Anda di halaman 1dari 3

1.0.

Pengenalan

Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia adalah selaras dan selari dengan


perkembangan dasar negara (Mohd Nazali, 2015). Setiap dasar yang dilaksanakan oleh negara
akan diikuti oleh perubahan sistem pendidikan bagi memenuhi dasar negara tersebut. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan “Pendidikan sebagai usaha berterusan untuk
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan
insane seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan murid berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta
negara.” Dalam usaha untuk merealisasikan falsafah pendidikan tersebut, Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan bagi menggantikan KBSR. Pelaksanaan KSSR ini
menuntut para guru untuk bekerja lebih keras bagi merealisasikannya hasrat kerajaan Malaysia.

Menurut Atan Long (2000), beban tugas didefinisi sebagai tanggungjawab yang mesti
dipikul dan dilakukan oleh guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah ataupun diluar
bilik darjah yang bertujuan untuk menyelesaikan semua kerja-kerja sekolah. Beban tugas ini
boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya.
Walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, namun sehingga kini isu ini masih tetap diperkatakan.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa usaha-usaha yang telah dilakukan masih tidak mampu untuk
mengatasi masalah ini. Isu ini juga tidak akan dapat diselesaikan dengan mudah kerana sistem
pendidikan kini yang sentiasa berubah serta keperluan pendidikan yang semakin meningkat
dan harus dipenuhi.

Menurut Roslan Madon (2010), Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia
(GMGBM), walaupun sudah terdapat garis panduan mengenai tugas guru yang perlu
dilaksanakan, namun guru tetap melaksanakan kerja lain yang diluar bidang mereka seperti
membuat pemeriksaan kesihatan murid. Tambahan pula, sebagai seorang guru pemulihan,
adalah suatu kewajiban kepada guru untuk memastikan tahap kesihatan murid dalam kedaan
baik supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan sempurna. Walhal, tugas
ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Malaysia dan bukannya guru
pemulihan. Jadi, seharusnya guru pemulihan tidak sepatutnya dibebankan dengan aktiviti
anjuran agensi lain dan boleh menolak kerjasama dengan agensi luar melainkan kerjasama
tersebut memberi keutamaan kepada keperluan murid dan tidak membebankan guru
terutamanya guru pemulihan.
Bebanan tugas guru pemulihan juga dapat dilihat dimana sesetengah guru pemulihan
terbabit dalam pengurusan asset sekolah dan inventori sedangkan ini bukanlah tugas utama
guru pemulihan, sebaliknya ini adalah bidang tugas pejabat iaitu kerani sekolah. Menurut Mohd
Nazali .(2010), berikutan jumlah kerani yang tidak mencukupi di sekolah telah menyebabkan
guru pemulihan terpaksa mengurus dan memasukkan data pelbagai jenis borang seperti
Borang Pinjaman Buku Teks, Borang Biasiswa, Borang Inventori serta profil murid. Sebagai
contoh, Sekolah Rendah Jerai mempunyai empat kerani berbanding 800 orang pelajar.
Bilangan ini tidak mencukupi dan perlu ditambah bagi membolehkan semua kerja perkeranian
dapat dilakukan oleh kakitangan pejabat sekolah. Kesannya, guru pemulihan terpaksa
mengambil alih tugas tersebut bagi membantu pihak pengurusan kerani dalam memperoleh
data dan maklumat. Keadaan ini jelas menunjukkan guru bukan sahaja berperanan dalam
mendidik pelajar bahkan dibebankan dengan membuat kerja di luar bidang mereka.

Perubahan dasar kerajaan juga turut meningkatkan tugas guru pemulihan. Hal ini
kerana guru pemulihan juga merupakan badan pelaksana dasar kerajaan. Perubahan kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
telah menyebabkan guru-guru perlu menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak
kementerian Pelajaran bagi merealisasikan hasrat kerajaan (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2012). Setiap kali kurikulum dan sistem berubah, guru-guru perlu mengikut dan memastikannya
berjaya. Kesannya guru pemulihan terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan
dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Contohnya apabila
terdapat pegawai baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri atau di
peringkat kementerian, maka akan terdapat juga idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh
guru. Keadaan ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada bebanan tugas guru pemulihan
pada masa kini.

Selain itu, jumlah murid yang semakin bertambah pada setiap tahun juga merupakan satu
beban yang harus ditanggung oleh guru di sekolah. Menurut Mohd Majid (2000), setiap tahun,
jumlah pengambilan murid baru semakin bertambah dan secara tidak langsung mewujudkan
suasana bilik darjah yang melebihi kapasiti yang telah ditetapkan. Bilangan guru pemulihan
yang tidak mencukupi dalam sesebuah sekolah juga menyumbang kepada peningkatan tahap
beban guru pemulihan yang sedia ada di sekolah tersebut kerana bilangan murid pemulihan
yang terlalu ramai. Guru pemulihan yang terpaksa mengawal bilangan murid yang terlalu ramai
dan perkara ini bakal menjejaskan prestasi seseorang guru. Guru pemulihan juga tidak dapat
memberi tumpuan sepenuhnya ketika waktu pengajaran dan pembelajaran. Akibat terlalu penat
dengan urusan dalam bilik darjah, guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan
bahan bantu mengajar bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya

Kesimpulan

Menjadi guru berkesan, melahirkan sekolah yang berkesan dan mencapai pendidikan
yang cemerlag bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang penting ialah kesediaan dan
kesanggupan guru sendiri mengubah paradigma, style pemikiran dan bertindak secara
professional serta menjadi guru yang tidak mudah patah semangat. Walaupun dibebani dengan
tugas yang banyak, guru tidak boleh patah semangat dan berputus asa. Guru perlu sentiasa
bersemangat untuk memajukan diri dengan meningkatkan kemahiran diri agar dapat
menyempurnakan tugas-tugas yang diberi. Seseorang guru yang profesional sentiasa
mempamerkan ciri-ciri kekutan ilmu dan mengamalkan tingkah laku yang penuh dengan
keluhuran etika kerja serta mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan
dan komitmen yang tinggi untuk menyempurnakan tugasnya pada setiap waktu. Guru yang
berjiwa waja tidak mudah patah semangat dengan cabaran kerjanya. Guru hendaklah bersikap
optimistik, tidak mudah merungut dengan beban tugas yang dipikul.

Anda mungkin juga menyukai