Anda di halaman 1dari 4

KEPENTINGAN DAN LANGKAH PEMUPUKAN AMALAN BUDI BAHASA

(T) Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka
terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Budi
bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional
negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, Apabila kamu hendak mengenali wajah
lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah. Kata-kata
tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu.
Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun
begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak
liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme,
vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas
menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai
amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.

(K1): Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat
berbilang kaum di negara kita. (M) Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira
apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni ini akan mendidik
masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa menjaga perasaan antara satu sama lain sama
ada melalui tutur bicara atau perlakuan. Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau
kata buruk padahnya. (B) Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri
Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan langkah yang bertepatan
dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik yang berbeza. Konsep ini
membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin
perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan
hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. (K) Apabila wujud sikap
saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun
hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham
antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan
yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada
menyatakan bahawabersatu teguh bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat
berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan
mudah. (P)Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah sekiranya amalan budi bahasa
dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

(K2): Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih
bertamadun. (M) Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang
memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu,
masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang kuat dan hebat seperti tamadun
Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi
masih belum berkembang dengan sepenuhnya. (B) Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak
seharusnya bersikap biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga memilukan hati
pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini menggambarkan masyarakat tersebut masih
berada dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat
rendah. (K) Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita dapat mempertahankan
kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak
untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat. Secara tidak langsung,
industri pelancongan juga turut meningkat. (P) Secara ringkasnya, masyarakat yang bertamadun dapat
dilahirkan melalui amalan budi bahasa.

(K3): Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti
memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing.(M) Hal ini penting
agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan
mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini dialu-
alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. (B)Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam
dan Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang
lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika
berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya
sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud selamat datang
dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi.
Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun. (K)Sekiranya amalan
ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir
para pelancong dan sentiasa memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini
secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian
mendapat sambutan hangat. (P) Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika berurusan dengan pelancong
asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

(K4): Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. (M) Pemimpin yang baik akan
dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Pemimpin
yang berbudi bahasa sentiasa menitikberatkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi.
Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut
dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. (B)Sehubungan dengan itu, golongan remaja
merupakan aset yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal
menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa seperti menghormati orang tua, bertutur dengan
sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan mereka
supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkarisma dapat
dilahirkan. (K) Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin
pemimpin dari negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi
menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan
dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. (P) Pendek kata, negara kita akan
terkenal di persada dunia kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa
yang dipamerkan.

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang
pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita. Oleh
itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula
dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem
pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak
pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui
pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari
aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang
berhemah tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab
itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula.
Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari
peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed
pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka
semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan
budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa
serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta
akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup
berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk
amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum
dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang
paling berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-
menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia
diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana pelajar ibarat
pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang
secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform
seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam
kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan
sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-
persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan
perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, tak
kenal , maka tak cinta. (K) Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan
membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap membina
daripada meruntuhkan atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap
segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti
kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau
tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya,
kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut
lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan
yang tua kerana tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat telah meningkat. (P) Pendek kata, amalan
budi bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang berbudi
bahasa tinggi. (M) Bagaimana acuan, begitulah kuihnya, begitulah peribahasa yang membawa maksud
bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak
dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi.
Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh
untuk melahirkan insan yang kaya budi bahasa. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil
oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar apabila anak-anak memasuki alam
persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur
telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu
menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda
milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti
ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa
mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini,
hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti jannati. Malah
yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang akan mencerminkan maruah
keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke
muka keluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada
anak-anak dapat memupuk amalan budi bahasa dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang berbudi bahasa adalah melalui kempen
yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang
diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan
(KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama
sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr.
Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana
hidup sehingga sanggup merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest
telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi
bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen
seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadarmelepaskan batuk di
tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat menyemarakkan dan
menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan
budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi
agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika
masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa
peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.

(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan budi bahasa amat mustahak untuk
negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia. Yang
merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi, demikianlah ungkapan
yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli
pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. (C) Oleh itu, sifat sifat
luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis
ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur
dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam
amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak
sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah
tangan takkan berbunyi. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari
semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata,
Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai
budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020,
tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat
Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang,
biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian budi bahasa
rakyatnya.

Anda mungkin juga menyukai