Anda di halaman 1dari 4

PERPADUAN DAN MUHIBBAH

Sirih pinang sirih berlipat,

Sirih dalam Pulau Mutiara,

Pemanis kata ucapan selamat,

Saya _______ membuka bicara.

Salam sejahtera dan salam perpaduan,

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin sekalian. Pada pagi ini,
saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Hidup Muhibbah
Memupuk Perpaduan”.

Pada era langit terbuka ini, cabaran yang dihadapi oleh sesebuah
Negara yang berbilang kaumnya untuk kekal harmoni bukanlah mudah.
Saban hari, perpaduan dan nilai muhibbah yang menjadi khazanah
Negara yang tidak ternilai harganya, sentiasa dicabar dan diganggu
gugat oleh pelbagai elemen terutamanya teknologi komunikasi moden.
Berita-berita berbau perkauman yang ditiup oleh anasir-anasir negatif
melalui media sosial seperti whatsapp dan facebook merupakan musuh
baru yang berusaha menggoyahkan perpaduan dan semangat muhibbah
yang kita warisi.

Hadirin yang dihormati,

Perpaduan di Negara kita telah lama wujud sebelum Negara kita


mencapai kemerdekaan lagi. Pada 31 Ogos 2017, genaplah Negara kita
menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-60. Hakikatnya, rakyat
merupakan akar, manakala Negara ialah pohon yang tidak boleh berdiri
tanpa akarnya yang kuat. Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia sentiasa
menggalakkan amalan rumah terbuka semasa sambuta Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas sebagai acara
tahunan. Natijahnya, kita dapat memahami adat resam, agama dan
budaya masing-masing dengan lebih mendalam.

Sidang pendengar yang budiman,

Sesungguhnya, hidup muhibbah merupakan teras kepada perpaduan


kukuh yang telah terjalin antara rakyat di Negara kita. Tambahan pula,
semua rakyat di Negara kita saling membantu antara satu sama lain. Ah
Leong membantu Selva, Selva membantu Ali dan Robert menolong
Kumaresan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Hadirin yang dihormati,

Perpaduan juga dapat dipupuk melalui amalan bertegur sapa dan ziarah
menziarahi. Amalan serumpun bagaikan serai, seikat bagaikan sirih
bermaksud permuafakatan antara anggota masyarakat. Amalan
bertegur sapa hendaklah diamalkan setiap masa tanpa mengira warna
kulit.

Sekarang,marilah kita bersama-sama melihat prinsip Rukun Negara pula.


Rukun Negara merupakan ideologi Negara untuk memupuk perpaduan
kaum. Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlulah
dipraktikkan dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia. Maksud Rukun
Negara yang kelima ini menekankan peri pentingnya muhibbah sebagai
asas perpaduan Negara.

Akhir kata, marilah kita sama-sama menanam semangat muhibbah pada


diri masing-masing untuk membentuk perpaduan demi kesejahteraan
kita semua. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan
bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat 1 Malaysia.

Hal ini penting supaya Negara kita berkembang maju melalui Dasar 1
Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.Semangat muhibbah yang dimiliki rakyat Malaysia pastinya
menjadi asas kepada perpaduan yang tidak berbelah bahagi. Justeru,
Negara kita akan terus dihormati oleh Negara-negara lain dan
kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan. Hakikatnya,keamanan dan
kemakmuran Negara dapat dinikmati selama-lamanya.

Sebelum saya mengakhiri syarahan ini, izinkan saya menyampaikan


serangkap pantun berbunyi:

Petang hari pergi ke pekan,

Pulang membawa sebungkus laksa,

Hidup muhibbah perlu diamalkan,

Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai