Merealisasikan Impian
Merealisasikan Impian
SOALAN:
Setiap individu mempunyai impiannya tersendiri. Sebagai seorang pelajar yang berwawasan, anda mempunyai
impian untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan impian anda itu.
JAWAPAN:
Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri dan memasang impian dan cita-
cita dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan impian, harapan dan cita-cita
barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan
dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum
pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina
yang berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan
memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya
mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal
amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada dalam jangka masa pendek
atau jangka masa panjang. Saya perlu belajar memahami diri dari segi kecenderungan, kemampuan, kekuatan
dan kelemahan supaya saya dapat menepati matlamat diri. Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi
sebenarnya mereka gagal merancang dek tidak mempunyai hala tuju atau impian masa depan yang
cemerlang. Kebanyakan pelajar pada milenium ini mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa yang
mencukupi kerana mereka terlalu sibuk akan pelbagai aktiviti selain pelajaran. Istilah tidak ada masa bukan
merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari. Yang perlu
ditingkatkan sebenarnya ialah usaha kita untuk membahagikan masa dengan lebih cermat dan berhemah. Kita
digalakkan membuat jadual waktu dan menuruti jadual itu tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita
sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita perlu membahagikan masa kita untuk membuat ulang kaji, beriadah atau
bersenam, dan berinteraksi dengan ahli keluarga secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh
dengan aktiviti ulang kaji dan kelas tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan
pelbagai akitiviti yang dapat mengurangkan tekanan hidup seperti bersenam, menyertai kem, menonton televisyen
dan sebagainya.
Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya perlu memberikan perhatian
penuh tanpa kompromi. Pada hari yang sama, saya perlu membuat nota ringkas untuk memudahkan saya
membuat ulang kaji pada bila-bila masa. Mungkin setiap orang mempunyai cara belajar yang tersendiri dan
berbeza tetapi bagi saya kaedah perbincangan antara rakan sebaya atau belajar secara berkumpulan merupakan
kaedah yang terbaik untuk kita mengingati fakta. Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan
berdisiplin untuk memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan
perbincangan boleh diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik. Maklumat yang dikongsi bersama
juga mampu mendatangkan impak yang positif kepada setiap individu.
Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba ilmu dan pengalaman. Pada
hemat saya, membaca buku dapat meningkatkan daya fikir dan ilmu pengetahuan bak kata peribahasa membaca
jambatan ilmu. Saya suka memilih buku-buku yang bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup.
Buku-buku yang dikarang oleh Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang terunggul pada abad ini misalnya
menjadi pilihan saya pada masa santai. Bagi saya, pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas
membaca. Selain itu, saya juga perlu menjadi pendengar yang baik. Sama ada orang yang sedang bercakap itu
guru mahupun rakan-rakan, saya tetap akan setia mendengar jika perkara yang diperkatakan itu mendatangkan
kebaikan. Sebagai insan pelajar, kita tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap rendah diri secara
positif ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Bersesuaian dengan era globalisasi, saya tetap tidak akan ketinggalan menggunakan prasarana teknologi
maklumat dan komunikasi secara positif untuk menimba ilmu. Saya sentiasa melayari Internet di rumah bagi
mendapatkan pelbagai maklumat. Antara laman web yang saya layari termasuklah portal pelajaran dan berita
tentang hal ehwal dunia semasa. Kadang-kadang saya turut bersembang siber dengan sahabat pena dan kini
sahabat siber, sama ada dari negara kita atau dari luar negara untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris
saya lagi. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat di dalam blog dan media sosial masing-masing. Prasarana
Internet amat membantu saya untuk menambahkan ilmu dan kemahiran tanpa perlu kita menyalahgunakan
kemudahan canggih tersebut.
Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang asyik leka dan malas tanpa hala
tuju hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya, sebagai insan yang dahaga akan ilmu, pengalaman, dan
kejayaan, kita perlu senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah berusaha tanpa putus asa. Yang paling penting,
kita perlu pasrah, berdoa dan mendapat keberkatan daripada Tuhan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum menduduki
peperiksaan agar usaha kita senantiasa diberkati dan berjaya.
SOALAN:
Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting
sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.
JAWAPAN:
Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang
sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup
melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam
bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh
itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah
melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak
datang melayang.
Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran
insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat,
kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat
penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang
mendatang. Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah
menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau
kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang
boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk
memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.
Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya
merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini.
Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah
diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi,
tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari
hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai
rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum
beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu
saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan
semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi
dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin
mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.
Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang
bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak
mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya
bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka
dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan
dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya
untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada
hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi
merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.
Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu
menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian
menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini,
banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan
dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati
dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih
mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa
lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin
membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya
untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.
Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan
demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu
untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang
merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa
mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk
berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat
menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Saya juga dapat
mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan
untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya
idamkan.
Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai
kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua
aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat
menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.
INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA
SOALAN:
Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan,
berkemahiran tinggi atau insan yang cemerlang.
JAWAPAN:
Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan
yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan
kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan
2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan
modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang
bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan
ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki
kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal
merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk
melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis,
anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab
dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu
menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat
latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca
kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis
peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek
atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan
kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang
cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat
dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik.
Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak
dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam
pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat
bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran
agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang
dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan
dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan
masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang
berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.
Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakankomponen yang
signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan
kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia
ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual
oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan
berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu,
pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman
web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak
boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk
mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.
Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang
sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana
mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian
Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana.
Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan
seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang
berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas.
Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang
globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak
muda kita.
Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin
yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang
berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan
bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah
perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap
pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam
kelas, persatuan kokurikulum dan pasukan beruniform. Menurut kata-kata mutiara, “Anda memerlukan
sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru itu, guru sebagai penasihat
harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana
tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga
meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih
dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang
bercirikan kepimpinan.
MEMACU PRODUKTVITI
SOALAN:
Produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan meningkatkan kuantiti serta kualiti
hasil pengeluaran dalam kehidupan manusia.
JAWAPAN:
Dasawarsa ini, ramai orang yang ingin menjadi produktif dalam menyiapkan segala urusan kehidupan.
Bahkan dalam sebuah organisasi, produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan
meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran. Produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kualiti
output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Dalam zaman pascakemerdekaan ini, negara Malaysia telah
muncul sebagai kuasa ekonomi yang disanjungi di persada antarabangsa. Di samping mempunyai golongan
penduduk yang dedikasi, kita juga mempunyai infrastruktur yang mampu meningkatkan produktiviti dalam pelbagai
sektor. Lantas, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelakkan budaya "automasi" dan mengamalkan fikiran kritis
dan konstruktif untuk meningkatkan produktiviti dalam semua aspek kehidupan.
Antara peranan produktiviti adalah peningkatan produktiviti dalam sektor perindustrian. Barang yang
dihasilkan dengan menggunakan komputer bukan sahaja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih
menjimatkan masa berbanding dengan keupayaan semula jadi manusia. Alat teknologi dapat menjamin kualiti
barangan yang dikeluarkan dengan mengaji mutu barangan dengan tepat dan cepat. Robot digunakan untuk
memasang kereta atau menjalankan kerja-kerja yang terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif. Selain
itu, kemunculan penggunaan laser turut memajukan produktiviti dalam bidang perindustrian. Laser merupakan alat
pemecah dan pemotong yang termoden. Laser dapat memotong batu permata, intan, kaca, malah kepingan logam
tanpa mengeluarkan haba, bunyi dan sisa kotoran. Maka jelaslah produktiviti dalam sektor perindustrian
merupakan hasil daripada penggunaan alat-alat berteknologi seperti jentera canggih dan robot-robot.
Selain itu, peningkatan produktiviti dalam sektor pertanian. Melalui kepakaran dalam teknologi, teknik dan
teknologi pertanian akan mengalami transformasi. Teknik-teknik moden yang efektif dalam bidang penanaman,
penternakan dan penuaian akan membantu meningkatkan produktiviti. Bioteknologi juga akan membantu dalam
penghasilan baka, benih dan racun bagi memajukan sektor pertanian. Pertanian yang berorientasi intensif
teknologi bukan sahaja meningkatkan kualiti makanan tetapi juga menjamin kelangsungan makanan. Lantas,
usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat membantu memelihara ekologi tanaman yang
akan meningkatkan kualiti hidup manusia. Kini, bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang
kejuruteraan makanan ubahsuaian genetik mempunyai ciri-ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu,
murah serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman.
Seterusnya, peningkatan produktiviti sistem telekomunikasi. Maklumat dari sesuatu kawasan boleh
dihantar ke seluruh dunia dalam masa beberapa saat sahaja melalui satelit. Kita tidak perlu menggunakan kaedah
kuno seperti melepaskan asap sebagai tanda isyarat atau memukul kompang untuk menghantar mesej.
Sebaliknya, sesuatu acara sukan atau pertandingan boleh disiarkan secara langsung ke semua pelosok dunia
dengan pantas. Penciptaan telefon bimbit dapat menghantar SMS dan MMS kepada orang lain dengan mudah
dan cepat. Syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit
untuk menghubungi sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian. Penciptaan teknologi laser turut memainkan
peranan penting kerana mengganti peranan kabel dengan optik fiber. Jalur laser yang lebih luas membenarkan
maklumat seperti bunyi dan suara dihantar dengan lebih cepat dan tepat serta meminimumkan risiko kehilangan
data.
Selanjutnya, peningkatan produktiviti sektor penyelidikan. Pelancaran satelit dapat mengumpul data, data
penting mengenai persekitaran bumi dengan pantas. Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh
komputer untuk menghasilkan keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti hala tuju angin dan
kelembapan sesuatu kawasan. Ramalan kaji cuaca ini dapat membantu manusia untuk bersiap sedia menghadapi
sebarang ancaman malapetaka seperti banjir dan taufan. Berbanding dengan zaman dahulu, ramalan cuaca
dilaksanakan dengan memerhatikan kedudukan matahari pada waktu siang dan bintang-bintang pada waktu
malam. Kaedah ini kurang produktif kerana kedudukannya tidak tertentu. Hal ini membuktikan bahawa
perkembangan pesat dalam tahap teknologi telah merancakkan peningkatan produktiviti dalam sektor
penyelidikan.
Produktiviti dalam bidang pendidikan juga dipengaruhi. Murid-murid yang menganggap proses
pembelajaran sukar untuk difahami pastinya akan berminat apabila komputer digunakan untuk menyampaikan
pengajaran dalam bentuk grafik yang berwarna-warni. Teknik pengajaran sebegini direalisasikan apabila
munculnya kemudahan alat ICT di kebanyakan sekolah di Malaysia. Pada zaman sekarang, para murid dapat
menelaah pelbagai isu semasa dunia dengan hanya menekan papan kekunci. Mereka tidak lagi menjadi katak di
bawah tempurung. Murid didedahkan kepada pengetahuan am yang bukan dari buku teks sekolah sahaja. Sebagai
kesan murid-murid mampu meluaskan il u pengetahuan mereka dan menjadi insan yang berilmiah dan berkualiti.
Lantas, produktiviti dalam pendidikan pun dapat ditingkatkan.
Selain itu, peningkatan produktiviti di klinik dan hospital. Doktor boleh membuat diagnosis sesuatu penyakit
dengan menggunakan komputer untuk memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya
mendiagnosis jenis penyakit yang dihadapinya. Dalam rawatan kesihatan khususnya semasa pembedahan,
teknologi memberikan sumbangan yang besar dari segi melicinkan kerja pembedahan. Umpamanya bacaan
denyutan jantung dan analisis gambar sinar - x pesakit boleh dibuat dengan serta-merta dengan peralatan canggih.
Cara ini dapat membantu menjamin keselamatan dan kejayaan sesuatu pembedahan. Lagipun, pakar-pakar
perubatan dapat menghasilkan ubat yang lebih berkesan. Mereka dapat mencipta peralatan canggih untuk
membanteras pelbagai penyakit berbahaya pada masa kini. Penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari,
diabetis dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan.
Dengan cara ini, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Oleh hal yang demikian, perkembangan
dalam bidang perubatan telah meningkatkan produktiviti dan jangka hayat rakyat kita.
Dalam kehidupan kita, ramai orang ingin lebih bermotivasi dalam kerja dan ingin mencontohi orang yang
cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka. Kita mengagumi kehidupan mereka yang tersusun dan
terancang. Antara teknik yang boleh digunakan untuk memastikan masa kita dibahagikan dengan betul ialah
Teknik Pomodoro, Teknik GTD, Teknik Jangan Putuskan Rantai dan sebagainya. Namun yang paling penting, kita
mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk meningkatkan produktiviti hidup. Sebab itulah, pihak kerajaan
menyeru agar rakyat kita melakukan senaman riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Amalan ini
melahirkan rakyat yang sihat dan produktif. Bak kata pepatah "otak yang cerdas datang daripada tubuh yang
cergas".
Tuntasnya, dengan adanya inovasi dan perkongsian, produktiviti meningkat kerana inovasi adalah jantung,
berkongsi adalah hati. Maka, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia
meletakkan 'inovasi' sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara. Beliau
telah memperuntukkan bajet yang positif dan Belanjawan 2013 untuk merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan
produktiviti dan keusahawan. Lantas, setiap lapisan masyarakat haruslah menggembleng tenaga dan berganding
usaha untuk mempromosikan produktiviti kehidupan. Dengan ini, kita dapat membina masyarakat yang berminda
kelas pertama, seterusnya aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 mampu diimplimentasikan dan
dilestarikan.
DUNIA PELANCONGAN
SOALAN:
Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara. Kemukakan usaha-usaha yang
perlu dilakukan untuk menggalakkan kedatangan para pelancong ke Malaysia.
JAWAPAN:
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi
negara Malaysia. Pihak kerajaan pernah menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan
peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan
hakikat itu, usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap
industri pelancongan dapat berjalan dengan lancar.
Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja penduduknya, bangunan dan
perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang
menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih.
Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita.
Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus
dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan
pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan penginapan
untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga
dapat mendatangkan pulangan yang besar kepada ekonomi negara.
Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik seperti menjalinkan
hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu,
pihak Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan
risalah tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang
menarik, tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan
sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana tentang keindahan
negara Malaysia. Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej
pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke
negara kita.
Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan ekonomi negara
terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik,
dan barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas
cukai harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut
akan menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan
perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.
Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik minat pelancong. Mereka boleh
mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para
pelancong. Sikap biadab dan karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada
pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada mana-mana media yang
akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga harus
dijaga.
Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program pembangunan yang
menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang menguntungkan, faktor-faktor semula
jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung
hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan
dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda
persahabatan.
SAYANGI MALAYSIA
SOALAN:
Semakin hari semakin terserlah sikap masyarakat yang sudah kurang rasa cinta akan negara.
Bincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara
kita
JAWAPAN:
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang
didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup
ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan
semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan
hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang
tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang
proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik
sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya
semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang
sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan
tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara
ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari
dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas,
diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan
atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa.
Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat
tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian
Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk
menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain,
televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik
seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga
hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat
memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan.
Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah
digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang
semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja
dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan
pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat
akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin
perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil
perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-
bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar
untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang
masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang
cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri
dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju
yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada
perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding
bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.
BAHASA BUGAR, SASTERA KEKAR
SOALAN:
Amalan membaca dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin berkurangan apatah lagi karya sastera.
Huraikan ciri-ciri sesebuah karya sastera yang dapat menarik minat masyarakat untuk membaca.
JAWAPAN:
Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan
masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera meluahkan rasa kekesalan
mereka kerana bahan bacaan terutamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding
bahan bacaan picisan yang melambak di pasaran ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’. Fenomena ini sangat
membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A. Samad
Said, Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat. Walau
bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemporari dalam hasil penulisan
mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah berjaya mencuri
hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan sastera kembali
menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya
mengubah fenomena tersebut?
Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang
mendalam pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa
sudut. Kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi
bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya
haruslah menampilkan tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan
haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari
melalui bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan
yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Karya seperti ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea jelas
mencerminkan gaya hidup remaja yang sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema
sesebuah karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka
akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya
meninggalkan kesan yang mendalam.
Pada masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu
meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu
panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka
akan melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa
menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa
yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah
karya. Hal ini demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk
menduga jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat
untuk meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat untuk
membudayakan pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran
akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang
menarik dan tidak membosankan.
Seterusnya ciri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur
imaginasi. Dalam era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih
menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen
televisyen TV3 telah mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada
ghalibnya, masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya
penceritaan seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai
contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar
tempat yang berbeza, ditambah dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang Murshid
pula lebih menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’. Hasil karya
seperti inilah yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang
demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih
menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan minda mereka.
Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah
difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh pembaca, khususnya
remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang mudah lebih meninggalkan kesan dalam
hati pembaca berbanding ayat yang panjang walaupun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering
menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah
istilah mudah yang sering terdapat dalam mata pelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan
remaja gemar membaca hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam
penulisan. Maka tidak hairanlah apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang
mudah lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.
Di samping itu, nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi
menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang seronok dibaca tetapi tidak
meninggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi
hiburan murahan. Sesebuah karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada
pembaca dan seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha
melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat
dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan
mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan
kekuasaaan Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini. Justeru, para penulis haruslah
menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar untuk berhibur, menitiskan air
mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah
mengandungi nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.
Sebagai intiha, dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang
menarik. Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka
akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran. Seyogia, yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti
dihasilkan, maka sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat
kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian
atau ‘’menanti kucing bertanduk’’. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan
peranan masing-masing dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan
sendirinya.
ANDA BERSIH ANDA SIHAT
SOALAN:
Kebersihan diri merupakan kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh setiap individu bagi menjamin
kesejahteraan hidup.
Sebagai remaja yang mengutamakan kesihatan, cadangkan cara-cara anda menjaga kebersihan diri.
JAWAPAN:
Bagi memulakan arena perbincangan dalam isu ini, saya tergerak hati untuk memetik pepatah dalam
bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Mendalami kandungan tersirat
pepatah tersebut, jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun utama untuk menentukan tahap tinggi atau
rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliq. Kebersihan juga menjadi lambang ketamadunan dan taraf berfikir
sesuatu bangsa sama ada bertaraf maju atau primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan sering menjadi kayu
ukur akan kesejahteraan hidup berdasarkan slogan, “Rakyat Bersih Negara Sejahtera”. Oleh itu, sebagai remaja
pascamilenium ini, saya amat beriltizam untuk mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat sejajar dengan matlamat
melahirkan generasi sihat, cerdas, pintar dan berdaya saing.
Kebersihan yang nyata adalah yang tampak pada zahirnya. Walau bagaimanapun, kebersihan yang
hakiki hendaklah bermula daripada kebersihan batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama
ada zahir mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati dalam diri seseorang. Dalam hal
ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya pernah menyatakan, “Mahu melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya
mahu melihat kecantikan batin bercerminlah pada wajah. Oleh itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu
menghiasi jiwa dan rohani. Mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur dan amanah merupakan santapan
jiwa yang akhirnya akan terpancar pada peroman. Hal demikian amatlah tepat dengan kata-kata dalam lirik ‘Wajah
Cerminan Hati’ dendangan penyanyi tersohor 1960-an, iaitu A Ramlie, yang berbunyi;
Andai hati tak sayang wajahmu lain sekali
Andai hatimu jujur, wajah cerminan hati.
Disiplin dan amalan secara rutin ialah anak kunci kepada kebersihan diri. Dalam hal ini, saya amat sedar
bahawa tanpa disiplin tiada apa-apapun yang kita lakukan boleh berjaya. Sehubungan dengan pengurusan
penjagaan diri, rutin harian hendaklah saya susun bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Perkara-
perkara penting seperti mandi, bersiap, makan, belajar, beriadah dan berehat hendaklah dilakukan secara
berjadual dan berlangsung selagi hayat dikandung badan. Sikap melakukan sesuatu kerja secara sambalewa amat
mudah menjadi virus untuk menyerang minda dan habit kita supaya mengabaikan pengurusan diri. Kesudahannya,
diri kita menjadi tidak terurus, kurang bersedia dan yang lebih malang lagi mudah diserang penyakit sama ada
penyakit fizikal mahupun penyakit emosi seperti kemurungan. Benarlah seperti yang pernah difatwakan oleh tokoh
bijaksana bahawa, “Apabila kita gagal merancang, justeru kita merancang untuk gagal”.
Aspek penampilan diri juga wajar saya ambil kira dalam hal menjaga kebersihan diri. Penampilan diri
yang tampan, segak dan bergaya boleh memberi saya keyakinan diri dan yakin pula untuk berkomunikasi dengan
khalayak. Saya seharusnya menjaga kebersihan pakaian, cara berpakaian dan cara bercakap apabila
berkomunikasi. Inilah beberapa sifat yang boleh menonjolkan diri kita agar dilihat harmoni hati nurani, tajam minda
dan mata hati serta matang akal budi. Pokok pangkalnya, kebersihan hendaklah meliputi segala perkara sama ada
badaniah, rohaniah, insaniah dan alamiah.
Kesihatan ialah aset besar yang membolehkan seseorang itu tampil sebagai individu seimbang dan
harmonis sama ada dalam aspek fizikal mahupun rohani. Oleh hal yang demikian, saya sangat mengutamakan
perihal kesihatan dalam memastikan diri dilihat bersih, kemas, berkeyakinan dan terampil. Kecaknaan terhadap
kebersihan tubuh badan memberi impak yang besar terhadap penjagaan kesihatan. Oleh itu pemilihan makanan,
berehat dan riadah hendaklah diberi perhatian yang teliti. Selain itu, kesihatan mental dan emosi boleh membuka
dimensi yang luas dalam persahabatan. Di sinilah terminologi utama yang boleh membentuk insan seimbang
dalam aspek jasmani, emosi dan rohani. Sesungguhnya, amatlah kontradiksi untuk merealisasikan kebersihan diri
sama ada zahir atau batin seandainya kesihatan diri kita tidak terurus.
Kebersihan diri turut terpancar apabila kebersihan persekitaran tempat tinggal kita turut terjaga. Hal ini
amatlah penting kerana kehidupan yang mesra alam itu merupakan teras utama untuk hidup sihat dan selamat.
Hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan rumah tangga seperti tempat tidur, bilik mandi dan tempat makan
hendaklah saya jaga. Semua elemen ini menjadi persekitaran tetap kepada diri kita. Seandainya tidak diuruskan
dengan baik, justeru banyak anasir yang boleh mengancam kebersihan dan kesihatan. Pelbagai penyakit seperti
penyakit berjangkit, serangan kuman dan udara yang tidak bersih boleh membawa musibah penyakit. Sewajarnya,
kawasan sekitar hendaklah dibersihkan dan dihiaskan dengan pokok-pokok bunga serta landskap yang menarik.
Sebenarnya, semua perkara tersebut menjadi aset untuk jiwa, minda dan emosi saya menjadi tenang dan stabil.
Kesimpulannya, kebersihan diri menjadi perhiasan zahir dan batin seseorang insan. Insan yang bersih
ialah insan yang kenal tentang dirinya dan tahu tentang matlamat dirinya dijadikan Tuhan. Dalam Islam, Allah amat
mementingkan perihal kebersihan dan keindahan sejajar dengan firman yang bermaksud, “Allah itu cantik dan
amat suka akan kecantikan”. Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda harapan bangsa dan negara saya
harus memperlengkap diri dengan pakej penampilan diri yang segak, kemas dan sihat. Saya juga perlu
menyempurnakan sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan pekerti yang baik. Demikian pakej anak muda yang
bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat Negara Berpendapatan Tinggi yang diidam-
idamkan.
SUKAN DAN REKREASI
SOALAN:
Aktiviti sukan merupakan pilihan masyarakat terutama golongan remaja untuk mengisi masa lapang. Walaupun
begitu, faedah-faedah melebihi daripada itu.
JAWAPAN:
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai
riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh
badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan
membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih
dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan
masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar
pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu
dan keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal
dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan
profesional dan separa profesional pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi
diri dan keluarga sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan
semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan
kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah
kesihatan. Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam
mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat
membantu mereka yang menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan juga penglibatan masyarakat dalam
bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya
kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah
dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Sekiranya,
aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit kronik negara dapat
dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdas. Seyogia, mencegah lebih baik
daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam
melahirkan masyarakat yang sihat.
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang sebenarnya amat
berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi
masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat
berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan
melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat
menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta
hedonisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Malah
aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik.
Kesan amat jelas kerana dengan bersukan sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah
gagah dengan yakin ke peringkat antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari
ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet
negara bertaraf dunia. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan
lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan
dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan
semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui
penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini,
nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi
kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan
menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah
perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu
padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan
kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya boleh
meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu
menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global
mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri hiliran
muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang
berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka.
Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli
masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan menjadi budaya
masyarakat bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat meningkat sara hidup yang kini
kian meningkat. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.
Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat
melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu
mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat
dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
BERSATU KITA TEGUH
SOALAN:
JAWAPAN:
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan
harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat
dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana
kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara
bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh
jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu
sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum.
Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum
sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling
memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu
sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan
banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum. Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan,
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing
menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang
menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana perasaan prejudis kepada
kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan
antara kaum dapat dikukuhkan.
Selain itu, ramai pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya
masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum
dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada
pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur
datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun
lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai
kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk
menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah
menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang
kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.
Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara
adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak
mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara.
Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-
baru ini, pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk
memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal
yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus menyediakan peluang pekerjaan
kepada penduduk setempat. Pelabur ini berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana
kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan.
Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej
negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara pada masa kini sudah berada di peta
masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di
peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi
perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada
beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas
antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia
berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini
sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu
padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.
Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia
menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau
mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang
berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak.
Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh
itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk
menjadi negara maju dapat direalisasikan
SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
SOALAN:
Sains dan teknologi merupakan bidang yang amat penting pada zaman sekarang.
Huraikan cara-cara memupuk Budaya Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.
JAWAPAN:
Ekoran kemajuan sains dan teknologi, terciptalah pelbagai alatan yang memudahkan urusan harian
manusia. Penciptaan kenderaan canggih membolehkan sesiapa sahaja bergerak ke sana ke sini dalam masa
yang singkat. Penemuan kaedah rawatan moden pula telah membantu pihak perubatan mengesan dan merawat
penyakit dengan lebih berkesan. Walaupun kepentingan sains dan teknologi diakui, namun kesedaran orang
ramai, khususnya pelajar tentang perkara ini masih kurang. Sehubungan dengan itu, usaha untuk memupuk
budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar perlu dilakukan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa hendaklah memperkenalkan “dunia sains dan teknologi”
kepada anak-anak. Selain memberitahu anak-anak tentang kepentingan budaya sains dan teknologi dalam
kehidupan era moden, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak mengunjungi pameran sains dan teknologi yang
sering diadakan. Tujuannya adalah untuk menanam minat anak- anak terhadap sains dan teknologi sejak awal
lagi. Bagi anak-anak yang menunjukkan minat mereka terhadap bidang ini, galakan hendaklah diberikan agar
minat tersebut dapat disuburkan.
Sesetengah pelajar beranggapan bahawa Sains merupakan mata pelajaran yang sukar dipelajari. Oleh hal
yang demikian, fobia terhadap mata pelajaran Sains perlu dihilangkan dalam diri pelajar. Di sekolah, Unit
Bimbingan dan Kaunseling harus mengadakan ceramah untuk membetulkan tanggapan tersebut. Kesedaran
tentang hal ini juga perlu diberikan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Selain itu,
pelajar yang telah berjaya dalam bidang tersebut boleh diundang untuk memberikan penjelasan kepada pelajar
tentang perlunya budaya sains dan teknologi pada era globalisasi. Langkah ini penting untuk membina keyakinan
dalam diri pelajar bahawa sains dan teknologi mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja.
Di sekolah, guru mata pelajaran Sains hendaklah memberikan penekanan kepada aspek amali dan
penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori. Selain itu, pertandingan reka cipta sains perlu diadakan dari
semasa ke semasa. Aktiviti ini penting untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar. Ganjaran yang setimpal
perlu disediakan untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil bahagian. Usaha ini dipercayai dapat meningkatkan
minat pelajar terhadap sains dan teknologi, sekali gus memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan
generasi muda di negara ini.
Seterusnya, institusi pengajian tinggi pula hendaklah menawarkan lebih banyak kursus yang berkaitan
dengan sains dan teknologi. Dengan berbuat demikian, lebih ramai pelajar berpeluang untuk mengikuti pengajian
dalam bidang tersebut. Pada masa yang sama, pihak institusi yang berkenaan hendaklah menyediakan
kemudahan pembelajaran sains dan teknologi yang mencukupi untuk membolehkan pelajar mengikuti pengajian
dengan berkesan. Di samping itu, insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang tersebut wajar diberikan
sebagai pendorong agar pelajar berusaha untuk menguasai bidang tersebut. Oleh hal yang demikian, pihak
institusi pengajian tinggi harus memikirkan pelbagai kaedah untuk menarik minat generasi muda dalam bidang
sains dan teknologi.
Di samping itu, Kementerian Pendidikan mengadakan Kempen Budaya Sains dan Teknologi dalam
kalangan pelajar. Sehubungan dengan itu, wacana ilmu yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi telah
diadakan dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, aktiviti forum dan wawancara tentang sains dan teknologi
diadakan sepanjang pelaksanaan kempen itu. Selain itu, peraduan menulis esei, pidato, melukis poster, dan
mencipta puisi yang bertemakan sains dan teknologi telah diadakan khusus untuk pelajar sekolah. Kempen yang
berterusan ini diyakini dapat memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.
Sesungguhnya, bidang sains dan teknologi banyak mendatangkan faedah kepada kehidupan manusia.
Pelajar hendaklah memantapkan ilmu dalam bidang ini. Selain itu, kesedaran semua pihak tentang kepentingan
sains dan teknologi amatlah penting. Dengan adanya kesedaran sedemikian, usaha pemupukan budaya sains
dan teknologi dalam kalangan pelajar akan mencapai matlamatnya. Akhir kata, sama-samalah kita memainkan
peranan dalam memartabatkan bidang sains dan teknologi demi kemajuan negara.
EKONOMI, KEUSAHAWANAN DAN PENGURUSAN KEWANGAN
SOALAN:
Salah satu usaha untuk memupuk semangat keusahawanan di setiap sekolah adalah dengan menubuhkan
koperasi. Walaupun begitu, masih ramai yang memilih untuk membeli barangan keperluan di kedai-kedai di luar
sekolah.
JAWAPAN:
Setiap sekolah mempunyai koperasi yang tersendiri. Lazimnya, koperasi ini didaftarkan di bawah Akta
Koperasi dan bernaung dengan Angkatan Koperasi Nasional (ANGKASA). Koperasi sekolah ini dikendalikan oleh
Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada guru-guru dan diuruskan oleh pelajar sekolah. Satu organisasi yang
terdiri daripada para pelajar dibentuk untuk membantu guru menguruskan koperasi sekolah ini. Penubuhan
koperasi sekolah mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah. Persaolannya, apakah kebaikan koperasi
sekolah?
Pada pandangan saya, penubuhan koperasi sekolah dapat membantu pelajar untuk memahami aspek
perniagaan dengan mendalam. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah
berpeluang menjalani aktiviti-aktiviti berkaitan dengan urusan perniagaan. Sebagai contoh, guru yang bertugas
akan mendedahkan pelajar dengan urusan perniagaan seperti cara menetapkan harga barang, menulis rekod
penjualan barang, cara-cara membuat penyata kewangan, dan juga memahami konsep perakauan. Koperasi
sekolah juga melatih pelajar bersikap jujur dan amanah semasa menjalankan sesuatu pekerjaan. Sebenarnya,
penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang
dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat diaplikasikan ketika pelajar-pelajar
mencari pengalaman berniaga di koperasi sekolah. Pengalaman tersebut dapat membantu pelajar-pelajar yang
ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Hal ini bertepatan
dengan pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, pelajar-pelajar akan mendapat pengalaman
berniaga dengan menyertai koperasi sekolah.
Selain itu, koperasi sekolah dapat menyediakan peralatan dan keperluan sekolah. Saya berpendapatan
sedemikian kerana koperasi sekolah membekalkan peralatan seperti alat-alat tulis dan keperluan sekolah yang
lain dapat diperoleh dengan mudah. Barangan yang ada di koperasi sekolah dijual dengan harga yang lebih murah
berbanding dengan kedai alat tulis di pasaran. Sebagai tamsilan, alat tulis seperti pen , pensel, buku latihan, dan
sebagainya lazimnya ditawarkan sepuluh peratus lebih murah daripada kedai alat tulis yang terdapat di luar
kawasan sekolah. Secara logiknya, pelajar-pelajar hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya
semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan adanya koperasi sekolah, pelajar-pelajar dapat
memperoleh barangan keperluan sekolah dengan mudah. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar tidak akan
mensia-siakan masa dan tidak akan membazir wang. Pelajar-pelajar boleh memanfaat masa yang dijimatkan
dengan aktiviti berfaedah seperti membaca dan beriadah. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membeli
buku rujukan. Jelaslah, koperasi sekolah bukan sahaja memudahkan pelajar-pelajar membeli peralatan sekolah ,
malah dapat menjimatkan masa dan wang.
Di samping itu, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan menambah kewangan sekolah. Hal ini
bermaksud, koperasi sekolah yang beroperasi dengan baik dapat menjana keuntungan yang dijangkakan.
Lazimnya, keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian murid-murid, guru-guru dan warga
sekolah. Oleh yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah untuk mengukuhkan
keduddukan kewangan pihak sekolah. Keuntungan koperasi sekolah dapat dimanfaatkan dengan membina
kemudahan-kemudahan asas di dalam kawasan sekolah. Misalnya, keuntungan koperasi sekolah boleh digunakan
untuk membina laluan berbumbung, membina pondok-pondok bacaan, dan menceriakan kawasan sekolah dengan
menaja beberapa taman mini. Di samping itu, ada juga koperasi sekolah juga memberi sumbangan yang ikhlas
kepada pihak sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah kemudahan pendingin hawa di dalam surau Aisyah
Umairah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi
sekolah tersebut. Saya optimis, dengan adanya koperasi, keuntungan yang didapati dapat memanfaatkan pihak
sekolah.
Bukan itu sahaja, aktiviti koperasi sekolah juga dapat memupuk nilai murni dalam sanubari diri pelajar. Hal
ini memang benar kerana sistem pelaburan yang diperkenalkan oleh koperasi sekolah dapat mendidik pelajar
menabung. Pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah digalakkan berjimat cermat. Wang yang dijimatkan
boleh digunakan untuk melabur. Walaupun pelajar menabung dalam jumlah yang sedikit tetapi akan menjadi
banyak akhimya seperti kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Amalan menabung ini amat penting
disemai dalam kalangan pelajar demi menjamin masa hadapan mereka. Dengan cara inilah, pelajar-pelajar
berpeluang menjadi pemegang saham koperasi sekolah. Apa yang pasti, keuntungan koperasi sekolah akan
dipulangkan dalam bentuk dividen dan bonus kepada pelajar yang membuat pelaburan. Sebagai contoh, Koperasi
Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam telah berjaya membayar dividen tahun 2012 kepada ahli-
ahlinya. Dividen yang diperoleh oleh pelajar boleh disimpan dalam bank untuk kegunaan masa hadapan. Bagaikan
sudah terang lagi bersuluh, koperasi sekolah dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar.
Konklusinya, aktiviti koperasi sekolah memang banyak membawa manfaat kepada pelajar. Semua warga
sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan.
Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka
masa yang lama. Ibu bapa seharusnya memberi galakan agar anak mereka menyertai aktiviti murni sebegini
terutama ketika muda kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Negara amat memerlukan ahli
perniagaan yang mahir dalam menguruskan urusan perniagaan pada masa depan. Usaha yang
sistematik dan proaktif untuk menambah baik status koperasai
mestilah digerakkan mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan
langkah yang pertama!
JATI DIRI, WARGANEGARA PATRIOTIK
SOALAN:
Pelbagai usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita telah dilakukan
oleh banyak pihak tanpa jemu namun semangat cinta akan Negara semakin hari semakin luntur.
JAWAPAN:
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang
didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang
menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup
ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan
semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan
hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang
tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang
proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik
sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya
semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang
sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan
penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian
tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana
aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara
formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal
yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka
menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media
massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada
masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu,
Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan
untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain,
televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik
seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga
hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan
semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat
memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan.
Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah
digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang
semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja
dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin
negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota
masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para
pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah
dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan
sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan
sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang
dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang
masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang
cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri
dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju
yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada
perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding
bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.
INDUSTRI CEMERLANG, NEGARA GEMILANG
SOALAN:
Industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan sokongan kepada kegiatan ekonomi Negara yang lebih besar. Ia
turut melibatkan jumlah tenaga kerja yang ramai.
JAWAPAN:
Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada
negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini,
kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan”. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat
dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah
memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini
bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan
dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah
kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan
IKS kepada masyarakat dan negara.
Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar
bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep
‘Satu Kampung Satu Produk’. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf
tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk
kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar
malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun
sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para
pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang
bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani
menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari
ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk
di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya
penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya
pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja
untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya
kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha
untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja
dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau
orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat
sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di
sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita
merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk
kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk
kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.
Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan
sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses
pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau
perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula
memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian
dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini
sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa
kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian
seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal
ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan
pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan
mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG
dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan.
Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan
ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh
dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa
dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan
sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk
dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum
yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu
sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta
jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli kraftangan ini sebagai
cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa
Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa
kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara
ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan
ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Konklusinya, terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan
negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita
perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan
keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di
dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah
terserlah. Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah
bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan
sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS. Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam
pasaran di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia
iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
INTEGRITI
SOALAN:
Integriti merupakan unsur penting yang perlu wujud dalam diri sesorang pekerja dan organisasi. Jatuh bangun
sesebuah oranisasi terletak sejauh mana ia diurus dengan cekap tanpa unsur negatif seperti rasuah, pecah
amanah atau pilih kasih.
JAWAPAN:
Saya percaya ramai antara kita yang baharu mendengar perkataan integriti yang dalam bahasa Inggeris
disebut integrity. Sebenarnya perkataan integriti sudah lama wujud dalam Kamus Dewan, cuma dari sudut
pemakaian perkataan tersebut dalam percakapan seharian amat jarang sekali kita gunakan. Kalau kita dengar pun
perkataan itu sama ada dalam media atau ucapan tokoh-tokoh tertentu, kita mengambil sikap pura-pura tahu,
walaupun sebenarnya kita tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan integriti itu. Mungkin juga sebahagian
kita lebih merujuk kepada pemahaman yang bermaksud 'berkaitan rasuah".
Dalam Kamus Dewan, integriti bermaksud "kejujuran, keutuhan, keadaan sempurna dan utuh". Menurut
kamus Oxford Dictionary, Integrity ialah wholeness, soundness, uprightness, honesty. Jadi, integriti bukanlah
semata-mata rasuah, tetapi juga berkait rapat dengan keseluruhan sifat kejujuran dan ketelusan. Dalam sebuah
terbitan bertajuk "Dari Akar Hingga Buahnya" terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengambarkan "Integriti
bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan. Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang yang besar lagi
tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya....". Sesiapa yang memiliki integriti akan
berdiri teguh yang tidak akan mudah goyah dan terpujuk kepada kebendaan umpama pokok tersebut yang sifatnya
kuat dan tidak mudah digugat.
Oleh itu, bila kita membicarakan tentang integriti, maka perlu kita merujuknya sama ada individu itu sendiri atau
individu sebagai penjawat awam dan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Ini kerana setiapnya mempunyai
tindakan sehari-hari yang bertaut rapat dengan etika. Dalam individu, integriti bolehlah dilihat sebagai 'cakap
serupa bikin". Apa yang seseorang itu katakan haruslah selari dengan tindakan dan yang dikotakannya.
Tindakannya pula bermoral, mengikut peraturan sedia ada dan beretika yang konsisten dalam apa juga perkara
yang selari antara kepentingan diri dengan kepentingan orang ramai. Tetapi jika berlaku pula "cakap tak serupa
bikin" individu tersebut bolehlah dianggap dan dikatakan tidak berintegriti.
Sementara jika kita melihat individu sebagai kakitangan awam atau penjawat awam, sudah tentulah kita
melihatnya integriti sebagai mereka yang telah diberi tanggungjawab dan amanah yang pelaksanaannya harus
dipertanggungjawabkan untuk kepentingan umum. Di bahu mereka ada amanah, jadi integriti dalam konteks
penjawat awam merujuk kepada melaksanakan anamah dan kuasa yang ada untuk kepentingan umum bukannya
untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan, saudara mara atau kroni atau kerana ada kepentingan lain, kata orang
"ada udang di sebalik mee". Seseorang penjawat itu harus mempunyai dan menunaikan setelus dan setulus sama
ada untuk masyarakat, bawahannya malah kepada ketuanya. Aspek ini harus diutamakan. penjawat awam tidak
boleh membiarkan amanah dan kuasa yang dimilikinya diatur dan dikuasai oleh pihak lain.
Sesebuah organisasi juga perlu ada integriti. Untuk melihat organisasi yang berintegriti, bolehlah kita melihat
dalam aspek pelaksanaan kod etika, wujud piagam pelanggan, memiliki proses kerja yang teratur dan pematuhan
kepada amalan terbaik. Semua aspek ini harus dihayati, diamalkan oleh kakitangannya sebagai satu kebiasaan
yang membudaya dalam organisasi berkenaan dan bukan sebaliknya aspek tersebut hanyalah sebagai hiasan
dinding dan hanya untuk dibaca atau diceritakan kepada pihak lain, tetapi pengamalan dalaman sendiri tidak
berlaku.
Berdasarkan itu integriti akan terpancar sekiranya nilai-nilai elok sebagai jati diri dalam keluarga, masyarakat
keseluruhannya seperti ketelusan, beramanah, keikhlasan dalam bekerja, tidak menipu, dipercayai, menepati
masa dan memiliki sikap keterbukaan bila dikritik dan ini menjadi amalan serta tauladan dan secara bersama kita
lakukannya serta ditunjangi dengan akar sistem yang cekap dan berkualiti sudah tentunya kita dianggap
berintegriti. Sebaliknya jika lemah dan hilang integriti dalam pola kehidupan seharian sudah tentu mereka yang
memiliki kuasa akan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif
yang akhirnya mewujudkan satu sistem pengurusan dan perkhidmatan yang lemah dan terbengkalai. Ini akan
menjadi bertambah parah apabila semua kita tidak mengambil berat dan tidak sensitif dengan apa yang berlaku.