Anda di halaman 1dari 4

Seikat Bak Sirih, Serumpun Bak Serai

Dalam meniti arus kemodenan ini, semangat bersatu padu kian meluntur dalam jiwa

masyarakat . Hal ini disebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk bergaul antara satu sama

lain khususnya dengan masyarakat setempat. Situasi ini berlaku kerana kebanyakan

masyarakat hari ini sibuk dengan urusan kerja masing-masing . Menurut kata-kata Mantan

Perdana Menteri Malaysia Kedua iaitu Tun Abdul Razak Bin Hussein , “Kita harus sedar

bahawa kita hidup bebas dan merdeka hanya dengan adanya perpaduan dalam kalangan

rakyat”. Kita perlulah mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 iaitu insiden rusuhan

kaum dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Insiden ini telah menjadi satu titik hitam

dalam sejarah Malaysia. Oleh itu, pelbagai usaha harus diambil untuk memupuk semangat

bersatu padu kepada setiap golongan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang

dapat dilakukan bagi memupuk semangat bersatu padu antara masyarakat berbilang kaum,

bangsa dan agama di negara kita seperti kata peribahasa Melayu seikat bak sirih,serumpun bak

serai?

Media massa memainkan peranan yang penting dalam memupuk usaha supaya

masyarakat hidup bersatu padu. Dalam konteks mengukuhkan semangat bersatu padu, media

massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi

positif. Stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan seperti

drama yang melibatkan pelakon berbilang bangsa serta jalan cerita yang menyentuh situasi

sebenar masyarakat. Animasi Upin dan Ipin suatu contoh usaha yang amat cemerlang dalam

menyemai semangat bersatu padu dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak yang menonton

rancangan ini dapat melihat suasana hidup masyarakat majmuk di negara kita. Watak kanak-

kanak pelbagai bangsa yang didukung oleh si kembar Upin dan Ipin serta kawan-kawan mereka
seperti Fizi, Ehsan, Mail, Mei Mei, Jarjit dan Susanti boleh dijadikan teladan kepada kanak-

kanak yang menonton. Suasana kehidupan harmoni masyarakat Kampung Durian Runtuh juga

turut didukung oleh Tok Dalang, Kak Ros, Opah, Muthhu, Ah Tong dan Salleh. Cara-cara

setiap watak berkawan dan menyelesaikan konflik antara mereka boleh dipraktikkan dalam

kehidupan seharian. Hal ini sudah tentu dapat menanam sikap saling menghormati individu

yang berbeza-beza agama, bangsa dan budaya. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah

dari rebungnya, kehidupan yang harmoni ini hendaklah dipraktikkan dalam masyarakat kita

sejak usia kanak-kanak yang masih setahun jagung. Selain itu, Media Prima melalui anak

syarikatnya TV3 juga ada menyiapkan rancangan seperti Borak Kopitiam, Majalah 3 dan

Bersamamu. Melalui rancangan Bersamamu ini, Syarikat Faiza telah memberi bantuan kepada

semua lapisan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Oleh

itu, masyarakat mestilah saling membantu antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan

agama dan kaum. Orang berbudi kita berbahasa,orang memberi kita merasa. Sudah terang lagi

bersuluh, media massa memainkan peranan penting bagi menerapkan nilai bersatu padu dalam

diri masyarakat tidak kira muda atau tua.

Di samping itu, semangat bersatu padu dapat dibentuk melalui peranan jawatankuasa

penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa boleh mewujudkan pusat komuniti.

Pusat komuniti ini boleh digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan. Selain itu, penubuhan

rukun tetangga atau suatu organisasi dalam kejiranan dapat menguruskan hal-hal berkenaan

aktiviti di kawasan kejiranan. Dengan adanya peertubuhan tersebut, pihak jawatankuasa boleh

merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika

masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat

peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan

akan dapat dinikmati dengan penuh bermakna. Sebagai contoh, pihak jawatankuasa penduduk
setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong royong membersihkan atau menceriakan

kawasan setempat seperti balai raya, taman permainan dan pusat komuniti. Ibarat bertepuk

sebelah tangan tidak berbunyi, maka masyarakat hendaklah cakna dengan aktiviti yang

dianjurkan oleh jawatankuasa di kawasan kejiranan mereka. Semasa menyertai aktiviti yang

dianjurkan itu, kita boleh bertanya khabar jiran-jiran yang sudah lama tidak bertemu. Oleh itu,

kita perlulah bekerjasama dengan pihak jawatankuasa supaya aktiviti-aktiviti dapat dijayakan

dengan sempurna dan motif utama untuk menaikkan semangat bersatu padu dalam kalangan

masyarakat dapat dicapai dengan jayanya bak kata peribahasa Melayu bulat air kerana

pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Sukan dan riadah juga merupakan salah satu medium yang dapat digunakan untuk

memupuk semangat bersatu padu dalam masyarakat. Hal ini dikata demikian kerana, kegiatan

sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Aktiviti

sukan di Malaysia terutamanya bola sepak memang amat diminati oleh semua lapisan

masyarakat tidak kira muda mahupun tua tetapi jika dikira dari sudut yang berbeza, sukan ini

dapat menanam semangat bersatu padu dalam kalangan masyaraka berbilang kaum. Pasukan

bola sepak ini bukan sahaja terdiri daripada kaum Melayu sahaja, malah juga dari kaum India

dan juga Cina. Sebagai contoh, S.Kunalan dan Safawi Rashid yang bermain dalam Pasukan

Johor Darul Ta’zim F.C. dan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia. Seperti yang kita

sedia maklum, saban tahun Malaysia akan mengadakan pertandingan bole sepak atau lebih

dikenali sebagai Liga Super Malaysia. Dalam liga ini, pasukan bola sepak dari setiap negeri di

Malaysia akan bertanding bagi menentukan kelayakan mereka untuk bertanding di peringkat

akhir. Tambahan pula, para penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat akan

berkumpul di stadium dan menyokong pasukan masing-masing. Dengan ini, nilai-nilai

perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan
melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan.

Justeru, kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta

mengeratkan hubungan.

Konklusinya, semangat bersatu padu merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi

budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat

di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Jika kita semua berganding bahu bagai aur dengan

tebing, nescaya masyarakat yang bersatu padu dapat dipupuk dalam kehidupan masyarakat

tanpa ada halangan daripada mana-mana pihak. Tuntasnya, semangat bersatu padu atau

bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat

di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus

cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah

terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara

tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

(944 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai