Anda di halaman 1dari 2

KARANGAN CEMERLANG SPM - PERANAN ANAK-ANAK UNTUK

MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN KELUARGA

Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara
hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi
dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana
alam dan krisis bahan makanan cukup menakutkan pelbagai pihak. Hingga hari ini,
ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda
negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita.
Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama
sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah
di bawah RM2500.00. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh
golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami susah
payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan
bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh untuk meringankan
beban kewangan keluarga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan
yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah
bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal
penggunaan keperluan asas terutama tenaga elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut
tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air
sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang
benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk
dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling
mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah paras RM20.00, justeru
penggunaan domestik tersebut adalah percuma. Langkah bijak ini sebenarnya hakikat
amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Sejajar dengan itu, langkah lain yang wajar dilakukan oleh anak-anak
adalah mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan seharian. Anak-anak yang
baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan
kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati
terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah beratnya tanggungan ibu
bapa, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal
makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Mereka tidak
harus menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Misalnya, mereka tidak harus
meminta-minta sesuatu di luar kemampuan ibu bapa seperti ingin memiliki pakaian yang
berjenama dan berselera untuk makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-
anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah
kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sama enggangmasakan dapat
terbang bersama.

Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sesebuah negara
seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka.
Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan
mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu
peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-
lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah mereka harus
mengetepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya banyak teladan yang dapat dikuti
daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh
Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi usahawan yang berjaya
dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh sebab itu, langkah yang terpenting ialah
setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat
kata tokoh tersohor Sukarno, Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi
sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan.

Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi


kegawatan ekonomi ialah anak-anak harus membudayakan amalan menabung. Hal ini
demikian kerana mereka dapat membantu keluarga untuk menampung perbelanjaan luar
jangkaan apabila mengalami kesempitan wang. Menurut Datuk Dr Hassan Ali, wang
yang disimpan di bank boleh menjadi penyelamat pada masa gawat. Dalam konteks
ini , wang pemberian ibu bapa yang tidak dibelanjakan harus disimpan kerana sehari
selembar benang lama-lama menjadi kain. Tamsilannya, tabungan tersebut dapat
digunakan oleh ibu bapa untuk membiayai kos sara hidup yang kian meningkat yang
sedang melanda negara kita kini. Malahan, anak-anak dapat menggunakan tabungan
untuk menampung perbelanjaan persekolahan mereka. Natijahnya, jika anak-anak
mengamalkan budaya yang mulia ini, maka mereka mampu meringankan beban
kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.

Sebagai penutup wacana, anak-anak memainkan peranan yang amat penting


dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa. Ketika berdepan dengan
pelbagai cabaran akibat krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Oleh hal
yang demikian, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab,
manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap
saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan
impian pembentukan keluarga bahagia. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala
masalah akan usai juga akhirnya ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada
penghujungnya.

Anda mungkin juga menyukai