Anda di halaman 1dari 12

CURRICULUM STUDIES

SGDC 6044

REFLECTION PAPER

DILEMA SISTEM PENGASINGAN KELAS

DISEDIAKAN UNTUK:
PROF. DR. NURAHIMAH MOHD YUSOFF

DISEDIAKAN OLEH:
SITI ROHAIZALINA BINTI MOHD JALALUDDIN (823349)
Sistem pengasingan kelas atau streaming secara umumnya merujuk kepada

sistem pengasingan pelajar mengikut tahap penguasan akademik. Sistem ini

mengelompokkan pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik yang sama

dan diletakkan dalam satu bilik darjah yang sama. Pengasingan murid mengikut

kelas ini ditentukan berdasarkan pencapaian akademik mereka melalui keputusan

peperiksaan tahun sebelumnya. Sistem pengasingan kelas ini tidak bebas dari pro

dan kontranya yang tersendiri.

Saya sangat bersetuju bahawa berdasarkan sistem pengasingan pelajar

membolehkan guru untuk mengurus pola pembelajaran mereka dengan lebih

sistematik berdasarkan keupayaan pelajar dalam akademik. Sistem ini diharap agar

pelajar dapat mengamati pembelajaran dalam bilik darjah dengan lebih efektif. Bagi

melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lancar, guru perlu

membuat perancangan pengajaran dengan rapi. Perancangan merupakan perkara

utama yang perlu dilakukan oleh guru sebelum melaksanakan pengajaran. Kajian

Johnson (2007), menyatakan perancangan dapat mengawal pengajaran bagi

memastikan tercapainya objektif pembelajaran pelajar. Perancangan yang rapi

secara tidak langsung menyebabkan silibus dapat dihabiskan dengan cepat dan

guru dapat menumpukan kepada latih tubi pelajar. Manakala bagi kelas yang

mempunyai pelajar yang lemah akan melalui proses pemulihan tanpa rasa tertekan,

terganggu dan saling membantu antara mereka kerana berada dalam lingkungan

pelajar yang memiliki kebolehan yang sama.

Pandangan dalam kalangan guru, sistem streaming dapat memudahkan

perancangan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap dan kebolehan

akademik pelajar. Hasil kajian Schemp (2003), mendapati bahawa guru yang baik

adalah guru yang sentiasa merancang dan membuat persediaan tentang pengajaran
mereka. Oleh itu, bagi menjayakan proses pengajaran perlunya perancangan yang

rapi terlebih dahulu. Penyeliaan terhadap guru memainkan peranan penting dalam

memastikan mereka membuat perancangan sebelum melaksanakan pengajaran dan

pembelajaran. Kajian oleh Arasaythamby Velo (2013), melalui kajian yang bertajuk

‘Kesan Penyeliaan Klinikal Terhadap Prestasi Pengajaran Guru Sekolah Menengah’

mendapati penyeliaan membantu guru dalam meningkatkan pengajaran dan

pembelajaran yang lebih berkesan supaya pengajaran dapat meningkatkan

penguasaan pelajar. Kajian ini turut disokong oleh Holland dan Adam (2002),

mendapati bahawa penyeliaan pengajaran yang dilaksanakan di sekolah dapat

meningkatkan tahap perkembangan pengajaran guru disamping guru membuat

pengubahsuaian amalan pengajaran yang baik dan berkesan. Selain itu menyifatkan

amalan penyeliaan pengajaran di sekolah sebagai one size fits all. Melalui

penyeliaan yang berkesan, guru boleh meningatkan amalan mereka bagi membantu

memperbaiki tahap pengajaran guru di bilik darjah.

Melalui sistem streaming, guru yang mengajar di kelas akhir perlu membuat

persediaan pengajaran yang berbeza berbanding mengajar pelajar yang berada di

kelas hadapan. Bagi merealisasikan aspek ini, guru memerlukan masa yang cukup

untuk mengurus isi kandungan pengajaran dan strategi penyampaian yang efektif

selaras dengan keupayaan pelajar. Pada masa yang sama, guru juga perlu

mengerah keringat yang lebih daripada biasa terutamanya untuk mendidik kelas

yang kurang menyerlah pencapaian akademik. Manakala, pelajar yang cemerlang

lebih mudah memahami kandungan bahan pengajaran yang disampaikan oleh guru

dan situasi ini berbeza bagi pelajar yang berpencapaian rendah. Pelajar yang

kurang pencapaian akademik memerlukan lebih banyak tumpuan dan pendekatan

mengajar yang bersesuaian. Hal ini sudah pasti menyukarkan guru dari segi
pembahagian masa dan keperluan tenaga untuk mengendalikan pengajaran dan

pembelajaran mengikut keupayaan pelajar yang berbeza. Guru perlu mengetahui

pelbagai model, kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran dan berusaha

menggunakan kaedah dan kesesuaian ( Reece 1997; Norasmah 2000; Zamri 2004).

Pernyataan ini turut disokong oleh Meor (2003), menyatakan bahawa para pelajar

kurang berminat belajar disebabkan gaya pengajaran guru yang tidak memenuhi

gaya pembelajaran mereka. Wan Mohd Zaki (1993), menjelaskan bahawa

sehubungan dengan hasrat kerajaan ke arah pendidikan bertaraf dunia, para guru

harus membuat anjakan paradigma terhadap pemikiran serta tanggapan yang akan

melibatkan penyusunan strategi pengajaran yang dipilih dalam bilik darjah.

Pelaksanaan sistem streaming merupakan satu tanggungjawab yang amat

berat dan mencabar bagi guru untuk mengawal disiplin pelajar terutama bagi pelajar

yang berada di kelas akhir. Kebanyakkan guru biasanya berhadapan dengan

kesukaran untuk mengawal disiplin pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran

dijalankan. Pengelompokkan pelajar berpencapaian rendah turut ‘mengelompokkan’

personaliti atau ciri – ciri yang hampir sama dalam kalangan mereka. Keperluan guru

untuk mengawasi disiplin pelajar dalam bilik darjah sudah tentunya memberi kesan

terhadap tumpuan guru semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Pada

pandangan saya, kawalan disiplin dapat dikawal sekiranya guru bijak melaksanakan

aktiviti yang menarik di dalam bilik darjah dengan menggunakan kaedah yang

sesuai. Kenyataan ini disokong oleh Hidhir Ismail (2004), menyatakan pendekatan

pengajaran yang digunakan oleh guru pada masa kini ialah gemar menggunakan

cara tradisional. Ini menyebabkan pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak

menyeronokkan dan menimbulkan suasana pembelajaran yang membosankan.

Pelajar didapati ponteng, mengantuk, bermain, menganggu rakan lain dan


bersembang serta tidak menumpukan perhatian di dalam bilik darjah. Apabila diteliti,

perlakuan pelajar sedemikian disebabkan pelajar bosan dengan pengajaran yang

tertumpu kepada guru yang tidak langsung melibatkan mereka secara aktif. Kajian

Siti Fatimah & Ab Halim Tamuri (2010), menunjukkan guru yang mengekalkan

kaedah pengajaran dan pembelajaran yang membosankan boleh menyebabkan

antaranya punca pelajar hilang fokus semasa mengajar.

Pembelajaran koperatif telah terbukti sebagai satu cara pengajaran alternatif

yang dapat melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran. Strategi

pembelajaran Koperatif yang mewujudkan pelbagai aktiviti yang menarik membantu

murid tertumpu kepada pembelajaran. Hal ini juga akan mengelakkan murid

melakukan pelbagai gangguan di bilik darjah (Zamri et al. 2015). Namun,

kebanyakkan guru kurang memberi perhatian kepada kaedah pengajaran yang

pelbagai kerana terlalu menumpukan kepada usaha untuk menghabiskan sukatan

pelajaran dan penguasaan teknik menjawab soalan peperiksaan. Kajian Zamri dan

Jamaluddin (2002), mendapati bahawa perkembangan pengajaran yang

menerapkan pengajaran yang pelbagai dalam bilik darjah masih berada pada tahap

yang kurang memuaskan.

Sistem Streaming memberi kesan terhadap cara pelajar kurang cemerlang

atau lemah melihat diri mereka sendiri. Di mana, pengasingan kelas mengikut tahap

pencapaian akademik boleh menyebabkan pelajar yang berada di kelas ‘ belakang’

berasa rendah diri, dipinggirkan dan kurang dihargai. Pengasingan yang dilakukan

berdasarkan keputusan peperiksaan dan penempatan mereka di kelas akhir boleh

menjejaskan imej diri mereka. Pelajar beranggapan bahawa kesukaran untuk

berjaya apabila telah ditempatkan di kelas akhir. Pelajar dikatakan mudah berputus

asa dan gagal bersaing dengan pelajar dari kelas hadapan dan akibatnya hilangnya
motivasi diri untuk memajukan diri mereka. Kamarul Azmi (2012), berpandangan

bahawa pelajar yang mengikuti pembelajaran di sekolah memiliki tahap ‘IQ’ yang

berbeza. Kajian Ahmad Mohamad Salleh (2008), menjelaskan bahawa pemberian

kata semangat untuk belajar akan dapat mengurangkan masalah pelajar itu sendiri.

Menurut Norizan dan Mohamad (2007) , seorang guru yang berkesan bukan sahaja

mengajar mata pelajaran akademik, tetapi turut berperanan sebagai penasihat,

perunding, pendorong, pakar rujuk dan mengawasi disiplin pelajar.

Sistem streaming mewujudkan jurang di antara pelajar cemerlang dan

pelajar yang lemah. Pengasingan ini memberi kesan terhadap pergaulan pelajar

yang secara lumrahnya mereka lebih gemar berkawan dengan rakan daripada kelas

yang sama berbanding kelas yang berbeza. Situasi ini memperlebarkan jurang

interaksi dan sosialisasi antara pelajar berpencapaian tinggi dan rendah. Pelajar

yang berpencapaian tinggi dilihat sebagai bijak dan berkredibiliti manakala pelajar

yang berpencapaian rendah dilihat sebagai lemah dan kurang potensi dalam

pendidikan. Perlabelan terhadap pelajar lemah atas kekurangan mereka dalam

pendidikan turut memberi kesan ke atas imej diri dan harga diri mereka.

Sistem pengasingan kelas menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan ibu

bapa apabila anak – anak mereka ditempatkan di kelas bawah. Ibu bapa turut

merasa sangat bimbang jika anak – anak mereka terpengaruh dengan sikap

pelajar lemah yang lain dari segi gaya pembelajaran dan masalah disiplin. Terdapat

kajian yang membuktikan bahawa rakan sebaya memberikan lebih banyak

pengaruh negatif dan juga tindakkan yang agresif berbanding pengaruh positif (Zahrt

& Lange, 2011). Pendapat ini turut disokong oleh Tome et al. (2012), mendapati

rakan sebaya mempunyai pengaruh secara langsung serta bertindak sebagai

moderator untuk terlibat dalam tingkah laku yang ganas dan negatif.
Pandangan sesetengah ibu bapa mendapati sistem pengasingan ini bersifat

diskriminasi terhadap pelajar yang lemah kerana sistem ini bertindak mengasingkan

mereka daripada pelajar yang cemerlang. Ibu bapa beranggapan melalui sistem ini,

anak – anak mereka akan terpinggir dalam pembelajaran. Di samping itu,

ketidakpuasan ibu bapa terhadap pihak sekolah sedikit sebanyak akan

mengurangkan kepercayaannya kepada pihak sekolah dan juga guru. Mohd Amin

Dawam et al. (2008), menjelaskan bahawa untuk menghasilkan suasana sekolah

yang kondusif dan selamat memerlukan kepada beberapa dimensi seperti peranan

guru besar, sekolah, ibu bapa serta peglibatan komuniti. Peranan pentadbir dilihat

sebagai peranan yang paling utama dalam memastikan suasana sekolah yang

selamat dari salah laku disiplin pelajar.

Pandangan saya terhadap sistem pengasingan kelas ini jika diteruskan tidak

bersesuaian dengan prinsip pendidikan holistik yang menjadi teras kepada

pendidikan negara. Pemansuhannya banyak memberi faedah antaranya

mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar dari pelbagai tahap

akademik, potensi, keupayaan, kecergasan dan kebolehan. Pemansuhan

pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik terutamanya seawal Tahun

Satu adalah menjadi platform yang baik untuk mewujudkan iklim pembelajaran yang

positif berteraskan nilai – nilai murni. Kenyataan ini telah disambut baik daripada

kalangan ibu bapa, warga pendidik dan ahli akademik sepertimana amanat Menteri

Pendidikan , YB Dr. Maszlee Malik di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14hb

Januari 2019. Tidak semestinya jika seseorang pelajar itu lemah bermakna mereka

lemah dalam semua mata pelajaran. Terdapat juga pelajar yang dikategorikan

sebagai lemah, didapati cemerlang dalam satu – satu mata pelajaran tetapi tidak

cemerlang dalam beberapa mata pelajaran lain. Malah, keputusan ‘tidak cemerlang’
juga boleh terhasil daripada pelbagai faktor lain seperti kekurangan persediaan

menghadapi peperiksaan atas masalah tertentu, keadaan emosi ketika menduduki

peperiksaan kelemahan pengurusan diri dan latar belakang sosioekonomi keluarga.

Kenyataan ini turut disokong oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Amir yang

menjelaskan bahawa amalan pengasingan kelas perlu dihentikan, manakala kaedah

pengasingan rasmi seperti Ujian Kemasukan Tahun Satu juga perlu dimansuhkan

sepenuhnya bermula tahun 2019. Beliau bersetuju berkenaan tiada lagi keperluan

untuk sekolah mengasingkan pelajar mengikut tahap akademik, sebaliknya

menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan

kelebihan berbeza ditempatkan dalam satu kelas yang sama supaya pelajar dapat

saling bantu – membantu (Utusan Malaysia Online 2019).

Dalam konteks ini, markah hanya satu permainan angka yang ditentukan

secara objektif melalui ketetapan manusia atas nama peperiksaan. Keupayaan

sebenar adalah bersifat subjektif dan sukar diukur melalui markah atau gred. Hal ini

bermakna kelemahan pelajar dalam pencapaian peperiksaan tidak seharusnya

dilihat sebagai satu justifikasi bahawa pelajar tersebut lemah ilmu. Setiap pelajar

mempunyai kelebihan yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Kajian

oleh Norazura Tukiran et al. (2010), yang bertajuk ‘Teori Kecergasan Pelbagai

Untuk Meningkatkan Penglibatan Aktif Pelajar Di Dalam Kelas’ mendapati bahawa

teori ini perlu diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia

menyokong perbezaan bersepadu yang menyeluruh selaras dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan dan keperluan pelajar. Di samping itu, pendekatan ini

dilihat dapat menerima persamaan dan perbezaan antara individu dengan mengakui

bahawa setiap pelajar adalah unik dengan cara pembelajaran yang berlainan.
Sehubungan dengan itu, pencampuran pelajar cemerlang dan pelajar lemah

dalam satu kelas tanpa diskriminasi jurang kepandaian mampu memperlihatkan

pelbagai implikasi yang positif terhadap budaya pembelajaran murid berasaskan

kelebihan yang dimiliki mereka. Percampuran pelajar dalam satu kelas tanpa

mengira keupayaan akademik juga mampu meningkatkan motivasi pembelajaran

dalam kalangan mereka. Melalui sistem ini, pelajar yang lemah dapat mempelajari

pelbagai sikap dan tingkah laku positif daripada murid cemerlang. Pelajar yang

lemah juga dapat mempelajari pelbagai teknik antaranya teknik pembelajaran dan

pengurusan masa daripada murid cemerlang. Pada masa yang sama, sistem

pencampuran pelajar membolehkan program mentor – mentee dilaksanakan.

Pelajar yang cemerlang dapat dijadikan sebagai mentor kepada rakan mereka

yang kurang cemerlang bagi membantu pembelajaran. Situasi ini bersifat

membantu kerana pelajar yang lemah lebih gemar bertanyakan soalan kepada

rakan mereka berbanding bertanyakan soalan kepada guru. Secara tidak langsung,

pelajar cemerlang pula dapat membangunkan kemahiran kepimpinan dalam diri

mereka dengan membantu dan memimpin rakan yang memerlukan dalam

pembelajaran.

Sistem pencampuran pelajar menyediakan pergaulan yang baik antara

pelajar cemerlang dan pelajar lemah di dalam bilik darjah yang sama. Sosialis yang

positif tanpa mengambil kira batasan keupayaan pelajar dapat mendorong

pembelajaran koperatif dengan menggalakkan penglibatan pelajar dalam

pembelajaran efektif. Keadaan ini dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran

yang saling menyokong di bilik darjah melalui semangat kerjasama antara pelajar

cemerlang dengan pelajar yang kurang menyerlah. Pelajar yang lemah dapat
membangunkan sikap yang positif terhadap ilmu dan memberikan perhatian yang

lebih serius terhadap pelajaran mereka.

Kesimpulannya, penghapusan sistem pengasingan kelas dan penekanan

kepada sistem pembelajaran yang bersifat menyeluruh tanpa pengasingan pelajar

sudah pasti dapat memperbaiki pola pembelajaran mereka serta mewujudkan

kemenjadian pelajar selaras dengan Pembelajaran Abad ke-21. Bagaimanapun.

keberkesanan kelas kepelbagaian pelajar bergantung kepada jenis aktiviti yang

mengambil tempat dalam persekitaran bilik darjah dan sejauh mana aktiviti tersebut

memberi manfaat yang tinggi kepada pelajar secara holistik. Sehubungan itu, bagi

merealisasikan semua aspirasi yang telah disebutkan, yang merupakan Enam

Aspirasi Murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

(PPPM) 2013 – 2025, peranan dan tanggungjawab guru adalah penting. Guru perlu

‘menterjemahkan’ bentuk sesi pengajaran dan pembelajaran selain menjadi aktiviti

yang berkualiti dan praktikal yang mampu menarik minat serta penglibatan yang

tinggi dalam kalangan pelajar.


RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajaran agama islam & j- Qaf methodology dan pedagogi
pendidikan . Penerbit Oxford Fajar Sdn Bhd.

Arsaythamby Velo. (2013). Kesan penyeliaan klinikal terhadap prestasi pengajaran guru
sekolah menengah. Jurnal Pendidikan. Vol. 28,81-102.

Holland, P. E., & Adams, P. (2002). Through the horns of dilemma between instructional
supervision and the summative evaluation of teaching. Journal of Educational
Leadership, 5(3), 227–247.

Johnson,D.A. (2007). Teacher planning, instruction, and reflection. Journal of Physical


Education, Recreation & Dance. Vol. 78, Iss. 5, 11 (1p)

Kamarul Azmi Jasmi & Abd Halim Tamuri (2007). Pendidikan Islam : Kaedah pengajaran
dan pembelajaran. Penerbit UTM.

Maszlee Malik (2019). Pendidikan untuk semua, tanggungjawab semua.


Amanat Menteri Pendidikan 2019.
https://moe.gov.my/index.php/my/arkib/pemberitahuan/2018/4779- amanat2019

Mohd Amin Dawam & Khuan Wai Bing (2008). Pengurusan sekolah selamat: Satu tinjauan
ke atas sekolah – sekolah rendah daerah hilir Perak. Jurnal Pengurusan dan
Kepimpinan Pendidikan.

Nurazura Tukiran & Juliza Adira Mohd. (2010). Teori kecergasan pelbagai untuk
meningkatkan penglibatan aktif pelajar di dalam kelas. Penerbit UKM.

Salvin, R.E (2011). Student team learning : A practical guide to cooperative learning
Washington D.C: national Education Association.

Schemp, P.G.(2003). Teaching sport and physical activity. Insights on the road to excellance.
USA: Human Kinetics

Siti Fatimah & Ab Halim. (2010). Persepsi guru terhadap penggunaan bahan bantu mengajar
berasaskan teknologi multimedia dan pengajaran jQaf. Jurnal Islam dan Pendidikan
Arab 2(2) 53-64.

Tomé, G., Matos, M. G., Simões, C., Camacho, I., & Diniz, J. A. (2012). How Can Peer
Group Influence the Behavior of Adolescents: Explanatory Model. Global Journal
of Health Science. 4(2): 26–35.

Zahrt, D. M. & Lange, M. D. (2011). Aggressive Behavior in Children and Adolescents.


Pediatrics in Review. 32, 325, doi: 10.1542/pir.32-8-325.

Zamri Mahamod, Ruslin Amir & Mohamed Amin Embi. (2015). Kepelbagaian pelajar dan
perbezaan pembelajaran. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zanaton.(2017). Pembelajaran kolaboratif guru. Penerbit UKM. http://press.ukm.my


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiada-lagi-pengasingan-kelas-pada-2019-
1.581194#ixzz5fsWUCGAq © Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai