Anda di halaman 1dari 2

Menabung dan melabur merupakan satu amalan proaktif yang dapat menjamin masa depan yang

cerah.

Bincangkan manfaat-manfaat amalan tersebut.

Amlan menabung dan melabur merupakan satu budaya mahmudah yang berpaksikan
kesedaran seseorang dalam usaha membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cemerlang
dan gemilang. Mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz, pernah menyatakan
bahawa menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang bijak untuk memastikan wang
tabungan disimpan dengan selamatnya berbanding dengan menyimpan wang secara konvesional di
rumah. Beliau juga pernah menggesa rakyat agar menggandakan wang simpanan dengan melabur
dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), unit amanah, dan sebagainya. Menurut beliau lagi, pada
zaman Tuk Nadur berkajang kain, nenek moyang melaburkan wang tabungan yang disimpan
bertahun-tahun dalam hartanah seperti membeli tanah sawah, dusun, dan ladang. Persoalan yang
berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah manfaat-manfaat yang diperoleh daripada
amalan penabungan dan pelaburan?

Amalan menabung dan melabur yang diibaratkan sedia berpayung sebelum hujan
membolehkan seseorang merencana sosioekonomi rumah tangga yang mapan pada masa hadapan.
Impian ini akan menjadi realiti kerana aktiviti tersebut merupakan alternatif untuk menambah
pendapatan dengan memperoleh faedah atau dividen daripada pihak bank mahupun agensi
pelaburan. Sebagai contohnya, jika kita melabur sebanyak RM10,000 dalam ASB dengan kadar dividen
tahunan sebanyak 8 peratus, dijangka akan menghasilkan jumlah simpanan sebanyak RM21, 589.25
pada akhir tahun yang ke-10. Apabila wang sudah terkumpul, seseorang individu tidak akan berdepan
dengan masalah kesempitan wang. Amalan gali lubang tutup lubang dengan meminjam daripada
rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Oleh itu, memasang pelita tengah hari,
penabungan dan pelaburan merupakan inisiatif positif yang perlu dijadikan budaya hidup seseorang
demi menjamin kualiti hidup yang lebih baik.

Pembudayaan menabung dan melabur juga yang merupakan amalan bijak memastikan anak-
anak mendapat pendidikan yang sempurna agar hari muka mereka cerah. Tanggapan ini berdasarkan
kos pendidikan pengajian tinggi di negara kita semakin meningkat dari semasa ke semasa. Hasil
penabungan dan pelaburan yang umpama berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit boleh digunakan
untuk mengongkosi kos pendidikan, sementelahan mentaliti kebergantungan pada wang bantuan
atau wang pinjaman seperti PTPTN dapat dikikis daripada minda masyarakat. Sebagai tamsilannya,
ibu bapa yang membuat tabungan melalui insurans pendidikan atau pelaburan dalam unit amanah
tidak akan menghadapi masalah kewangan apabila anak-anak mereka ditawarkan mengikuti
pengajian di menara gading. Dengan langkah proaktif ini, lahirlah modal insan yang berminda kelas
pertama, sekali gus menjana kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi
dengan negara-negara maju yang lain.

Bukan itu sahaja, amalan menabung dan melabur merupakan satu mekanisme untuk menjana
keselesaan dan kesenangan hidup. Setiap hamba-Nya mendambakan kediaman yang selesa dan
kondusif untuk menjamin kelangsungan hidup yang bahagia. Belakangan ini, kos sara hidup semakin
meningkat gara-gara kenaikan kos bahan api, kos utiliti, harga makanan, kos pendidikan, tambang
pengangkutan, harga rumah, peralatan elektrik, perabot rumah, dan sebagainya. Jika kita menabung
dan melabur awal-awal, kita dapat membina jambatan emas. Faedah, dividen dan bonus daripada
penabungan dan pelaburan dapat dimanfaatkan untuk melengkapkan rumah dengan peralatan yang
moden dan canggih. Tegasnya, kita tidak perlu membeli kelengkapan rumah secara ansuran ataupun
berhutang. Bagaimanapun, amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam
penggunaan wang tabungan. Lagi terang lagi bersuluh bahawa amalan menabung dan melabur
membolehkan kita mengecap nikmat pisang masak separak.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh dijadikan
instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan seperti kata pepatah
sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan cagaran pada waktu kesusahan,
kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha untuk menjauhi sebarang kesusahan namun
malang tidak berbau dan langit tidak selalu cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan,
wang yang disimpan boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat
kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani daripada
pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai
contohnya, apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin
bertambah, wang tabungan boleh digunakan. Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai
menghadapi risiko dan tidak menjadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh
menjadi medium penyelamat bagi kita menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana amalan
menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat dan
berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anak-anak yang masih kecil
perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak menjauhi pembaziran, melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan dalam kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah
anak-anak yang mudah dibentuk jika diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh
membelikan tabung atau membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat
melihat sendiri akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan
budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri,
keluarga dan kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-
warakan dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep
tabungan dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang
pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan
dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan mengekalkan
keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah
agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu
mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas
berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi
memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu
agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan momentumnya.

Anda mungkin juga menyukai