Anda di halaman 1dari 3

MALAYSIA PRIHATIN: HAYATI RUKUN NEGARA, RAKYAT HIDUP SEJAHTERA

Sejambak kasih, sekalung budi buat Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang
berkarisma, dif-dif kehormat, seterusnya hadirin yang budiman. Salam sejahtera dan
salam perpaduan. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin,
bukan pula untuk berbicara kosong tetapi menyampaikan syarahan saya yang
bertajuk “Malaysia Prihatin: Hayati Rukun Negara, Rakyat Hidup Sejahtera”.

Hadirin yang saya hormati,

Malaysia merupakan sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada


rakyat berbilang kaum yang mempunyai nilai hidup sosial, kebudayaan dan
kepercayaan yang berbeza. Ini menyebabkan perpaduan agak sukar dicapai kerana
setiap orang mempunyai kepercayaan dan pandangan hidup yang berbeza. Oleh itu,
kita memerlukan sesuatu yang dapat mengeratkan perhubungan sesama rakyat dan
membolehkan kita hidup bersama dengan aman dan sejahtera di bawah bumbung
yang sama. Sehubungan itu, Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah
pada 31 Ogos 1970. Antara tujuan Rukun Negara adalah untuk dijadikan prinsip
hidup semua rakyat negara ini dan menjamin perpaduan kaum dan keamanan
negara. Rukun Negara seharusnya dijadikan panduan oleh setiap rakyat yang
mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Sekiranya panduan ini sentiasa
dipatuhi, pastinya negara kita akan sentiasa aman dan sejahtera.

“Lima Prinsip Rukun Negara”

Hadirin sekalian,

Itulah lagu yang sering kali dimainkan di corong-corong radio dan televisyen.
Ianya bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi ada mesej yang ingin
disampaikan. Mari kita tinjau apakah mesej yang ingin disampaikan. Prinsip yang
pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Setiap agama pastinya menyeru
kepada kebaikan. Justeru, bagi insan yang beragama, pastinya mereka percaya
bahawa melakukan perkara yang baik adalah sangat dituntut. Di sini kita dapat
memahami bahawasanya prinsip yang pertama ini akan dapat melahirkan rakyat
yang berkualiti yang mana inginkan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan
masyarakat. Jadi, tidak dinafikan, rukun negara dapat membentuk rakyat yang
berkualiti melalui prinsipnya yang pertama.

“Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan
mulia”. Prinsip yang kedua ialah Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Prinsip ini
menyeru supaya rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan sikap taat setia kepada
pemimpin dan tanah air. Rakyat yang taat dan sayang akan tanah airnya pasti akan
berusaha untuk memajukan negara. Walau apa-apa pun yang terjadi, kesanggupan
mereka untuk berkorban sangatlah dihargai. Ini menunjukkan bahawa rakyat
Malaysia adalah rakyat yang berkualiti tinggi. Prinsip kesetiaan inilah yang akan
memacu rakyat Malaysia untuk berubah memajukan negara Malaysia. Rakyat yang
bersemangat seperti inilah yang akan dapat memimpin negara kelak. Pepatah
Melayu ada mengatakan “di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

Hadirin yang saya muliakan,

Prinsip yang ketiga pula ialah keluhuran perlembagaan. Maksudnya ialah


setiap warganegara hendaklah menghormati perlembagaan negara yang juga
merupakan sumber perundangan tertinggi negara. Setiap rakyat haruslah
menghormati dan mematuhi perlembagaan yang telah ditetapkan. Justeru, dalam
usaha membentuk masyarakat yang sejahtera dan harmoni, prinsip ini memainkan
peranan yang sangat penting. Setiap rakyat pastinya dibawah naungan
perlembagaan negara yang semestinya menjaga hak-hak mereka.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.


Maksud yang saya ingin sampaikan di sini ialah setiap negara mempunyai undang-
undangnya tersendiri. Ia adalah berasaskan kepada perlembagaan negara. Perkara
ini termaktub di dalam rukun negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-
Undang. Dengan adanya undang-undang, maka setiap rakyat akan berdisiplin dan
mematuhi segala yang telah ditetapkan. Warganegara yang berdisiplin akan
membentuk masyarakat yang sejahtera.

Hadirin yang disanjungi,

Prinsip yang terakhir iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan. Prinsip ke lima ini
menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat.
Tujuannya ialah untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan
bersusila. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna
dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam
masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sifat ini juga membantu mewujudkan
sebuah masyarakat yang majmuk namun hidup bersatu padu. Inilah yang
menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya rakyat yang berkualiti tinggi.

Bulat kata kerana pembentung bulat kata kerana muafakat. Yang berat sama
dipikul yang ringan sama dijinjing. Itulah amalan rakyat Malaysia yang sentiasa
berpandukan kepada idealogi negara yang telah membentuk rakyat yang berkualiti.
Dengan adanya kerjasama yang erat dan perpaduan yang kukuh berakar umbikan
rukun negara, maka semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan sejahtera di tanah
air ini. Justeru, marilah kita bersama-sama-sama menghayati rukun negara dan
ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji,
pecah semua. Tepuk dada, tanya minda. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai