Anda di halaman 1dari 3

ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,


Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana,
Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin hadirat sekalian.

Assalamualaikum pembuka bicara.
Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan
pada hari ini. Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan dahulu tajuk
pidatoan ini. Mengikut kamus dewan, alam sekitar ditakrifkan sebagai segala yang ada di
bumi dan di langit. Tanggungjawab pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu
dipikul oleh seseorang, manakala bersama pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan
alam sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata
pepatah hadirin-hadirat sekalian, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Maka segala usaha untuk membersihkan dan mencantikkan alam sekitar adalah
tanggungjawab kita bersama.

Hadirin yang dihormati,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di
sana sini mata dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan
arus pembangunan yang kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin
rancak, janganlah pula kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar kerana
sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab
itu lebih daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara
sendirian. Semua pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah
pihak lain sekiranya alam sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke
dalam diri kita sendiri dan perlu bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah
hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, sungai dipenuhi sampah-sampah sarap
dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam sekitar mencerminkan sikap
masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar.

Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat
alam. Mereka percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya
juga demikian.

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita.
Alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara
tidak langsung hadirin sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih
ke sector pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita
mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam sekitar.

Hadirin yang dihormati,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada
kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya
mencintai alam sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi
teladan kepada golongan muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Para
pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata
sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka
perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan memelihara
alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian bahawa pendidikan
menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga Yunani, iaitu
hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan kita
kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam
sekitar.

Hadirin sekalian.

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam
sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan
kepekaan kita terhadap alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa
tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak
mahu hidup kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah
sumber makanan dan udara yang sihat. Oleh itu, untuk memastikan tubuh kita sihat,
semuanya bergantung pada alam sekitar yang sihat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-sama
bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini sebelum
saya menutup bicara :
Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa
Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai