriti dalam diri seorang guru amat penting kerana masa hadapan

murid, malah masa hadapan bangsa dan negara ditentukan oleh corak

didikan yang disemai oleh guru-guru pada hari ini. Integriti dalam

pendidikan berkait rapat dengan akauntabiliti. Akauntabiliti keguruan

merangkumi tanggungjawab guru terhadap murid, diri sendiri, sekolah,

masyarakat dan negara. Oleh itu, guru perlu melaksanakan tugas

dengan amanah, adil, berdedikasi, prihatin, penuh kasih sayang dan

memiliki tahap kesabaran yang tinggi.

Tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekalian,

17. Barisan kepimpinan sekolah juga tidak terlepas menerima tempias

cabaran perubahan pesat dalam arus transformasi yang melanda dunia

11
pendidikan kita pada masa kini. Senario ini sudah tentunya memerlukan

perubahan yang radikal dalam aspek pengurusan di sekolah khasnya

dalam pengurusan profesional. Pihak pentadbir bertanggungjawab

menentukan iklim sekolah, suasana pengajaran dan pembelajaran,

tahap dan kualiti profesionalisme guru, semangat kekitaan, dan rasa

tanggungjawab terhadap kemenjadian murid. Pengetua dan guru besar

selaku peneraju tonggak kepimpinan sekolah perlu berubah dahulu dan

bertindak proaktif bagi melaksanakan transformasi di sekolah dan

memberikan sokongan jitu terhadap guru-guru di bawah seliaan mereka.

Hal ini kerana pengetua dan guru besar merupakan penggerak utama

dalam membina negara bangsa agar setiap murid memiliki jati diri yang

kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral,

bertolak ansur, hidup sebagai masyarakat penyayang, bersatu padu,

berfikiran dan berbudaya saintifik, demokratik serta liberal.

Anak-anak murid yang disayangi sekalian,

18. Saya yakin tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru dan

pelbagai cabaran yang harus dihadapi tidak sedikit pun melunturkan

rasa kasih sayang kepada anak-anak didik semua. Kehadiran murid ke

sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu

dan mempertingkatkan kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang

12
guru adalah permata yang menanti untuk digilap sehingga

bergemerlapan yang akhirnya membentuk individu berdaya saing,

berfikiran logik, berbudi pekerti mulia dan berjati diri kukuh seperti yang

dihasratkan dalam Rukun Negara. Anggaplah para guru sebagai ibu dan

bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang

terbaik untuk murid-murid. Jadikanlah nasihat dan teguran para guru

sebagai pedoman dan bekalan menuju kejayaan.

Para guru yang dihormati,

19. Besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian

terus melaksanakan amanah yang diberi dengan tulus dan ikhlas,

bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan awam.

Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa

jemu tidak perlu dipertikaikan. Kahlil Gibran pernah mengungkapkan

bahawa “seorang guru yang bijaksana tidak hanya mengalu-alukan

murid meneroka domain kebijaksanaan guru malah memimpin

murid meneroka kecendiakaan sendiri”. Sudah terang lagi bersuluh,

jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun

dengan segunung intan dan emas permata. Sasterawan Negara,

Datuk Usman Awang pula pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang

perdana menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula

13
daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis.

Inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam

mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit.

Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insan dengan cahaya

ilmunya.

20. Guru haruslah menjaga keperibadian dan menjadi contoh kepada

insan lain dengan mengamalkan apa yang diajarkan. Selaku pencetus,

penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem

pendidikan negara, warga pendidik sesungguhnya mempunyai

kedudukan mulia yang tersendiri dalam masyarakat, sentiasa disegani

dan dipandang tinggi. Perjuangan guru tetap berterusan dan merupakan

satu perjalanan yang masih jauh. Jadi, teruskanlah khidmat baktimu

yang mulia ini. Terima kasih ‘cikgu’ dan sekali lagi saya mengucapkan

Selamat Menyambut Hari Guru. Akhir kata, saya sudahi ucapan dengan

dua rangkap pantun:

Sekolah gudang pelita ilmu,


Bekalan hidup aman sentosa,
Selamat menyambut hari guru,
Guru Pembina Negara Bangsa.

14
Kaulah pendidik perwira bangsa,
Mendidik tanpa mengira masa,
Segala budi dan curahan jasa,
Tak akan dilupa terpahat sentiasa.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi

wabarakatuh.

Sekian. Terima kasih.

DATO’ SRI DR. KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF


Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

15

Anda mungkin juga menyukai