Anda di halaman 1dari 28

PERCUBAAN SPM SE-MALAYSIA 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Atas segala limpah kurnia Allah, saya mengucapkan syukur ke hadrat-Nya kerana masih
mengurniai insan daif ini dengan sedikit ruang masa, kesihatan, tenaga dan fikiran. Dengan
rahmat tersebut, hamba berjaya menyempurnakan rangka isi dan beberapa sampel karangan yang
sempat dikutip daripada soalan Peperiksaan Percubaan sekolah-sekolah Malaysia sesi 2018.
Inisiatif ini adalah atas komitmen hamba dalam memenuhi hasrat rakan-rakan guru dan pelajar-
pelajar di 86 buah alma mater yang sudi menjemput hamba untuk berbicara tutur dalam siri
jerayawara BM Kertas 1 sesi 2018. Terima kasih rakan dan taulan.

Sementara itu, bahan yang seadanya ini hamba dedikasikan kepada rakan-rakan murabbi yang
cakna mendidik di seluruh negara yang berada di dalam rangkaian grup GURU BMSPM dan grup-
grup lain yang seumpama dengannya. Mohon sampaikan oleh-oleh ini kepada semua anak-anak
calon SPM 2018, moga-moga boleh dijadikan rujukan terakhir sebelum mereka melangkah ke
medan ‘tempur’ SPM 2018. Atas faktor ketiadaan pembaca kedua, kemungkinan berlaku banyak
kesilapan ejaan yang tidak disengajakan, hamba memohon kemaafan. Selain itu, koleksi soalan
pada sesi 2018 agak terhad atas kesukaran memperoleh soalan yang terakrudari negeri-negeri
selain kedaifan hamba sendiri dalam kudrat yang terhad.

Sebagai lazim rangka dan contoh karangan ini bukanlah terbit atas jaminan 100 peratus akan
keluar dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun isu dan tema adalah betepatan dengan silibus
dan cukup berguna untuk anak-anak didik jadikan panduan.

Atas kesudian anda manfaatkan buah hasil daripada cakna minda dan cendekia hamba, seyogia
salam kasih sayang dan terima kasih hamba hulurkan.

SELAMAT MAJU JAYA

KEDAH

1. Kini, alam pekerjaan memerlukan individu yang memiliki pelbagai ilmu dan
kemahiran.

Sebagai seorang murid, huraikan persediaan anda untuk menempuh alam


pekerjaan.

Samudera gelora pawana berpintal

Cuaca redup ditutup mega

Jikalau kail panjang sejengkal

Lautan dalam jangan diduga

Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu yang berisiko jangan sama
sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi. Banyak padah yang boleh menimpa jikalau

1
tersalah duga. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang mencabar seperti hari ini, kemampuan
meneroka sesuatu yang baharu dan lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh
mencapai kejayaan sehingga di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran, saya
mengidami kecemerlangan dalam kerjaya kelautan (anda boleh masukkan sebarang kerjaya pilihan
anda). Oleh yang demikian, saya faham untuk memenuhi matlamat tersebut bukanlah boleh dicapai
dengan mudah. Persis untuk mencapai matlamat besar seperti itu, saya hendaklah memperlengkap
diri dengan pelbagai persediaan sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi, dan berani menempuh
segala cabaran .

Isi 1: Memantapkan diri dengan persediaan yang paling asas – persediaan fizikal, mental, emosi,
cita-cita dan motivasi (olahkan setiap satu persediaan tersebut)

Isi 2: Memprogramkan jadual harian yang amat teliti dan berdisiplin – agar semua perancangan
dapat berjalan mengikut jadual – meletakkan cita-cita sebagai perkara yang paling hadapan daripada
aktiviti yang kurang berfaedah

Isi 3: Memantapkan psikologi dan emosi – agar sentiasa bermotivasi tinggi – tidak mudah pudar
semangat dengan cabaran-cabaran yang ditempuhi – mengenal pasti seseorang yang boleh dijadikan
idola dalam bidang yang akan diceburi

Isi 4 Membuat kajian dan mencari maklumat yang tepat tentang bidang dan kerjaya yang ingin
diceburi – usaha melalui pembacaan, berbincang dengan rakan-rakan, guru, internet dan
memperoleh maklumat daripada tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan

Isi 5 Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah SWT –
sebagai sandaran agar segala usaha dan cita-cita dimakbulkan.

Kesimpulan : Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa, saya
sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk merealisasikan impian saya menjadi kenyataan. Saya
amat yakin dengan cita-cita, usaha, dan amal takwa Allah tidak akan menghampakan setiap niat
yang baik daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya yakin setiap persediaan yang saya buat secara
berterusan akan memberi natijah yang besar kepada diri saya.

2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada hari ini.

Jelaskan peranan pelbagai pihak untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan
remaja.

Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun
tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca iaalah
suatu kewajipan yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada
sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya,
bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan
nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di

2
peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal
dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan
tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat
membangunkan insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca, nescaya seluruh
adiwangsa memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam
kalangan remaja.

Kelompok sasar yang pertama untuk merancakkan budaya membaca ialah ibu bapa.
Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala
tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif
daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja
yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat
positif dalam kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan
cara membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang
membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang
tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter dan Instagram yang mula menyerap
ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang
bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan
ciptaan sendiri.

Institusi alma mater merupakan pusat kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya
sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu,
sekolah berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam
membaca. Ejen terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang gemar membaca ialah
para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan menyuburkan minat membaca
dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir seperti mencari maklumat dan meneroka gaya
berfikir seperti orang-orang bijaksana sewajarnya digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di
luar kelas. Dalam usaha mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah
dimanfaatkan. Pihak sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan peranti
elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden yang semakin
bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama, sebaliknya berani keluar
daripada kepompong katak di bawah tempurung.

Masyarakat massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya
membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif
begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti berhibur,

3
bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa
kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur
habis-habisan gejala pagan ini daripada terus menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui
nasihat dan kaunseling mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan
segera. Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali
kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah
rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha melahirkan generasi cendekia.
Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan.

Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang terpenting berperanan
untuk menyemarakkan budaya membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi
berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca, justeru masyarakat massa
dengan sendirinya akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan
Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan bahan bacaan
berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali menanti giliran ketika
berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama gedung-gedung
perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang
bermula daripada awal pagi hingga lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya
mengumpan masyarakat untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor
bergelumang tahi.

Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke
seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan
bijaksana melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang
sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh
polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan amalan membaca
kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang berjaya.

4. Perniagaan secara dalam talian merupakan satu trend baharu dalam urus niaga
tanpa sempadan.

Huraikan kebaikan urus niaga secara dalam talian kepada masyarakat antarabangsa.

Pendahuluan: Nabi SAW telah bersabda dalam mafhumnya, “Sembilan persepuluh daripada
kekayaan datangnya daripada perniagaan”. Iktibar daripada Hadis tersebut dengan jelas

4
menerangkan bahawa bidang perniagaan mampu mengangkat kuasa ekonomi seseorang untuk
hidup senang-lenang. Sejajar dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat, bidang urus niaga
juga turut mengalami proses transformasi apabila urus niaga sistem tradisional telah bertukar
kepada transaksi secara dalam talian. Hal yang tersebut telah mengimpakkan anjakan paradigma
dunia perniagaan menjadi lebih efektif, mudah dan berkesan.

Isi 1: Sistem urus niaga dalam talian benar-benar mempercepat urusan – urusan berkaitan
maklumat barangan dan jenama, iklan, tempahan dan bayaran amat mudah dilaksanakan

Isi 2: Sistem urus niaga yang berkaitan dengan tempahan dan bayaran cukup selamat dan
mudah – urusan hanya boleh dibuat di dalam talian dan terhindar daripada sebarang tindakan
jenayah – meminimumkan penggunaan tukaran tunai.

Isi 3: Sistem yang menjimatkan dalam aspek pengurusan masa, tenaga dan kos – tempahan
boleh dibuat dari dalam bilik tidur sahaja walaupun premis perniagaan yang terletak beribu-ribu
kilometer jauhnya – tidak bersesak-sesak di jalan raya dan tidak perlu bersesak-sesak dan
beratur panjang di premis perniagaan.

Isi 4: Suatu sistem perniagaan yang tidak memerlukan ruang dan tempat yang terlalu luas –
boleh dilakukan di premis tempat tinggal sahaja – secara relatifnya kos operasi dapat
dikurangkan manakala harga barang menjadi lebih murah

Isi 5: Suatu inovasi yang mendidik manusia moden supaya lebih amanah, bertanggungjawab
dan menyantuni etika kehidupan – sistem ini amat mementingkan tahap amanah dan sikap
saling percaya – membentuk suatu jaringan saling menyokong dan implikasi “menang menang”
antara peniaga dan pengguna.

Kesimpulan: Sesungguhnya, inovasi bijak niaga dan mesra pelanggan ini sudah pasti akan
berkembang dengan pantas dan mula menguasai dunia perniagaan. Hal yang demikian, jika
dimanfaatkan dengan baik akan melahirkan sebuah generasi umat dunia yang lebih cakna, peka
dan bertanggungjawab. Amalan monopoli dan menindas mahupun tindakan jenayah sudah pasti
dapat dikurangkan sesuai dengan taraf kebijaksanaan manusia moden.

5. Slogan, ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’ merujuk kepada hubungan yang erat
antara jiran bagi mewujudkan negara yang aman, harmoni dan sejahtera.

Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan semangat kejiranan di


negara kita.

NOTA: Sila rujuk modul saya edisi 2018, muka surat 85, soalan latihan kendiri no. 3

PPD KOTA BELUD – SUMBER TN JUILIS MOKUJAL

5
1. Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda
yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang
terpuji.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut
disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet.
Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar
jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan
cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka
lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada
matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, remaja tidak boleh selama-
lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada masa hadapan.
Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu diperkasakan oleh remaja demi berhadapan dengan
ancaman yang berbahaya itu.

Isi 1 : Mendalami ilmu agama dan moral – agama dan moral sebagai benteng keruntuhan akhlak –
faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham bahawa segala
perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang setimpal

Isi 2 : Meletakkan keutamaan belajar dan mencari pengalaman demi masa depan – hanya ilmu dan
pengalaman sebagai jaminan masa depan

Isi 3 : Memilih rakan yang sealiran – rakan sebagai pewarna kehidupan – tersalah memilih rakan
boleh mengundang mudarat – mengikuti program sosial seperti persatuan dan NGO

Isi 4 : Membina motivasi – motivasi merupakan enjin yang menggerakkan individu untuk mencari
kejayaan – tidak mudah terpedaya dan mengikut telunjuk rakan – mempunyai matlamat masa depan
yang terjamin

Isi 5 : Memahami dan mendalami dasar dan visi negara – faham akan hala tuju negara – memahami
hasrat pemimpin – bersama-sama rakan berganding bahu menjayakan semua agenda wawasan
negara - tidak mudah terpengaruh dengan anasir perosak negara

Kesimpulan : Tokoh falsafah terkemuka Yunani iaitu Aristotle pernah berkata, “Ketahanan sesebuah
negara bukan bergantung kepada hasil buminya yang mewah, sebaliknya berada dalam tangan
anak mudanya yang gagah dan bijaksana”. Apabila menghayati kata-kata hebat tersebut, saya
begitu teruja untuk menjadi anak muda yang berwawasan. Saya beriltizam untuk membina Malaysia
yang tercinta ini menjadi negara yang bebas daripada ancaman parasit dan anasir perosak
khususnya daripada kalangan anak-anak muda itu sendiri. Oleh itu, saya dan rakan-rakan hendaklah
memilih jalan yang betul yang telah dirintis oleh generasi yang terdahulu.

2. Amalan membaca haruslah dipupuk kepada generasi muda untuk melahirkan


golongan yang berilmu pengetahuan.

Tuliskan satu rencana tentang peranan ibu bapa untuk memupuk minat membaca kepada
anak-anak.
6
NOTA : Sila rujuk jawapan lengkap di dalam modul saya edisi 2018 ms 49

3. Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong sama ada
pelancong tempatan atau pun pelancong asing.

Huraikan kepentingan-kepentingan industri pelancongan terhadap pembangunan negara.

Pendahuluan: Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang
sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia Timur Jauh seperti Jepun, Korea,
dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula
pelancong asing yang datang ke negara kita. Berdasarkan laporan portal pelancongan negara,
Malaysia berada di tangga yang kesepuluh dalam kalangan negara-negara yang wajib dilawati.
Destinasi utama seperti Gunung Kinabalu dan taman pertanian Kundasang, Cameron Highland, Pulau
Perhentian, Pulau Langkawi dan banyak lagi destinasi telah lama gah dan tersohor dan menjadi
ciapan kepada pelancong asing dan tempatan. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang
hebat dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan
demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan
ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.

Isi 1: Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej
Malaysia akan dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong

Isi 2: Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan yang
berkaitan dengan industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan
industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian, cenderamata, pengangkutan dan
sebagainya.

Isi 3: Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada
interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir semakin berkembang – gaya
berfikir di luar kotak

Isi 4: Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan,
kemudahan prasrana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan

Isi 5: Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat
yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timut Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh
meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.

Kesimpulan: Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak
negara di dunia. Negara-negara terkemuka di Eropah seperti Switzerland, Perancis dan walayah
Scandinivia amat mesra kepada pelancong. Demikian juga dengan di Asia, negara Jepun, Korea dan
Thailand sering menjadi pilihan. Sesungguhnya, industri pelancongan menjadi titian yang

7
menyambungkan interaksi budaya, cara hidup bahasa dan emajuan ekonomi. Walaupun industri
pelancongan pada awalnya sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej
tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam
aspek budaya dan agama. Janganlah disebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.

4. Kemasukan pelajar asing ke negara ini telah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan
yang tersohor di peringkat global.

Huraikan faktor-faktor yang menarik minat pelajar-pelajar dari luar negara untuk
melanjutkan pelajaran di negara ini.

Pendahuluan: Bandar raya Kuala Lumpur semakin hampir mencapai taraf kosmopolitan apabila
berada sebaris dengan bandar-bandar besar dunia yang lain. Situasi itu diwarnai oleh kepelbagaian
aktiviti perniagaan, pendidikan, sosial dan kemajmukan masyarakatnya yang datang dari seluruh
dunia. Pada hari ini apabila berkunjung ke bandar raya kebanggaan Malaysia itu, kita seakan-akan
terasa seperti berada di planet yang berbeza dengan lokasi yang lain di Malaysia sebagai kesan
daripada kepelbagaian sosial dan budayanya. Tempias di Kuala Lumpur turut merebak ke bandar-
bandar utama lain juga, seperti Pulau Pinang, Johor Baharu, Ipoh dan kawasan Lembah Kelang yang
semakin melimpah dengan kebanjiran pelajar-pelajar asing. Kehadiran mereka ini adalah selaras
dengan dasar negara yang menggalakkan IPTA dan IPTS membuka pintu kepada pelajar
antarabangsa. Dikhabarkan kebanjiran mendadak pelajar-pelajar asing ke Malaysia adalah disokong
oleh pelbagai faktor positif sebagai daya tarikan.

Isi 1: Secara relatifnya kadar yuran pengajian dan kos sara hidup di Malaysia adalah rendah

- Kadar mata wang RM adalah lebih rendah daripada mata wang utama dunia
- Belanja kos hidup dan biaya pengajian lebih murah

Isi 2: Situasi pengajian dan pembelajaran di Malaysia yang selamat selesa dan kondusif

- Jaminan keselamatan dalam negeri yang aman


- Tingkah laku masyarakat Malaysia yang sopan dan berbudaya tinggi
- Semua kampus dan prasarana IPTA dan IPTS yang moden dan kondusif

Isi 3: Silibus pengajian tinggi di Malaysia mendapat penarafan akreditasi antarabangsa

- Lulusan IPT Awam mahupun swasta diterima di mana-mana negara di dunia


- Tenaga pengajar yang profesional dan ramai yang berkelulusan dari IPT di negara maju

Isi 4: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di IPT memudahkan pengajaran

- BI sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa ilmu yang merentasi dunia


- Semua pelajar antarabangsa boleh berkomunikasi dalam BI
- Sumber rujukan dalam BI juga mudah didapati di premis-premis jualan buku mahupun di
pusat sumber awam

Kesimpulan: Peribahasa telah menyatakan, di mana-mana ada air di situ ada ikan, adalah dengan
jelas menunjukkan manusia akan berpusu-pusu ke sesuatu tempat apabila wujudnya peluang di

8
tempat tersebut. Demikianlah halnya dengan peluang menuntut ilmu seperti yang disajikan oleh
Malaysia kepada semua anak muda di seluruh dunia. Kepada Malaysia, peluang ini diibaratkan
seperti sambil menyelam minum air kerana pelbagai peluang ekonomi dan sosial boleh dijanakan
daripada polisi yang bersifat “menang menang” ini.

5. Adat sezaman ditinggal jauh


Adat agama dipandang remeh
Adat kuning menjadi ikutan

Rangkap di atas merupakan sebahagian daripada sajak “Adat Sezaman” yang membawa
maksud sikap masyarakat yang semakin melupakan adat resam, memandang remeh
ajaran agama, dan mengamalkan budaya kuning.

Huraikan peranan masyarakat untuk membentuk sahsiah terpuji dalam kalangan remaja.

PULAU PINANG

1. Telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup para remaja pada masa ini.

Huraikan kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid.

2. Amalan membaca perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menggalakkan
amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Sila rujuk sampel karangan penuh di dalam modul saya edisi 2018

Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun
tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah
merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada
sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya,
bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan
nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di
peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal
dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan
tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu

9
bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula
amalan membaca.

Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah
membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan
budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu
dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya, justeru semua pihak
akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus
menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu tersebut sudah
tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui tradisi membaca. Dalam tradisi Islam,
setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu,
amalan ini haruslah diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca.
Alangkah indahnya apabila budaya membaca mula terpahat kukuh di dalam benak anak-anak sama
seperti gemar menonton televisyen dan berinteraksi dengan gajet.

Peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa,
segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap
yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan
kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak
juga……………………………………….. (sila baca sambungannya di dalam modul)

3. Gejala rasuah dalam kalangan masyarakat perlu dibanteras supaya imej negara tidak
terjejas.

Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak
untuk menangani gejala ini.

4. Pergolakan dan peperangan yang berlaku di sesebuah negara telah menyebabkan


berlakunya krisis pelarian yang semakin serius.

Ulaskan kesan-kesan yang timbul akibat daripada krisis tersebut.

NOTA: Sesiapa yang memiliki MMM edisi 2018, sila rujuk sampel lengkap soalan ini dalam
muka surat 68. Terima kasih.

5. Peribahasa Melayu ada menyebut, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit bermaksud


sabar dan tekun mengerjakan sesuatu, akhirnya berjaya juga.

Tuliskan sebuah cerpen berdasarkan peribahasa di atas.

10
SELANGOR – SET 1

1. Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik
mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Huraikan kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja.

Sila rujuk modul saya edisi 2018 muka surat 75.

Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin mencabar. Perubahan tersebut turut
disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat yang dikuasakan pula dengan teknologi internet.
Pelbagai maklumat baru boleh diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar
jiwa ‘panas’ remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja bagaikan
cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi sendiri malah kadang-kadang mereka
lebur dalam gejala kebejatan moral. Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada
matlamat hidup dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, sebagai remaja saya tidak
boleh selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada
masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu saya perkasakan untuk menangani
cabaran tersebut.

Isi 1: Mendalami ilmu agama dan mengamalkan nilai moral – agama dan moral sebagai benteng
keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan takwa – faham
bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat dan mendapat ganjaran yang
setimpal

2. Anda telah dipilih untuk mewakili sekolah dalam suatu pertandingan syarahan
peringkat daerah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri.

Tajuk syarahan anda ialah, Usaha-usaha Meningkatkan Kesedaran Remaja dalam


Melestarikan Alam Sekitar”.

NOTA: Soalan ini dalam bentuk berformat. Calon hendaklah peka akan segala syarat format seperti
KATA ALU-ALUAN, PANGGILAN TETAMU & PENUTUP UCAPAN. Calon juga hendaklah benar-benar
menguasai laras syarahan/pidato yang merupakan laras bahasa tinggi.

Pendahuluan: Kesedaran melestarikan alam sekitar ialah frasa yang menerangkan prakarsa atau
keiltizaman untuk mewujudkan mahupun mengembalikan fungsi asal alam sekitar berlandaskan
hukum tabii. Alam sekitar dalam komponen yang terdiri daripada sungai, lautan, gunung-ganang,
hutan belantara serta flora dan fauna hendaklah dikembalikan kepada fitrah kejadiannya yakni
untuk saling bergantungan dan saling memperoleh impak kebaikan daripada sistem semula jadi
tersebut. Oleh sebab itu, manusia sebagai sebahagian daripada komponen alam dan berfungsi
sebagai khalifah yang menjaga kesinambungan lestari hendaklah bertanggungjawab terhadap alam
jagat raya ini. Sesungguhnya, kelompok sasar yang harus memikul peranan sebesar ini ialah remaja.

Isi 1: Membina semula kesedaran dalam kalangan remaja bahawa mereka adalah sebahagian
daripada alam – apabila alam dimusnahkan bermakna manusia pun bakal musnah – remaja harus
diberi ingatan bahawa tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk penduduk bumi melaksanakan inisiatif yang

11
agresif untuk menyelamatkan bumi daripada ditenggelami fenomena cairan ais di Kutub Selatan dan
Kutub Utara.

Isi 2: Menyebarluaskan fahaman agama bahawa menjaga alam itu adalah sebahagian daripada
amanah Allah – perbuatan memusnahkan alam merupakan dosa yang amat besar – Allah melaknat
sesiapa sahaja yang tidak peka akan kesejahteraan alam dengan didatangi bencana seperti tanah
runtuh, banjir, ribut taufan, gempa bumi dan tsunami.

Isi 3: Mendidik remaja agar hidup dalam persekitaran yang mesra alam, ceria dan sihat – jauhi
tingkah laku negatif seperti membuang sampah sesuka hati, membunuh dan merosakkan makhluk
flora dan fauna.

Isi 4: Menghidupkan semula budaya ‘SEKOLAH DALAM TAMAN’ – budaya yang menyuntik
kesedaran dalam kalangan murid untuk menjaga keindahan alam sekitar dalam kawasan institusi
pendidikan.

Isi 5: Pihak sekolah menjalankan lebih banyak program koakademik di kawasan dengan landskap
semula jadi – aktiviti di kawasan pergunungan, hutan, sungai mahupun pantai – murid menikmati
keindahan alam dan tertanam rasa cinta terhadap alam.

Kesimpulan: Akhir kalam dan penutup bicara, remaja ialah pewaris bangsa dan pewaris tamadun.
Merekalah pelakar kesejahteraan umat manusia dan penyelamat kelestarian alam sekitar. Mereka
harus dididik dan diberitahu bahawa kebejatan alam oleh tindakan tangan mereka memungkinkan
hari depan tamadun menjadi hambar dan samar-samar. Seyogialah remaja menjadi insan yang
paling cakna akan kesejahteraan alam yang menjadi isyarat kesejahteraan untuk mereka juga.
Binalah slogan, “LESTARIKAN ALAM, SELAMATKAN REMAJA, MAKMURKAN DUNIA”.

3. Ilmu pengetahuan dan kemahiran sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup
seseorang.

Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seseorang dalam usaha untuk meningkatkan
kualiti hidup mereka.

Sila rujuk sampel lengkap karangan saya di dalam MMM edisi 2018, muka surat 56.

4 Remaja berpendapat bahawa bekerja di luar negara lebih menguntungkan berbanding


dengan bekerja di dalam negara.

Huraikan komen anda.

Pendahuluan: Peribahasa Melayu menyatakan, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri lebih baiklah di negeri sendiri. Pernyataan peribahasa ini mendorong seseorang supaya lebih
mengutamakan tempat sendiri mahupun negeri sendiri. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi
masa kini seseorang dituntut agar lebih celik dunia dan mencari potensi bagi merebut peluang
mencari rezeki di luar negara. Berpandukan peluang yang sentiasa terhidang di mana-mana jua,

12
ramai anak muda pada hari ini mula bertebaran di seantero pelosok dunia untuk merebut peluang
kerjaya yang lebih baik. Hal yang demikian telah menimbulkan pelbagai polemik tentang pro dan
kontra pendirian seperti itu.

Isi 1: Boleh membuka persaingan yang lebih luas dan lebih mencabar – anak muda boleh meniru
budaya kerja masyarakat antarabangsa – sentiasa berusaha untuk merebut peluang yang lebih baik –
meniru dan menceduk segala pengetahuan dan pengalaman para pekerja terutama dari negara maju
dalam aspek teknologi mahupun inovasi terkini.

Isi 2: Berpeluang memperoleh tawaran gaji yang lebih lumayan – tawaran gaji di negara-negara
maju dan kaya seperti di Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat secara relatif adalah lebih tinggi.

Isi 3: Memperluas minda dan pengalaman berada di bumi asing – fikiran semakin terbuka,
membina sifat berani, berdikari dan meningkatkan kreativiti.

Isi 4: Menceduk segala ilmu dan teknologi untuk dibawa pulang ke tempat sendiri – menyebarkan
pengetahuan dan pengalaman untuk membangunkan watan – sebagai suatu langkah pemindahan
teknologi dengan perantaraan tenaga manusia – menjadi aset penting negara

Isi 5: Berlaku integrasi budaya, cara hidup dan pemikiran di luat kotak – anak-anak tempatan di
luar negara biasanya lebih bijak, cepat membuat keputusan dan bijak dalam berkomunikasi –
mereka menjadi duta tidak rasmi negara di persada antarabangsa.

Kesimpulan: Memertik sepotong ayant al-Quran dalam surah al-Jumaah, “Apabila selesai bersolat,
maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini dan tuntutlah keredaan Allah dan ingatlah pada Allah
adalah sebagai dorongan supaya manusia sentiasa positif untuk merebut peluang yang Allah
sediakan di muka bumi ini. Oleh itu, di mana-mana ada peluang, justeru rebutlah peluang tersebut
dengan syarat tidak mengabaikan syariat Allah.

5 Anda gemar membaca novel pada waktu senggang. Anda mendapat bahawa watak utama
berperanan sebagai pengarang untuk menyampaikan pelbagai nilai kemanusiaan.

Jelaskan nilai-nilai kemanusiaan pada watak utama yang boleh anda amalkan dalam
kehidupan.

NOTA: Soalan ini amat strategik kerana belum pernah ditanya dalam mana-mana peperiksaan
SPM.

MRSM

1. Sempena Minggu Saham Amanah Malaysia, anda telah menyertai pertandingan


syarahan peringkat daerah yang bertajuk ‘Faedah-faedah Melabur dalam Saham
Amanah.

Tulis syarahan anda selengkapnya.

13
NOTA: Soalan ini dalam format syarahan, justeru calon perlu peka tentang peraturan format
seperti ucapan alu-aluan, panggilan hormat dan penutup ucapan.

Pendahuluan: Dalam menghurai kandungan tersurat dan tersirat tajuk syarahan ini, adalah lebih
afdal saya memetik peribahasa yang menyatakan, ingat sementara belum kena, jimat sementara
belum habis. Peribahasa ini mendidik kita agar beringat dan berwaspada dalam setiap keadaan
supaya tidak menjadi mangsa keadaan mahupun dilanda kepapaan. Oleh hal yang demikian,
prakarsa faedah-faedah melabur adalah amat penting terutama sekali dalam pelaburan saham
seperti Saham Amanah. Sesungguhnya, amat besar faedah yang bakal dituai pada masa hadapan
dengan langkah bijak seperti ini.

Isi 1: Bijak merancang ekonomi secara melabur di tempat yang betul – menyimpan sambil
meraih keuntungan – ada jaminan urusan kewangan yang dijamin oleh undang-undang

Isi 2: Membantu pertumbuhan ekonomi negara dan manfaat sosial melalui caruman modal
secara berkumpulan – dana terkumpul daripada simpanan orang ramai dijadikan modal niaga
dan pelaburan

Isi 3: Menyelamatkan wang dan mengelakkan pembaziran – tidak melakukan perbelanjaan


yang membazir – mengekang nafsu berboros – tabii manusia gagal mengawal nafsu apabila
wang tersimpan di dalam tangan

Isi 4: Sebagai strategi masa depan dan berfikir secara berhemat tentang untung nasib masa
depan – strategi jaminan masa depan – simpanan ketika menghadapi krisis kewangan –
kemungkinan ditimpa bencana yang tidak diduga

Isi 5: Mengumpul dana dalam skala besar untuk membantu agensi pelaburan yang sah sebagai
suntikan ekonomi yang pantas berkembang – membantu institusi kewangan yang sah dari
sudut undang-undang untuk menguruskan dan melaburkan dana awam dan memperoleh
keuntungan untuk diagih sebagai manfaat bersama.

Kesimpulan: Memetik kata-kata golongan bijaksana yang menyatakan, “Harta milik kamu
bukanlah atas seberapa banyak yang anda belanjakan sebaliknya seberapa banyak yang mampu
anda simpan”, dengan jelas menerangkan bahawa simpanan dan pelaburan amatlah penting.
Oleh sebab itu, menabunglah dalam saham amanah moga-moga masa depan lebih selamat dan
lebih terarah.

2. Permainan tradisional seperti congkak, gasing, wau dan batu seremban semakin
dilupakan oleh generasi muda kini.

Bincangkan sebab-sebab permainan tradisional semakin dilupakan dan langkah-langkah


untuk mempopularkannya.

Pendahuluan: Kita acap kali mendengar akan kata-kata, ‘Tiada yang lama, maka tiadalah yang
baharu’. Kata-kata tersebut menerangkan bahawa segala yang dimiliki pada hari ini sama ada
harta benda, pengalaman, ilmu dan budaya merupakan warisan silam. Malang sekali sikap
manusia yang mudah lupa kerap mengabaikan warisan silam apabila memperoleh sesuatu

14
inovasi moden. Oleh sebab itu, banyak tradisi silam sama ada yang berkaitan dengan adat dan
budaya, sukan dan permainan malahan gaya hidup telah dilupakan begitu sahaja. Musibahnya,
beberapa warisan silam seperti permainan congkak, wau, batu seremban dan banyak lagi
akhirnya semakin luput ditelan zaman. Fenomena seperti ini terjadi berpunca daripada pelbagai
sebab, justeru langkah-langkah berkesan hendaklah diambil untuk memulihkannya.

Sebab-sebab:

Isi 1: Sikap manusia turut dipengaruhi oleh gaya berfikir – pemikiran moden yang sentiasa
memberi persepsi yang salah terhadap unsur-unsur lama – hal tersebut turut terjadi kepada
permainan tradisional.

Isi 2: Pengaruh dan ancaman daripada permainan dan hiburan moden yang dijanakan oleh
pengaruh ICT dan media elektronik – permainan moden lebih ‘simple’ ringan dan bersaiz kecil

Isi 3: Permainan moden tidak memerlukan kerahan tenaga dan pemikiran yang berat lagi lasak
berbanding dengan permainan tradisional – anak-anak pasca-Milenium tidak gemar hal-hal
yang terlalu mencabar

Tindakan/langkah-langkah:

Isi 4: Ibu bapa dan institusi masyarakat hendaklah menggemblengkan usaha menghidupkan
semula tradisi lama – sewajarnya menjadikan unsur-unsur permainan tradisional sebagai acara
wajib dalam setiap program kemasyarakatan

Isi 5: Kerajaan seharusnya mengambil inisiatif mengangkat semula permainan tradisional


sebagai acara negara – memasukkan permainan tradisional sebagai acara tempatan dalam
sukan-sukan antarabangsa – mempersembahkan kepada pelancong dalam pelbagai sambutan
untuk tetamu asing

Isi 6: Menghidupkan semula tradisi permainan tradisional dalam kurikulum pendidikan –


mengubah suai dan memberi wajah baharu dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesenian
Tradisional - Memasukkan ke dalam kurikulum sekolah semua permainan tradisional yang
mempunyai nilai kesenian, kebolehtahanan berfikir, mencabar dan mempunyai semangat
berpasukan yang tinggi.

Kesimpulan: Sesungguhnya, imej sesuatu bangsa bukan dikenali sekadar kehebatan mereka
menjanakan kuasa ekonomi semata-mata. Bangsa yang hebat dan gah hendaklah memiliki citra
budaya, ketahanan minda dan menguasai roh pengaruh silam yang hebat. Oleh hal yang
demikian, tidak semua yang bercorak komersial boleh diangkat sebagai imej moden sebaliknya
kemajuan yang terjana daripada gabungan unsur moden dan tradisional akan memberikan imej
yang sentimental kepada sesuatu bangsa.

3.Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan ini terus wujud
dan mengakibatkan pelbagai impak negatif.

Huraikan kesan-kesan gejala rasuah kepada masyarakat dan negara.

15
4. Kestabilan politik di sesebuah negara menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan
sosial masyarakatnya.

Bincangkan.

Pendahuluan: Sejarah pernah membuktikan bahawa dalam era abad ke-19 hingga ke abad dua
puluh, gelombang migrasi berskala besar telah melanda dunia. Negara-negara Eropah barat
merupakan destinasi paling panas menerima lambakan pendatang dari benua Afrika dan
sebahagian kecil dari Asia. Sebelum itu, dalam era Revolusi Cina perpindahan keluar dalam
kalangan rakyat Cina ke Asia Tenggara dan Asia Selatan turut terjadi. Semua fenomena tersebut
berlaku disebabkan situasi di tanah asal yang tidak selamat akibat bahang perang saudara dan
pertelagahan etnik. Hal yang demikian membuktikan bahawa keamanan dan kestabilan politik di
sesuatu rantau menjaminkan kesejahteraan rakyat dan sistem pemerintahan dapat berjalan
dengan lancar manakala rakyat akan berasa selamat untuk bergiat dalam bidang ekonomi,
politik mahupun sosial.

Isi 1: Kestabilan politik menjadi jaminan rakyat berasa selesa dan sentiasa menumpahkan taat
setia kepada tanah air – wujud kesolideran dalam bidang siasah, kedaulatan dan keselamatan
negara – wujud interaksi yang baik antara pemerintah dan rakyat – hubungan luar negara dan
diplomatik yang luas.

Isi 2: Kegiatan ekonomi domestik dan perdagangan antarabangsa berjalan dengan selamat dan
lancar – semua potensi ekonomi dalam negara dapat dimanfaatkan – hasil mahsul negara dapat
dikongsi secara bersama dan adil

Isi 3: Kemasukan pelabur asing dapat menjanakan pertumbuhan ekonomi – pendapatan


perkapita meningkat – kadar tukaran mata wang asing lebih tinggi – rakyat memperoleh
kesejahteraan

Isi 4: Boleh menjanakan industri pelancongan – orang asing tiada sangsi akan keselamatan
untuk berkunjung ke sesebuah negara yang aman dan selamat – sebagai contoh kadar
kunjungan pelancong begitu tinggi ke Jepun, Korea, Australia, Amerika dan negara-negara
Eropah

Kesimpulan: Sesungguhnya, sudah menjadi lumrah naluri manusia mahukan faktor keselamatan
sebagai jaminan untuk bergiat aktif dalam pelbagai bidang. Oleh hal yang demikian, antara
rakyat dan pemerintah hendaklah bahu-membahu untuk mewujudkan sebuah negara yang
aman, harmoni dan sejahtera. Situasi yang kondusif seperti itu menjadi dorongan utama agar
kegiatan ekonomi dan sosial berjalan lancar.

5. Filem yang mengangkat nama tokoh-tokoh negara dalam memperjuangkan kemerdekaan


tanah air seperti Filem Sarjan Hasan, Bukit Kepong dan Hati Malaya 1957 telah
mendatangkan pelbagai pengajaran.

16
Huraikan pengajaran-pengajaran yang diperoleh daripada filem sedemikian.

PPD TANGKAK

1. “Ilmu pelita hidup”. Kata-kata hikmat ini menunjukkan bahawa ilmu merupakan
elemen yang amat penting dalam kehidupan dan dapat menjadikan kehidupan
seseorang itu lebih sempurna.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan-kepentingan ilmu dalam kehidupan.

Pendahuluan: Dalam suatu lagi peribahasa yang lain menyatakan, hidup tanpa ilmu ibarat si
buta yang berjalan dalam malam yang gelap tanpa bertongkat. Ilmu menjadi penyuluh hati
nurani. Hati yang hidup ialah hati yang terpancar dengan nur ilmu. Ilmu akan mengangkat
martabat insan menjadi mulia atau sebalik seperti maksud dalam sepotong ayat al Quran dengan
mafhumnya, “Adakah sama seseorang yang berilmu dengan yang tidak berilmu?” Oleh sebab itu,
ilmu menjadi harta seumur hidup yang memboiehkan seseorang itu menjalani kehidupan yang
lebih sempurna.

Isi 1: Ilmu menjadi kompas pandu arah untuk membezakan antara yang benar dengan yang
batil – ilmu boleh mengenalkan yang baik agar diikuti manakala yang salah ditinggalkan – ilmu
membimbing jalan ke arah kemenangan manakala kejahilan membawa kepada kerosakan.

Isi 2: Ilmu sebagai pembuka minda dan pencetus ilham untuk mencapai matlamat hidup yang
selamat – insan berilmu sentiasa berjaya dalam hidup apabila cekap memilih peluang dan bijak
menyusun strategi bekerja

Isi 3: Ilmu boleh mencegah seseorang daripada jatuh bergelumang dalam perbuatan sia-sia,
membazir dan merugikan – sebalikya ilmu memandu seseorang untuk membuat keputusan
dengan cara yang paling tepat.

Isi 4: Ilmu sebagai cabang kerjaya – dengan ilmu yang ada seseorang dapat memilih bidang
pekerjaan yang sepadan dengan pengetahuannya – ilmu menjadi asbab kehidupan seseorang
berjaya sama ada dalam aspek ekonomi, keselamtan dan amalan sosial.

Kesimpulan: Sesungguhnya, ilmu amat besar peranannya yang membolehkan seseorang insan
memperoleh darjat dan kemuliaan. Ilmulah sebagai tamsil kehidupan seperti dalam kata-kata
Pendeta Za’aba:
Ilmu luasnya lautan saujana
Sempadannya ajal tepiannya fana.
Oleh sebab itu, tuntutlah walaupun hingga ke negeri Cina kerna ilmu menyelamatkan manusia
dari hidup hinggalh ke mati.

2. Penggunaan media sosial amat popular pada masa ini terutamanya dalam kalangan
remaja sehingga mendatangkan impak yang negatif sekiranya tidak dibendung.

Bincangkan peranan yang harus dimainkan oleh keluarga dalam usaha untuk
memastikan remaja menggunakan media sosial ke arah yang lebih positif.

17
NOTA: Soalan ini masih dalam isu yang sama dengan soalan 4, SPM 2017.

3. Dalam usaha mempelbagaikan keluaran industri negara, kerajaan begitu prihatin untuk
terus memperkembang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Selaku ahli jawatankuasa kampung, anda telah mengundang seorang pegawai daripada
Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk memberikan ceramah tentang langkah-
langkah yang harus dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memajukan Industri Kecil dan
Sederhana.

NOTA: Sila sesuaikan soalan ini dengan rangka latihan Kendiri di dalam modul saya edisi 208 muka
surat 91

4. Program Pertukaran Budaya Serantau membawa banyak kebaikan kepada para pelajar.

Berikan komen anda.

Pendahuluan : Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat yang sama iaitu untuk hidup
bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak
tersebut seperti hak untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu
pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kepentingan tertentu masyarakat dunia sering
bertelagah sehingga membawa kepada peperangan. Oleh itu, dalam abad milenium ini pelbagai usaha
telah dijalankan oleh masyarakat antarabangsa untuk merapatkan semula jurang perbezaan yang wujud.
Pelbagai program dan pertandingan termasuk program pertukaran pelajar di peringkat antarabangsa telah
dilancarkan. Sebenarnya, banyak sekali faedah yang bakal diperoleh oleh setiap negara peserta apabila
terlibat secara aktif dalam program-program seperti ini.

Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan kerjasama dan keamanan di bawah
payung PBB – memupuk semangat perpaduan dan berdamai dalam kalangan manusia sejagat

Isi 2 : Suatu usaha positif memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan – sifat ilmu
yang akan berkembang apabila semakin luas jaringannya (rujuk kata-kata hikmat Saiyidina Ali KW) –
memahami hakikat bahawa setiap bangsa memiliki keistimewaan tertentu dalam bidang ilmu (contoh :
bangsa Cina tentang ilmu perubatan, Jepun dalam bidang sains dan teknologi, bangsa Arab tentang
falsafah dan seni bina dan ilmu agama)

Isi 3 : Mempercepat transformasi kemajuan sesebuah negara – transformasi amat berkait rapat dengan
penguasaan ilmu pengetahuan – anak-anak kesuma yang pulang dengan ilmu pengetahuan akan
membantu mempercepat kemajuan negara masing-masing – mereka menjadi penyebar pengetahuan dan
menjadi agen penggerak negara maju menjelang hari muka.

Isi 4 : Mendedahi remaja dengan perubahan budaya dan sosial masyarakat asing – boleh mengubah cara
berfikir dan bertindak secara lebih matang – bijak bergaul dan mempunyai jaringan komunikasi di seluruh
dunia

Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan tenaga akademik – membolehkan peluasan
ilmu pengetahuan berkembang secara global – kemajuan dunia berkembang secara positif untuk manfaat
semua warga dunia – tiada lagi penindasan dan peperangan.

18
Kesimpulan: Sesungguhnya, langkah ini amat tepat dengan maksud peribahasa iaitu, lama hidup banyak
pengalaman jauh perjalanan luas pandangan. Untuk memperoleh lebih banyak maklumat dan
pengetahuan yang berguna, manusia hendaklah selalu bermobiliti. Apabila banyak bermujahadah dan
bermusafir, justeru pelbagai pengalaman baru dan menarik bakal diperoleh. Segala pengalaman dan
pengetahuan baharu itu akan merobah daya berfikir dan daya bertindak selaras dengan kematangan yang
diperoleh. Oleh itu, rakyat yang matang dan bijak akan menjadi penjana kepada kemajuan negara.

5. Jiran yang baik ibarat peribahasa cubit paha kiri paha kanan pun terasa amat sukar
ditemui.

Berdasarkan peribahasa tersebut, tuliskan sebuah cerpen yang berkisar tentang semangat
kejiranan.

PERLIS

1. Penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang,


meningkatkan disiplin diri dan membentuk daya kepimpinan.

Ulaskan.

CATATAN: Sila sesuaikan soalan ini dengan Sampel Karangan Cemerlang A++ di dalam modul saya
edisi 2018 muka surat 50. Atas ihsan saya lampirkan semula sampel karangan ini:

Aktiviti kokurikulum seperti sukan, kem kepimpinan dan program kerohanian merupakan aspek
penting dalam melahirkan remaja yang serba boleh.

Ulaskan pernyataan di atas.

Arus perubahan global dalam cabaran globalisasi telah menuntut rakyat Malaysia agar
sentiasa terampil dan menjadi masyarakat yang mampu mencapai pemikiran bertaraf dunia. Dalam
memenuhi hasrat tersebut, anjakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah menegaskan
bahawa, setiap individu pelajar hendaklah dididik agar seimbang dan harmonis dalam aspek
jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Bagi merealisasikan objektif tersebut komponen dalam
pendidikan nasional telah memberikan penekanan dalam dua aspek yang utama iaitu kurikulum dan
kokurikulum. Kurikulum bermatlamat membangunkan ummah yang berminda kelas pertama,
sementara kokurikulum pula sebagai pelengkap keterampilan fizikal, emosi dan sahsiah pelajar.
Berdasarkan pernyataan tersebut, saya bersetuju bahawa penglibatan yang aktif dalam aktiviti
kokurikulum pasti menatijahkan pelbagai impak positif kepada remaja (pelajar).

Penglibatan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum akan dapat melahirkan remaja yang
memiliki keterampilan diri yang hebat, segak dan gagah. Keterampilan yang menarik adalah amat
penting kerana dapat meningkatkan keyakinan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.
Sudah sewajarnya setiap remaja mempersiap diri dengan pakej fizikal, mental, dan emosi dengan
memiliki personaliti yang mengagumkan. Dalam memperlengkap ciri-ciri tersebut, remaja hendaklah

19
sentiasa aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti bersukan, menyertai pasukan dan kelab atau
kegiatan beruniform. Semua aktiviti tersebut berupaya memberikan impak yang cukup positif
apabila individu tersebut lebih sihat, yakin kepada diri sendiri, dan bermotivasi tinggi. Pendek kata,
nilai diri seseorang itu akan dilihat daripada kehebatan susuk tubuhnya, minda yang cerdas, dan
emosi yang stabil (harmoni).

Daya kepimpinan ialah ciri perwatakan yang sangat berguna akan diperoleh remaja apabila
bergiat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Daya kepimpinan ialah aset yang penting untuk
seseorang itu diterima dalam masyarakat, dihormati, dan diberikan kepercayaan untuk memimpin.
Oleh itu, daya kepimpinan amatlah mustahak kerana seseorang pemimpin perlulah memiliki
keyakinan diri yang tinggi, berfikiran positif, dan matang. Sewajarnya, dengan menyertai aktiviti
kokurikulum, semua bakat istimewa sebagai pemimpin berjaya dibentuk melalui kegiatan
berpersatuan, kelab dan pasukan beruniform seperti (…………………………masukkan nama kelab dan
persatuan yang pernah anda sertai) Seyogia, sifat cemerlang yang dapat dibentuk seperti membina
ketahanan diri, berdisiplin, dan pembinaan jati diri sebagai pemimpin yang memiliki karisme dan
disegani. Demikianlah nilai kepimpinan yang harus ada pada setiap individu bak kata perbidalan, kok
kaya tumpang hartanya, kok cerdik tumpang akalnya.

Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum turut memberi impak untuk mengeratkan perpaduan
dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia,
perpaduan menjadi penawar yang paling mujarab bagi mengelak sebarang prasangka dan adu
domba. Oleh itu, kokurikulumlah wadah yang paling relevan untuk menjalinkan perpaduan,
hubungan mesra, setia kawan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk. Sehubungan
dengan itu, inilah suatu jaminan untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu di
bawah payung sebuah negara yang sejahtera. Dalam memupuk semangat perpaduan, beberapa
aktiviti seperti sukan, penyertaan dalam badan beruniform dan kem jati diri boleh dijadikan
jambatan untuk mempererat hubungan silaturahim kerana pelajar yang selalu aktif dalam aktiviti
kokurikulum biasanya lebih cepat mesra, bertolak ansur, dan berfikiran terbuka.

Impak lain yang bakal diperoleh melalui penglibatan dalam kokurikulum adalah dapat
membina prinsip dan disiplin diri yang teguh. Hal ini demikian kerana, disiplin merupakan anak kunci
kepada semua hasil kerja yang berjaya. Berdasarkan tokoh-tokoh ternama seperti Thomas Alva
Edison, Oville dan Wilbur Right, Bill Gate dan ramai lagi, kejayaan mereka berada di puncak
kegemilangan adalah didorong oleh disiplin yang ketat. Sesungguhnya, unsur inilah yang mahu
diperkasakan ke dalam diri remaja apabila mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum. Mereka
dikehendaki patuh kepada ketepatan masa, menjalankan tugas mengikut peraturan, dan perlu
merancang sesuatu aktiviti dengan baik. Sehubungan dengan itu, kokurikulum boleh dijadikan
platform untuk melahirkan remaja yang teguh jati diri dan berdisiplin.

Nilai-nilai kesyumulan dan pemurnian rohani seseorang insan hendaklah dibentuk sejak
awal, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Insan syumul ialah individu yang tahu akan
tanggungjawab terhadap Tuhannya, amanah kepada diri sendiri dan masyarakatnya. Proses
membentuk jiwa yang syumul perlu melalui tatacara tajdid dan ‘tazkiyah’ iaitu proses penyucian hati
nurani. Penglibatan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum merupakan matlamat tersirat untuk
membentuk jati diri yang bersih dan kaya dengan nilai-nilai murni. Mereka amat jujur, ikhlas dan
berjiwa patriotik lagi cakna akan perasaan kasih sayang kepada sesama insan dan alam sekitarnya.

20
Seyogialah, penglibatan dalam aktiviti kerohanian seperti perkhemahan rohani, perkampungan solat
dan aktiviti gotong-royong boleh melahirkan insan yang sedar diri dan peka terhadap denyut nadi
masyarakat di sekitar mereka. Sesungguhnya, inilah watak yang bakal menggalas tanggungjawab
terhadap negara sejajar dengan kata-kata motivator tersohor, Dato Dr Mohd Fadzillah Kamsah,
“Seseorang yang baik, ketiadaannya dicari, kehadirannya dinanti, kepergiannya dirindui,
kematiannya ditangisi dan kebaikannya diteladani”.

Tokoh falsafah agung Yunani, Aristotle pernah menyatakan, “Kejayaan sesuatu bangsa itu
adalah bergantung kepada kualiti rakyatnya yang sentiasa berfikiran positif dan dinamik.” Oleh hal
yang demikian, dalam usia remaja rakyat perlulah dididik dengan nilai-nilai jati diri dan serba boleh.
Oleh sebab itu, para pelajar yang berada di bangku sekolah hendaklah menjadikan aktiviti
kokurikulum sebagai platform untuk mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada negara,
bangsa dan agama.

2. Setiap ibu bapa mengimpikan anak-anak melanjutkan pelajaran selepas


menduduki Peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Hal ini demi menjaminkan
masa depan.

Huraikan usaha ibu bapa dalam pemupukan minat anak-anak untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat tinggi.

Pendahuluan: Di Malaysia Peperiksaan Siil Pelajaran Malaysia (SPM) bolehlah dianggap sebagai
pintu terakhir kelayakan akademik yang membolehkan seseorang menentukan hala tuju
kerjayanya. Walaupun masih banyak sistem peperiksaan di Malaysia, naman SPM memainkan
peranan yang besar. Apabila memperoleh keputusan SPM, seseorang itu sudah boleh
menjangkakan arah tuju matlamat hidupnya. Walaupun individu itu meletakkan impian yang
tinggi melangit, sebaliknya keputusan SPM yang diperoleh adalah penentu kepada segala arah
tuju. Oleh sebab itu, ibu bapa masa kini begitu prihatin dan mahukan anak-anak mereka menjadi
yang tebaik, justeru inilah masa untuk mereka berhabis-habisan bagi memperkasakan
kecemerlangan anak-anak di peringkat SPM.

Isi 1: Ibu bapa harus bermotivasi tinggi untuk membina keyakinan yang tinggi terhadap anak –
menunjukkan semangat yakin boleh, kethamana fizikal, mental dan emosi – jauhi sikap berputus
asa sebaliknya berkeinginan mencapai bintang.

Isi 2: Ibu dan ayah hendaklah sentiasa berkolaborasi mewujudkan iklim rumah tangga yang
dilingkungi mawaddah, kemesraan, harmoni dan kondusif – mengelak sebarang salah faham
sama ada antara suami isteri mahupun dalam kalangan anak-anak – menjadi rangsangan dan
galakan untuk anak-anak menuju puncak

Isi 3: Menyediakan kemudahan prasarana belajar yang selesa, kondusif dan mesra
pembelajaran – memberi keutamaan kepada peluang belajar daripada hal-hal lain –
menyediakan bahan bacaan tambahan dan sumber rujukan yang mencukupi.

Isi 4: Sentiasa mendampingi anak-anak semasa mereka mengulang kaji pelajaran – tunjukkan
komitmen bahawa ibu bapa juga turut serta dalam misi menuju puncak – elakkan aktiviti yamg
kurang mesra pelajaran seperti menonton televisyen, menyertai aktiviti luar dan kerap keluar
untuk makan malam

21
Isi 5: Memastikan pemakanan dan penjagaan kesihatan yang sempurna kepada anak-anak –
menyediakan keperluan makan minum seperti sarapan pagi dan makan malam yang menepati
jadual – menyediakan minuman ringan sewaktu anak belajar agak lewat malam – memastikan
ubat-ubat dan vitamin yang sesuai untuk anak yang keletihan atau kurang sihat kerana tumpuan
belajar yang lebih.

Kesimpulan: Dalam suatu ungkapan yang agak menarik yang orang selalu bertanaya apabila
bertemu rakannya, “Anak berapa orang?”. Demikianlah menariknya apabila seseorang tidak
pernah ditanya tentang pangkat darjat mahupun harta dan wang ringgit miliknya. Oleh sebab
itu, anak-anak sentiasa menjadi kebanggaan ibu bapa dan keluarga. Lebih-lebih lagi anak-anak
yang cemerlang akademik dan tinggi pekertinya sudah pasti menjadi sumber inspirasi ibu bapa.
Dengan hal yang tersebut, ibu bapa wajar mengambil peluang terbaik untuk mendidik anak-anak
menjadi insan cemerlang semasa SPM kerana kejayaan mereka akan menjadi halwa mata dan
telinga dan penyejuk hati ayah dan bonda.

3.

Gelanggang

Ini gelanggang kita

Yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih lima dekad yang lalu

Satu persepakatan kaum untuk diteruskan kepada anak cucu di kemudian hari

Berdasarkan rangkap sajak di atas, perjuangan nenek moyang sejak dahulu untuk
mempertahankan negara dibina hasil perpaduan kaum. Sehubungan dengan itu, perpaduan
hendaklah dikekalkan demi kepentingan generasi akan datang.

Jelaskan peranan masyarakat untuk mencapai hasrat tersebut.

SMK SUNGAI ISAP, KUANTAN @ PPD KUANTAN

1. Amalan menjaga kebersihan diri sangat penting kepada remaja. Remaja akan menjadi
lebih yakin dan kesihatan diri lebih terjaga. Sebagai remaja contoh, anda diminta
menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pelajar baharu di sekolah anda. Tajuk
ceramah anda ialah “Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri.”

Tulis ceramah anda selengkapnya.

PERINGATAN: Soalan ini dalam format ceramah. Oleh sebab itu, calon hendaklah cakna tentang
1.
format syarahan dan perlu tahu lenggok dan laras bahasa ceramah.

22
Pendahuluan: Dalam suatu ungkapan mudah orang selalu menyatakan, ‘Wajah sebagai cerminan
peribadi’. Ungkapan tersebut menjelaskan bahawa personaliti seseorang dinilai berpandukan aura
yang ditampilkan. Sekiranya penampilan dalam wajah yang bersih, segak dan kemas sudah tentu
individu tersebut memiliki karisma yang baik dan boleh meyakinkan orang lain terhadap dirinya.
Oleh hal yang demikian, prakarsa menjaga kebersihan diri adalah menjadi tanggungjawab utama
kepada semua orang. Sebagai remaja, anda dan saya haruslah cakna terhadap kebersihan diri dan
ikutilah ceramah saya atas maudhuk, “Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri.”

Isi 1: Langkah yang utama setiap remaja hendaklah menyucikan batinnya terlebih dahulu – batin
ialah perihal kesucian dalaman yang berkaitan dengan keimanan, ketakwaan, ihsan dan moral –
nurani yang bersih akan menampilkan aura peroman yang ceria lagi meyakinkan – dekatkan diri
dengan insan-insan yang baik dan patuhi hukum dan larangan Tuhan

Isi 2: Remaja hendaklah cakna terhadap kebersihan fizikal – kebersihan fizikal akan mempengaruhi
aspek kesihatan – fizikal yang sihat cergas menatijahkan akal yang cerdas

Isi 3: Remaja hendaklah mengutamakan kebersihan dalam amalan pemakanan - memilih


makanan yang baik, bersih lagi halal mengutamakan tempat makan yang tidak tercemar seperti
bahaya kencing tikus, lalat dan serangga bawaan penyakit

Isi 4: Remaja hendaklah mengamalkan cara berpakaian yang bersih, kemas dan sesuai dengan
keadaan cuaca, aktiviti dan tempat – mengelakkan diri menjadi mangsa perubahan cuaca atau
keadaan persekitaran

Isi 5: Amalkan jadual harian yang teratur – masa tidur, masa bangun, masa dan cara mandi serta
menjaga kebersihan bilik tidur dan tempat belajar

Kesimpulan: Kesimpulannya, setiap insan adalah bertanggungjawab atas dirinya sendiri. Dalam hal
yang berkaitan dengan kesempurnaan peribadi dan penampilan, sama ada remaja atau sesiapa jua
hendaklah menzahirkan sikap yang meyakinkan sama ada kebersihan, kesihatan, cara berpakaian
mahupun berkomunikasi dalam cara yang tertib. Oleh sebab itu, ingatlah akan pesan Iman al
Ghazali, “Mengenal diri lihatlah pada cermin, mengenalkan peribadi bercerminlah pada wajah”.

2. Kehidupan generasi muda kini yang lebih mengutamakan kemewahan hidup


menyebabkan mereka memandang rendah terhadap kepentingan semangat
patriotisme.

Bincangkan cara-cara berkesan menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan


remaja.

Pendahuluan: An Anisah Mai pernah berkata, “Hormatilah golongan yang lebih tua kerana
pengalaman yang telah mereka lalui mengajarkan mereka pelbagai kebaikan. Jagalah anak mudamu
kerana jalan untuk mereka adalah lebih jauh ke hadapan dan terlalu banyak pengalaman baharu
yang akan dikutip oleh mereka”. Demikinalah tentang caknanya seorang tokoh falsafah yang sangat
mementingkan pengalaman lalu dan harapan masa depan untuk individu mencapai kejayaan. Walau
bagaimanapun, agak mengesalkan juga apabila pengalaman susah generasi silam yang berusaha

23
dengan peluh dan air mata mempertahankan negara kurang dihargai oleh anak-anak muda dewasa
ini. Dek sirnaan kesenangan mereka bagaikan hilang rasa sayang dan mencintai tanah air. Oleh itu,
sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum berlaku pisang berbuah dua kali, semua pihak hendaklah
prihatin untuk menerapkan remaja menjadi golongan yang patriotik.

Isi 1: Seluruh anggota masyarakat termasuk pemimpin hendaklah sentiasa meniupkan sentimen
sayang akan negara kepada generasi muda – masyarakat hendaklah lebih banyak berbicara perihal
kejayaan dan kemajuan negara – elakkan mengulang-ulang episod lama tentang sejarah hitam dan
kelemahan individu – ranapkan perbuatan adu domba, fitnah dan menyerang peribadi pemimpin
atau individu

Isi 2: Peranan media massa mahupun media sosial untuk mempropagandakan semua kejayaan
negara sebagai tatapan umum – generasi muda hendaklah didedahkan dengan sebanyak mungkin
perihal kejayaan negara sama ada di peringkat dalam negara mahupun di luar negara – media massa
khususnya media elektronik mesti mengutamakan tayangan dokumentari yang berkaitan dengan
negara – media alternatif hendaklah menjauhi perbuatan menularkan isu-isu sensitif dan
menanamkan kebencian.

Isi 3: Sektor pendidikan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah mengutamakan


nilai patriotik dalam silibus di semua institusi pendidikan – KPM sebagai institusi yang perlu sensitif
dan menjadi agen pembentukan watak anak Malaysia – semua bahan pelajaran mesti
berlatarbelakangkan Malaysia – memantau kegiatan sekolah dan guru agar tidak menyimpang
daripada matlamat membentuk Malaysia baharu yang bersatu padu

Isi 4: Menganjurkan program-progaram massa yang diisikan dengan sentimen sayang dan
berbangga menjadi rakyat Malaysia – semua acara sambutan kenegaraan hendaklah diisi dengan
program aktiviti ekonomi, perindustrian, pendidikan dan kebudayaan tinggi rakyat Malaysia –
sambutan seperti hari kemerdekaan, sambutan perayaan, sukan dan menyambut deligasi dari luar
negara

Isi 5: Mendorongkan rakyat untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi dan berazam untuk
kembali menyumbangkan tenaga dan kepakaran demi pembangunan negara – langkah
membangunkan negara daripada kepakaran anak-anak watan – memupuk perasaan bangga,
terhutang budi dan berterima kasih atas jasa negara melahirkan rakyat yang berminda kelas pertama

Kesimpulan: Sebagai warga yang bernaung di bawah langit bumi tercinta ini semua pihak hendaklah
memiliki kesedaran bahawa di sini bumi dipijak justeru di sinilah langit dijunjung. Sikap sayang dan
cinta akan negara hendaklah dipupuk agar menjadi darah daging setiap individu. Amatlah tidak wajar
seseorang itu berrnaung di bawah kedaulatan nusa sebaliknya menjadi duri dalam daging. Hubaya-
hubayalah tanpa kesedaran patriotisme kedaulatan negara mudah tergugat dan kesudahannya
terjadilah jong pecah yu yang kenyang.

3. Pengangkutan awam di Malaysia diperhebat seiring dengan perkembangan sains dan


teknologi.

Jelaskan kebaikan-kebaikan pengangkutan awam kepada masyarakat dan negara.

24
Pendahuluan: Pada masa ini sudah menjadi fenomena biasa apabila para pemandu terperangkap
berjam-jam lamanya di jalan raya akibat kesesakan trafik. Keadaan menjadi lebih parah di bandar-
bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Baharu terutama dalam waktu puncak. Keadaan
tersebut mengakibatkan peningkatan kos dan pembaziran tenaga serta masa. Adakah keadaan yang
bertambah parah ini sekadar dapat ditonton dan didengari sekadar masuk telinga kanan keluar
telinga kiri? Bagi kalangan warga kota, inilah suatu cabaran besar yang tepaksa mereka harungi
sejak puluhan tahun yang lampau. Dalam mendepani cabaran pembangunan yang semakin pesat
usaha memodenkan sistem pengangkutan awam haruslah diperhebat. Kecaknaan terhadap krisis
tersebut bukan sahaja menyaksikan pelbagai sistem pengangkutan awam yang lebih moden wujud,
malahan memberikan pelbagai impak positif kepada masyarakat dan negara.

Isi 1: Memperoleh jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien terutama di bandar-
bandar besar – mengangkat taraf pengangkutan awam kepada perkhidmatan profesional –
pengangkutan awam lebih canggih, lancar dan istimewa daripada kenderaan persendirian –
kewujudan rangkaian rel yang canggih seperti LRT, Komuter, MRT dan pelbagai lagi.

Isi 2: Pengguna memperoleh pilihan yang lebih untuk menggunakan pengangkutan awam – dapat
menarik minat penumpang serta sesuai dengan pilihan mereka – kenderaan konvensional seperti
bas dan teksi telah mengalami transformasi kepada kenderaan yang lebih sofistikated

Isi 3: Melancarkan sistem bersepadu antara semua jenis rankaian pengangkutan awam –
menyediakan kemudahan pengangkutan yang bersambungan dan transit dengan setiap destinasi
utama ke destinasi hiliran – sebagai contoh pengguna kereta api/LRT tidak perlu memparkir
kenderaan di setiap stesen disebabkan wujud perkhidmatan bas awam yang efisien

Isi 4: Memberi suatu penanda aras cemerlang/status sosial yang tinggi dalam sistem
pengangkutan awam – menukar paradigma bahawa pengguna pengangkutan awam berada dalam
kelas tersendiri – logistik dan status kenderaan memenuhi pilihan dan cita rasa setiap kelas
masyarakat – perkhidmatan grab dan uber yang lebih efisien

Isi 5: Mengangkat budaya dan pemikiran operator/pengusaha pengangkutan awam dalam budaya
berfikir kelas pertama (pemikiran berkelas dunia) – menjadikan bidang pengangkutan awam
sebagai pekerjaan yang mulia dan lumayan – menjadi pemandu yang berhemah, mesra pelanggan
dan berilmu pengetahun – membuang imej buruk pemandu teksi dan sebagai kasar, baran dan
pengotor

Kesimpulan: Tokoh-tokoh bijaksana pernah berkata, “Jikalau mahu maju bersedialah untuk keluar
daripada kepompong jumud katak di bawah tempurung dan berani membuat anjakan paradigma
barulah nampak kejayaannya. Sesungguhnya, kejayaan yang hakiki biasa lahir daripada kebolehan
insan-insan biasa yang mampu berfikir secara luar biasa. Oleh sebab itu, dalam mencari penyelesaian
kepada masalah kronik kesesakan trafik, sudah tiba masanya sesuatu idea baharu yang kreatif dan
produktif dicetuskan segera. Kini di kota raya metropolitan Kuala Lumpur khususnya dapat dilihat
transformasi sistem pengangkutan awam dan keadaan tersebut sudah tentu akan melebar ke
seluruh negara pada suatu masa nanti..

25
4. Pencemaran alam sekitar boleh menjejaskan kualiti hidup masyarakat.

Jelaskan kesan kemusnahan alam sekitar kepada masyarakat global.

Pendahuluan: Jangkaan bahawa pada 2030 akan berlaku suatu fenomena luar biasa tentang
perubahan suhu alam amatlah menakutkan kita. Pada hari ini jangkaan tersebut seolah-olah semakin
pasti apabila pelbagai fenomena perubahan iklim seperti ribut taufan, kemarau yang melampau dan
tanah runtuh telah terjadi di senatero pelosok dunia. Selain perubahan iklim, aktiviti pergerakan
sesmik dan letupan gunung berapi, gempa bumi dan tsunami mula mengancam wilayah-wilayah
yang terlatak di atas Lingkaran Api Pasifik. Negara-negara seperti Jepun, Taiwan, Filipina dan
Indonesia benar-benar mencemaskan penduduk dunia. Sengsaranya alam pada hari ini memanglah
tidak terbendung lagi apabila pencemaran dalam skala yang besar turut menjejaskan kehidupan
manusia. Saesungguhnya, pelbagai malapetaka bakal menimpa masyarakat dunia apabila keceriaan
alam mula didustai.

Isi 1: Kemusnahan alam sekitar boleh menghancurkan kesan tamadun – rosaknya sesebuah
peradaban manusia yang dibina selama beribu-ribu tahun – bandar, kampung, desa dan taman
hancur dengan sekelip mata

Isi 2: Mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan kelestarian hidup – pelbagai ancaman
penyakit seperti barah, radang paru, penyakit kulit dan penyakit bawaan vektor

Isi 3: Memusnahkan sumber ekonomi dan sumber makanan – banjir besar dan kemarau panjang
memusnahkan ladang gandum, padi dan haiwan ternakan – krisis kebuluran yang mengancam 100
juta jiwa manusia

Isi 4: Mengancam keamanan dan tamadun manusia – kemudahan asas seperti institusi pendidikan
musnah – kerosakan kemudahan prasarana – manusia tidak mempunyai peluang/kemudahan untuk
belajar dan bekerja

Isi 5: Meningkatkan kes jenayah – manusia cepat hilang pertimbangan apabila susah, kebulur dan
terdesak – terjadi krisis kemanusiaan seperti menindas, berperang, pelarian dan pemerdagangan
manusia

Kesimpulan: Manusia mungkin tidak mampu menangisi malapetaka takdir daripada yang maha
berkuasa, sebaliknya perbuatan manusia yang menempah bala dengan merosakkan kelestarian alam
amatlah dikesali. Akibat gelojah dengan nafsu serakah, manusia menjadi pendek akal dan sanggup
menelanjangkan hutan dan belantara. Akhirnya sumber air dan sumber marina terkorban. Inilah
seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Surah ar-Rumm dengan mafhumnya, “Kemusnahan yang
berlaku sama ada di darat mahupun di lautan adalah kerana perbuatan tangan manusia sendiri”.
Ayuh, umat sejagat sekalian, bangunlah di atas keinsafan dan kesedaran, kita lestarikan alam jagat
raya ini.

26
MELAKA

1. Murid memainkan peranan yang penting untuk merealisasikan konsep ‘Sekolahku


Syurgaku’.

Bincangkan peranan anda untuk menjayakan konsep tersebut.

Pendahuluan: Cerita yang tular di dalam media sosial tentang keindahan landskap kawasan sekolah
di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri, Sarawak telah menarik minat banyak pihak. Inisiatif
pihak sekolah tersebut dengan sokongan murid-murid dan waris telah berjaya memulihkan longkang
menjadi tempat membela ikan kap Jepun. Inilah inisiatif yang sepatutnya murid-murid berikan
komitmen kerana sekolah merupakan rumah kedua mereka yang saban hari mereka berada di situ.
Teruja dengan berita tersebut, sebagai murid saya berazam untuk memainkan peranan yang proaktif
dalam prakarsa merealisasikan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’.

Isi 1: Memupuk jalinan kasih sayang antara guru, murid dan seluruh warga sekolah – memainkan
peranan aktif dalam kalangan murid untuk menyokong semua kegiatan yang berpaksikan kebaikan di
sekolah

Isi 2: Berkolaborasi dengan pihak sekolah untuk mewujudkan persekitaran kawasan selalu yang
kondusif, menarik, indah dan selamat – setiap murid sentiasa berasa seronok dan saban hari ingin
terus berada di sekolah.

Isi 3: Menjadi pelopor dalam kalangan pelajar untuk membentuk disiplin yang baik – disiplin
sebagai sokongan kepada keharmonian dan pencapaian akademik yang baik

Isi 4: Berusaha mewujudkan suasana mesra rakan, mesra guru dan mesra pembelajaran di sekolah
– sentiasa mengamalkan sifat berbudi bahasa, berakhlak mulia dan suka membantu tanpa memilih
rakan, bangsa mahupun agama – membina slogan, ‘Sekolah Kita, Syurga Kita, Milik Kita’.

Kesimpulan: Sekolah boleh diibaratkan sebagai taman-taman ilmu yang bakal melahirkan arkitek
manusia yakni modal insan memiliki ilmu dan citra. Sebagai anak pasca-Milenium yang menjadi
pengungsi Malaysia baharu, saya beriltizam untuk memartabatkan alma mater yang mendidik saya
menjadi insan pencetus generasi tersohor. Oleh itu, selagi nyawa dikandung badan, saya akan terus
berusaha untuk menjenamakan sekolah saya sebagai taman inderloka ilmu dalam kalimah,
‘Sekolahku Syurgaku’.

2. Ibu bapa merupakan suri teladan dalam membentuk tingkah laku anak-anak khususnya
dalam membentuk semangat kejiranan agar tidak luntur dalam kalangan masyarakat.

Huraikan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa dalam mengekalkan dan
menyuburkan semangat kejiranan dalam kalangan anak-anak.

27
3. Pengangkutan awam menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia kerana
mempunyai banyak kelebihan.

Ulaskan pernyataan di atas.

NOTA: Sila rujuk soalan yang sama dengan soalan PPD KUANTAN

4. Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Namun begitu, sudah


menjadi lumrah di dunia bahawa konflik antara negara di dunia pasti berlaku.

Jelaskan cara-cara untuk menyelesaikan persengketaan antara negara di dunia.

NOTA: Soalan dengan tema keamanan sejagat pernah keluar dalam SPM 2015.

ALHAMDULILLAH, TABARAKALLAH, KADAR INI SAHAJA SUMBANGAN SAYA ATAS KUDRAT


YANG TERHAD INI. SEMOGA USAHA YANG KECIL INI BOLEH MEMBERI IMPAK YANG BESAR
KEPADA ANAK-ANAK CALON SPM 2018 DI SEANTERO MALAYSIA.

SEHINGGA KITA BERJUMPA SEMULA DALAM SIRI JERAYAWARA SESI 2019 ATAS ASBAB ALLAH
KURNIAI SAYA KESIHATAN MENTAL DAN FIZIKAL.

HAJI ISHAK BIN MD SHAH

ALOR SETAr, KEDAH

019 4789803

28

Anda mungkin juga menyukai